ROM - Sebuah teksi yang mampu membawa penumpang ke destinasi mereka dengan kelajuan dua kali ganda lebih pantas beroperasi selama dua hari di Rom baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Teksi itu mencecah kelajuan sehingga 248 kilometer sejam (km/j).
Kereta itu pada asalnya sebuah kereta konsep rekaan firma pereka automotif terkenal, Giugiaro tetapi dipinjamkan selama dua hari untuk dijadikan teksi.
Ia mampu memecut hingga 100 km/j dalam masa cuma empat saat dan penumpang perlu melambaikan tangan dengan pantas jika mereka tidak mahu tertinggal hampir setengah kilometer di belakang kerana lambat menahan teksi berkenaan.
"Bandar raya ini penuh sesak dan hanya helikopter yang dapat membawa anda ke tempat ditujui dengan pantas," kata seorang penumpang bertuah yang dapat menaiki teksi itu.
"Namun, sekurang-kurangnya anda tiba dengan penuh bergaya," tambahnya.
Teksi berkuasa elektrik itu dapat membawa dua penumpang dan ia turut dilengkapi dua panel solar untuk menukar cahaya matahari menjadi kuasa elektrik. - Agensi
No comments:
Post a Comment