Pages

Tuesday, February 2, 2010

Cukuplah empat cahaya mata

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

SUDAH setahun Ziana Zain tidak muncul di khalayak ramai sebaik saja dia mengetahui dirinya mengandungkan anak kembar. Kemunculannya yang terakhir adalah pada Anugerah Juara Lagu ke-23, tahun lalu, sewaktu menyanyikan lagu Dingin yang turut bersaing pada pertandingan berkenaan.

Majlis sambutan ulang tahun kedua portal hiburan murai.com.my pada 15 Januari lalu melakar sejarah sebagai kemunculan pertama penyanyi Madah Berhelah ini pada acara umum, selepas setahun berehat kerana melahirkan pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, pada 23 Julai tahun lalu.

Sebaik saja mengetahui Ziana antara selebriti yang memeriahkan majlis berkenaan, maka tumpuan wakil media juga dengan sendiri terarah kepadanya. Kebanyakan wartawan hiburan yang hadir memburu artis wanita jelita ini, apabila sudah lama Ziana tidak berkongsi ceritanya bersama peminat.


Lalu, sebaik saja tugas Ziana memperagakan rekaan Syaiful Baharim pada acara itu selesai, bilik rehatnya tiba-tiba dipenuhi wartawan yang menagih kisah terbaru wanita ini. Sebagaimana biasa, Ziana tidak lokek cerita. Malam itu, apa saja soalan yang ditanya, jawapannya laju saja keluar daripada mulutnya.

Ziana sendiri kelihatan anggun dalam rekaan Syaiful serta solekan Chomel. Kelangsingan tubuhnya juga kelihatan, walaupun penyanyi ini memberitahu, dia masih berusaha untuk menurunkan sedikit lagi berat badan. Kini, beratnya ialah 51.5 kilogram.

Masih menggunakan khidmat yang ditawarkan jenama melangsingkan badan kepercayaannya, SlimWorld, Ziana berkata, sudah tujuh tahun dia bersama syarikat penjagaan kesihatan dan kecantikan berkenaan iaitu sejak kelahiran anak kedua, Muhammad Ammar.

Selain Ammar, Ariel dan Kaseh, seorang lagi anak Ziana ialah Muhammad Aiman yang kini berusia 10 tahun.

Bercerita mengenai anak, sambil tersenyum Ziana berkata, empat orang ialah angka yang sudah pun dirasakan cukup baik buatnya. Apatah lagi dirinya sendiri memasuki usia 42 tahun pada tahun ini.

"Memanglah soal anak-anak ini ialah rezeki dari Tuhan. Bagaimanapun, Tuhan juga menganugerahkan kita akal fikiran. Lalu, kita sendiri boleh berfikir sendiri, apakah jumlah anak yang ada sekarang mampu ditampung keadaan ekonomi kita? Soal menambah zuriat sebenarnya banyak berkait rapat dengan keadaan ekonomi.

"Dulu, keadaan kehidupan kita sedikit berbeza. Usaha membesarkan anak tidaklah semahal sekarang. Kini, semuanya bersangkut paut dengan wang ringgit. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang tinggi, termasuklah pendidikan mereka," kata Ziana memberikan contoh.

Artis itu juga memberitahu, dia tidak pernah berniat mahu menyorok pasangan kembar berusia enam bulan itu daripada orang ramai. Dia sememangnya ingin memperkenalkan Ariel dan Kaseh kepada umum, cuma waktunya belum tiba. Namun, Ziana membayangkan saat itu akan tiba sedikit masa lagi.

Jelas Ziana, bayi berkenaan dilahirkan pramatang dan kebetulan pula, dia tidak mempunyai pembantu. Justeru, usaha memperkenalkan anak kembarnya itu kepada umum sedikit tertangguh.

"Bagaimanapun, kini kedua-duanya bayi yang aktif, walaupun mereka lahir ke dunia ketika usia kandungan saya baru lapan bulan," cerita Ziana mengenai cahaya mata kembar tidak seirasnya itu yang kini masing-masing seberat 6.3 kilogram (Ariel) dan 5.3 kilogram (Kaseh).

Katanya juga, pengalaman menjaga anak kembar agak mencabar. Pada hari majlis ulang tahun Murai berlangsung, dia sendiri sudah berjaga sejak empat pagi kerana melayan kerenah kedua-dua anak bongsunya.

"Walaupun waktu agak terbatas untuk diri sendiri kerana lebih banyak masa diberikan kepada mereka, tetapi ia pengalaman yang menggembirakan. Saya berasa seronok kerana mendapat anak ‘ekspres’.

"Memanglah sakit sewaktu melahirkan mereka dulu. Namun ia kesakitan yang berbaloi. Apatah lagi saya sendiri begitu lama menunggu untuk mendapatkan anak perempuan. Sudah lama saya berangan untuk membeli baju anak perempuan. Kini, tercapai jugalah impian saya," ujarnya.

INFO:

  • KATA Ziana, pada awalnya dia merancang untuk membuat penampilan pertama pada Februari ini. Namun, demi kawan-kawan, dia akhirnya akur dengan undangan Murai.
  • ZIANA menganggap, tempoh mengandungkan anak kembarnya itu sebagai waktu terbaik untuk berehat selepas bekerja tanpa henti buat sekian lama.
  • IBU Ziana Zain juga dilahirkan kembar seiras.
  • ZIANA akan membuat kemunculan semula dalam dunia seni menerusi single terbaru. Ketika ini, dia masih belum memutuskan, single mana yang akan diketengahkan terlebih dulu. Dia mempunyai beberapa lagu yang mampu diangkat sebagai single baru pada 2010.
  • ARTIS ini turut ditawarkan untuk muncul dalam dua program televisyen. Satu daripadanya memerlukan dia bertugas sebagai pengacara, manakala sebuah lagi ialah Mentor. Ketika yang sama, Ziana sedang menimbangkan pembabitannya dalam persembahan teater kanak-kanak pada musim cuti sekolah nanti.

No comments: