Pages

Tuesday, July 27, 2010

Bot botol plastik rentasi Lautan Pasifik



KAPTEN Jo Royle melambai tangan dari atas bot Plastiki yang dibina daripada12,500 botol plastik, selepas menamatkan pelayaran merentasi Lautan Pasifik dari San Francisco menuju ke Sydney Harbour di Sydney, Australia, semalam. - AFP



SYDNEY 26 Julai - Sebuah bot yang diperbuat daripada 12,500 botol plastik yang dikitar semula belayar masuk ke Pelabuhan Sydney hari ini, setelah berlepas dari San Francisco empat bulan lalu dalam pelayaran merentasi Lautan Pasifik untuk tujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya bahan buangan plastik.
Plastiki, bot jenis catamaran sepanjang 18.2 meter, dengan krewnya mengharungi ribut kencang semasa pelayaran sejauh 8,000 batu nautika bermula dari San Francisco pada 20 Mac lalu.
Mereka turut singgah di beberapa negara kepulauan Pasifik Selatan termasuk Kiribati dan Samoa.
"Hari ini hari yang sangat menyeronokkan kerana merupakan kemuncak perancangan selama empat tahun," kata jurucakap Plastiki, Kim Mckay.
Bot yang dikendalikan oleh enam orang krew diketuai aktivis alam sekitar, David de Rothschild yang juga keturunan keluarga perbankan terkenal Britain, ditunda ke Muzium Maritim Kebangsaan Australia untuk diraikan dalam satu majlis.
"Kami berharap penduduk Sydney akan keluar beramai-ramai untuk bersama-sama meraikan kejayaan ini," kata de Rothschild dalam satu kenyataan.
Enam krew Plastiki tinggal di dalam sebuah kabin berukuran 6 meter kali 4.5 meter, mandi menggunakan air laut, dan hidup dengan makan makanan kering dan dalam tin, ditambah sekali-sekala dengan sayur-sayuran dari kebun kecil di dalam bot itu.
Plastiki boleh dikitar semula sepenuhnya dan digerakkan dengan kuasa solar dan kincir angin.
Nama bot itu diambil sebahagiannya daripada rakit Kon-Tiki yang dinaiki oleh pengembara terkenal, Thor Heyerdahl pada 1947 untuk merentasi Lautan Pasifik.
De Rothschild berkata, idea untuk melakukan pelayaran itu terbit selepas beliau membaca satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa pencemaran, terutamanya bahan buangan plastik, menimbulkan ancaman serius terhadap semua lautan di dunia. - AP

No comments: