PERSEPSI negatif terhadap daging kambing perlu diubah. – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Tanggapan bahawa orang yang menghidap penyakit seperti darah tinggi dan sakit jantung tidak dibenarkan memakan daging kambing adalah kurang tepat.
Pakar Makanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd Razak berkata, kandungan kolesterol dalam daging kambing adalah hampir sama dengan daging lain.
“Daging kambing tergolong dalam kumpulan daging merah seperti lembu, kerbau serta biri-biri dan boleh dikatakan kesemua jenis daging ini tidak banyak perbezaan kandungan kolesterol.
“Apa yang paling penting ialah pengambilan daging perlu dikawal dan dimakan dalam kuantiti yang sederhana mengikut keperluan dan tahap kesihatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Shahriza, pandangan bahawa daging kambing tidak sesuai diambil oleh penghidap penyakit darah tinggi atau jantung hanya merupakan satu persepsi sehingga menyebabkan orang ramai takut untuk makan daging tersebut.
Katanya, tahap kesihatan seseorang individu itu boleh terjejas sekiranya daging yang dimakan tanpa mengira jenis diambil tanpa kawalan atau mengikut keperluan yang sepatutnya.
Sementara itu, Pensyarah Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Fatimah Arshad berkata, kandungan kolesterol dalam daging akan menjadi rendah setelah dibuang lemaknya.
Katanya, kandungan kolestrol dalam daging binatang terletak di dalam lemak dan sebab itu lemak yang terdapat pada daging perlu dibuang sebelum dimasak dan dimakan.
kredit : kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment