|
|
PARIS - Di pinggir bandar raya ini, di sebuah banglo mewah milik wanita Perancis terkaya, tiada siapa peduli tentang apa yang dibuat oleh seorang pembantu rumahnya.
Apabila pewaris empayar kosmetik L'Oreal, Liliane Bettencourt berbincang dengan para penasihat atau peguamnya mengenai akaun-akaun bank Swiss miliknya atau hadiah mahal kepada seorang teman lelaki, pembantu rumah itu akan membawa hidangan dan keluar, lapor Los Angeles Times semalam.
Namun, tanpa disedarinya, lelaki itu mencuri dengar perbualan Bettencourt melalui sebuah alat perakam suara yang disembunyikan di rumah berkenaan.
Rakaman-rakaman tersebut banyak mempengaruhi satu pertelagahan di sebuah mahkamah untuk mendapatkan harta Bettencourt.
Bettencourt yang berusia 87 tahun itu yang merupakan satu-satunya zuriat pengasas L'Oreal, Eugène Schueller memiliki kekayaan mencecah AS$28 bilion (RM89.4 bilion).
L'Oreal merupakan antara syarikat kosmetik paling terkenal dan terbesar di dunia.
Satu-satunya anak perempuan wanita berkenaan, Françoise Bettencourt-Meyers pula mewarisi AS$18 bilion (RM57.4) daripada keseluruhan harta ibunya.
Pertelagahan keluarga terkaya Perancis itu bermula apabila Françoise, 57, menyaman seorang teman lelaki ibunya, Marie Banier, 63.
Pada bulan ini, Banier yang merupakan seorang jurugambar selebriti, dibicarakan kerana dituduh mempergunakan Bettencourt sehingga dia dihadiahkan beberapa karya seni mahal, wang tunai dan polisi insurans, semuanya mencecah AS$1.25 bilion (RM3.9 bilion).
Francoise, dalam saman sivilnya, mendakwa jurugambar itu mengeksploitasi keadaan fizikal ibunya yang lemah sejak dia menjanda pada 2007.
Kes keluarga itu pada mulanya cuma melibatkan tiga pihak iaitu Francoise, Bettencourt dan Banier tetapi ia kemudian merebak menjadi skandal politik yang turut mengheret beberapa menteri pemerintah tidak terkecuali Presiden Nicolas Sarkozy.
Skandal tersebut turut menggemparkan rakyat Perancis.
Ia bermula dengan laporan sebuah laman web berita, Mediapart tentang beberapa perbualan yang dirakamkan secara rahsia oleh pembantu rumah Bettencourt.
Rakaman tersebut antaranya, mendedahkan bahawa Bettencourt merancang untuk menipu pembayaran cukai.
Sarkozy turut terjebak dalam skandal berkenaan setelah timbul dakwaan bahawa pengumpul dana kempen politik beliau pada 2007, Eric Woerth mengambil beberapa sampul surat berisi wang daripada Bettencourt.
Woerth kini dilantik sebagai Menteri Buruh Perancis.
Pihak pendakwa raya membuka siasatan selepas akauntan Bettencourt memberitahu polis bahawa dia diarah supaya mengumpul AS$190,000 (RM608,095) untuk diberikan kepada Woerth pada Mac 2007.
Pentadbiran Sarkozy terkena tempias skandal itu apabila rakaman pembantu rumah tersebut turut mendedahkan bahawa Bettencourt mengupah isteri Woerth untuk menguruskan kekayaannya.
Ketika itu, Woerth yang memegang portfolio Menteri Bajet memberi rebat cukai berjumlah AS$37.9 juta (RM121.3 juta) kepada Bettencourt.
Rakaman tersebut turut mendedahkan semasa isteri Woerth bekerja dengan Bettencourt, pewaris berkenaan merancang menyembunyikan AS$99 juta (RM316 juta) dalam beberapa akaun rahsia bank Swiss untuk mengelak cukai.
Polis mula menyiasat Sarkozy pada minggu lalu setelah bekas akauntan Bettencourt mendakwa pewaris itu membuat sumbangan haram dalam kempen politik pilihan raya presiden 2007 untuk membantu Sarkozy.
Presiden berkenaan menafikan dakwaan tersebut tetapi Woerth kini berdepan desakan supaya meletak jawatan kerana beliau merupakan bendahari parti pemerintah yang diterajui Sarkozy.
|
|
Menurut akhbar The Le Journal du Dimanche semalam, Woerth akan memberikan keterangan kepada penyiasat polis sebagai usaha untuk membersihkan namanya dalam skandal tersebut.
Woerth berkata, satu inkuiri berhubung skandal sumbangan wang itu akan membolehkan beliau memberitahu kebenaran.
Pada Jumaat lepas, polis menggeledah kediaman penasihat kewangan Bettencourt, Patrice de Maistre.
Wanita itu disiasat berhubung beberapa dakwaan sumbangan dana haram kepada parti Sarkozy.
Ketika semakin banyak dakwaan yang merosakkan imej pentadbiran Sarkozy timbul pada setiap hari, beliau pula masih bersikap tenang.
Bahkan, Sarkozy bersetuju muncul dalam satu wawancara televisyen pada hari ini bagi menjawab segala persoalan mengenai skandal dana haram itu yang beliau sifatkan sebagai kempen untuk memburukkan reputasinya.
Pada masa yang sama, pendedahan demi pendedahan berdasarkan rakaman pembantu rumah itu menyebabkan perbicaraan kes Bettencourt menjadi bertambah hangat.
Penggunaan rakaman tersebut di mahkamah turut dipertikai oleh peguam Banier.
Namun, pembantu rumah tersebut menyatakan, dia membuat rakaman itu dengan kerelaan sendiri kerana kecewa melihat majikannya ditipu defendan.
Perbicaraan tersebut bagaimanapun ditangguh bagi membolehkan pita-pita rakaman itu diperiksa bagi mengetahui lebih mendalam tentang hubungan Bettencourt dengan Banier.
Majalah Forbes menyenaraikan Bettencourt sebagai orang ke-17 terkaya di dunia.
Namun, apa yang lebih menarik, rakaman-rakaman perbualan oleh pembantu rumah itu benar-benar mencemaskan Banier.
Jurugambar berkenaan sebelum ini menafikan dia mempergunakan wanita itu manakala Bettencourt sendiri dengan marah berkata, dia boleh melakukan apa yang dia suka dengan kekayaannya. - Agensi
No comments:
Post a Comment