Assalamualaikum

Bagi sesiapa yang tidak berilmu, adalah wajar dia mendapatkan ilmu sebelum membuat sebarang keputusan ke atas sesuatu agar kita tidak tersalah sangka dan tersalah pertimbangan. Insya-Allah kali ini saya bawa kan satu lagi golongan yang selalu di salah ertikan sama ada secara positif atau negatif.

Definisi Syiah

Maksud Syi‘ah dari sudut istilah.

Gelaran Syi‘ah lazimnya ditujukan kepada setiap orang yang setia (wala’) kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu ‘anhum, sehingga ia menjadi nama gelaran yang khusus bagi mereka.

Terdapat tiga golongan syiah:

Pertama: al-Tasyaiyu’.

Kumpulan ini adalah mereka yang bersimpati lalu menyebelahi pasukan ‘Ali bin Abi Thalib dalam peristiwa peperangan antara pasukan ‘Ali dan Mu‘awiyyah, radhiallahu ‘anhuma. Mereka juga mengambil berat, merasa sedih dan simpati ke atas nasib yang menimpa ‘Ali dan keluarganya: Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang tercatit di dalam sejarah Islam. 

Kedua: al-Mufadhdhilah

Kumpulan ini adalah mereka yang berpendapat bahawa ‘Ali bin Abi Thalib dan keluarganya adalah lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya berbanding lain-lain sahabat.

Walaubagaimanapun kedua-dua kumpulan yang pertama ini mengiktiraf jawatan khalifah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta tidak mencela para sahabat yang lainnya. Pilihan mereka kepada apa yang mereka cenderungi tidak menyebabkan mereka berlaku tidak adil dan berlebih-lebihan (ghuluw) terhadap apa yang tidak mereka cenderungi.

Ketiga: al-Rafidhah 

al-Rafidhah bermaksud kumpulan yang menolak. Syi‘ah al-Rafidhah adalah mereka yang menolak kekhalifahan dan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Mereka juga menolak para imam daripada keturunan Ahl al-Bait Rasulullah kerana mereka (para imam daripada keturunan Ahl al-Bait) juga mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta mengutamakan mereka bertiga di atas ‘Ali bin Abi Thalib.

Sejarah syiah

Syiah pada asalnya adalah satu perbalahan dari aspek politik. Sama ada Ali a.s dan ahlul bayt lebih layak menjadi pemimpin berbanding sahabat yang lain. Adakah pemerintahan melalui aspek keturunan ataupun aspek kebolehan (Quwah wa amanah)? Itu khilaf yang pada asalnya bermula.

Khilaf ini tidak ubah pada asalanya seperti UMNO dan PAS kini dalam mentadbir negara ataupun pada zaman khalifah sama ada melalui undian ataupun keturunan untuk menjadi khalifah.

Khilaf ini akhirnya menjadi parah pada zaman selepas Ali a.s (ini dapat dilihat apabila Ali a.s sendiri tidak pernah menentang secara kekerasan apatah lagi kekafiran terhadap perlantikan umar, Abu Bakar dan Uthman)

Bagaimana syiah terbentuk menjadi satu pegangan yang lain terdapat banyak sebab dan tulisan mengenainya. Ada yang menyatakan ia bermula dari seorang berbangsa yahudi bernama Abdullah b saba'. Ada yang menyatakan bahawa ia adalah kerana bangsa Parsi sendiri yang sememangnya mahu berkuasa dan banyak lagi sebab-sebab yang lain. 

Tetapi apa sebab sekalipun, satu khilaf dari aspek politik, akhirnya membawa perpecahan dari aspek akidah dan ibadah yang lebih fundamental. Islam mula di interpretasikan mengikut acuan yang salah dan menyesatkan.

Kesimpulan

Syiah yang dari golongan pertama dan kedua seperti disebutkan di atas tidak kafir kerana ia hanyalah perbezaan dari aspek pemerintahan sahaja dan bersifat furuq (cabang). Apa yang lebih fundamental ialah perpecahan dari aspek akidah dan ibadah serta pengkafiran sahabat. Ini yang sebenarnya di tentang oleh umat Islam.

Jadi, sekiranya seserorang itu berkata dia syiah, ujilah dahulu akidah dan pegangannya. (tetapi masih juga kita perlu berhati-hati kerana di daalam syiah dibenarkan berbohong (Taqiyah))

wallahualam
tj