Pages

Wednesday, May 12, 2010

Siri Penolakan Terhadap Wahabi (6): Pertuduhan-pertuduhan terhadap Wahabi

Siri Penolakan Terhadap Wahabi (6): Pertuduhan-pertuduhan terhadap Wahabi



http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/73
Pertuduhan-pertuduhan keatas Sheikh Muhammad Abdul Wahab dan Wahabi


- Takfir (Mengkafirkan umat Islam). Inilah suatu pertuduhan yang paling utama ke atas Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan para pengikutnya, yang mana ianya juga merupakan suatu yang amat bahaya dalam umat Islam. Pertuduhan ini merupakan suatu pertuduhan yang amat berasas, sehingga para pendokong Salafiyah Wahabiah sendiri tidak mampu menolak pertuduhan tersebut.

            Antara para ulama’ yang menyanjungi Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, namun tetap mengakui kesalahan beliau dalam sikap mengkafirkan umat Islam sewenang-wenangnya adalah Sheikh Imam Al-Saukani sendiri. Begitu juga dengan Sheikh Mansur Al-Hazimi dan Muhammad Siddiq Hasan As-Salafi.

            Adapun dari kalangan penentang-penentang Wahabi itu sendiri, cukup banyak, menjelaskan tentang sikap takfir sewenang-wenangnya yang dibawa oleh Wahabi. Contohnya, kata Sheikh Ahmad Zaini Dahlan “Mereka tidak beriktiqad seseorang itu mentauhidkan Allah s.w.t., melainkan mereka yang mengikuti perkataan mereka (golongan Wahabi tersebut)[1]

            Mungkin, ada di kalangan “pengkaji ilmiah” yang menolak dakwaan tersebut, dengan pelbagai alasan, namun, penolakkan dakwaan tersebut hanyalah suatu usaha “menegakkan benang yang basah”, kerana ianya sudahpun termaktub dalam lipatan sejarah dengan dakwat yang kekal, biarpun ada di kalangan sumber-sumber sejarah cuba menyembunyikannya. Apa yang penting, bukan apa yang telah berlaku. Apa yang penting, sikap tersebut (pengkafiran sesama Islam atau pembid’ahan sesama muslim sewenang-wenangnya) haruslah ditinggalkan serta-merta, samada anda mengaku salafi, atau tidak, samada anda mengaku wahabi atau tidak.

- Pembunuhan Sesama Islam: Natijah dari sikap mengkafirkan umat Islam yang tidak mengikuti mereka sewenang-wenangnya, golongan Wahabi turut menghalalkan darah mereka yang menolak Wahabi dan seruan mereka. Hal ini telah terbukti dalam lembaran-lembaran sejarah, termasuklah dalam bahan sejarah golongan salafi itu sendiri (rujuk buku sejarah karangan Ibn Ghonam), apatah lagi dalam  bahan sejarah selain golongan Wahabi.

- Tajsim dan Tasybih: Walaupun Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab tidaklah sibuk membincangkan masalah sifat-sifat mutasyabihat, kerana sibuk dengan agendanya untuk “memurnikan aqidah umat Islam” (walaupun dengan cara takfir), tetapi kebanyakkan dari kalangan golongan salafi setelah beliau, yang mula cenderung terhadap aqidah Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim, lantas menjerumuskan diri mereka ke lembah tasybih dan tajsim.

            Hal ini kerana, Sheikh Ibn Taimiyah merupakn antara ulama’ kegemaran Sheikh Muhammad ibn Abdul Wahab. Maka pengikutnya selepas itu terus mengupas fahaman-fahaman Ibn Taimiyah sehinggalah sampai terpengaruh dengan aqidah Ibn Taimiyah yang pernah mengundang kontroversi dalam bidang keilmuan Islam, kerana pegangan beliau (Ibn Taimiyah) yang menjurus kepada menjisimkan Allah s.w.t. dengan makhluk tanpa disedarinya, kerana mengisbatkan zahir perkataan jisim kepada Allah s.w.t. melalui ayat-ayat mutasyabihat[2] tersebut.

            Pada hakikatnya, masalah tajsim ini merupakan suatu masalah yang serius, kerana ianya melibatkan suatu aqidah yang salah dan bercanggah dengan ahlus sunnah wal jamaah, yang didokongi oleh kebanyakkan para salafi wahabi, kerana terkesan dengan sikap keras Ibn Taimiyah dalam menolak secara mutlak konsep ta’wil dalam ayat mutasyabihat serta menafikan majaz dalam memahami sifat-sifat mutasyabihat tersebut. Sikap menolak ta’wil secara mutlak dengan manafikan adanya majazi dalam wahyu Ilahi s.w.t. merupakan suatu sikap tasyaddud (berlebih-lebihan) dalam masalah aqidah dan menjerumus kepada kecelaruan aqidah yang lebih parah (rujuk buku Fusulun Fil Aqidah karangan Dr. Al-Qaradhawi).




[1] Da’awa Al-Munawi’in, Dr. Abdul Aziz bin Abdul Latif, M/S 166
[2] Mutasyabihat: Ayat-yata yang berbentuk kesamaran, yang boleh mengelirukan sesetengah golongan awam, kerana zahirnya membawa makna jisim, sedangkan ianya tidak layak dengan kesempurnaan Allah s.w.t.

No comments: