Pages

Tuesday, August 24, 2010

Berita Kelahiran Rasulullah SAW dalam kitab Samawi


http://rasoulallah.net/Photo/albums/WallPaper/6.JPG
Saringan Buah Pena Al-Ustadz Dr Ali Jumaat (Mufti Negara Mesir)
Dengan nama Allah dan Kepujian hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Sayyidina Rasulullah saw dan keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang mengikutinya.
Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya banyak telah kami membicarakan tentang kenabian Nabi saw dan perilaku-perilaku Baginda daripada sumber-sumber ugama kita yang kuat lagi dipercayai, dan kami ingin pada kali ini untuk melihat kenabian Nabi saw di dalam kitab-kitab umat dahulu. Kenapakah umat Islam berkeyakinan bahawa Nabi saw telah disebut di dalam kitab-kitab terdahulu?
Sesungguhnya asas keimanan kita yang teguh terhadap kepastian terdapat sebutan mengenai Nabi saw di dalam kitab-kitab terdahulu (walaupun kita berkeyakinan bahawa ianya telah diubah) adalah perkhabaran dari Allah swt kepada kita mengenai perkara tersebut di dalam Al-Quran di mana firmanNya yang bermaksud:
“Orang-orang yang mengikut Rasulullah, Nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) yang mana mereka dapati tertulis (nama dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara baik dan melarang mereka daripada perkara-perkara keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan ke atas mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan daripada mereka bebanan dan belengu-belengu yang ada pada mereka”. (al-A’raf:157)
Maka jelas di dalam ayat ini bahawa Nabi saw disebut di dalam kitab Taurat dan Injil. Demikian lagi firmanNya :
“Ia (Al-Quran) dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah ke dalam hatimu supaya engkau (wahai Nabi Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia), (ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. Dan sesungguhnya demikian itu tersebut di dalam kitab-kitab orang yang dahulu kala. Adakah tidak menjadi keterangan kepada mereka bahawa pendeta-pendeta Bani Israel mengetahui tentang kebenarannya itu?” (as-Syuara’:194-197)
Ayat-ayat ini menerangkan bahawa al-Quran dan penurunannya ke atas Nabi saw ada tersebut di dalam kitab-kitab umat terdahulu dan para pendeta bani Israel mengetahui tentangnya. FirmanNya:
“Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah wajahmu ke arah Masjid Haram (tempat letaknya Kaa’bah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka-muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan kitab (Yahudi dan Nasrani) mengetahui bahawa ia adalah perintah yang benar dari tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang mereka lakukan”. (Al-Baqarah;144)
Di dalam ayat ini menunjukkan bahawa Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) mengetahui pemalingan kiblat seperti yang akan kami sebutkan nanti. Pada apa yang akan dipaparkan ini, kita dapat melihat khabar-khabar gembira tentang Nabi saw di dalam kitab Perjanjian Lama.
Khabar-khabar Gembira Tentang Nabi SAW di dalam Perjanjian Lama
Perjanjian Lama adalah kitab yang dipercayai oleh kaum Yahudi sebagai satu-satunya wahyu tuhan. Ia merupakan kitab suci bagi mereka. Panggilan Kitab Taurat ditujukan kepada lima bahagian daripada Kitab Perjanjian Lama itu, walaupun ianya tidak ada kaitan langsung dengan Kitab Taurat sebenar, kecuali beberapa ayat yang berselerak yang masih kekal daripada Taurat yang asal.
Adapun yang baki daripada Kitab Perjanjian Lama, ianya ditulis selepas zaman Nabi Musa a.s. diselangi masa yang lama sehingga beratus-ratus tahun. Kebanyakkan daripadanya berkenaan sejarah kebangsaan bagi umat Yahudi.
Mengenai pengarang-pengarangnya sudah tentu dengan pasti mereka bukanlah nabi-nabi sepertimana disandarkan kitab-kitab tersebut kepada nama-nama mereka. Ia tidak lebih daripada sangkaan semata-mata ataupun angan-angan.
Sesungguhnya Kitab Perjanjian Lama ini telah pun diterjemah kepada bahasa Yunani pada kurun ke-3 sebelum masihi di Iskandariah (Mesir) pada zaman pemerintahan Iskandar yang agung (Alexander The Great) dan selepasnya. Terjemahan bahasa Yunani ini dipanggil dengan nama Sab’iiniyyah dan ia merupakan terjemahan yang menjadi ikutan kepada pengarang-pengarang Kitab Perjanjian Baru selepas daripadanya.
Kitab Perjanjian Lama ini atau lebih dikenali dengan Kitab Suci Yahudi adalah turut menjadi kepercayaan kepada umat Nasrani (Kristian) tetapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia satu-satunya kitab daripada tuhan bahkan mereka menganggapnya sebagai satu bahagian daripada kitab suci mereka. Adapun kaum Yahudi tetap mereka tidak mempercayai Kitab Perjanjian Baru, walau satu huruf daripadanya.
Sesungguhnya Kitab Perjanjian Lama mempunyai beberapa bahagian kitab, di mana setiap kitab-kitab tersebut disandarkan kepada nama seorang nabi dari kalangan nabi-nabi a.s. Ianya dimulakan dengan lima kitab yang pertama yang dianggap sebagai kitab Taurat, kemudian kitab yang disandarkan kepada Nabi Yashyu’ a.s dan berakhir dengan kitab yang disandarkan kepada Mulakhi.
Kitab suci Yahudi ini atau Perjanjian Lama mengandungi 39 kitab seperti berikut:
  1. At-Takwin
  2. Al-Khuruj
  3. Al-Lawiyyin
  4. Al-Adad
  5. Al-Tasniyyah
  6. Yashyu’
  7. Al-Qudhoh
  8. Rau’uhs
  9. Samuel (1)
10.Samuel (2)
11. Al-Muluk (1)
12.Al-Muluk (2)
13.Al-Ayyam (1)
14. Al-Ayyam (2)15.Azra16.Nahmiya17.Istiyar18.Ayyub
19.Al-Mazamir
20.Al-Amsal
21.Al-Jamiah
22.Al-Insyad
23.Ashi’ya
24.Armiya
25.Al-Mara’ie
26.Hizqieal
27.Danial28.Hushya’29.Yunil30.A’Mus31.U’badiya
32.Yunan
33.Mikha
34.Nahum
35.Habquq
36.Shopniya
37.Hijie
38.Zakariyya
39.Mulakhi
Sesungguhnya telah disebut tentang Nabi saw di dalam Kitab Perjanjian lama mengenai nama Baginda, sifatnya dan qabilahnya lebih daripada sekali pada beberapa tempat, di antaranya:
1. Tersebut di dalam Kitab At-Takwin (29/10) yang merupakan awal-awal himpunan Kitab Perjanjian Lama, berbunyi: “Sentiasalah tongkat Kerajaan atau hukum Syariat berada di hadapan Yahuza sehinggalah datang Shayaluh dan akan tunduk kepadanya seluruh umat.”
Ini bermaksud kekuasaan memerintah dan kenabian tidak akan pupus daripada Yahuza dan keturunannya sehinggalah datang seseorang yang tertentu dengan sifat kekuasaan dan kenabian dan seluruh umat akan tunduk patuh kepadanya. Tidak diketahui di dalam catatan sejarah bahawa ada seorang nabi yang menguasai permukaan bumi dan umat-umat keseluruhannya tunduk kepadanya selepas daripada Yahuza (anak lelaki Nabi Ya’kub) melainkan Rasulullah saw.
2. Tersebut di dalam Perjanjian Lama pada naskhah yang telah diteliti isinya yang menjadi induk (RSV) di mana ianya telah dikeluarkan oleh pertubuhan Kitab Suci Britan di dalam Kitab At-Tasniyyah (18/18) termaktub di dalam catatan yang dihadapkan kepada Nabi Musa a.s. daripada tuhannya, berbunyi: “Daku akan mengutus kepada mereka (Bani Israel) seorang nabi dari kalangan saudara-saudara mereka seperti engkau dan akanKu jadikan kalamKu pada mulutnya.”
Barangkali khabar gembira ini menunjuk kepada perpindahan kenabian daripada Bani Israel kepada bangsa Arab. Ini kerana, sekiranya nabi yang dimaksudkan itu dari kalangan Bani Israel nescaya tentulah berbunyi: “Daku akan mengutus kepada mereka (Bani Israel) seorang nabi dari kalangan mereka”, tetapi apa yang tercatat adalah perkataan : “Dari kalangan saudara-saudara mereka”. Ini merujuk kepada bangsa Arab kerana Nabi Ismail as yang merupakan datuk kepada bangsa Arab adalah saudara kepada Nabi Ishak yang merupakan datuk kepada bangsa Israel. Kita tidak pernah mendengar tentang seorang nabi yang diutuskan sebagai Rasul dari kalangan bangsa Arab selain daripada Nabi Muhammad saw.
3. Dalam membicarakan tentang nabi yang ditunggu-tunggu yang akan membawa syariat yang diberkati, di dalam kitab yang sama (Kitab At-Tasniyyah (23/2) berbunyi: “Datangnya cahaya daripada tuhan dari Sina dan menjelang naik kepada mereka dari Saa’yar dan berkilau-kilauan dari bukit Faran dan datang bersama-samanya sepuluh ribu orang-orang suci sedangkan syariat yang bercahaya pada tangan kanannya.”
Ini menunjuk kepada tiga tempat datangnya wahyu yang        terbesar iaitu Sina tempat wahyunya Nabi Musa as, Sa’ayar tempat wahyunya Nabi Isa as dan Faran iaitu Mekah dan bumi Hijaz yang didiami Nabi Ismail as. Yang mengatakan Faran itu adalah Mekah adalah Kitab Perjanjian Lama itu sendiri di mana telah tersebut pada tempat yang akhir di dalam membicarakan tentang Nabi Ismail as yang berbunyi: “Sentiasa Allah bersama kanak-kanak itu (Nabi Ismail as) lalu dia menjadi dewasa dan tinggal di padang pasir, dia membesar sebagai seorang yang pandai memanah dan mendiami di padang pasir Faran. Ibunya telah menjodohkannya dengan seorang perempuan dari bumi Mesir.” - Kitab At-Takwin (21/20-21)
Sepuluh ribu orang-orang suci tersebut adalah bilangan sahabat-sahabat Nabi saw ketika pembukaan Mekah. Jika tidak, siapakah nabi yang diwahyukan di Bukit Faran (Mekah) yang datang bersama sepuluh ribu pengikutnya itu?
4. Di dalam Kitab Habquq (3/3) berbunyi: “Seorang yang suci dari Bukit Faran keagungannya meliputi langit dan bumi di mana langit dan bumi penuh dengan kepujiannya”.
5. Di dalam Kitab Ashi’ya (42/11-13) berbunyi: “ Supaya  berkumandang di padang pasir dan Bandar-bandar akan suaranya. Itulah negeri-negeri yang didiami oleh Qaidar, tempat tinggal seorang yang perkasa. Supaya mereka melaungkan dari puncak-puncaknya dan mengagungkan seorang pemimpin serta mereka menzahirkan kepujiannya di seluruh kepulauan. Sesungguhnya pemimpin itu akan keluar sebagai seorang yang perkasa dan menyebarkan keberanian sebagai pahlawan perang. Dia akan disebut-sebut dan dilaungkan namanya. Dia akan mendapat kemenangan ke atas musuh-musuhnya”.
Di sini terdapat isyarat menunjuk kepada peribadi Qaidar yang merupakan anak lelaki Nabi Ismail as di mana dari kalangan anak cucunya adalah bangsa Quraish yang lahir daripadanya Nabi saw. Juga terdapat isyarat yang menunjukkan kepada azan dan penyebutan Nabi saw di dalam azan dan pengagungan terhadapnya, juga tentang perang jihadnya dan kemenangannya mengalahkan musuh-musuhnya di dalam peperangan-peperangannya itu. Sesungguhnya catatan sejarah tidak mengetahui seorang nabi daripada bumi yang didiami Qaidar yang dilaungkan namanya dari puncak-puncak bukit yang terlibat di dalam peperangan-peperangan dan mendapat kemenangan ke atas musuh-musuhnya melainkan Rasulullah saw. Jika ianya bukan Baginda saw maka cubalah penafsir-penafsir Kitab Perjanjian Lama sebutkan kepada kami siapakah yang dimaksudkan itu?!!
6. Di dalam Kitab Ashi’ya (60-1-2, 6-7) berbunyi: “Bangkitlah! Sesungguhnya telah tiba cahayamu, keagungan tuhan telah terbit ke atasmu. Inilah dia kegelapan yang menyelubungi bumi dan sekelian umat. Adapun engkau sesungguhnya cahaya daripada tuhan menyelubungimu dan memperlihatkan keagungan ke atasmu, lalu seluruh umat akan berjalan di dalam cahayamu dan raja-raja di dalam cahaya ketibaanmu. Akan meliputi kepadamu unta-unta dalam bilangan yang banyak, unta-unta negeri Madyan dan Aiyfa, semuanya datang dari Syaiba membawa emas dan haruman. Semua kambing biri-biri Qaidar berkumpul kepadamu dan binatang-binatang Kibas dari Nabayut akan berkhidmat kepadamu di mana ianya diterima naik ke atas tempat penyembelihanKu, dan nanti akan dimuliakan rumah keagunganKu”.
Ini adalah khabar gembira yang menyebut tentang kambing biri-biri Qaidar yang akan diterima sebagai sembelihan kerana Allah dan akan dimuliakan rumah keagunganNya (Kaa’bah). Manakah kambing biri-biri Qaidar yang disembelih di sisi rumah yang mulia yang telah lama usia di Baitullah Al-Haram Mekah selain apa yang berlaku pada zaman Nabi saw.
7. Di dalam kitab Ashi’ya (21/13-17) berbunyi: “Sesungguhnya wahyu dari pihak negeri-negeri Arab pada bumi yang berlekuk-lekuk (tanah tidak rata). Pada negeri-negeri Arab terdapat golongan Tabietien, wahai rombongan-rombongan dari tempat yang berhampiran! berilah air ketika bertemu orang yang dahaga, wahai penghuni-penghuni bumi padang pasir! dan berikanlah roti kepada orang yang lari. Sesungguhnya mereka telah melarikan diri daripada pedang-pedang dan busur-busur panah yang diikat dan daripada huru-hara peperangan. Sesungguhnya beginilah seperti yang dikatakan oleh tuhan, pada tempoh setahun (seperti tahun pekerja yang diberi upah) akan gugur semua keagungan Qaidar dan segala busur panah daripada pahlawan-pahlawan keturunan Qaidar akan lenyap”.
Di sana terdapat ikatan yang jelas di antara dua perkhabaran ini dan di antara apa yang disebut di dalam Kitab At Tasmiyyah dahulu yang membicarakan tentang cahaya yang bergermelapan. Sesungguhnya Nabi Ismail as telah mendiami bumi Faran yang dilahirkan padanya Qaidar yang merupakan datuk yang teratas bagi bangsa Arab. Telah ditetapkan ke atas anak cucu Qaidar bahawa mereka akan didatangi wahyu daripada Allah swt dan akan dipersembahkan binatang-binatang korban sebagai mengagungkan rumah Allah swt kerana sesungguhnya kegelapan telah meliputi bumi pada kurun-kurun yang lampau, sebagaimana juga yang telah ditetapkan ke atas anak cucu Qaidar dan pemanah-pemanah serta pahlawan-pahlawan mereka bahawa mereka semua akan lenyap di antara tahun pertama selepas hijrah di hadapan pedang yang terhunus dan busur panah yang diikat. Adakah di sana peribadi yang lain yang dimaksudkan daripada perkataan ini selain Muhammad saw? Seperti itu juga kisah sepuluh ribu orang-orang suci yang tersebut di dalam kitab At-Tasniyyah yang mengandungi maksud yang penting. Ini kerana peristiwa pembukaan Mekah adalah satu-satunya peristiwa penting di dalam sejarah bumi Faran yang membuktikan kebenaran kisah berkenaan, di mana Rasulullah saw memasuki Mekah dengan mengetuai sepuluh ribu pengikut-pengikutnya yang beriman menuju ke Baitullah sedang pada tangan kanannya kesudahan segala Syariat.
8. Ketika Bani Israel pulang ke tempat peribadatan (Baitul Muqaddis) setelah mereka bebas daripada tawanan bangsa Babylon dan mendapat keizinan Raja Kisra Qaurus berbangsa Parsi yang telah membebaskan mereka dan menguasai Baitul Muqaddis ketika itu, Allah telah mengutuskan Nabi Hijie untuk memberi berita gembira kepada perhimpunan manusia tentang perutusan yang penting berbunyi: “Akan Daku goncangkan seluruh umat dan akan datang Hamadah kepada seluruh umat dan akan Daku penuhi rumah ini dengan kemuliaan, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Hanya bagiku emas dan perak, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan  semesta alam. Sesungguhnya kemuliaan rumah yang akhir adalah lebih agung daripada kemuliaan rumah yang pertama, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Di tempat inilah akan Daku kurniakan Syalum, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam.” Kitab Hijie (9/7-9).
Di dalam terjemahan Kitab Suci, perkataan Hamadah dan Syalum yang merupakan dua perkataan di dalam bahasa Ibrani (Hebro) telah diterjemahkan dengan erti keamanan dan kesejahteraan secara berturut-turut. Ini adalah sesuatu yang tidak tepat, jika tidak nescaya perkhabaran ini menjadi suatu harapan yang penuh kesamaran dan tidak mempunyai mesej yang jelas. Sesungguhnya perkataan Hamadah dan Syalum sebenarnya memberi gambaran yang halus kepada makna perkataan Ahmad dan Islam. Teks di dalam bahasa Ibrani (Hebro) berbunyi: “Fie Ya Fu Hamadah Kaul Hajuyiem” yang bermaksud: “Akan datang Hamadah kepada seluruh umat.”
9. Pada bahagian akhir segala Kitab Perjanjian Lama kita akan dapati perkhabaran yang lain daripada Kitab Mulakhi (3/1) berbunyi: “Akan Daku utuskan rasulKu lalu dia akan menyediakan jalan di hadapanKu dan secara tiba-tiba dia akan mendatangi Haikal (Baitul Muqaddis). Dialah pemimpin yang kamu mencari-carinya, rasul yang dijanjikan yang mana kamu sukacita terhadapnya. Sesungguhnya dia pasti akan tiba. Demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam”.
Tidakkah terbukti kebenaran perkhabaran tentang kedatangan pemimpin yang dimaksudkan secara tiba-tiba ke tempat Haikal (Masjidil Aqsa) melainkan ketika Nabi Muhammad saw menziarahinya di malam Israk dan Mikraj di mana Baginda berhimpun dengan sekelian para nabi di tempat berkenaan. Maka inilah bukti yang membenarkan perkhabaran tersebut.
10.  Di dalam Kitab Danial (7/14) mengisyaratkan tentang Nabi saw     dan keluasan kerajaannya di mana ia berkata: “Sekelian bangsa dan umat di bumi akan tunduk kepada Barnashya”.
Di sana tidak ada seseorang yang menguasai negeri-negeri dan menyebarkan agamanya di mana segala jenis bangsa dan umat di muka bumi termasuk Rom dan Parsi tunduk kepadanya selain Nabi Muhammad saw.
11. Di dalam Kitab Danial (7/27) lagi mengisyaratkan tentang kekuasaan orang-orang yang beriman selepas Nabi saw, di mana ia berkata: “Kerajaan dan kekuasaan di bawah langit akan diberikan kepada bangsa-bangsa di kalangan orang-orang yang beriman”.
12. Kami sudahi perkhabaran-perkhabaran daripada Kitab Perjanjian Lama dengan Kitab Armiya (9/28), ketika mana Armiya ditanya tentang Nabi yang sebenar beliau menjawab: “Sesungguhnya dia adalah Nabi yang akan membawa khabar gembira mengenai agama Islam”.
Tidak pernah ada seorang nabi yang membawa suatu ugama dengan nama ugama Islam melainkan Nabi saw.
Kitab Perjanjian Baru merupakan baki kitab suci bagi umat Nasrani (Kristian), ia adalah bahagian yang terpenting di sisi mereka. Ia dipanggil dengan nama Injil kerana ia disandarkan kepada Nabi Isa as. Tidak beriman dengan Kitab Perjanjian Baru ini seorang pun di kalangan Bangsa Israel melainkan dari kaum Nasrani. Golongan Nasrani membahagikan Kitab Suci itu dua bahagian, Perjanjingan Lama seperti yang telah lalu dan Perjanjian Baru.Injil atau Perjanjian Baru atau juga dikenali dengan himpunan risalah –risalah ini merupakan bahagian yang baru di dalam kitab suci di mana golongan Nasrani menamakan catatan-catatan sebelum zaman kebangkitan Nabi Isa as dengan panggilan Perjanjian lama dan selepas zaman kebangkitannya dengan panggilan Perjanjian Baru. Ia mengandungi 27 kitab yang mana empat kitab pertama daripadanya dipanggil kitab-kitab Injil secara rambang iaitu Matta, Marqus, luqa dan Yuhana. Andaian yang dapat kita buat berdasarkan nama-namanya jelas bahawa kitab-kitab itu ditulis oleh pengikut-pengikut setia Nabi Isa as. Ianya merupakan himpunan sepuluh kitab-kitab lain yang tersebar pada awal-awal tahun masihi yang kemudiannya dibatalkan oleh perhimpunan Ugama Kristian kali pertama yang terkenal, diadakan di  Nicea (Izniq sekarang) di Asia Kecil pada tahun 325 Masihi di bawah kelolaan Maharaja Kaisar Rom yang bernama Qastantien yang agung di mana telah diputuskan bahawa hanya empat buah kitab ini sahaja yang dibenarkan sebagai sandaran dan selain daripadanya diperintahkan supaya dibakar. Oleh yang demikian ianya terkenal dengan nama Injil-injil Induk atau Injil-injil di sisi undang-undang.
Kitab Injil yang disebut di dalam Al-Quran adalah lain daripada Injil-injil terbabit, tetapi yang dimaksudkan dengan Injil di dalam Al-Quran adalah wahyu asal yang diturunkan secara langsung kepada Nabi Isa as yang dikenali di kalangan orang-orang yang sezaman dengannya dengan nama di dalam bahasa Yunani sebagai “Evangelion” yang bermaksud “Khabar Gembira”.
Himpunan kitab-kitab Perjanjian Baru adalah seperti berikut:
  1. Matta
  2. Marqus
  3. Luqa
  4. Yuhana
  5. Tugas-tugas Para Utusan
  6. Risalah Paulus Kepada Rom
  7. Risalah Paulus (1) kepada Korenses
  8. Risalah Paulus (2) kepada Korenses
  9. Risalah Paulus kepada Galaty
  10. Risalah Paulus kepada Efesus
  11. Risalah Paulus kepada Piliey
  12. Risalah Paulus kepada Kolosy
  13. Risalah Paulus (1) kepada Thesaloniky
  14. Risalah Paulus (2) kepada Thesaloniky
  15. Risalah Paulus (1) kepada Themoses
  16. Risalah Paulus (2) kepada Themoses
  17. Risalah Paulus kepada Titus
  18. Rislah Paulus kepada Pilemon
  19. Risalah Paulus kepada Ibrani
  20. Risalah James
  21. Risalah Petros (1)
  22. Risalah Petros (2)
  23. Risalah Yuhana (1)
  24. Risalah Yuhana (2)
  25. Risalah Yuhana (3)
  26. Risalah Yahuza
  27. Mimpi Yuhana
Tidaklah dapat disangkalkan apabila Nabi saw disebut di dalam Kitab Perjanjian Lama yang merupakan Kitab Suci bagi kaum Yahudi, secara tidak langsung ia juga menjadi bukti terhadap kaum Nasrani (Kristian) kerana mereka juga beriman dengannya dan menganggapnya sebahagian daripada kitab suci mereka. Apa yang telah dipaparkan mengenai perkhabaran-perkhabaran tentang Nabi saw di dalam Perjanjian Lama telah cukup untuk menjadi hujah ke atas Yahudi dan Nasrani dengan serentak kerana mereka semua mempercayai bahawa ianya wahyu daripada Allah swt, kecuali mereka berusaha memalingkan maksudnya kepada sebaliknya.
Adapun perkhabaran-perkhabaran dan isyarat-isyarat mengenai Nabi saw di dalam Kitab Perjanjian Baru amatlah banyak. Sesungguhnya Nabi Isa as banyak membawa berita gembira mengenainya kerana tidak terdapat di antara Beliau dengan Nabi saw oleh nabi yang lain. Disebabkan demikian berita-berita mengenainya amat banyak sehinggakan juga terdapat di dalam Kitab-kitab Injil yang sudah diubah. Di antaranya seperti berikut:
1.  Di dalam Yuhana (16/7) Isa Al-Masih berkata: “Adalah suatu yang baik bagi kamu bahawa aku akan meninggalkan sekalian kamu jauh, kerana sekiranya tidak aku pergi sesungguhnya orang yang membawa hidayat itu tidak akan mendatangi kamu, tetapi bahawasanya apabila telahku pergi, akanku utuskan beliau kepada kamu”
2.  Kemudian Isa Al-Masih menerangkan sifat pembawa hidayat itu dengan katanya:“Sesungguhnya dia tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan daripada dirinya sendiri, tetapi dia akan berkata-kata mengikut apa yang dia dengari daripada wahyu”.(Yuhana 16/3)
Ini adalah suatu yang disifatkan oleh Allah swt mengenai Nabi saw di dalam Al-Quran di mana firmanNya bermaksud: “Tidaklah ia melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya”. (An-Najm;4)
3.  Di dalam Yuhana (14/16) berkata Isa Al-Masih: “Akan daku memohon daripada Bapa, dia akan mengurniakan kepada kamu semua Paracietus yang lain yang akan bersama kamu selama-lamanya”.
Perkataan Paracletus dari segi lafaznya bererti Ahmad (Yang Terpuji). Inilah adalah berbetulan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud:
“Daku (Isa Al-Masih) membawa khabar gembira berkenaan rasul yang akan datang selepasku bernama Ahmad” (As-Shaf:5)
4.  Di dalam Matta (11/14) berkata Isa Al-Masih: “Sekiranya kamu mahu menerima, maka inilah di Iliya yang teguh keazamannya, nanti akan tiba kedatangannya, sesiapa yang mempunyai dua telinga hendaklah dia dengar.”
Kiraan daripada jumlah huruf perkataan Iliya sama dengan kiraan jumlah perkataan Ahmad.
5.  Di dalam Matta (17/11) berkata Isa Al-Masih: “Sesungguhnya Iliya akan tiba pertama kalinya dan dia akan mendatangi segala sesuatu.”
6.  Di dalam Matta (21/32) Selepas Isa Al-Masih membuat perumpaan seorang tuan rumah yang menanam anggur dan menyerahkannya kepada penanam-penanam anggur, Isa Al-Masih seterusnya berkata: “Adakah tidak kamu baca di dalam kitab-kitab, sesungguhnya batu yang telah dipinggirkan oleh pembina-pembina binaan telah menjadi tapak kepada dinding-dinding bangunan daripada pihak tuhan. Ini merupakan suatu perkara yang pelik dan pelik pada mata-mata kita. Kerana demikian daku menegaskan kepada kamu, sesungguhnya kerajaan Allah akan dicabut daripada kamu dan akan diberikan kepada umat yang mengusahakan buah-buahnya. Barangsiapa jatuh ke atas batu tersebut dia akan hancur dan barangsiapa yang ditimpa batu itu dia akan binasa”.
Batu yand dimaksudkan oleh Isa Al-Masih itu merujuk kepada Nabi Ismail as yang telah dipinggirkan bersama-sama ibunya oleh Sarah  (Isteri Nabi Ibrahim as). Adalah suatu perkara yang pelik di sisi BaniIsrael bahawa kerajaan Allah akan dicabut dan diberikan kepada keturunan saudara-saudara mereka iaitu bangsa Arab, sebagaimana juga merupakan perkara pelik bagi mereka bahawa Hajar (Ibu Nabi Ismail as) bukanlah seorang yang merdeka pada mula-mulanya, dia hanyalah hamba kepada Sarah. Nabi saw yang lahir daripada keturunan Nabi Ismail as itulah yang dimaksudkan dengan batu yang menjadi tapak binaan yang Allah swt reda terhadap sesiapa yang mengikutinya dan membinasakan sesiapa yang ingkar terhadapnya di dunia dan di akhirat.
7.  Di dalam Yuhana (4/19,20,21) perbualan seorang perempuan dengan Isa Al-Masih di mana perempuan itu berkata kepada Al-Masih: “Wahai penghuluku, aku meyakini bahawa engkau seorang nabi. Sesungguhnya datuk moyang kami telah bersujud (sembahyang) pada bukit ini, dan engkau sentiasa berkata: Sesungguhnya pada Urasyalem merupakan tempat yang mesti dilakukan sujud padanya”. Lalu Al-Masih berkata kepadanya:
“Wahai perempuan, percayalah kepadaku sesungguhnya akan tiba suatu masa yang mana kamu tidak lagi bersujud padanya, tidak pada bukit ini dan tidak pada Urasyalem”.
Ini merupakan isyarat Nabi Isa as berkenaan pemalingan kiblat dan ianya bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt yang berbunyi:
“Akan berkata orang-orang bodoh dari kalangan manusia apakah yang memalingkan mereka (orang-orang yang beriman) daripada kiblat yang telah mereka berhadap ke arahnya (al-Baqarah;142)
hingga firmanNya berbunyi:
“Sesungguhnya kerap kali kami telah melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu kearah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaa’bah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka-muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan Kitab (Yahudi dan Nasrani) megetahui bahawa ia adalah perintah benar dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang mereka lakukan (Al-Baqarah;144)
8.  Di dalam Yuhana (15/26) berkata Isa Al-Masih mengenai Nabi saw, ujarnya:“Sekiranya datang ‘Munhamana’ dialah orang yang Allah swt utuskan kepada sekalian kamu.”
Perkataan ‘Munhamana’ yang merupakan bahasa Siryani secara lafaznya bererti ‘Muhammad’. Perlu diambil perhatian bahawanya perkhabaran Nabi Isa as ini telah digugurkan daripada cetakan-cetakan baru bagi kitab Injil, tetapi ianya masih terdapat di dalam cetakan-cetakan yang lama bagi Kitab Injil.
9.  Di dalam Yuhana (16/13) berbunyi: “ Apabila tibanya ruh kebenaran itu, maka dia akan memimpin kamu kepada seluruh kebenaran kerana dia tidak mengeluarkan perkataan daripada dirinya sendiri, bahkan dia berkata-kata mengenai apa yang dia dengari dan dia akan memberitahu kamu tentang perkara-perkara yang akan berlaku.”
Perkhabaran di dalam Kitab Injil Barnaba
Apa yang telah lalu merupakan isyarat-isyarat dan perkhabaran-perkhabaran yang terdapat di dalam 4 buah kitab Injil yang rasmi dan diakui di sisi kebanyakkan golongan-golongan Nasrani (Kristian). Kita tidak terdedah sehingga sekarang kepada Injil-injil yang tidak diakui oleh pihak gereja yang mana bilangannya lebih banyak, di antaranya adalah Kitab ‘Injil Barhaba’ yang terdapat di dalamnya khabar-khabar gembira mengenai Nabi Muhammad saw secara terang dan jelas. Di dalamnya juga terdapat penegasan bahasa Isa Al-Masih adalah seorang hamba Allah. Di sana terdapat kitab-kitab Injil yang lain yang wujud pada kurun pertama dan ke-dua Masihi tetapi kemudiannya dibatalkan oleh pihak gereja selain Injil Barnaba.
Di antara Injil-injil tersebut:
-         Injil Abyon                                             – Injil Tujuh Puluh
-         Injil Yaakub                                           – Injil Dua Belas
-         Injil Thomas                                          – Injil Peringatan
-         Injil Nicodem                                        -  Injil Ibrani
-         Injil Petros                                             – Injil Mesir
-         Injil Yason                                              – Injil Many
-         Injil Marqiune.                                      –Injil Kehidupan
Yang menguatkan kewujudan Injil Barnaba dalam usia yang lama bahawa di sana terdapat catatan surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Ketua Gereja Rom yang pertama iaitu Pope Glacius, telah menduduki kerusi Ketua Gereja pada tahun 492 Masihi iaitu 79 tahun sebelum kelahiran Nabi saw., di mana Baginda dilahirkan pada 571 Masihi. Pope berkenaan telah menyenaraikan kitab-kitab Injil yang diharamkan membacanya, di antaranya ialah kitab yang dipanggil Injil Barnaba. Satu-satunya naskhah yang tekenal sekarang adalah naskah Itali yang terapat di dalam perpustakaan Di Raja Viena. Ia dianggap kesan sejarah yang paling berharga di mana naskhah ini mempunyai 225 muka surat yang tebal daripada kertas yang dibuat daripada kapas dan dijilid dengan kertas yang kukuk serta dibalut dengan kulit. Orang pertama yang menjumpai naskhah ini adalh Kremer, Menteri Raja Prusia sewaktu beliau menetap di Amsterdam. Beliau meminjam naskhah berkenaan pada tahun 1709 Masihi daripada perpustakaan salah seorang orang-orang kenamaan di Amsterdam. Selepas empat tahun kemudian pembesar Holand ini telah menghadiahkan naskhah terbabit kepada Prince Jugend Savoy yang berminat terhadap kesan-kesan sejarah. Naskhah ini kemudiannya berpindah bersama bahan-bahan perpustakaan Prince berkenaan ke perpustakaan di Raja Nemsa.
Sesungguhnya telah didapati naskhah yang lain di Spanyol pada awal kurun ke-18 di dalam 220 muka surat yang mengandungi 222 fasal. Naskhah ini telah sampai ke tangan seorang orientalis bernama Sale, kemudiannya berpindah ke tangan Doktor Mancius yang merupakan salah seorang anggota sebuah fakulti di Oxford. Beliau lalu menterjemahkannya ke bahasa Inggeris.
Perkhabaran-perkhabaran di dalam Kitab Injil Barnaba yang menyebut tentang Nabi saw adalah seperti berikut:
  1. Di dalam Barnaba (17/22-23) Isa Al-Masih berkata: “Akan datang selepasku kemegahan sekelian nabi-nabi dan wali-wali, dia akan keluar sebagai cahaya yang menerangi kegelapan-kegelapan yang menyulubungi perkataan para anbiya’, kerana dia adalah Rasulullah (utusan Allah).
  2. Di dalam Barnaba (36/6) Isa Al-Masih berkata: “Sesungguhnya telah datang segala anbiya’ kecuali Rasulullah yang akan datang selepasku, kerana bahawasanya Allah mengkehendaki berlakunya demikian sehinggalah aku yang akan menyediakan jalannya.”
  3. Di dalam Barnaba (42/13) ketika Isa Al-Masih di tanya adakah beliau rasul yang ditunggu-tunggukan itu? Beliau menjawab dengan katanya: “Sesunguhnya mukjizat-mukjizat yang Allah lakukan ke atas dua tanganku menunjukkan bahawa aku berkata-kata mengikut apa yang dikehendaki Allah. Tidaklah sekali-kali aku mengira diriku sebanding dengan orang yang kamu tanya mengenainya, kerana bahawasanya aku tidak layak untuk menghurai ikatan-ikatan kasut atau tali-tali sepatu Rasulullah yang kamu namakannya sebagai Mesiyyah (Utusan) itu. Dia dicipta sebelumku dan akan datang selepasku, dia akan membawa kata-kata kebenaran dan tidak ada bagi ugamanya itu kesudahan.”
Kebanyakan teks-teks di atas dan juga kesemua teks-teks Injil Barnaba menerangkan bahawa nabi yang ditunggu itu adalah Nabi Muhammad saw yang lahir daripada keturunan Nabi Ismail as dan ugamanya akan tersebar luas lagi diikuti, sedangkan kita tidak pernah mendengar tentang ugama yang tersebar serata dunia setelah Nabi Isa as melainkan ugama Islam.
Perkhabaran-perkhabaran di dalam kitab-kitab lain.
Bukanlah kitab-kitab umat dahulu kala hanya terbatas kepada kitab-kitab suci yang diturunkan daripada langit sahaja, bahkan termasuk di dalamnya kitab-kitab yang menjangkau usia yang lama. Diantaranya ialah kitab-kitab suci Ugama Hindu dan bilangannya amat banyak, tetapi secara umumnya ia terbahagi kepada empat bahagian:
  1. Kitab Veda, yang bererti: Pengetahuan
  2. Upanisyad
  3. Purana, yang bererti : Usia Lampau
  4. Brahmana Granat
Sesungguhnya kitab-kitab suci ini ditulis di dalam bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa India Kuno. Tidak mengetahui bahasa ini sekarang melainkan hanya sami-sami Hindu.
Kitab Veda adalah dianggap sebagai kitab yang paling suci di antara segala kitab dan ia juga dikira sebagai kitab yang tertua di mana para ahli cendiakawan mereka berselisih pendapat mengenai tarikh penulisannya. Kebanyakan pendapat rata-rata mengatakan ianya ditulis sekitar 2000 atau 3000 tahun sebelum Masihi. Kitab Veda terbahagi kepada empat iaitu: Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda.
Di dalam Sama Veda (2:6,8) terdapat sebutan mengenai Nabi saw secara terang-terangan di mana teks itu berbunyi: “Telah menerima Ahmad syariat ugamanya daripada tuhannya. Syariat ini keseluruhannya adalah hikmat. Sesungguhnya aku akan menerima daripadanya cahaya seperti cahaya matahari yang sempurna”.
Adapun Kitab Purana yang boleh kita terjemahkannya sebagai “Kitab-kitab Orang Dahulu Kala” disebabkan ertinya adalah “Usia Lampau”, ia merupakan kitab yang paling banyak tersebar di antara kitab-kitab suci lain. Ia membicarakan tentang cerita-cerita dongeng yang berkaitan dengan permulaan kejadian makhluk, kehidupan dewa-dewa dan raja-raja. Ia merupakan kitab yang paling banyak bilangannya, hampir empat puluh kitab semuanya. Di antaranya himpunan kitab yang dinamakan “Maha Purana” yang bererti Kitab Purana yang terbesar di mana ia terdiri daripada lapan belas buah kitab. Di antaranya lagi himpunan kitab yang dinamakan Upa Purana iaitu Kitab Purana  tambahan atau yang kedua dan ia terdiri daripada 18 buah kitab juga. Di sana terdapat empat buah kitab yang lain, salah satu daripadanya yang akan kita perkatakan mengenainya iaitu Kitab Pahaveshia Purana yang bererti “Purana Masa Hadapan”. Kitab ini menyebut tentang Nabi Adam as dan Hawa dengan panggilan Adaman dan Haryavati dan juga tentang keturunan mereka. Kitab ini juga menyebut tentang Nabi Isa as dengan panggilan “Anak Tuhan” dan turut menyebut tentang Nabi Muhammad saw. Golongan Hindu menganggap bahawa teks-teks tersebut suatu pembohongan yang diadakan dan dimasukkan pada zaman Raja India bernama Akbar yang berusaha untuk menyatukan semua ugama, tetapi mereka tidak mempunyai bukti terhadap perkara itu, hanya dakwaan semata-mata. Sedangkan teks tersebut masih wujud sehingga hari ini.
Berikut adalah teks mengenai perkhabaran yang menyebut nama Nabi saw di dalam kitab Pahaveshia Purana (Barti Saraj Barap ke-3: 303 ayat yang ke-5) berbunyi:“Akan muncul Malitsyaha (seorang asing yang bukan berbangsa Hindi) sebagai guru rohani bersama pengikut-pengikutnya. Beliau dikenali dengan nama Muhammad Raja, setelah dianugerahkan Mahadeva berbangsa Arab ini pembasuhan di dalam Panjajavia dan air Janaj (penyucian daripada dosa). Sesungguhnya orang yang mempersembahkan hadiah-hadiah kepadanya menguatkan lagi kebenaran, dan aku melihatnya dengan penuh penghormatan sambil berkata: “Aku jadikan bagi engkau segala kemuliaan, wahai kemegahan padang pasir! Wahai yang mendiami bumi Arab! Demi sesungguhnya engkau telah menghimpun kekuatan yang besar untuk memerangi syaitan dan engkau adalah terpelihara daripada musuh-musuh dari golongan Malitsyaha (orang-orang asing yang bukan berbangsa Hindi, yang dimaksudkan ialah golongan kafir Quraish). Wahai gambaran tuhan yang tertinggi dan tuhan yang terbesar! Aku adalah hamba kepadamu, pimpinlah daku seperti seorang yang tercampak diantara dua kakimu”.
“Sesungguhnya golongan Malitsyaha telah mengusir syaitan yang sesat (Abrahah berbangsa Habsyi) yang telahku bunuh dan akan muncul pada kali yang lain seorang yang diutuskan daripada musuh yang kuat supaya mereka dapat melihat jalan yang lurus dan supaya diberikan mereka hidayat yang diketahui melalui Muhammad yang aku berikan kepadanya gelaran Brahma. Dia seorang yang bertungkus lumus menarik golongan Bhesaji kepada jalan kebenaran”.
“Wahai Raja! Tidak perlu engkau pergi kepada bumi golongan Bhesaji yang jahil itu bahkan engkau menjadi sebagai seorang yang menyucikan dengan anugerahku di mana sahaja engkau berada”. Pada suatu malam dengan peraturan daripada langit akan adanya seorang lelaki yang bersangatan kuat. Di dalam rupa seorang Bhesaji dia berkata kepada Raja Yahuja: “Wahai Raja! Sesunggunya Aryadaharmak telah dicipta untuk menguasai seluruh ugama, tetapi sebagai menepati wasiat-wasiat Asywar Barmatama maka sesungguhnya aku akan menguatkan akidah yang teguh bagi golongan yang memakan daging. Sesungguhnya orang yang mengikutiku akan menjadi seorang lelaki yang berkhatan, tidak mempunyai ekor rambut (iaitu rambut yang dibuat oleh sami-sami di bahagian belakang seperti ekor) yang melepaskan janggut, lagi melakukan kebangkitan, yang melaungkan seruan kepada sembahyang dan dia akan menjadi seorang yang memakan yang halal, ia akan memakan semua jenis binatang kecuali khinzir. Mereka tidak mencari kesucian pada tempat-tempat suci tetapi mereka menyucikan diri melalui peperangan dengan memerangi umat-umat yang tidak berugama. Sesungguhnya mereka dipanggil sebagai golongan Muslimani dan aku akan menjadi sebagai penegak kepada ugama ini yang merupakan ugama bagi umat yang memakan daging.”
Telah benar Allah Yang Maha Agung di mana dia berfirman: “Sesungguhnya demikian itu ada tersebut di dalam kitab-kitab orang yang dahulu kala.” (As-syu’ara : 196).
Seorang pendita hindu bernama Propesor Pandit Vedaprakash Upadhyay telah mengarang sebuah buku yang diberi tajuk: ‘Penjelmaan Kalki’ dan beliau menyebut di dalamnya bahawa kitab-kitab suci mereka menyebut bahawa nama bapa “Kalki” ialah “Bhagath Vishnu” yang bermaksud: “Hamba tuhan” di mana Vishnu bererti “tuhan” dan Bhagath bererti ‘hamba’. Ini menepati nama bapa Nabi saw iaitu Abdullah (Hamba Allah), sebagaimana nama ibu Kalki pula ialah Sumanib yang bermaksud: Ketenangan, kesejahteraan atau keamanan. Ini menepati nama ibu Nabi saw iaiti Aminah. Di antara sifat-sifat Kalki ialah beliau mempunyai kuda yang boleh terbang ke permukaan langit dan ini menepati binatang Buraq, sebagaimana Kalki adalah dilahirkan dikepulauan pada hari yang ke-12. Sesungguhnya Nabi saw juga lahir pada kepulauan Arab pada hari yang kedua belas Rabiul Awal. Disebut juga bahawa makanan Kalki adalah buah tamar dan zaitun dan beliau adalah manusia yang paling benar, paling beramanah dan beliau sentiasa membawa pedang.
Sememangnya penganut-penganut Hindu menyandarkan di dalam kitab-kitab mereka kepercayaan terhadap dewa-dewa dan kepercayaan-kepercayaan karut, mereka juga mempercayai bahawa Kalki itu adalah jelmaan dewa-dewa, dia adalah yang awal dan yang akhir di mana dia adalah dewa yang sangat berkuasa, di lahirkan dari keluarga Hindu.
Tulisan ini merupakan tinjauan terhadap perkhabaran-perkhabaran gembira yang terdapat di dalam kitab-kitab suci di sisi umat-umat yang terdahulu. Semoga Allah memberi hidayat dengannya kepada mereka yang masih tidak beriman dengan Nabi kesudahan yang dijanjikan iaitu Muhammad saw dan Semoga Allah menambahkan keyakinan kepada orang-orang yang mengikutinya terhadap ugama mereka sehingga mereka akan mewarisi bumi keseluruhannya, menepati firman Allah yang berbunyi:“Supaya menjadi yakin oleh mereka yang diberikan kitab dan bertambah keimanan orang-orang yang telah beriman dan supaya tidak merasa ragu oleh orang-orang yang diberikan kitab dan orang-orang yang beriman.” (Al-Mudassir : 31)
DARIPADA MAJALAH “AN-NUR AL-MUHAMMADI” Bilangan ke-4,2007M/1428H)
Keluaran : Maktabah Darul Jawamiul Kalim
Penterjemah:
Nik Mohd Shahrail Bin Nik Ibrahim
Jun 2009M / Jumada Akhir 1430H

No comments: