Pages

Thursday, August 5, 2010

Kahwin bawah umur ditapis ikut kes - Jamil Khir



PUTRAJAYA 4 Ogos - Kebenaran berkahwin di bawah umur selayaknya seperti terkandung dalam peruntukan undang-undang Islam bukan diberi kepada semua, sebaliknya ditapis mengikut kes tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kelonggaran itu juga terdapat di bawah enakmen Majlis Agama Islam Negeri yang akan membuat pertimbangan bagi permohonan perkahwinan tersebut bergantung kepada kesesuaian.
"Di dalam enakmen Majlis Agama Islam dan peruntukan undang-undang Islam, lelaki yang berumur 18 tahun ke atas dan perempuan 16 tahun ke atas yang dibenarkan berkahwin ada pengecualian oleh Mahkamah Syariah untuk umur berkenaan.
"Tindakan itu ada peruntukan undang-undang, akan tapis kes demi kes. Walaupun ada pengecualian tertentu, mereka perlu membuat permohonan terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama pemberian biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) seluruh negara di antara Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan 1MDB di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.
Selepas mencadangkan penubuhan sekolah khas bagi pelajar mengandung, kerajaan negeri itu 'menggalakkan' pula ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah.
Jamil Khir berkata, setiap langkah penyelesaian yang diambil bagi membendung gejala hamil luar nikah adalah mengikut persepsi sesetengah pihak yang mungkin dilihat boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut.
"Ada orang merasakan gejala buang bayi ini boleh diselesaikan cara begitu, jadi mungkin antaranya boleh membantu menyelesaikan masalah pada kes-kes tertentu.
"Sekiranya seseorang (pelajar bawah umur) mahu berkahwin, mereka perlu pergi ke Mahkamah Syariah dan mahkamah akan buat pertimbangan melalui proses temuduga dan sebagainya bergantung kepada kesesuaian," katanya.
Mengenai kerjasama pemberian biasiswa itu, Jamil Khir berkata, Jakim akan menguruskan pemberian biasiswa bernilai RM5.1 juta kepada 17 pelajar cemerlang aliran agama bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Mei lalu.
"Kita berharap pemberian biasiswa ini akan diteruskan setiap tahun dan juga diperluaskan kepada pengajian dalam bidang lain seperti kewangan dan perbankan Islam," katanya.

No comments: