Oleh Amrizan Madian
Ini ialah rencana pertama daripada dua siri tentang kaum Penan di Sarawak.
ULU BARAM (SARAWAK), 28 April (Bernama) -- Melihat kepada raut wajahnya pasti ramai tidak menyangka anak gadis kecil ini ialah keturunan Penan yang suatu ketika dahulu hidup secara nomad jauh di pedalaman Sarawak.
Rachel Andy, 12, pelajar Tahun Lima merupakan seorang daripada 209 murid kaum Penan yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin Ulu Baram iaitu antara lima sekolah rendah berasrama majoriti pelajar Penan.
Selain SK Long Lutin anak-anak Penan turut menerima pendidikan awal sekolah rendah di SK Long Kevok, SK Long Pelutan, SK Long Lamai dan SK Long Jikitan.
Rachel yang agak pemalu memberitahu Bernama:
"Saya suka di sini (sekolah), ada ramai kawan, guru yang baik-baik dan kami belajar banyak perkara menarik di sini, ibu dan bapa saya kata kalau mahu hidup lebih baik mesti pergi sekolah dan belajar".
Dia berkata demikian ketika ditemui di sekolahnya SK Long Lutin sempena program komuniti yang dianjurkan bersama Hospital Pakar Kuching (KcSH) dan Syarikat Samling Berhad.
Rachel yang bercita-cita mahu menjadi guru berkata dia tidak menghadapi banyak masalah untuk belajar kerana segala kemudahan seperti tempat belajar dan asrama disediakan.
Melihat kepada semangat kanak-kanak ini, jelas menggambarkan bahawa anak Penan sudah berada di atas landasan baru untuk sama-sama melangkah maju walaupun di depan mereka ada sungai dengan jeram yang tinggi, hutan rimba dan gunung ganang yang menjadi pemisah daripada kemajuan.
DEKATI KELUARGA PENAN
Stewart Paran, 63, bekas seorang guru besar mungkin tidak dikenali umum, namun bagi masyarakat Penan di Ulu Baram, nama beliau cukup dihormati bukan kerana pangkat ataupun jawatan yang pernah dipegangnya tetapi atas jasa serta pengorbanan beliau terhadap pendidikan anak Penan sejak 45 tahun lalu.
Beliau berkata walaupun dirinya berbangsa Kelabit namun hubungannya dengan kaum Penan terjalin sejak dia kecil lagi.
"Saya bersama orang Penan sejak kecil kerana di kampung kami iaitu di Kubaan tidak jauh dari Bario ada kumpulan Penan yang tinggal dalam hutan," katanya.
Katanya dengan wujud hubungan yang rapat antara keluarganya dengan kaum Penan, bapanya mengambil keputusan untuk menjadikan beberapa orang anak Penan ini "sebila" ataupun anak angkat.
Stewart berkata selepas dia tamat belajar sekolah menengah pada tahun 1965 dia berpeluang menjadi seorang guru sementara di SK Bario.
"Azam saya untuk membantu anak Penan, dan saya berjaya memujuk seorang anak Penan bernama Uning Bong untuk pergi ke sekolah," katanya.
Menurut Stewart oleh kerana Uning seorang anak Penan, dia memberi tumpuan serta mendekatinya lebih daripada pelajar lain, termasuk membawa dia tidur dan makan bersama di rumah guru.
Selepas setahun memegang jawatan sebagai guru sementara Stewart menerima tawaran memasuki Maktab Perguruan Batu Lintang Kuching pada tahun 1966.
"Saya bersyukur kepada tuhan, mungkin niat saya untuk membantu Penan direstui tuhan, saya akhirnya berjaya memasuki maktab perguruan".
Sebaik menamatkan latihan perguruan, Stewart terus berkhidmat di SK Bario sebagai guru biasa iaitu selama tiga tahun sebelum dipindahkan ke Long Seridan sekaligus dinaikkan pangkat sebagai guru besar pada tahun 1973.
MASUK HUTAN CARI ANAK PENAN
Stewart berkata guru-guru yang mengajar di sekolah kawasan Penan hari ini sememangnya bertuah kerana mereka hanya perlu menunggu anak Penan mendaftar masuk ke sekolah setiap kali musim persekolahan bermula.
Katanya kesedaran yang tinggi terhadap pentingnya pendidikan dalam kalangan kaum Penan semakin ketara sejak 20 tahun lalu apabila mereka secara sukarela menghantar anak-anak ke sekolah dan meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada guru-guru untuk menjaga dan mendidik anak mereka.
"Dulu lain, apabila pertama kali memegang jawatan sebagai guru besar saya membuat satu mesyuarat bersama ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Long Seridan untuk mencari seberapa banyak anak Penan untuk dibawa ke sekolah," katanya.
Beliau berkata pada Disember 1972 sebelum sesi persekolahan 1973 bermula, beliau bersama beberapa ahli PIBG serta guru-guru SK Long Seridan masuk hutan untuk mencari anak Penan.
"Kami dibahagi kepada dua kumpulan, satu kumpulan ke Sungai Seridan, dan kumpulan saya ke Sungai Tutoh dan dari situ berjalan kaki sampai ke Layun. Kami akhirnya jumpa satu kumpulan Penan yang diketuai oleh Seman Ngang, tempat mereka di Long Palo," katanya.
Menurut Stewart usaha untuk membawa anak-anak Penan di Long Palo gagal selepas puas memujuk Seman Ngang agar menghantar anak-anak Penan ke sekolah.
Katanya selepas gagal memujuk Seman Ngang mereka meninggalkan Long Palo, dan dalam perjalanan pulang, mereka berjumpa satu lagi kumpulan Penan yang diketuai Gadung Libang.
"Sepanjang malam kami berbincang, dia (Gadung) tidak mahu membenarkan anak Penan ke sekolah, namun setelah saya memaklumkan kepadanya bahawa Residen Miri sedang mencari Penghulu Gadung barulah dia setuju," katanya.
36 ANAK PENAN KE ALAM PERSEKOLAHAN
Stewart berkata tiga hari kemudian seramai 12 orang anak Penan ikuti kumpulan mereka ke Long Seridan bersama ibu dan bapa mereka sekali dan pada masa yang sama kumpulan yang satu lagi turut membawa 24 orang anak Penan ke Long Seridan.
"Saya berasa cukup gembira ketika itu kerana usaha kami pihak PIBG dan guru SK Long Seridan tidak sia-sia walaupun terpaksa meredah hutan dan sungai," katanya.
Namun katanya banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh para guru di sekolah ketika itu khasnya dalam melayan kerenah anak-anak Penan yang masih lagi belum serasi dengan cara kehidupan baru.
"Anak-anak Penan ini patuh kepada arahan ibu bapa mereka, seperti nasihat jangan makan roti kerana menurut ibu bapa mereka kalau makan roti mereka akan mati, begitu juga tidak boleh makan ayam apatah lagi makanan di dalam tin," katanya.
Menurut Stewart anak Penan hanya mahu makan nasi dicampur garam selain makan ikan dari sungai dan gemar menghisap tembakau.
"Kami bernasib baik ketika itu kerana penduduk kampung secara sukarela membantu dengan memberikan hasil buruan di hutan untuk dibawa ke sekolah untuk diberikan kepada anak-anak Penan," katanya yang menjadi guru besar di SK Long Seridan selama tiga tahun dari tahun 1973 hingga 1975.
JUMPA GABENOR DAN KETUA MENTERI
Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada 36 anak Penan pertama yang bersekolah di SK Long Seridan, Stewart menghadiahkan mereka satu lawatan sambil belajar ke Kuching pada penghujung tahun 1975 iaitu ketiga musim cuti sekolah.
"Saya telah menulis surat kepada pejabat ketua menteri dan menyatakan hasrat untuk berjumpanya bersama anak-anak Penan dari Long Seridan," katanya.
Seperti yang dirancang Stewart bersama 36 anak Penan serta beberapa lagi guru pengiring diterbangkan dengan pesawat Caribou milik Tentera Udara Diraja Malaysia dari Long Seridan terus ke Kuching.
Katanya lawatan itu juga merupakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri ketika itu Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Osman dan Ketua Menteri Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub.
Pada tahun berikutnya iaitu pada 1976, Stewart dipindahkan ke sebuah lagi sekolah majoriti Penan iaitu SK Long Lamai.
"Ketika itu sudah nampak kesedaran dalam kalangan masyarakat Penan tentang pentingnya pendidikan anak-anak mereka dengan adanya komitmen untuk menghantar sendiri anak-anak ke sekolah," katanya.
-- BERNAMA

No comments:
Post a Comment