Pages

Monday, April 26, 2010

Bapa, anak dapat cahaya mata






Mohamad Senuan Ahmad Hariri (kiri), memangku anaknya, Intan Nor Iman dan anak lelakinya, Mohd. Nurfaizalizwan (kanan), turut memangku anaknya, Mohammad Yusrizan sambil diperhatikan isteri masing-masing, Intan Nor Farliana Shamsudin (dua dari kiri) dan Siti Yusnita Ab. Manah, (dua dari kanan) di rumah bekas isteri di Senawang, semalam.



RASAH 25 April - Siapa sangka usikan rakan-rakan hampir setahun lalu bahawa dia bakal menimang anak dan cucu serentak menjadi kenyataan.
Bagi Mohamad Senuan Ahmad Hariri, 46, yang bersanding serentak dengan anaknya pada Mei tahun lepas, kesempatan bergelar bapa dan datuk sekali gus adalah satu anugerah yang cukup berharga.
"Tidak tergambar kegembiraan dan anugerah yang Allah berikan kepada keluarga ini. Dulu bila bersanding memang tak rancang nak buat serentak.
"Kini timang anak dan cucu sekali gus memanglah di luar jangkaan kerana kami tidak merancang apa-apa pun jauh sekali untuk berlumba- lumba. Ini yang dinamakan takdir," katanya ketika ditemui di kediaman bekas isterinya, Norliah Hussin di Senawang di sini hari ini.
Mohamad Senuan ditemani isteri, Intan Nor Farliana Shamsudin, 20, serta anak lelakinya, Mohd. Nurfaizalizwan, 23, dan isteri, Siti Yusnita Ab. Manah, 24, bersama-sama anak-anak yang lain Mohd. Robani, 15, Mohd. Amir, 14, dan Mohd. Najmi Al Hakimi, 10.
Dalam pertemuan tersebut juga, Mohamad Senuan buat pertama kali memperkenalkan kedua-dua ahli keluarga barunya iaitu anak perempuan bongsunya, Intan Nor Iman dan cucu lelaki sulungnya, Mohammad Yusrizan.
Intan Nor Iman dilahirkan pada 19 Mac di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sementara Mohammad Yusrizan pula lahir tiga hari kemudian di sebuah hospital dekat Subang, Selangor.
Kisah Mohamad Senuan pernah menarik perhatian umum apabila perkahwinannya diadakan serentak pada 30 Mei tahun lepas bersama Mohd. Nurfaizalizwan yang merupakan anak sulungnya.
Kedua-dua pasangan tersebut disandingkan di atas satu pelamin dalam majlis resepsi perkahwinan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mohamad Senuan yang merupakan ahli perniagaan berkata, kelahiran anak dan cucunya itu diharapkan dapat terus mengeratkan ikatan kekeluargaan mereka walaupun telah berpisah dengan bekas isterinya.
"Sekarang kami mempunyai banyak alasan untuk berkumpul. Sebelum ini selepas isteri (Intan Nor Farliana) bersalin di Kuala Lumpur, saya bawa dia dan anak kami ke rumah bekas isteri setelah mengambil menantu dan cucu untuk berpantang di sini.
"Oleh kerana perlu ke luar daerah, saya terpaksa tinggalkan isteri dan anak di sini selama beberapa hari. Memang ini sangat mengharukan kerana kedua-dua keluarga dapat bersama," katanya yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur.
Menurutnya, mereka merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul kedua-dua bayi itu serentak pada Mei ini.
Sementara itu Mohd. Nurfaizalizwan berkata, dia berasa bertuah dengan kelahiran anak sulung dan adik perempuan bongsunya itu.
"Sememangnya ini adalah kegembiraan berganda untuk keluarga kami dan diharapkan kedua-duanya, anak dan adik saya ini akan membesar dengan sihat," katanya.
Dalam pada itu, Norliah, 46, turut menumpang gembira dengan kelahiran kedua-dua bayi itu.
"Walaupun bercerai dengan bekas suami lima tahun lalu, kami tidak pernah bermusuh, cuma mungkin jarang bertemu kecuali atas urusan anak-anak.
"Tetapi saya tetap gembira dengan kelahiran anak bongsunya itu dan ditambah kedatangan cucu pertama saya," katanya.

No comments: