Pages

Wednesday, May 12, 2010

Siri Penolakan Terhadap Wahabi (2): Keliru Tentang Pertembungan Antara Wahabi dengan selainnya

Siri Penolakan Terhadap Wahabi (2): Keliru Tentang Pertembungan Antara Wahabi dengan selainnya


http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/78
Ramai di kalangan masyarakat, awamnya mahupun ahli ilmunya, berkemungkinan, terkeliru tentang pertembungan Wahabi dengan golongan kontra terhadap mereka.

            Mereka yang terkeliru mengatakan: “Mengapa perlu bersungguh-sungguh dalam menentang Wahabi?”

            Golongan yang bertanya dan saling bertanya tentang persoalan yang sebegitu sebenarnya tidak mendapat gambaran yang sempurna tentang pertentangan dan pertembungan tersebut.

            Gambaran Pertama:

            Golongan ilmuan yang menolak dan menentang golongan yang dikatakan sebagai Salafi atau Wahabi, menentang mereka (Salafi Wahabi), bukan kerana nama mereka Wahabi atau Salafi, tetapi kerana mereka menentang pemikiran dan Wahabisme tersebut yang mengandungi unsu-unsur seperti tasyaddud, jumud dan sebagainya yang menjuruskan kepada perpecahan dalam umat Islam. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, penggunaan istilah Wahabi bukanlah semata-mata merujuk kepada seseorang, tetapi penggunaannya lebih luas dari itu. Wahabi menurut mereka yang menentangnya adalah merujuk kepada suatu golongan yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga ciri tersebut yang mampu menghancurkan kesatuan umat Islam iaitu:

Tasyaddud (terlalu keras) dalam menghukum, dengan bersikap mudah membid’ahkan sesuatu perkara ijtihadi dalam urusan Islam, sehingga membawa kepada takfir (mengkafirkan sesama Islam) secara sewenang-wenangnya.

Jumud (statik) dan sempit dalam kaedah menggali hukum, sehingga membuat suatu kaedah hukum yang amat sempit iaitu, “apa yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., maka ia adalah hujah kepada haramnya, atau bid’ahnya perkara tersebut” sedangkan kaedah tersebut menyempitkan mafhum[1] ijtihad dalam masalah istinbat[2] hukum.

Taasub (fanatik) kepada sesuatu aliran pemikiran atau metodologi pemikiran, sehingga membawa kepada sikap menyalahkan mereka yang tidak sependapat dengan mereka, sehingga ada yang sampai menyesatkan mereka yang tidak sependapat dengannya, hatta dalam masalah ijtihad fiqhiyah[3] yang merupakan ruang khilaf (perselisihan) pendapat di kalangan para ulama, zaman berzaman.

            Tiga sikap ini merupakan sikap-sikap yang menyebabkan umat Islam berpecah-belah, kerana menafikan adab ikhtilaf (adab berselisih pendapat) sehingga menyebabkan umat Islam saling kafir-mengkafirkan antara satu sama lain. Sikap-sikap inilah yang ditentang oleh golongan yang dikatakan “penentang-Wahabi” (anti-Wahabi), yang mana, sikap-sikap tersebut wujud dalam kebanyakkan mereka yang mengaku Salafi dan Wahabi khususnya di tanah Hijaz dan sebagainya.

            Adapun mereka yang mengaku memperjuangkan manhaj salafus solehatau mendakwa salafi, namun tidak bersikap dengan tiga sikap yang disebutkan, maka mereka bukanlah sasaran penentangan anti-Wahabi, bahkan, pada hakikatnya, golongan anti-Wahabi tersebut juga adalah pendokong manhaj salafus soleh, cuma tidaklah mendakwa diri mereka sebagai salafi, kerana bagi mereka, tiada ertinya menisbahkan diri mereka dengan nama salafi, kerana hakikatnya, salafi bukanlah suatu nama yang merujuk kepada suatu bentuk pemikiran atau suatu mazhab, namun ianya sekadar merujuk kepada tempoh zaman yang pernah dilalui oleh umat Islam (iaitu tiga kurun awal tahun hijrah dalam umat Islam).

            Gambaran Kedua:

            Tidak dapat dinafikan, ada di kalangan golongan penuntut ilmu, yang masih belum matang dalam dunia keilmuan Islam, cepat terpegun dengan sesuatu manhaj pemikiran yang baru didapatinya. Lantas, kononnya sebagai suatu anjakan paradigma, mereka segera berpegang dengan kaedah pemikiran tersebut, dek sikap tergopoh-gopoh dalam menilai sesuatu.

            Antara manhaj pemikiran baru yang menarik minat sesetengah golongan penuntut ilmu yang belum matang tersebut ialah, pemikiran Wahabi yang dibincangkan sebelum ini. Ini kerana, Wahabisme (dari sudut istilah akedemik) seolah-olah nampak sebagai suatu pemikiran yang membawa kepada tajdid[4] dan islah[5] mentaliti masyarakat Islam umumnya, di samping mengembalikan kemurnian aqidah umat Islam (yang kononnya sebelum ini sudah tersasar dari kefahaman aqidah Islam yang sebenar).

            Pada persepsi mereka, Wahabisme membawa kepada:

- Kesatuan Pemikiran: kerana menolak perselisihan pendapat dalam bidang agama Islam.

- Pemurnian Aqidah: kerana menolak ajaran-ajaran yang dianggap membawa kepada syirik (walaupun pada hakikatnya, ajaran-ajaran tersebut memang ada dalam Islam dan tidak membawa kepada syirik).

- Tajdid  (pembaharuan) Umat Islam: kerana ia menegah taqlid[6] dan menggalakkan ijtihad, yang kononnya membuka minda masyarakat umat Islam.

            Persepsi-persepsi mereka sebenarnya salah kerana, Wahabisme bukanlah membawa ketiga-tiga tersebut, tetapi membawa ketiga-tiga unsur yang telah diperkatakan sebelum ini (Tasyaddud, Jumud dan Taasub), yang disembunyikan di sebalik tiga slogan zahir yang terdapat pada persepsi mereka tersebut iaitu: Tauhidul Fikrah (Kesatuan Pemikiran), Pemurnian Aqidah dan Tajdid.

            Golongan penuntut yang terkeliru, boleh jadi terkeliru kerana kegagalan mereka memahami bahawa, Islam ini dirosakkan oleh dua perkara iaitu: berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu sehingga akhirnya merosakkannya dan berlebih-lebihan dalam menolak sesuatu sehingga akhirnya merugikan diri sendiri. Jalan tajdid bukanlah dengan berlebih-lebihan, tetapi dengan mengembalikan umat Islam kepada kesederhanaan (I’tidal) dan pertengahan (wasathiyah), yang merupakan sifat semulajadi (fitrah) umat Islam, khususnya dari sudut ajarannya.

            Apabila kita meletakkan Wahabisme (dengan makna penggunaan istilahnya yang meluas), dalam neraca I’tidal (kesederhanaan dan pertengahan) Islam, kita dapati bahawa, ianya bukanlah suatu pola pemikiran yang sederhana, yang diperlukan untuk tajdid (pembaikian umat Islam), tetapi lebih membawa kepada tafsid (memusnahkan umat Islam).

            Jika kita menyelami slogan pertama Wahabisme, yang menyeru kepada kesatuan pemikiran, kita bersetuju bahawa, umat Islam harus bersatu, tetapi adakah kesatuan pemikiran dalam segenap aspek merupakan suatu agenda praktikal?

            Kita dapati, dalam sumber syariat Islam sendiripun (Al-Qur’an dan As-Sunnah), terdapat dua bahagian iaitu, qot’ie (jelas atau putus) dan zhonni(kesamaran atau tidak jelas).

            Adapun Qot’ie terbahagi kepada dua iaitu:

            Qot’ie At-Thubut: Sesuatu dalil yang jelas dan putus bahawa ianya dari Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. seperti Al-Qur’an dan Hadis Mutawatir.

            Qot’ie Ad-Dilalah: Sesuatu dalil yang jelas dan putus makna nash (lafaz wahyu) tersebut kerana ianya tidak berkemungkinan membawa kepada makna-makna lain dalam kaedah bahasa arab dan sebagainya.

            Begitu juga tentang Dzonni, di mana ia turut terbahagi kepada dua iaitu:

            Dzonni At-Thubut: Kesamaran dalam menisbahkan sesuatu dalil atau nash tersebut kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. seperti Hadis Ahad (perawinya tidak melebihi tiga orang dalam satu masa).

            Dzonni Ad-Dilalah: Kesamaran makna sesuatu ayat atau lafaz zahir nash tersebut, menurut kaedah bahasa Arab dan sebagainya.

            Sesetengah paara ulama’ menjelaskan bahwa, 70% daripada sumber hukum Islam bersifat dzonni (tidak jelas). Oleh yang demikian, para ulama’ berselisih pendapat dalam menggali hukum dari sumber-sumber hukum tersebut, kerana kesamarannya.

            Oleh yang demikian, kaedah usul fiqh (asas menggali hukum fiqh) menjelaskan bahawa, dalam menistinbath (menggali) hukum melalui dalil-dalil yang zhonni (yang merupakan 70% daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah), maka dibolehkan berijtihad bagi ahli ijtihad yang sudah cukup dalam ilmu alat untuk berijtihad.

            Jadi, ada banyak sebab mengapa para ulama’ berselisih pendapat dalam masalah zhonni, antaranya kerana perbezaab kaedah pemikiran mereka sendiri, antara satu sama lain. Oleh yang demikian, perselisihan pendapat memang tidak dapat dielakkan terutamanya dalam masalah fiqh yang furu’yang berkaitan dengan dalil-dalil zhonni. Jadi, untuk menyatukan pemikiran dan mazhab dalam seluruh urusan agama tidak praktikal, bahkan sikap berlebihan dalam memaksa umat Islam bersatu dalam satu-satu pendapat dan mazhab lebih mengundang kepada bencana yang lebih besar iaitu: taasub(fanatik) dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

            Dalam berhadapan dengan realiti perselisihan pendapat yang berlaku dalam umat Islam, bukan dengan cara memaksa mereka bersatu dalam pemikiran (yang merupakan agenda tidak praktikal), tetapi menerapkan nilai-nilai adab ikhtilaf[7] (adab dan tatakarma dalam perselisihan pendapat), iaitu menghormati pendapat orang lain, dan tidak mengingkari golongan yang tidak sependapat dengan kita, dalam masalah khilaf (yang diperselisih ulama’ mengenainya), selagimana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip usul Islam yang murni, sepertimana yang sangat ditekankan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sendiri (yang menjadi ulama’ kesayangan sesetengah golongan yang mengaku salafi di Malaysia, padahal beliau sendiri menafikan diri sebagai salafi).

            Adapun slogan kedua, tentang pemurnian aqidah yang dikatakan,cuba dilakukan oleh mereka yang mendokong gagasan pemikiran Wahabisme, maka ianya perlu dinilai semula.

            Niat yang baik untuk memurnikan aqidah umat Islam adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Tidak dapat dinafikan, ada “segelintir” dari masyarakat Islam yang tergelincir dari aqidah Islam yang murni, seperti memuja jin, di samping meminta tolong dari mereka dengan cara sihir, dan sebagainya, maka ianya perlu dibersihkan, kerana ilmu-ilmu kebomohan itu sendiri dilarang oleh Islam kerana akan membawa kepada syirik.

            Adapun golongan Wahabi (kebanyakkannya), bukan sekadar menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat, tetapi menolak perkara-perkara yang mempunyai dasarnya dalam Islam, yang mana ianya, sekurang-kurangnya merupakan perkara-perkara yang khilafiyah (yang diperselisih ulama’ mengenainya), atas nama pemurnian aqidah.

            Ada yang sanggup mengharamkan ziarah kubur “para wali”, mengharamkan tawassul, mengharamkan maulid Nabi s.a.w., bahkan ada yang sampai menghukum kafir dan syirik bagi pelaku-pelaku perkara-perkara tersebut. Ada di kalangan mereka yang mengkafirkan dan memfasiqkan mereka yang mengerjakan solat di masjid yang berhampiran dengan kubur, menuduh orang yang bertawassul dengan si mati sebagai penyembah kubur, menuduh orang yang menyambut maulid Nabi s.a.w., mengangkat Nabi s.a.w. sepertimana orang-orang Nasrani, takkala menyembah Nabi Isa a.s. dan sebagainya. Kalau di Malaysia tidak kelihatan sikap tuduh-menuduh ini, menurut anda, tetapi di negara-negara arab khususnya Arab Saudi, ianya merupakan suatu perkara yang hebat diketengahkan oleh pengaku-pengaku Salafi (baca: Wahabi, menurut penentang mereka).

            Fenomena ini bukan sahaja merupakan suatu usaha mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. seperti ziarah kubur, atau bukan sahaja bersikap tasyaddud (keras) dan jumud dalam masalah yang perselisihan pendapat mengenainya dalam medan ilmiah, seperti masalah tawassul, tetapi ianya sudah membawa kepada saling tuduh-menuduh dan mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.

            Ketahuilah wahai penuntut ilmu yang terpegun dengan Wahabi dan Wahabisme, atau golongan salafi moden ini bahawa, agenda mereka lebih menjurus kepada kerosakan syakhsiyah[8] umat Islam dari memurnikan aqidah mereka.

            Contohnya, semata-mata kerana “Su’uk Az-Zhon” (buruk sangka) terhadap penziarah kubur dari kalangan umat Islam, dengan menyangka mereka menyembah kubur takkala memuliakan si mati, ada di kalangan mereka (Wahabi) sanggup mengharamkan suatu ajaran yang mempunyai sandaran dalam Islam seperti ziarah kubur, khususnya para wali, dengan alasan untuk mencegah syirik. Adakah dari prasangka, boleh menghukum seseorang itu syirik? Adakah matlamat menghalalkan cara? Adakah kaedah sad ‘az-zaro’ik(mencegah mudorat) dalam masalah ini releven takkala kaedah persepsi mereka dalam melihat kemudaratan itu cuma dari prasangka?

            Kata mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Jum’ah: “kalau ada segelintir orang yang sembah kubur, bukan syariat ziarah kubur itu menjadi masalahnya. Masalahnya pada kefahaman orang tersebut. Kalau dia memang menyembah si mati, kubur tidak ada pun, dia akan sembah si mati, seperti orang Nasrani. Jadi, yang perlu dibetulkan ialah aqidah umat Islam, dalam proses pembelajaran dan tarbiah, bukan mengharamkan ziarah kubur dan sebagainya. Logikkah takkala seseorang muslim yang bertawaf di ka’abah, dia menyangka bahawa, ka’abah itulah tuhannya, tindakan yang perlu diambil ialah memusnahkan ka’abah tersebut Atau, menjelaskan kepada orang tersebut, siapakah Tuhan sebenar? Jadi, penyelesaian di sini, juga penyelesaian untuk masalah sebelum ini (ziarah kubur)…”

            Oleh itu, agenda mengetengahkan konsep menutup pintu syirik dengan mengharamkan perkara-perkara yang ada sandarannya dalam Islam, seperti tawassul, ziarah kubur (hatta kubur para wali) dan sebagainya, merupakan suatu perkara yang membawa kepada pecah belah dan buruk sangka sesama Islam. Selagimana perkara-perkara tersebut diperselisihkan oleh para ulama’ dan yang mendokongnya mempunyai dalil dari sumber Islam, maka tidak boleh mengingkarinya, apatah lagi mengkafirkan pelakunya dan membid’ahkannya.

            Adapun slogan zahir ketiga dalam gagasan Wahabisme, ialah tajdid umat Islam, dengan kedua-dua agenda sebelum ini, maka jelaslah ianya tidak praktikal. Kedua-dua agenda yang dilakukan oleh golongan Wahabi atau pengaku salafi moden (dalam terminologi yang kita maksudkan sebelum ini), bukan membawa kepada pemurnian dan pembaharuan umat Islam, tetapi secara praktikalnya, ia membawa kepada kemelut perpecahan yang amat bahaya bagi umat Islam iaitu, perpecahan, saling kafir-mengkafirkan dan saling bid’ah membid’ahkan.

            Adapun agenda untuk menggalakkan semua masyarakat berijtihad khususnya dalam masalah fiqh islami, merupakan suatu perkara yang amat menyulitkan masyarakat dan membahayakan mereka.

            Ia menyulitkan kerana, untuk berijtihad, seseorang perlu menguasai pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu bahasa Arab, ilmu usu; fiqh, menghafal Al-Qur’an dan hadis dan sebagainya, yang merupakan suatu bebanan buat sesetengah masyarakat awa. Bahkan, sejak zaman para sahabat lagi, ada di kalangan mereka yang berijtihad dan ada di kalangan mereka yang bertaklid, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Al-Buti dalam bukunya Al-LaMazhabiyah(Golongan yang Tiada Mazhab).

            Oleh itu, mengharamkan taqlid kepada para imam mujtahid yang empat nan muktabar seperti Imam Abu Hanifah, Al-Maliki, As-Syafi’e, Ahmad bin Hambal r.a., merupakan suatu bebanan dan bahkan merosakkan institusi fiqh islami itu sendiri. Ia membebankan kerana bukan semua orang muslim boleh berijtihad kerana tidak mampu menguasai pelbagai bidang ilmu alat untuk berijtihad, di samping merosakkan syariat itu sendiri, kerana orang-orang awam yang tidak ada kepakaran berijtihad, akan lebih mengukur syariat tersebut sesuai dengan hawa nafsu mereka.

            Oleh yang demikian, ketiga-tiga agenda Wahabi yang utama tersebut merupakan penjurus kepada kepincangan dan perpecahan dalam umat Islam kerana ketiga-tiga ciri pemusnah yang terkandung dalam pola dan metodologi pemikiran mereka iaitu:

            -Ta’asub (fanatik puak sendiri)
            -Jumud (statik dan tertutup)
            -Tasyaddud (berlebih-lebihan dan bersikap keras)

            Gambaran ketiga:

            Istilah Wahabi itu sendiri suatu yang abstrak. Oleh yang demikian, sesetengah golongan ilmuan yang terperangkap dengan kesempitan makna istilah Wahabi dari sudut akedemik, akan lalai daripada memahami makna istilah Wahabi yang digunakan oleh golongan penentang Wahabisme.

            Seperti yang dijelaskan dalam gambaran pertama sebelum ini, majoriti golongan yang menentang Wahabi bukan kerana namanya Wahabi, atau mereka dinisbahkan kepada Sheikh Muhammad Abdul Wahab, atau kerana mereka mengaku Salafi, dan sebagainya, tetapi ianya lebih merujuk kepada tiga sikap yang merosakkan, yang disebutkan sebelum ini, yang dibawa dalam arus pemikiran kebanyakkan golongan yang mengaku pendokong Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab (Wahabi) mahupun yang mengaku sebagai salafi.

            Golongan yang terkeliru ini kadangkala sering meremehkan penentang-penentang Wahabi kerana pada mereka, golongan Wahabi tidak lain melainkan suatu mazhab dalam Islam juga. Bahkan, lebih dari itu, ada golongan yang kagum dengan kesungguhan dirinya dalam melakukan penyelidikan ilmiah, seolah-olah merasakan diri mereka sudah cukup memahami kebenaran dengan penyelidikan yang banyak, tidak senang dengan penentang-penentang Wahabi dan menuduh penentang-penentang Wahabi berburuk sangka dengan pendokong-pendokong Sheikh Muhammad Abdul Wahab dan berburuk sangka terhadap Sheikh Muhammad Abdul Wahab itu sendiri.

            Oleh itu, mereka tampil membela Wahabi, dan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dengan bercakap tentang fakta-fakta yang tersurat, dan menjelaskan siapakah Wahabi sebenarnya kepada penentang-penentang Wahabi, seolah-olah golongan yang menentang Wahabi tersebut tidak mengenali siapakah Wahabi yang mereka tentangi selama ini.

            Ada di kalangan mereka yang mengetengahkan kebaikan-kebaikan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan kelayakkannya untuk bergelar mujaddid di zamannya, bagi menolak penentang-penentang Wahabi yang seolah-olah menentang suatu manusia yang sempurna, tiada kesilapan langsung.

            Golongan ini, mencelah antara pertembungan anti-Wahabi dengan “Wahabi” seolah-olah ingin menjadi pendamai antara keduanya, padahal lebih mengelirukan mereka yang sedang keliru, termasuk diri mereka sendiri.

            Bukankah dalam gambaran pertama tadi, kita sudah jelaskan, penentangan-penentangan mereka yang mengaku menentang Wahabi, sasaran mereka adalah “Wahabi” dalam istilah kefahaman mereka, iaitu mereka yang mendokong tiga sikap merosakkan masyarakat tersebut, yang mana mereka mengaku salafi atau wahabi dalam menyebarkan agenda mereka dan mempraktikkannya dalam masyarakat Islam.

            Hakikatnya, penentangan terhapda golongan Wahabi tidak akan terhenti selagi mereka tidak meninggalkan tiga sikap yang memecahkan umat tersebut.

            Adapun semata-mata menisbahkan diri kepada salaf, atau menisbahkan diri kepada Sheikh Muhammad Abdul Wahab, bukanlah saasaran mereka yang mengaku menentang Wahabi selagi mereka tidak bersikap dengan tiga sikap berkenaan, yang menjadi sikap kebanyakkan yang mengaku pengikut Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan pengaku salafi di era moden ini.

            Tetapi, timbul persoalan, kenapa mereka yang menisbahkan diri kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab seoalah-olah terbahagi kepada dua, ada yang bersikap dengan tiga sikap pemusnah umat Islam tersebut, dan ada yang tidak bersikap dengan tiga sikap tersebut?





[1]Mafhum: Kefahaman tentang sesuatu
[2] Istinbat: Pengalian atau pengeluaran hokum dari sumber-sumber Islam, seperti Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijmak, Qiyas dan sebagainya.
[3] Masalah yang mana, para ulama’ berijtihad mengenainya.
[4] Tajdid: Pembaharuan
[5] Islah: Pembersihan atau pemurnian dan pembaikpulihan
[6] Taqlid: Mengikut sesuatu Mazhab seseorang ulama’ Mujtahid dalam bidang fiqh, aqidah dan sebagainya
[7] Ikhtilaf: Berselisih pendapat
[8] peribadi

No comments: