Abe Hagenston mendakwa menjadi gelandangan pertama menerima derma melalui kad kredit di Amerika Syarikat (AS). Agensi
DETROIT 31 Jan. - Seorang lelaki gelandangan, Abe Hagenston mendakwa menjadi orang pertama yang tidur di jalanan menerima sumbangan derma melalui kad kredit.
Akhbar New York Daily News melaporkan, orang ramai boleh menderma kepada Hageston, 42, yang memiliki kelengkapan pembaca kad di telefon bimbitnya.
Peralatan pembaca kad tersebut, Square Reader hanya berharga AS$10 (RM41.42) dan perlu disambungkan kepada soket mana-mana telefon Android dan iPhone untuk digunakan.
“Saya satu-satunya orang gelandangan di Amerika Syarikat (AS) yang menerima kad kredit. Semuanya dilakukan dengan selamat di laman web square.com.
“Saya menerima Visa, Mastercard, dan American Express,’’ katanya kepada CBS Detroit.
Lelaki itu yang menjadi gelandangan sejak tujuh tahun lalu bijak menggunakan peralatan digital untuk mendapatkan pekerjaan dan derma.
Hageston berkata, dia menerima antara AS$20 (RM82.85) hingga AS$50 (RM207) sehari hasil derma orang ramai yang melalui simpang lebuh raya, lokasi dia tidur.
Square.com mengenakan caj sebanyak 2.75 peratus kepada pengguna untuk setiap transaksi melalui satu aplikasi percuma di telefon pintar.
Hageston memberitahu, dia turut mewujudkan satu laman web bagi membantu gelandangan lain mendapat pekerjaan.
“Perniagaan saya adalah menjadi gelandangan, kini menjadi gelandangan adalah perniagaan saya,” jelas slogan lelaki itu di laman webnya.
No comments:
Post a Comment