Pages

Friday, May 21, 2010

Undang-undang lapuk Lebanon



WANITA di Lebanon tetap memakai pakaian yang terdedah walau apa juga undang-undang yang digariskan.


BERIBU-ribu wanita yang bersantai di sepanjang pantai Lebanon pada musim panas kali ini dengan memakai bikini atau merentasi kaki lima ibu negara dengan skirt mini atau seluar pendek, secara teknikalnya telah melanggar undang-undang.
Enam dekad selepas negara kecil Mediterranean itu merdeka daripada penjajahan Perancis, kod perundangannya masih sarat dengan undang-undang lapuk, malah sebahagiannya berasal dari zaman Empayar Uthmaniyah.
"Sejumlah undang-undang tidak dipinda sejak berdekad lamanya.
"Ia seolah-olah tiada apa-apa perubahan berlaku sejak zaman pemerintahan Uthmaniyah dan Perancis, semasa undang-undang negara ini diluluskan," kata Hakim John Azzi yang juga seorang penyokong hak asasi wanita.
Satu undang-undang tahun 1941 sebagai contoh masih melarang wanita daripada memakai bikini untuk berjemur di pantai.
Hukumannya? Denda 250 pound Lebanon-Syria (RM17) mata wang yang sudah lama tidak digunakan.
Undang-undang sebegini mungkin menjadi bahan ketawa sesetengah orang, namun ada yang berpendapat ia perlu terutama dalam masyarakat konservatif di Asia Barat dan tempat lain.
"Jika anda meminta pendapat daripada mereka yang konservatif, undang-undang ini tidak mengejutkan," kata seorang ahli Parlimen, Ghassan Mokhayber, yang turut menganggotai jawatankuasa Pentadbiran dan Kehakiman Parlimen.
Bagaimanapun sesetengah undang-undang sangat lapuk walau apa juga piawaian sekali pun.
Lebanon juga masih belum memperkenalkan perkataan untuk beberapa jenis penyakit seperti Alzheimer atau Parkinson, malah perkataan koma sekali pun.
Para hakim hanya menggunakan perkataan gila atau bodoh bagi mereka yang disoal siasat.
"Bagaimanakah terma seperti ini masih tidak digunakan pada abad ke-21? Ia tidak sesuai langsung dengan evolusi sains.
"Undang-undang lapuk adalah sama seperti ubat-ubatan yang tamat tempoh dan membahayakan," kata Azzi.
Satu undang-undang tahun 1941 melarang wanita memakai bikini dan berjemur di pantai.


Bayangkan, seorang perogol akan terlepas hukuman sekiranya mengahwini mangsanya dan mereka yang melakukan jenayah seperti itu mungkin mengambil kesempatan atas hukuman ringan yang ada.
Mokhayber menjelaskan, penggubal undang-undang tidak berminat untuk mengubah undang-undang lama dan mereka memikul kesalahan kerana tidak bertindak.
"Parlimen sendiri tidak begitu dinamik. Perlu adanya satu bentuk tekanan politik untuk menggerakkan sesuatu perkara," kata beliau.
Pakar perundangan menitikberatkan undang-undang berkaitan status peribadi di Lebanon yang masih diuruskan secara mikro oleh mahkamah-mahkamah 18 komuniti agama dan sebilangannya masih menggunakan Undang-Undang Keluarga Uthmaniyah yang ditulis pada 1917.
"Satu lagi undang-undang yang tidak masuk akal ialah sesiapa yang mengiktiraf perkahwinan sivil adalah dilarang daripada mengadakan majlis sebenar di Lebanon.
"Ia menjadi tragis dan lucu apabila seorang hakim boleh menceraikan pasangan dengan nama rakyat Lebanon namun di bawah undang-undang Sweden, Perancis dan Cyprus," ujar Azzi.
Kahwin bangsa asing
Satu undang-undang tahun 1952 melarang wanita yang mengahwini bangsa asing daripada mewariskan kerakyatan kepada anak atau pasangan mereka.
Terdapat juga undang-undang yang membawa hukuman penjara dua tahun kepada perempuan yang berzina, walaupun tidak ditangkap ketika melakukannya walhal lelaki penzina wajib ditangkap ketika beraksi.
Mungkin apa yang lebih menyukarkan adalah cara undang-undang lapuk itu dilaksanakan.
"Pernah seorang hakim menghukum sekumpulan orang yang tidak membawa kad pengenalan semasa bersiar-siar di pantai," kata seorang peguam, Paul Morcos yang mengetuai firma perunding peribadi, Justicia.
Bagaimanapun di sebalik perjuangan hak asasi di bumi Lebanon itu, pihak berkuasa juga sedikit sebanyak telah melakukan perubahan yang membenarkan wanita membuka akaun bank bagi pihak anak mereka.
Satu lagi kemajuan dalam status rekod peribadi adalah keputusan untuk membuang perkataan anak haram pada kad pengenalan anak yang dilahirkan luar nikah.

RAKYAT Lebanon beranggapan undang-undang lapuk adalah sama seperti ubat-ubatan yang tamat tempoh dan berbahaya.


Tahun lalu, satu langkah yang tidak disangka-sangka apabila Kementerian Dalam Negeri Lebanon memutuskan untuk membenarkan warganya membuang status agama pada rekod sivil mereka.
Namun apa yang pasti seluar pendek dan bikini terus dipakai, sama ada undang-undang lapuk wujud atau tidak.
"Terdapat wanita yang separuh bogel di kelab malam dan jalanan, namun kita bercakap mengenai seluar pendek.
"Apa pun, wanita tetap memakai pakaian yang lebih terdedah dan tiada apa yang menghalang mereka daripada berbuat demikian," kata seorang pengurus restoran di Beirut, Roula Nehme, 31. - AFP

No comments: