Pages

Monday, July 12, 2010

Pengawal peribadi Tony Blair diupah RM1.2 juta





LONDON - Satu siasatan sebuah akhbar di Britain mendapati pembayar cukai di negara itu membelanjakan lebih £250,000 (RM1.2 juta) bagi membiayai kos pengawal dan anggota polis bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (gambar), lapor akhbar Mail On Sunday semalam.
Menurut akhbar itu, pengawal-pengawal tersebut mengikuti Blair ke luar negara semasa harta kekayaannya bertambah kepada £20 juta (RM96.41 juta) selain meneruskan peranannya sebagai perundingan keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada minggu lalu, pejabat Blair menolak desakan supaya dia membiayai kos pengawal bersenjata itu.
Kakitangan pejabat itu berhujah bahawa bekas Perdana Menteri tersebut menghabiskan kebanyakan masanya melakukan kerja-kerja kebajikan yang tidak dibayar selain berusaha mencari perdamaian di Asia Barat.
Blair menghabiskan masa kira-kira lapan bulan berada di luar Britain.
Bekas Perdana Menteri itu menjadi terkenal selepas beliau bersetuju untuk melakukan serangan bagi menggulingkan Saddam Hussein sebagai Presiden Iraq pada 2003.
Serangan itu dibuat atas alasan Iraq di bawah pimpinan Saddam memiliki senjata pemusnah besar-besaran.
Menurut akhbar itu, Blair dibayar £2 juta (RM9.64 juta) setahun sebagai penasihat Bank JP Morgan dengan menawarkan nasihat strategik global.
Semasa lawatan selama enam malam di New York pada September lalu, pengawal-pengawal peribadinya dibayar lebih £465 (RM2,241) satu malam untuk tinggal di sebuah hotel lima bintang di Madison Avenue.
Blair turut dibayar untuk membantu dana pelaburan Abu Dhabi, Mubadala.
Kos untuk pengawal-pengawal peribadinya selama dua malam di Hotel Emirates Palace di Abu Dhabi melibatkan lebih £850 (RM4,097) dengan satu cawan cappuccino dan kek tradisi England berharga £11.69 (RM56.35).
Menurut akhbar itu, adalah sukar untuk membezakan kerja-kerja kebajikan dengan percutian.
Blair didakwa mengendalikan Yayasan Kepercayaan dan Inisiatif Pentadbiran Afrika yang cuba untuk menamatkan amalan rasuah di Rwanda serta Sierra Leone.
Pada hujung tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu menemui Menteri Pendidikan pada waktu pagi untuk mempromosikan kerja-kerja kebajikan dan kemudian Menteri Kewangan pada waktu tengah hari bagi pihak Bank JP Morgan di Abu Dhabi.
Menurut akhbar tersebut, bukti daripada perbelanjaan Blair menunjukkan beliau melakukan lima percutian mewah pada tahun lalu termasuk bermalam enam hari di lokasi peribadi milik bilionair Britian, Sir Richard Branson di Afrika Selatan. - Agensi

No comments: