Pages

Monday, July 12, 2010

Minda: Wanita Afghan perlu bantuan

Oleh: Brig Jen (B) Datuk Mohd Said Sungib

2010/07/12

TALIBAN yang ditubuhkan pada 1994 menguasai Kabul dan hampir 90 peratus Afghanistan pada 1996 manakala selebihnya dikuasai Pakatan Utara yang diketuai Rashid Dostum.
Kemaraan Taliban menguasai Afghanistan dengan pantas antaranya disebabkan faktor sokongan penduduk Afghanistan yang muak dengan kerenah panglima Mujahiddin. Selepas menguasai Afghanistan, Taliban memperkenalkan kod etika Negara Islam Afghanistan melalui Badan Amal Makruf Nahi Mungkar.
Antara sasaran utama penguatkuasaan yang dikenakan Taliban ialah untuk wanita. Kaum wanita diwajibkan memakai burqa iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali anak mata (juga dilindungi kain berjaring). Kaum lelaki juga tidak terlepas dengan mewajibkan mereka menyimpan janggut, memakai serban dan shalwar kameez.

Namun, tindakan paling drastik dilakukan Taliban ialah mewajibkan wanita berada di rumah dan berfungsi sebagai ibu serta pengasuh yang akan melahirkan generasi Islam yang kuat. Hal ini disertai dengan tindakan Taliban tidak membenarkan wanita bekerja dan paling buruknya melarang mereka mendapat pendidikan dengan menghalang murid perempuan daripada ke sekolah dan menutup sekolah perempuan.

Tindakan Taliban melarang wanita bekerja memberikan kesan cukup besar bukan saja kepada kaum wanita tetapi juga masyarakat Afghanistan keseluruhannya.

Taliban sebenarnya lebih menumpukan seluruh tenaga dan perhatiannya kepada peperangan untuk menguasai politik Afghanistan. Maka penguatkuasaan undang-undang Islam lebih kepada tindakan sehala tanpa tafsiran yang jelas dan memandang jauh.

Suatu hal lagi, tafsiran terhadap undang-undang Islam ini juga disempitkan dengan pandangan terkongkong oleh pegangan adat yakni adat masyarakat Pashtun yang dikenali sebagai Pushtunwali. Kod etika dan norma dalam Pushtunwali yang mempunyai unsur-unsur adat pra-Islam seperti melarang perkahwinan dengan puak yang berlainan, sistem mas kahwin yang memberatkan pihak perempuan, dan kod-kod patriakisme yang jumud dicampuradukkan dengan syariah Islam.

Taliban sebahagian besarnya adalah puak Pushtun yang berpusat di Kandahar.

Masalah paling kritikal timbul kesan larangan wanita bekerja ialah hilangnya sumber pendapatan keluarga ibu tunggal. Larangan bekerja membuatkan keadaan masyarakat bertambah menderita. Ketika Taliban mengambil alih Afghanistan, terdapat sekurang-kurangnya 25,000 keluarga ibu tunggal kerana keluarga lelakinya kebanyakan terbunuh dalam peperangan dan persengketaan.

Walaupun Taliban mengeluarkan kenyataan keluarga yang tiada kaum lelaki ini akan diberikan bantuan zakat, namun hakikat sebenarnya tiada sumber zakat yang mencukupi.

Hal ini ternyata memburukkan lagi penderitaan dan penganiayaan secara tidak sedar.
Bagaimanapun, terdapat sisi pandangan lain dalam melihat kepada permasalahan diskriminasi wanita di Afghanistan ini.

Taliban lebih kepada sebuah gerakan untuk mengembalikan masyarakat Afghanistan berpegang kepada hukum Islam yang sebenar. Apabila Taliban mengambil alih sesuatu kawasan maka tidak ada kejadian merompak, menyeksa atau merogol. Dalam suasana yang huru-hara, ternyata Taliban memerlukan pendekatan yang keras dalam mengembalikan keamanan dan kestabilan setempat.

Pengenalan kepada etika Islam seperti kod pakaian, larangan terhadap kaum wanita dan mewajibkan solat berjemaah contohnya adalah untuk meletakkan masyarakat Afghanistan kepada cara hidup Islam.

Dengan mengikuti cara hidup Islam, Taliban percaya sebuah masyarakat yang teguh beragama, berjiwa jihad dan taat kepada kebaikan akan wujud. Pada peringkat awal pelaksanaan tentunya segala cita-cita itu menghadapi pelbagai masalah dan rintangan. Apatah lagi, Taliban mempunyai kapasiti yang terbatas baik dari segi apapun untuk memastikan segala pelaksanaan hukum Islam yang drastik itu mencapai tujuan dengan cepat dan sempurna. Ia tentunya memerlukan masa yang agak panjang untuk membawa masyarakat kepada cita-cita negara Islam yang ideal tersebut.
Seperkara lagi yang berlaku ialah percanggahan antara pandangan Barat dengan pandangan Islam. Barat melihat kod hak asasi manusia dari sudut nilai Barat, baik nilai sejagat mahupun nilai penganut Kristian. Sedangkan Islam mempunyai hukum yang jelas terhadap hak Allah dan hak hamba-Nya.

Barat melihat pakaian menutup aurat sebagai pencabulan terhadap hak asasi wanita, namun Islam menetapkan hukum tersebut demi menjaga maruah kaum wanita. Percanggahan pandangan yang menyentuh nilai agama dan norma budaya membuatkan kejayaan Taliban memulihkan kestabilan Afghanistan daripada tangan panglima Mujahiddin.

Penetapan kod asasi manusia dalam piagam PBB walaupun dikatakan membawa nilai sejagat, namun hakikatnya lebih cenderung kepada hak individu yang dibentuk nilai Barat. Badan kemanusiaan antarabangsa, termasuk PBB berpandukan Piagam Hak Asasi PBB seperti Artikel 6, Artikel 3, Artikel 11, dan Artikel 13 dalam memberikan justifikasi mutlak terhadap pelanggaran hak asasi manusia khususnya diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita di Afghanistan.

Ini membawa kepada bukan sahaja hukuman yang tidak adil tetapi juga penjanaan laporan media yang negatif secara besar-besaran terhadap Taliban. Bahkan secara tidak langsung memberikan gambaran negatif terhadap Islam.

Gambaran negatif ini membina suatu bentuk psikologi kemarahan dan kebencian terhadap Taliban (bahkan juga sedikit sebanyak terhadap Islam). Maka apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyerang Afghanistan pada Oktober 2001 dan mengusir Taliban daripada kekuasaan politik Afghanistan dalam operasi yang banyak memakan korban dan harta benda, masyarakat antarabangsa melihatnya sebagai mempunyai kewajaran tersendiri.

Bahkan masyarakat Barat menganggapnya sebagai perjuangan membebaskan masyarakat Afghanistan, terutama kaum wanita daripada kezaliman golongan fundamentalis Islam Taliban. Walau apapun yang berlaku, hakikatnya wanita di Afghanistan sudah menjadi mangsa peperangan baik akibat perebutan kuasa mahupun pertentangan ideologi sejak tiga period perang; iaitu peringkat penaklukan Soviet Union, penguasaan Mujahiddin/Taliban dan terakhir penjajahan AS dan sekutunya.

Soviet Union sudah mewujudkan sekurang-kurangnya 25,000 hingga 30,000 keluarga ibu tunggal akibat kematian suami dan anak lelaki mereka. Ini termasuk puluhan ribu mangsa rogol dan penderaan seksual. Kedua-dua bentuk kezaliman terhadap wanita ini terus meningkat angkanya pada era pemerintahan Mujahiddin dan penjajahan AS.

Pada era Taliban, wanita menderita kerana dinafikan hak mendapat pendidikan dan mencari sumber pendapatan. Perangkaan lain pula menunjukkan Afghanistan mempunyai kadar kematian bayi tertinggi di dunia.

Faktor utama punca kepada masalah ini ialah kekurangan bahkan ketiadaan kemudahan perubatan di samping faktor peperangan serta diskriminasi tegar terhadap hak wanita untuk mendapat rawatan di luar lingkungan budaya mereka. Dalam pada itu, kadar buta huruf bagi kaum wanita di Afghanistan adalah antara yang tertinggi di dunia.

Badan bukan kerajaan dunia bukan beragama Islam tidak dapat banyak membantu kerana perbezaan prinsip dan pandangan budaya. Maka menjadi keperluan penting bagi negara Islam untuk mengambil inisiatif menghantar bantuan dan kemudahan perubatan, khususnya dalam menangani penderitaan dan kesengsaraan wanita di Afghanistan.

Negara Islam seperti Malaysia contohnya adalah negara Islam bermazhab sunnah yang sama dengan penduduk Afghanistan yang 80 peratus bermazhab sunnah. Lantaran itu pasukan bantuan perubatan dan kemanusiaan dari Malaysia bukan saja dialu-alukan tetapi juga lebih memahami psikologi dan nilai agama masyarakat Afghanistan.

Amatlah penting bagi Malaysia melihat kesengsaraan kaum wanita di Afghanistan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab antarabangsa, apatah lagi dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang lebih tepat dan memahami untuk membantu menangani masalah kemudahan kesihatan yang sangat buruk khususnya bagi kaum wanita di Afghanistan.

No comments: