Pages

Sunday, April 11, 2010

Falsafah keranda


pix_middle


Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my
2010/04/04

DI zaman silam, kematian sering dikaitkan dengan misteri dan pelbagai tafsiran wujud bergantung kepada kepercayaan dan agama yang dianuti.

Dipercayai, penggunaan keranda untuk menyempurnakan acara pengebumian bermula sejak lebih 1,000 tahun dulu dan ia menyimpan pelbagai keunikan tersendiri serta membongkar sejarah sesuatu kelompok masyarakat silam.

Perkara inilah yang ingin didedahkan kepada masyarakat moden dan generasi muda hari ini menerusi Pameran Keranda yang berlangsung di Muzium Negara, Kuala Lumpur bermula 1 April lalu hingga 20 Jun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail, berkata pameran itu bertujuan mendidik masyarakat memahami norma berkaitan kematian dan amalan pengebumian, selain memahami reka bentuk motif dan falsafah pembuatan keranda.

Menurutnya, sebanyak 30 keranda yang digunakan masyarakat zaman prasejarah dan Orang Asli serta pelbagai etnik di Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand dipamerkan untuk tatapan orang ramai.

“Pengunjung pasti mendapat pengetahuan dan pengalaman baru apabila melihat pelbagai bentuk keranda dipamerkan seperti perahu, tempayan, pondok mayat, kerusi mayat, kayu balak dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, selain menjadi keperluan penting untuk menyempurnakan upacara pengebumian, reka bentuk dan bahan digunakan untuk membuat keranda juga melambangkan status si mati, selain berfungsi dalam menyatakan penghormatan kepada roh atau semangat.

Ibrahim berkata, secara keseluruhannya pameran selama tiga bulan itu juga akan memperlihatkan secara jelas penggunaan keranda serta kaitannya dengan upacara sebelum dan selepas pengebumian sesuatu kelompok etnik di negara ini dan jiran serantau.

“Budaya dan tradisi pengebumian dengan menggunakan keranda dipercayai bermula sejak lebih 1,000 tahun dulu dan sebahagian kecil masyarakat di pedalaman Asia masih mengamalkannya,” katanya.

Antara yang menarik perhatian ialah keranda tempayan yang digunakan sejak zaman neolitik oleh masyarakat kepulauan Melayu, khususnya pelaut.

Tempayan berkenaan dibuat dengan bentuk unik melalui paparan hiasan yang menggambarkan pengembaraan roh ke alam akhirat.

Keranda berbentuk perahu pula digunakan oleh masyarakat prasejarah dan berlanjutan hingga zaman protosejarah antara 1800 tahun hingga 3000 tahun lalu di rumpun Asia Tenggara.

Di Malaysia, pengebumian dengan cara ini banyak diamalkan oleh masyarakat pesisir pantai di Kuala Selinsing, Perak dan masyarakat di pedalaman Gua Niah, Sarawak.

Selain itu ada juga sejenis keranda lebih dikenali sebagai kerusi mayat yang menjadi amalan kaum Kalanguya di Pulau Luzon, utara Filipina.

Pengebumian menggunakan kerusi mayat yang diperbuat daripada rotan itu lazimnya membabitkan mayat golongan bangsawan, pemimpin masyarakat atau individu disegani.

Sejenis lagi keranda yang pastinya menarik perhatian ramai pengunjung ialah keranda diperbuat daripada kayu balak ditebuk yang digunakan oleh masyarakat purba di Thailand antara 1,200 dan 2,100 tahun lalu.

Selepas dimasukkan dalam keranda kayu balak, mayat dikebumikan di jajaran pergunungan utara negara itu dan kebanyakan tapak pengebumian sukar diteroka kerana terletak di kawasan pendakian berbahaya.

Dipamerkan juga budaya masyarakat Orang Asli di Semenanjung yang menggunakan kaedah menggantung keranda atas pokok mengikut ketinggian bagi mengelak dimakan binatang buas.

Selain pameran artifak keranda, pengunjung diberi penerangan mengenai kepercayaan sesuatu kelompok masyarakat mengenai kematian.

Sebagai contoh, bagi masyarakat Orang Asli pula, apabila berlaku kematian, kerja seharian perlu dihentikan serta merta bagi mengelak ditimpa malapetaka atau jatuh sakit.

Mengikut kepercayaan masyarakat Thailand pula, mayat orang dewasa perlu dibakar untuk melepaskan rohnya daripada badan, manakala masyarakat Tana Toraja di Indonesia percaya semakin tinggi kedudukan jenazah diletakkan, makin cepat roh si mati akan sampai ke syurga.

No comments: