APABILA Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigudardottir mengumumkan penyatuan rasmi beliau dengan pasangan seks sejenisnya minggu lalu, majoriti masyarakat Barat bagaikan bersorak gembira.
Lebih-lebih lagi bagi golongan pejuang hak asasi gay dan lesbian, berita itu bagaikan durian runtuh bagi memudahkan mereka meneruskan kehidupan songsang selepas ini.
Sebagai sebuah negara yang sangat toleran, kehadiran ahli-ahli politik dan tokoh-tokoh agama gay sudah lama mewarnai lansdkap pentadbiran negara-negara Scandinavia.
Lantas tidak hairanlah apabila rakyat Iceland dengan selambanya menerima kenyataan perkahwinan sejenis pemimpin mereka biarpun mengejutkan dunia luar.
Selaku pemimpin negara pertama di dunia yang mentadbir atas status gay, perkahwinan Sigudardottir itu dilihat secara langsung 'menghalalkan' hubungan sejenis di negara dengan populasi sekitar 300,000 orang penduduk itu.
Hakikatnya, tindakan itu sekali gus memberi lampu hijau kepada terlaksananya satu perundangan baru yang menyokong penyatuan golongan sejenis di Iceland.
Lagipun, berita bersekedudukan antara Sigudardottir yang merupakan bekas pramugari dengan pasangannya, Jonina Leosdottir itu juga bukan perkara terkini.
Leosdottir, seorang wartawan dan penulis drama bagaimanapun jarang muncul bersama Sigudardottir pada mana-mana acara sosial penting.
Undang-undang perkahwinan gay yang diperkenalkan pada 23 Mac telah diluluskan oleh 49 daripada 63 Ahli Parliament Althingi pada 12 Jun lalu.
Perundangan itu dianggap satu pencapaian memandangkan ia tidak mengubah institusi perkahwinan konvensional antara seorang lelaki dan wanita.
Sebaliknya, terdapat penambahan pada definisi perkahwinan yang menyenaraikan lelaki dan lelaki serta wanita dan wanita selaku pasangan yang disatukan.
Sigurdardottir telah mendaftarkan hubungannya dengan Leosdottir pada tahun 2002.
Pasangan itu bagaimanapun baru memohon untuk memeterai percintaan itu secara rasmi menerusi perkahwinan pada hari perundangan baru itu diluluskan.
Pejuang hak asasi
Bukan sengaja ingin dunia bertumpu ke arahnya, ibu kepada dua orang anak itu sebenarnya seorang yang berahsia.
Buktinya, seorang sumber daripada kerajaan Iceland pernah berkata: "Ramai yang tidak tahu Sigudardottir itu lesbian. Kalau orang dah tahu pun, jawapan biasanya cuma 'Oh' dan orang hanya berminat untuk mengetahui siapa pasangan hidupnya."
Golongan pejuang hak asasi gay juga berpendapat negara-negara Eropah pada asasnya lebih mudah menerima kelompok gay dalam barisan tertinggi kerajaan berbanding di Amerika Syarikat (AS).
Dalam tinjauan orang ramai di AS, adalah amat sukar untuk membayangkan jika Presidennya secara terang-terangan mengakui dirinya gay dan seterusnya mengahwini pasangannya.
"Malah, reaksi masyarakat di negara Eropah adalah jauh berbeza. Orang tidak peduli," demikian kata Peter Tatchell, seorang jurucakap untuk sebuah kumpulan hak asasi gay, Outrage, yang berpangkalan di London, Britain.
Biarpun belum terdapat wakil-wakil gay di AS yang dicalonkan untuk kerusi Presiden setakat ini, usaha golongan gay dan lesbian dalam cubaan memenangi jawatan penting di negara itu lazimnya cukup terbuka tentang hubungan pasangan sejenis mereka.
Di negara-negara Eropah, senarionya bagaimanapun berbeza memandangkan beberapa golongan pemimpin atasan termasuk Menteri Alam Sekitar Sweden, Andreas Carlgren dan Datuk Bandar Kota Paris, Bertrand Delanoe secara terbuka mengakui diri mereka gay.
Namun, senario seumpama itu tidak mungkin dilihat dalam negara yang memiliki pengaruh agama Katolik.
"Tidak mungkin ada Perdana Menteri gay di Itali. Kuasa pengaruh Gereja Katolik di sini terlalu kuat. Kami memiliki institusi keagamaan yang membentuk kepercayaan bahawa menjadi golongan homoseksual jelas sekali satu perbuatan yang salah," tambah Giuseppina Massallo, 60, yang berasal dari Sicily dan menetap di Rom.
Di Afrika sahaja, sejumlah 37 buah negaranya diperuntukkan dengan undang-undang anti-gay. Sebab itulah kehadiran pemimpin-pemimpin gay di sana merupakan sesuatu yang sukar diterima mahupun dibayangkan.
"Malah, pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe juga pernah suatu ketika dahulu menyifatkan status pasangan hubungan sejenis sebagai 'lebih rendah berbanding anjing dan babi'.
Namun, perkahwinan Sigurdardottir nyata mengejutkan kebanyakan rakyat Uganda.
"Musnahlah rakyat Iceland. Mereka tiada kesedaran moral," demikian kritik seorang jurucakap bagi kerajaan Uganda, Mary Karooro Okurutu yang turut melabelkan 'perkahwinan' tersebut sebagai paling hina'.
Negara-negara Afrika Timur cukup mencela hubungan sejenis. Jadi, tidak mengejutkan apabila terdapat cadangan untuk melaksanakan undang-undang yang membawa hukuman mati bagi sesetengah golongan gay. Cadangan itu jelas sekali mendapat tentangan hebat di kota London, New York dan juga Washington.
Tetapi, persoalannya kini bukan terletak pada negara mana yang lebih menerima hubungan sejenis ataupun adakah dunia harus terus menghukum keputusan peribadi Sigurdardottir.
Sebaliknya, haluan penerimaan hubungan sejenis kini dilihat sebagai satu pasport untuk golongan terkemuka dihormati atas keputusan tidak menghina kelompok masyarakat berselera sejenis itu.
Penerimaan itu penting agar wujud kesamaan hak di antara golongan gay dan bukan gay. Lebih penting, ia juga menghalang timbulnya pelabelan ortodoks bagi golongan yang gagal menerima penyatuan hubungan sejenis.
Contoh terdekat dapat dilihat pada kritikan-kritikan penulis blog penyokong gay yang menganggap keputusan Perdana Menteri Australia baru, Julia Gillard untuk tidak menghalalkan perkahwinan sejenis sebagai kolot dan ketinggalan zaman.
Fenomena kini menjadikan figura-figura terkenal seakan-akan terpaksa akur dengan trend mengiyakan hubungan sejenis sama ada anda suka ataupun tidak.
Perubahan persepsi
Turut dilihat terikut-ikut dengan trend ini adalah penyanyi rap popular, Eminem yang sememangnya sudah terkenal dengan demonstrasi ketidakselesaannya terhadap golongan gay menerusi lirik-lirik lagunya.
Eminem baru-baru ini dilaporkan lebih tenang dan didakwa mengaku pada agensi berita New York Times bahawa mentalitinya terhadap golongan homoseksual telah mengalami 'evolusi yang memberangsangkan'.
Perubahan persepsi terhadap konsep gay itu dikatakan satu kematangan pemikiran berbanding Eminem zaman lampau.
Tidak bernoktah di situ, dia yang kini menyatakan 'ya' pada perkahwinan sejenis juga berpendapat golongan gay harus diberi peluang menikmati kebahagiaan berpasangan secara rasmi tanpa bantahan.
Sebelum ini, album Elevator Eminem yang menyelitkan unsur-unsur anti-gay dan dituju khas untuk golongan penyanyi vokal gay terkemuka seperti Adam Lambert, Lance Bass dan Clay Aiken dikecam keras oleh penyokong-penyokong berhaluan gay itu.
Namun, pendekatan terbaru yang diambil Eminem termasuk sanggup mengecualikan lirik-lirik kontroversi dalam lagunya untuk persembahan akan datang di Britain, mungkin juga satu strategi bagi menyelamatkan kerjayanya itu.
Kecaman serupa turut dirasai oleh Ratu Cantik California 2009, Carrie Prejean tahun lalu. Biarpun pihak penganjur menyatakan pelucutan gelaran Miss USA Prejean adalah disebabkan isu etika kerja tetapi ramai percaya ia berikutan komen kontroversinya terhadap perkahwinan sejenis.
Pakar Psikologi Perkembangan Manusia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Khaidzir Ismail pula berkata, pendedahan tentang selera hubungan sejenis oleh Sigurdardottir itu merupakan satu tindakan berani.
Sebagai seorang pemimpin, keberanian itu dikatakan mungkin berpunca daripada strategi Sigurdardottir yang telah mengkaji siapa kelompok penyokongnya sejak awal lagi.
"Semua orang tahu, budaya Barat pada asasnya menerima percintaan atau penyatuan golongan gay.
"Jadi, golongan berkedudukan atau berpengaruh seperti menteri mahupun penyanyi tanpa segan silu mengakui diri gay," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sambil memberitahu 'gay' adalah satu perlakuan abnormal dari sisi pandangan psikologi, beliau turut berharap fenomena gay di Malaysia tidak bertambah teruk.
No comments:
Post a Comment