Pages

Tuesday, February 2, 2010

'Ayah tolak kepala saya'

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/02/02
PELABUHAN KLANG: “Ayah tolak kepala saya ke atas. Kemudian saya lihat ayah tenggelam perlahan-lahan. Saya berenang hampir 15 minit sebelum diselamatkan dua nelayan Pulau Ketam,” kata Mohd Amirul Sahidan, 15, ketika ditemui di markas operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) di Pulau Indah di sini, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam trak polis, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam trak polis, semalam.
PILU...Mohd Amirul menceritakan tragedi yang mengorbankan bapa dan bapa saudaranya.
PILU...Mohd Amirul menceritakan tragedi yang mengorbankan bapa dan bapa saudaranya.
Dia dan Ahzad Shahrizad Abdul Latif, 23, menyelamatkan diri dengan berenang sebelum diselamatkan nelayan selepas tercampak daripada bot, manakala ayahnya, Sahidan Ibrahim, 45 dan bapa saudara, Adha Ibrahim, 33, maut.

Menceritakan kejadian itu, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah itu berkata, sejurus mereka tercampak ke laut, ayah merangkul dan cuba menyelamatkannya daripada lemas sebelum dia dapat berenang, manakala ayahnya tenggelam.

“Sebelum tenggelam ayah beberapa kali panggil nama Pak Su ‘Daha... Daha...Daha’, tetapi Pak Su ketika itu sudah tenggelam.

“Saya hanya mampu melihat ayah tenggelam perlahan-lahan, tak dapat buat apa-apa,” katanya.

Tragedi memilukan itu berlaku selepas ahli keluarga berkenaan keluar memancing kira-kira jam 9 pagi kelmarin menggunakan jeti Pelabuhan Klang, bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi keempat-empat mangsa yang menaiki bot itu tercampak dalam laut selepas terlanggar sesuatu dengan kuat.

Ketika kejadian, air surut serta berlumpur dan ia dipercayai menjadi antara punca yang menyebabkan pemandu bot itu gagal melihat objek dalam air walaupun keadaan cuaca baik.

Mohd Amirul, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, sebelum keluar memancing, seolah-olah ada petanda buruk apabila bapa saudaranya cuba membuka rantai mengikat bot, tetapi kunci patah.

“Pak Su patah balik ke Kampung Delek dan ambil gergaji untuk potongnya, baru dapat dan kami semua keluar ke laut.

“Sepanjang perjalanan juga tidak ada apa-apa perubahan pelik dan saya hanya diam, manakala ayah dan Pak Su Ahzad bersembang dan sesekali ketawa kecil,” katanya.

Kedua-dua mayat itu tiba di PGM kira-kira jam 3.30 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian.

No comments: