Pages

Tuesday, February 2, 2010

PERBEZAAN ANTARA TUHAN DAN ALLAH... MESTI BACA

Dari emel - khalid walid <attawwab@...

Assalamualaikum kawan2.
Bacalah artikel sy ni..
Kalau ada yg tak faham atau apa2 pun,
reply la k.

http://cahayahikmah.wordpress.com

!!! SILA AMBIL PERHATIAN !!!


Bismillahhirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum warahmatullah.



Perbezaan diantara Tuhan dengan Allah s.w.t.

Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, marilah kita
sama-sama bermuhasabah serta membuat renungan dengan mata hati kita serta akal
fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita supaya kita tidak terjebak
kepada bahaya syirik dan kemurkaan Allah dengan cara yang tidak kita sedari
samada dengan hati, perbuatan atau perkataan. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu
adalah Maha Esa lagi Tunggal dan Dia mempunyai nama-namaNya Yang Maha Terpuji.
Oleh itu panggil dan serulah akan nama-namaNya Yang Maha Terpuji sebagaimana
yang disebutkan didalam Al-Quran.

Masyarakat melayu khususnya memang telah sebati dengan kefahaman dan anggapan
bahawa Allah itu adalah Tuhan dan Tuhan itu Allah. Ketika berdoa mereka akan
menambah doa mereka dengan menyebut (contoh): 'Ya Allah Ya Tuhanku..'
Persoalannya disini adakah layak untuk kita menganggap Allah itu adalah Tuhan
dan dari manakah punca serta asal perkataan Tuhan..? Adakah kita menjadikan
alasan bahawa nenek moyang kita sejak dari dahulu telah menggunakannya maka kita
terus mewarisi kepercayaan itu tanpa kita mempunyai pengetahuan yang sebenar
tentangnya ?

Tahukah kita akan maksud sebenar dan perbezaan antara perkataan 'Tuhan' ' Robb'
dan 'Ilah' yang selalu kita temui didalam terjemahan Al-Quran serta kitab-kitab
agama yang kita baca? Selama ini mungkin kita memahami ketiga-tiga perkataan
tersebut dengan satu maksud iaitu 'Tuhan'(sebutan yang digunakan oleh bangsa
Melayu sahaja) sedangkan sebenarnya tidak ada perkataan Arab yang boleh merujuk
kepada perkataan'Tuhan' .

Para Nabi dan Para Rasul diutus oleh Allah dikalangan bangsa arab dan Al-Quran
juga telah diturunkan oleh Allah didalam bahasa arab . Firman Allah s.w.t.:

Dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa mereka yang musyrik itu
berkata: " sebenarnya Dia diajar oleh seorang manusia". (padahal) bahasa orang
yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu adalah bahasa asing, sedang Al-Quran
ini berbahasa arab yang fasih nyata. ( Surah An-Nahl – ayat 103 )



Al-Quran juga telah menyebutkan Robb atau Ilah yang merupakan bahasa
arab itulah yang selayaknya panggilan untuk Allah. Kita sedia mengetahui ketika
mengucap dua kalimah syahadah kita telah mengatakan 'Tidak ada Tuhan melainkan
Allah'.Ini bermakna ketika itu kita telah menafikan adanya 'Tuhan', dan yang
kita isbatkan hanya Allah, yang wujud hanya Allah sebagai Robb atau Ilah iaitu
Pencipta kita, Pengatur dan Pentadbir seluruh alam ini. Kenapa pula ketika
berdoa contohnya kita mengadakan semula Tuhan yang telah kita tiadakan tadi
dengan berkata ' Ya Allah Ya Tuhanku'…?

Ketahuilah bahawa Allah adalah pencipta kita dan pencipta kepada seluruh alam
ini.Itulah yang perlu kita jawab jika kita ditanya tentang Allah. Dengan itu
kita akan dapat merasakan hubungan dua hala yang lebih dekat iaitu antara
Pencipta ( Allah ) dengan yang diciptakan( kita sebagai hamba). Tidak menjadi
masalah jika kita berdoa didalam bahasa arab tetapi jika kita berdoa dalam
bahasa melayu maka ucapkanlah ' Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
atau Wahai Penciptaku / kami…..'



Dua Fakta Tentang Asal Usul Perkataan Tuhan


Pertama :-

Didalam majalah Tiara kajian Alif Danya Munsyi, asal usul perkataan
Tuhan hanyalah 'pelesetan' dari kata Tuan dimana ia berpunca dari seorang
Belanda yang telah tersalah sebut perkataan 'Tuan' Kepada Tuhan. Paulus yang
berasal dari Turki telah memanggil Isa Al-Masih dengan panggilan 'Tuan'. Pada
setiap akhir suratnya, Paulus selalu menyebut Isa Al-Masih sebagai Tuan: 'Semoga
rahmat Isa Al-Masih Tuan kita menyertai roh kita.'

Ketika tulisan surat tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, ia
dimulakan pada tahun 1663 oleh seorang yang berbangsa Portugis bernama
Browerius.Pada ketika itu gelaran bagi Isa Al-Masih masih lagi Tuan, tetapi
ketika orang Belanda bernama Leijdecker pada tahun 1678 menterjemahkan
surat-surat Paulus itu, sebutan Tuan telah berubah menjadi Tuhan. Dengan kata
lain, Leijdecker yang pertama kali menulis perkataan Tuhan. (sila rujuk laman
web http://wiriajaya. multiply. com/journal/ item/85).

Dengan demikian, dapat difahami bahwa perkataan Tuhan masuk kedalam
bahasa Indonesia sebagai pengaruh teologi agama ( kristian ) pada mulanya
hanyalah sebagai 'pelesetan' atau 'salah tulis' oleh seorang Belanda, tapi
selanjutnya dibakukan sebagai perkataan baru yang disejajarkan dengan kata
'Ilah' dan 'Robb' dalam bahasa Arab. Kerana itulah dalam Kamus Umum Bahasa
Indonesia, W.J.S. Poerwadarminta (seorang Katolik) tidak memberikan keterangan
apa pun tentang kata Tuhan, kecuali menyamakannya dengan Allah!



Kedua :-

Perkataan Tuhan juga berasal daripada bahasa sanskrit iaitu bahasa
kuno yang di gunakan oleh agama Hindu di Indonesia. Ini disebabkan agama Hindu
adalah yang terawal masuk ke Indonesia juga di Malaysia sebelum berkembangnya
agama Islam di dua negara tersebut. Penganut agama Hindu beranggapan bahawa
sesuatu yang berkuasa seperti dewa-dewa mereka itu sebagai Tuhan.Kesan dari
pengaruh agama Hindu yang ada pada masa itu atau melalui bekas penganutnya yang
memeluk Islam Allah yang maha berkuasa itu juga telah dianggap sebagai Tuhan.

Bahasa Melayu adalah bahasa pinjaman atau ikut-ikutan, dimana Bahasa Melayu
sebenarnya hanya mempunyai tiga perkataan yang asal atau asli iaitu 'batu',
'kayu' dan 'padi'. Ini bermakna bahawa perkataan Tuhan juga adalah bahasa
pinjaman daripada bahasa sanskrit yang digunakan oleh penganut Hindu dan
mempunyai maksud yang sangat bertentangan dengan keesaan Allah iaitu Tu bermakna
Kepala dan Han pula bermakna Dewa ( Kepala Dewa) yang mana, dewa adalah sembahan
kepada penganut agama Hindu. Jika merujuk makna Tuhan seperti yang terdapat
didalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi keempat (2005) diantara maksud
Tuhan juga disebut sebagai Dewa berkepala Dua .


Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, kita hendaklah
menyedari bahawa pengedaran kitab suci Al-Quran yang mempunyai terjemahan ke
dalam bahasa melayu di negara kita pada awalnya banyak diterbitkan dan dicetak
dari Negara Indonesia. Kita orang melayu yang beragama Islam di Malaysia hanya
mengikut dan menukarkannya daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia.
Sedangkan ada perkataan melayu seperti perkataan Tuhan itu tidak ada maknanya
untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Allah s.w.t. berfirman didalam Al- Quran:-

Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: "Sesungguhnya Aku ialah Tuhan
selain dari Allah", maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya
Dengan (azab) neraka Jahannam; Demikianlah Kami membalas golongan Yang zalim.
(Al-Anbiya. Ayat 29.)


'Robb'.

Robb adalah daripada perkataan arab yang terkandung didalam Al-Quran.
'Robb' itu adalah sifat Allah sebagai Al-Khaliq iaitu sifat Allah yang Maha
Pencipta, Pendidik dan Pengatur bagi alam semesta ini. Maka daripada makna
tersebut mengandungi erti "Allah adalah pencipta Adam lalu Allah mendidik Adam
dan Allah jualah yang mengatur kehidupan Adam". Oleh itu "Robb" tidak boleh
diberi makna sebagai Tuhan seperti yang terdapat didalam terjemahan Al-Quran
yang ada kini kerana terjemahan perkataan Tuhan itu sebagaimana yang telah
dijelaskan diatas mempunyai maksud yang sangat tidak baik kepada Allah..
Pengertian Robb telah disalah ertikan oleh golongan terdahulu dan diantara
kesalahan penggunaan perkataan Robb yang perlu diperbetulkan sebagai contoh
adalah ketika kita berdoa :- "Ya Allah, Ya Robbi" apabila ditukar kepada bahasa
Melayu ia hendaklah bermaksud, "Ya Allah, Wahai Penciptaku, Pendidikku,
Pengaturku", bukan 'Ya Allah Ya Tuhanku'.


'Ilah'.

Salah satu perkara fundamental yang berkait dengan aqidah seorang
muslim dalam mentauhidkan Allah ialah pengertian Dua Kalimah Syahadah. Didalam
ucapan kalimat Laa ilaaha ill-Allah itu terdapat kata Ilah yang seringkali
diterjemah dengan perkataan Tuhan. Padahal terjemahan itu tidak terlalu
menjelaskan makna Ilah tersebut. Dalam bahasa arab 'Ilah' itu mengandungi maksud
yang lebih tepat dengan tiga makna mendasar yakni (1) mahbuub (yang dicintai),
(2) matbuu' (yang dipatuhi/ditaati) dan (3) marhuub (yang ditakuti). Maka
daripada makna tersebut mengandungi erti " Aku naik saksi bahawa tidak ada yang
kucintai, lalu kupatuhi dan kutakuti selain daripada Allah".

Selain itu di dalam pengajian ilmu tauhid selama ini kita juga telah
diajar bahawa sifat 20 itu sebagai Sifat Ketuhanan sedangkan sepatutnya kita
memahaminya sebagai Sifat Allah / Sifat Pencipta ( Al-Khaliq ) bukan sifat
ketuhanan. Wahdaniah adalah antara sifat Allah yang terkandung didalam sifat 20
yang wajib bagi Allah dimana ia menjelaskan bahawa Allah itu tunggal tidak
berbilang-bilang. Perkataan Tuhan apabila disebut sebenarnya menjadi terlalu
umum dan tidak merujuk terus kepada Allah kerana disana ada Tuhan Hindu, Tuhan
Buddha, Tuhan Kristian dan bermacam-macam lagi kerana sememangnya tuhan itu
sifatnya adalah berbilang-bilang.

Adalah tidak wajar untuk mengaitkan Allah dengan sifat ketuhanan kerana terdapat
banyak tuhan yang hendak dikenalpasti. Yang wujud adalah Zat dan Sifat Allah
sendirian mentadbir alam ini tidak ada yang lain.Biarlah hanya orang-orang bukan
Islam atau yang musyrik saja terus dengan anggapan dan kepercayaan mereka untuk
menyebut dan mempunyai tuhan-tuhan. Umat Islam hanya perlu menyebut nama Allah
Yang Maha Esa secara mutlak ( sebagai Pencipta / Robb / Ilah kita ) dimana
ucapan kita tidak akan sama seperti mereka ( tidak perlu ada tuhan) sebagai
membezakan ketunggalan dan keesaan Allah yang tidak boleh disamakan atau ada
perbandingan bagiNya dengan sesuatu juapun. Maha suci Allah dari apa yang mereka
sifatkan.

Setelah kita mengetahui akan hakikat perkataan Tuhan itu, bermula dari saat ini
marilah kita memperbanyakkan menyebut nama Allah s.w.t. atau nama-nama-Nya
didalam Asmaul-Husna samada didalam kehidupan seharian atau ketika beribadah
kerana itulah nama sebenar bagiNya yang layak untuk dipanggil. Janganlah lagi
kita menganggap Tuhan itu adalah Allah kerana Tuhan itu bukan nama ataupun
gelaran bagi Allah sebagaimana sangkaan ataupun anggapan umat Islam yang
berbangsa melayu selama ini.Jika kita berdoa dengan mengungkapkan perkataan
Tuhan sebenarnya seolah-olah kita telah tersilap alamat untuk menyampaikan hajat
kita ke destinasinya yang betul menyebabkan doa kita tergantung atau lambat
dimakbulkan kerana kita telah menambah nama yang bukan nama Allah berserta
namaNya yang mulia.

Kita menyangka dengan menyebut Tuhan bersama nama Allah itu lebih mendekatkan
lagi diri kita kepada Allah sedangkan pada hakikatnya apa yang kita sebut itu
mempunyai maksud yang tidak baik sebagaimana yang telah dijelaskan tadi.
Disebabkan kita tidak pernah mengkaji kita perlu akui bahawa kesilapan yang
tidak kita sedari seperti ini menyebabkan kita seolah-olah tidak dihiraukan oleh
Allah.Dengan sebab itu pelbagai masalah terus melanda negara kita samada politik
atau sosial dan sebagainya tanpa ada jalan penyelesaiannya disamping tekanan
hidup yang semakin menghimpit umat Islam dewasa ini.


Bagi umat Islam,lazimnya ketika mereka sedang sakit secara spontan
mereka akan merintih dan menyebut nama "Allah..Allah. .Allah.." dengan jelas dan
penuh pengharapan dan tidak mungkin ada yang menyebut Tuhan..Tuhan. .Tuhan" pada
ketika itu.Begitu juga apabila kita terpandang kalimah Allah di langit misalnya,
sudah tentu kita akan berkata bahawa kita telah melihat kalimah Allah dan bukan
kalimah Tuhan tetapi mendukacitakan kerana ramai dikalangan kita yang lebih
banyak dan suka menyebut perkataan Tuhan berbanding menyebut nama Allah dalam
perbualan seharian sedangkan sepatutnya kita bersyukur dan berbangga untuk
sentiasa menyebut nama Allah.Kita membantah apabila sekumpulan penganut kristian
memohon untuk menggunakan nama Allah dalam amalan agama mereka sedangkan kita
sendiri lebih suka menyebut perkataan Tuhan berbanding nama Allah itu sendiri.
Adakah kita malu untuk menyebut nama Allah atau kita merasakan hubungan kita
dengan Pencipta kita itu
begitu jauh sekali? Fikirkanlah. ..

Seterusnya lihatlah contoh perbandingan diantara senikata lagu Negaraku
dan lagu Negeri Johor. Mengapakah didalam senikata lagu Negaraku menggunakan
perkataan Tuhan sedangkan senikata lagu Negeri Johor tidak ada walau sepatah pun
perkataan Tuhan melainkan yang ada hanyalah nama Allah. Ini bermakna seluruh
pelajar di Negeri Johor termasuklah pelajar-pelajar yang bukan Islam sejak
sekian lama telah menyebut nama Allah ketika menyanyikan lagu tersebut tanpa
sebarang masalah yang berbangkit. Jika lagu Negeri Johor boleh menggunakan
sepenuhnya nama Allah, mengapa tidak kita jadikannya sebagai contoh yang baik
untuk diikuti dengan menggantikan perkataan Tuhan itu kepada nama Allah samada
didalam lagu Negaraku, Rukunegara dan lain-lain lagi serta yang lebih penting
lagi adalah ketika kita beribadah kepada Allah khususnya ketika berdoa supaya
mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah s.w.t.



Sila rujuk senikata kedua-dua buah lagu dibawah ini:



Lagu Negaraku


Negaraku, tanah tumpahnya darahku

Rakyat hidup ,bersatu dan maju

Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan

Raja kita, selamat bertakhta

Rahmat bahagia Tuhan Kurniakan
Raja kita, selamat bertakhta

**********************************************************

Lagu Negeri Johor


Allah peliharakan Sultan

Anugerahkan dia segala kehormatan

Sihat dan ria kekal dan makmur

Luaskan kuasa menaungkan kami

Rakyat dipimpini bersama lagi

Dengan perintah bersatu hati

Allah berkati Johor,

Allah selamatkan Sultan


Mudah-mudahan apabila kita sanggup untuk melakukan perubahan dengan
memperbanyakkan menyebut nama Allah akan terbukalah pintu-pintu rahmat dan
kurniaan Allah kepada kita semua..insyaallah. Percayalah, bahawa kita tidak akan
rugi walau sedikitpun jika kita meninggalkan dari menyebut perkataan Tuhan itu
tetapi kita sangat merugi jika kita tidak mahu menyebut nama Allah
sebanyak-banyaknya kerana hanya kepada Allah pergantungan hidup kita di dunia
dan akhirat.

Meskipun penggunaan perkataan Tuhan ini telah sekian lama berlarutan adalah
diharapkan agar para Alim Ulama, Para Cendikiawan Islam dan pihak yang berkuasa
khususnya di negara kita Malaysia supaya dapat menerima serta memahami apa yang
cuba disampaikan disini dengan hati yang terbuka, berlapang dada, berjiwa besar
serta sentiasa bersandar kepada hidayah Allah dalam mencari kebenaran seterusnya
bersama memainkan peranan yang penting untuk menyampaikannya pula kepada seluruh
umat Islam dalam memperbetulkan kekeliruan kita selama ini. Allah mempunyai
nama-nama-Nya yang baik, oleh itu gunakanlah nama-nama Allah yang baik itu
didalam kehidupan kita dan berdoalah sebagaimana contoh berikut :- "Ya Allah,
Ya Rahman, Ya Rahim…" Bukankah indah dengan doa yang sebegini…dan janganlah
kita menyebut perkataan Tuhan itu lagi…



Firman Allah s.w.t.

Dan Allah mempunyai nama-namaNya yang baik (yang mulia), maka serulah (dan
berdoalah) kepadanya Dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang
yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. mereka akan
mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. ( Surah Al-A'raaf,
ayat 180 )


Apa yang diperjelaskan disini bagi sesetengah pihak mungkin menganggap ia hanya
membabitkan soal istilah atau bahasa yang agak remeh dimana kita hanya perlu
bergantung kepada apa yang kita niatkan ketika menyebutnya…Tugas kami hanya
menyampaikan dan menjelaskan semata-mata kerana Allah. Sedari dan yakinlah
bahawa, diatas dunia ini mungkin ia dipandang remeh tetapi kita bimbang jika ia
menjadi suatu yang sangat berat setelah kita berhadapan dengan Allah di akhirat
kelak kerana salah satu perkara yang boleh menjejaskan iman dan akidah kita
disisi Allah adalah melalui perkataan.Walaupun kalimah Laa ilaha illallah itu
ringan dibibir tetapi timbangannya adalah lebih berat dari dunia dan seisinya!
Fahamilah ia..



Sebagai penutup ingatlah wahai kaum muslimin dan muslimat yang
dikasihi, bagi mereka yang merenung dengan matahati, mereka tentu meyakini
bahawa dunia ini sebenarnya telah semakin menghampiri ke penghujungnya. Samada
kita sedar atau tidak, hari kebangkitan yang dijanjikan oleh Allah pasti akan
terjadi secara mengejut ketika manusia asyik leka dengan urusan dunianya.Oleh
itu marilah kita bersama-sama berusaha membersihkan nama Allah dan
memperbanyakkan menyebut nama Allah didalam kehidupan kita yang berbaki ini.
Tinggalkanlah sesuatu yang tidak berkaitan dan tidak dituntut ketika ingin
menyebut nama Allah agar kita beroleh keredhaanNya di dunia dan akhirat. Semoga
Allah menjadikan kita semua sebagai hambaNya yang sentiasa bertaubat dan
diberikan keampunan.amin. .Wassalam.



Membersih Nama Allah

12 comments:

Anonymous said...

Salam... Benar apa yg anda fikirkan,di dalam 'Al Quran' pun ada ayat2 yg jelas membezakan antara 'Allah' dan Tuhan. Juga ada ayat yg diawal ayat menyebut 'Tuhan' dihujung ayat menyebut 'Allah'.

Tapi yg menjadi masalah klu mengikut dua kalimahsyahadah memang dikatakan tiada 'Tuhan' tapi didalam Al Quran jelas menunjukan adanya Tuhan disamping Allah... Bagi saya kebenaran Al Quran tak dapat di tolak krna diantara rukun keimanan...

Sekadar pendapat...

trima kasih,

adu78 said...

Salam...
Nk kenal 'Allah' mesti kenal 'Tuhan' dulu... nak kenal 'Tuhan' mesti kenal 'Allah' dulu...

'Tuhan' saja yg tahu tentang 'Allah' dan 'Allah' saja yg tahu tentang 'Tuhan'...

ini kebenaran yg suka tak suka kena terima...

trima kasih...

adu78 said...

Salam... Benar apa yg anda fikirkan,di dalam 'Al Quran' pun ada ayat2 yg jelas membezakan antara 'Allah' dan Tuhan. Juga ada ayat yg diawal ayat menyebut 'Tuhan' dihujung ayat menyebut 'Allah'.

Tapi yg menjadi masalah klu mengikut dua kalimahsyahadah memang dikatakan tiada 'Tuhan' tapi didalam Al Quran jelas menunjukan adanya Tuhan disamping Allah... Bagi saya kebenaran Al Quran tak dapat di tolak krna diantara rukun keimanan...

Sekadar pendapat...

trima kasih,

Anonymous said...

RABB = Pemilik, Penguasa, Pentadbir (Lord)
ILAH = Tuhan, Sembahan (God)
ALLAH = Nama bagi Dzat al-Wujud al-Haq. Maksud sebenar tidak deketahui. Ulama memberi takrifan sebagai Tuhan yang Esa.
TUHAN = Yang mempunyai kedudukan tertinggi mengatasi segala sesuatu. Yang diibadati dan ditaati. Istilah orang Melayu asal-usulnya dari perkataan Tuan.
Kebanyakan kita orang Melayu lebih suka dan selesa menggunakan sebutan Tuhan yang diyakini mempunyai rahsia dan hikmahnya. Sehinggakan pada terjemahan perkataan 'Rabb' dan 'Ilah' ia akan dipadankan dengan perkataan Tuhan walaupun ada perkataan lain yang sesuai. Sebutan Tuhan begitu signifikan dan tak berbau kearaban seolah-olah Melayu itu mahu mengatakan "sebelum Arab, aku (Melayu) sudah mengenal Sang Pencipta yang aku seru namakan sebagai Tuhan".

Anonymous said...

Allah SWT berfirman:

“Yang mereka sembah selain Allah itu tidak lain hanyalah inasan (berhala), dan mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang derhaka.” (Al-Nisa: 117)

Dalam Al-Quran Allah SWT mengatakan patung-patung yang diukir dan disembah oleh orang musyrik adalah inasan. Allah tidak menggunakan perkataan ‘ilah’ tapi malang sekali kebanyakan orang kita pula sewenang-wenang mengatakan patung berhala itu tuhan bagi orang agama tertentu. Seolah-olah kita pula menganggap Tuhan itu banyak. Ataukah ada di antara kita yang mengiktiraf patung berhala sebagai Tuhan bagi orang musyrik? Ataukah Tuhan itu dua jenis; satu Tuhan yang sebenar satu lagi Tuhan yang tidak sebenar? Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan. Kenapa kita tidak cermat dengan penggunaan kalimah Tuhan sedangkan dalam Al-Quran Allah menggunakan perkataan Ilah (Tuhan) hanya untuk diri-Nya? Lebih peliknya, bila ditanya kepada orang beragama penyembah patung berhala adakah yang disembahnya itu Tuhan bagi mereka, maka dijawab itu bukan Tuhan tapi untuk bertawassul (mendekatkan diri) kepada Tuhan. Sepatutnya yang perlu kita sebut ialah patung-patung berhala itu adalah sekutu-sekutu yang diada-adakan oleh orang musyrik. Sudah sekian lama perkataan Tuhan diguna sewenang-wenang contohnya wujud ejaan ‘tuhan’ (‘t’ huruf kecil) dan dijadikan kata imbuhan seperti ‘bertuhankan’.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah hanyalah berhala-berhala dan kamu mengadakan pembohongan. Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki daripada Allah dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.” (Al-Ankabut: 17)

Zainulazuddin said...

Assallam tuan..semua yang tuan jelaskan tadi adalah semuanya benar cuma satu saje saya nak tambah..alloh hanya satu tiada selain dari..dan kita tidak sembah alloh bagaimana orang kafir menyembah berhala..kita solat..itulah penyerahan segala galanya milik dia..bila orang kafir menyembah atau sembahyang pada tuhan berhala dia..itu adalah sama sekali tidak sama dengan perkataan solat kita..sembahyang akan menggunakan colok atau sebagainya.kalau tidak percaya dengan bahasa yang paling mudah..orang cina mau pergi mana..saya mahu pergi solat..ooo mau sembahyang ke..kita pun jawab..bukan saya mau solat..dia pun tidak tau apa itu solat..klau sembahyang semua agama tau..sedangkan pada pandangan dia sembahyang itu menyembah berhala..atau tok pekong dan sebagainya.kita dah berzikir dengan nama alloh tapi kita menyamai perbuatan solat kita dengan kita dengan menyembah..sedangkan solat itu adakah sama dengan sembahyang..waallahualam..

Zag Nawawi said...

Nak celah sikir.

Cuba betulkan:
" Apa nama kamu? "

" Siapa nama kamu ?".

" Apa yang kamu sembah ?"

" Siapa yang kamu sembah ?.

" Apa nama tuhan kamu ?".

" Siapa nama tuhan kamu? ".

" Allah tu apa?".

" Allah tu siapa?".

Apa maksud ayat ini:

Apa yang bising sangat tu?

Apa yang bising sangat tu?.

Maaf sekadar bertanya.

Mat Nor said...

Macammana ayat surah alfatihah yg bermaksud' engkaulah tuhan yg kami sembah dan kepada engkau kami minta pertolongan'

Anonymous said...

Surat Az-Zumar Ayat 45
وَإِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَحْدَهُ ٱشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ ۖ وَإِذَا ذُكِرَ ٱلَّذِينَ مِن دُونِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Arab-Latin: Wa iżā żukirallāhu waḥdahusyma`azzat qulụbullażīna lā yu`minụna bil-ākhirah, wa iżā żukirallażīna min dụnihī iżā hum yastabsyirụn

Artinya: Dan apabila hanya nama Allah saja disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat; dan apabila nama sembahan-sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati.

Anonymous said...

Surat Thaha Ayat 8
ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ

Arab-Latin: Allāhu lā ilāha illā huw, lahul-asmā`ul-ḥusnā

Artinya: Dialah Allah, tidak ada Ilah melainkan Dia. Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang baik),

Anonymous said...

Perbanyakkan menyebut nama Allah yang telah d wahyukan bukan nama tuhan nama ciptaan manusia

Anonymous said...

Islam ni adalah agama Tauhid ..WAJIB KITA MENGESAKAN ALLAH .. BUKAN MENGESAKAN TUHAN...SEBAB ITU DI KALIMAH TAUHID TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH...
ALLAH BERFIRMAN DI SURAH TOHA AYAT 14... SESUNGGUHNYA AKU INI ALLAH...TIADA TUHAN MELAINKAN AKU....DI SITU JELAS ALLAH MENAFIKAN TIADA TUHAN MELAINKAN DIA..MAKA ALLAH BUKAN TUHAN... ALLAHU RABBI MAKSUDNYA ALLAH PENDIDIK KU...