Pages

Tuesday, May 18, 2010

Berterus terang rahsia Salih dengan isteri kalau ada jodoh







KELUARGA bahagia...Salih Yaccob bersama ketiga-tiga isterinya (dari kiri) Norlizah, Norraha dan Norfara Wahida bersama lapan daripada sebelas anak-anaknya.



SEBILANGAN besar daripada kita akan ketawa besar setiap kali menonton filem Madu Tiga arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dalam lakonan bersulam humor itu, banyak mesej mengenai cerita benar lelaki yang berkahwin tiga diceritakan.
Kepada yang tiada pengalaman ini, ia meninggalkan seribu tanda tanya apakah sampai begitu sekali kehidupan lelaki yang memiliki isteri lebih daripada satu?
Kisah lelaki kahwin banyak ada pertaliannya dengan seorang individu ternama tanah air yang sering menjadi bahan usikan rakan ketika di konti radio.
Dia bukanlah lelaki asing bagi kita. Setiap pagi dia menceriakan pagi kita dengan telatah lucu semasa bersiaran dengan Raja Azura atau Kak Ungku dan Krill (Khairil Rashid) di konti Sinar FM.
Lelaki bernama Salih Yaccob tidak takut berterus-terang dengan masyarakat yang dia mempunyai isteri lebih daripada satu!
Biar sekalipun kisah dia kahwin banyak sering dijadikan bahan usikan, namun lelaki berusia 49 tahun dan ayah kepada 11 orang anak hasil daripada empat perkahwinan tidak pernah berkecil hati.
"Saya tidak pernah berbohong kepada isteri apabila ingin berkahwin lagi. Walaupun bagi wanita bermadu itu pahit, saya bersyukur kerana ketiga-tiga isteri saya menerima ketentuan hidup ini.
"Dari segi hukum Islam seorang lelaki boleh berkahwin sampai empat orang tanpa kebenaran isteri. Tetapi menghormati undang-undang syarie yang ditetapkan, saya meminta izin isteri setiap kali ingin berkahwin lagi.
"Saya tidak perlu menyorok daripada mereka dan saya juga tidak perlu memburukkan isteri kerana apa yang saya lakukan bukannya salah. Saya bukan buat jahat, saya mahu berkahwin kerana saya ada kemampuan," luah Salih pada satu pertemuan eksklusif dengan Hits di kediamannya di Apartmen Baiduri, Desa Pandan, Kuala Lumpur minggu lalu.
Berdasarkan kronologi, perkahwinan pertama Salih berlangsung pada tahun 1980.
Setelah sembilan tahun berkahwin dan dikurniakan dua orang anak perempuan - Norliana, 25, dan Nurulazwa, 22, Salih meminta izin isterinya untuk berkahwin dengan Norlizah.
"Ketika saya mengalami penyakit misteri, saya bertemu dengan Norlizah. Setelah mengenal hati budinya dan melihat keserasiannya dengan saya, saya meminta izin isteri pertama saya ketika itu.
"Dengan izinnya, saya berkahwin dengan Norlizah pada tahun 1989. selepas kahwin, kami hidup bahagia tanpa masalah.
"Namun selepas sembilan bulan hidup bermadu, rumah tangga kami diduga. Campur tangan keluarga menyebabkan kami terpaksa bercerai.
"Walaupun saya amat sedih terpaksa berpisah dengan isteri dan dua anak tersayang, namun saya reda dengan semua itu," cerita Salih membuka cerita duka dalam hidupnya sebelum ini.
Walaupun perkahwinan pertamanya itu berakhir dengan perceraian, namun Salih tidak pernah berdendam.
Malah, Salih tetap melangsaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada kedua-dua anaknya itu hinggalah mereka dewasa. Anak sulungnya telah melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.
Malah perkahwinan anak sulungnya, Norliana dengan pasangannya diuruskan oleh ketiga-tiga isteri Salih.
Mereka bukan sahaja sama-sama berganding bahu bertiga malah turut membantu bekas isteri Salih bagi memastikan majlis berlangsung dengan teratur.
"Sebagai lelaki dan suami, saya amat bersyukur kerana ditemukan jodoh dengan isteri-isteri yang amat taat kepada suami.
"Bagi saya inilah anugerah Allah SWT yang amat berharga untuk saya sebagai makhluknya. Sebenarnya bukan mudah mengemudikan tiga rumah tangga dengan aman dan damai jika tidak ada ilmu agama.
"Setiap wanita yang saya kawini bukan berlandaskan nafsu semata-mata. Tetapi mereka yang saya nikahi adalah seorang yang memahami al-Quran dan tahu hukum hakam agama.
"Selepas menikahi mereka, saya tidak tinggalkan mereka begitu saja. Saya membimbing mereka ke jalan Allah dan sentiasa berpesan kepada mereka harus ada keyakinan dan pegangan agama yang cukup.
"Sebagai seorang suami saya sentiasa berpegang pada akidah dan beriman serta beramal. Pesan saya kepada mereka mesti memahami al-Quran dan sentiasa lekat di hati.
"Bukan itu sahaja, malah saya sering mengingatkan kepada mereka bahawa apa juga yang akan berlaku adalah ketentuan Allah dan mereka harus terima," Salih berkongsi kisah mengenai isteri-isterinya.
Menurut Salih, setiap kali berkenalan dengan wanita dia bukan setakat mengenali hatinya malah menyelami jiwanya.
"Bagi saya perkahwinan bukan cinta dan jasad semata-mata tetapi ia adalah perkahwinan dengan roh dan jiwa. Jika kita berkahwin hanya kerana jasad, apa yang akan terjadi kita akan melihat wanita lain lebih cantik daripada isteri sendiri," akui Salih sambil tersenyum.
Disebabkan sikap keterbukaan Salih dan ketiga-tiga isterinya - Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat,42, dan Norfara Wahida Sulaiman, 32, hidup aman bahagia tanpa rasa cemburu atau benci.
Malah apa yang membanggakan isteri-isteri Salih hidup bagaikan adik beradik saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain.
Perkahwinan Salih dengan Norlizah dikurniakan tiga orang anak - Irfan Izwan, 20, Irfan Sapuan,15, dan Norfarisya,12 tahun.
Salih yang berkahwin dengan Norraha pada tahun 1993 dikurniakan lima orang anak - Effa Madiha,16, Effa Najiha,13, Effa Soleha,12, Mohd. Ehsan,8, dan Effa Fateha tujuh tahun.
Norfara Wahida yang dikahwini pada tahun 2007 baru dikurniakan anak, Fara Aqeesya yang kini berusia 11 bulan.
Hidup Salih bersama tiga isterinya sebetulnya bukan saja dicemburui ramai lelaki bahkan, dia turut dikagumi jiran tetangganya.
Di sebalik kebahagiaan itu, Salih bagaimanapun tidak alpa dengan tanggungjawab yang dipikulnya.
Demi memastikan dia tidak berjauhan daripada keiga-tiga isteri dan anak-anaknya, Salih membelikan rumah buat setiap isterinya di kawasan kediaman berhampiran.
Demi keadilan juga, Salih bergilir bermalam di rumah ketiga-tiga isterinya selain menjaga kebajikan mereka dan anak-anak bagi mengekalkan keharmonian rumah tangganya.
"Saya tidur di rumah isteri-isteri saya bergilir-gilir setiap satu malam. Ini bukan sahaja untuk memastikan kasih sayang kami suami isteri sentiasa berkekalan malah saya juga pentingkan anak-anak.
"Saya tidak mahu terpisah daripada anak-anak begitu lama. Jadi selepas semalam tidur di rumah isteri pertama, esoknya saya akan tidur di rumah isteri kedua dan seterusnya isteri ketiga.
"Mereka dan anak-anak tidak pernah mempersoalkan itu semua kerana tahu saya tidak pernah berat sebelah malah sentiasa adil," katanya berterus-terang.

No comments: