Pages

Thursday, February 25, 2010

BAB KEDUA: ASAL USUL PERMUSUHAN SYAITAN KEPADA MANUSIA.

Pada mulanya syaitan sudah sedia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana syaitan adalah dari jenis jin dan makhluk jin pula telah sedia ada sebelum Adam ‘alaihi salam dicipta oleh Allah. Kemudian Allah mencipta manusia:






Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:


“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering,


yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”


[al-Hijr 15:28]






Setelah mencipta manusia, Allah memerintahkan para penghuni langit yang terdiri daripada para malaikat dan jin untuk sujud kepada Adam. Termasuk dari kalangan para penghuni langit ialah iblis. Akan tetapi memandangkan penghuni langit majoritinya ialah malaikat, maka mencukupi perintah sujud ditujukan kepada para malaikat sahaja. Maka bersujudlah para penghuni langit semuanya kecuali iblis:






Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam.”


Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia


dari golongan yang kafir. [al-Baqarah 2:34]






Mengapakah iblis enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur. Apakah yang dimaksudkan dengan sikap takbur? Allah menjelaskannya dalam beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.






*


Takbur ialah sikap ujub.


Ujub ialah sikap yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut:






Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu


daripada sujud ketika Aku perintahmu?”


Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan)


jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”


[al-A’raaf 7:12]










*


Takbur ialah sikap menghina orang lain.


Salah satu maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia:






Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut


bersama mereka yang sujud itu?”


Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang


Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering,


yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”


[al-Hijr 15:33]










*


Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah Allah.


Apabila diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.






Setelah dinilai, iblis mendapati perintah tersebut adalah tidak logik kerana api dan tanah tidak berada pada kedudukan yang sama. Antara keduanya, tentu api lebih mulia dari tanah. Justeru takkanlah sesuatu yang dicipta dari api perlu sujud kepada sesuatu yang dicipta dari tanah?






Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:


“Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata:


“Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”


[al-Isra’ 17:61]










*


Takbur ialah mempersoal perintah larangan Allah.


Setelah menilai bahawa perintah sujud kepada manusia adalah tidak logik, iblis bukan sahaja enggan sujud tetapi memberanikan diri menyoal Allah akan perintah-Nya! Perhatikan sikap iblis ini yang Allah ungkapkan dalam al-Qur’an:






Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah kepadaku,


inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”


[al-Isra’ 17:62]






Demikian empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis yang menyebabkan ia dihalau keluar dari langit:






Allah berfirman: “Turunlah engkau dari (langit) ini,


kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya;


oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”


[al-A’raaf 7:13]






Hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan sikap-sikap tersebut tidak lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap dengannya. Hendaklah kita memiliki sikap rendah diri, memuliakan orang lain, tunduk kepada wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta tidak mempersoalkannya.






Merujuk kepada penggunaan akal dan logik oleh iblis, maka manusia terbahagi kepada dua sikap yang ekstrim:






· Ekstrim Pertama adalah mereka yang mengunggulkan akal di atas wahyu sehingga mereka sentiasa tetap menilai sama ada sesuatu ayat al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang sahih adalah logik atau tidak. Jika logik mereka beriman kepadanya, jika tidak mereka kufur terhadapnya.[1]






· Ekstrim Kedua adalah mereka yang menafikan peranan akal terhadap wahyu sehingga mereka membiarkan al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang sahih sebagai huruf-huruf yang tercatit di atas lembaran-lembaran. Mereka tidak berusaha untuk memahaminya, melaksanakannya dan tidak berijtihad dalam persoalan yang dibolehkan oleh wahyu untuk diijtihadkan.






Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berada di pertengahan di antara dua ekstrim di atas. Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, akal ialah sesuatu yang bermanfaat jika ia digunakan sesuai dengan peranannya. Ini kerana orang yang berakal cemerlang ialah mereka yang tahu mendudukkan akal pada peranan yang dengan itu ia diciptakan. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak mengunggulkan akal di atas wahyu dan pada waktu yang sama tidak menafikan peranan akal di dalam wahyu. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berada di pertengahan, iaitu akal digunakan untuk memahami wahyu, berfikir cara untuk melaksanakan wahyu dan berijtihad dalam persoalan yang dibolehkan oleh wahyu untuk diijtihadkan.






Permusuhan iblis kepada manusia tidak berhenti dengan sikap takburnya, tetapi dilanjutkannya dengan permusuhan yang berkekalan sehingga Hari Kiamat. Setelah enggan sujud kepada manusia, iblis bertekad:






Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”


[al-A’raaf 7:14]






Dalam tempoh tersebut, iblis secara khusus dan syaitan secara umum, berjanji akan bertungkus lumus mengganggu manusia dengan objektif utamanya:










*


Agar manusia menjadi sesat:


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:






(Iblis berkata): Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat,


tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia),


kecuali sedikit (di antaranya).


[al-Isra’ 17:62]






*


Agar manusia menjadi kafir:


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:






(Demikian) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia:


“Berlaku kufurlah engkau!”


[al-Hasyr 59:16]






*


Agar manusia syirik kepada Allah:


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkhutbah:






أَلاَ إِنَّ رَبِّي أَمَرَنِي أَنْ أُعَلِّمَكُمْ مَا جَهِلْتُمْ مِمَّا عَلَّمَنِي يَوْمِي






هَذَا كُلُّ مَالٍ نَحَلْتُهُ عَبْدًا حَلاَلٌ وَإِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ






كُلَّهُمْ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمْ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ وَحَرَّمَتْ عَلَيْهِمْ






مَا أَحْلَلْتُ لَهُمْ وَأَمَرَتْهُمْ أَنْ يُشْرِكُوا بِي مَا لَمْ أُنْزِلْ بِهِ سُلْطَانًا .






Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku menyuruhku untuk mengajar kalian


apa yang kalian tidak tahu dan Allah telah mengajarku pada hari ini,


iaitu setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba


adalah halal dan sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku


semuanya dalam keadaan (fitrah yang) cenderung kepada agama yang lurus (Islam).






Akan tetapi syaitan-syaitan mendatangi mereka dan memalingkan mereka


dari agama mereka (Islam) dan mengharamkan ke atas mereka


apa yang Aku halalkan bagi mereka.


Dan syaitan-syaitan itu menyuruh mereka mempersekutukan Aku


dengan apa yang tidak Aku berikan keizinan kepada mereka.[2]










*


Agar manusia memasuki neraka:


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:






Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu,


maka jadikanlah ia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya);


sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.


[Fatir 35:06]






Dalam ayat keenam surah Fatir di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa syaitan adalah musuh kita dan dengan itu Allah memerintahkan kita untuk menjadikannya sebagai musuh juga. Untuk menjadikan syaitan sebagai musuh, kita perlu mengetahui ciri-cirinya agar dengan itu kita dapat mengetahui sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak. Ciri-ciri ini akan kita dedahkan dalam bab seterusnya insya-Allah.














************










Penjelasan Tambahan: Sebab sebenar syaitan menjadi sesat.






Dalam penjelasan di atas, kita mengetahui bahawa iblis enggan sujud kepada Adam kerana sikap takbur yang dimilikinya. Seterusnya kita juga telah memperincikan apa yang dimaksudkan dengan sikap takbur tersebut.






Akan tetapi dalam ayat 39 surah al-Hijr, iblis berkata bahawa yang sebenarnya menyebabkan dia tersesat ialah Allah dan bukannya sikap takbur. Perhatikan perkataan iblis di akhir ayat berikut:






Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut


bersama mereka yang sujud itu?”






Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia


yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering,


yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”






Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya,


kerana sesungguhnya engkau dari sekarang


ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.


Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus


hingga ke Hari Kiamat.”






Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian,


berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (Hari Kiamat).”


Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu,


maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.


Hingga ke hari - masa yang termaklum.”






Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,


(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan


(segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya


di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”


[al-Hijr 15:32-39]










Dalam perenggan terakhir di atas, iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…”, seolah-olah iblis menyandarkan segala kesalahannya dari awal (enggan sujud) hinggalah yang terkini (diusir dari langit) berpunca dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kemudian, perkataan iblis itu tidak pula dibantah oleh Allah.






Tanpa adanya bantahan dari Allah, apakah dengan itu perkataan iblis adalah benar dan ia bukan tuduhan semata-mata? Adakah sememangnya Allah yang sengaja menjadikan iblis takbur dan sesat sehingga diusir dari langit?






Persoalan ini dijawab bahawa kesalahan iblis secara keseluruhannya berpunca dari dirinya sendiri. Kesalahan tersebut bermula dari iblis yang memilih untuk bersikap takbur sehingga melawan perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Atas pilihan iblis inilah Allah menyesatkannya. Ini kerana merupakan peraturan Allah (sunnatullah) bahawa sesiapa yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah dari perintah-Nya, maka Allah akan memaling orang tersebut dari hidayah-Nya sehingga menjadilah dia orang yang sesat. Ayat berikut menjadi rujukan:






Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya),


Allah memalingkan hati mereka (dari mendapat hidayah);


dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah


kepada kaum yang fasik - derhaka.


[al-Saf 61:05]






Peraturan ini tidak saja berlaku terhadap perintah Allah tetapi juga berlaku kepada orang yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:






Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya


kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain


dari jalan orang-orang yang beriman,


Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya.


[al-Nisa 4:115]






Maka apabila iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…”, ia merujuk kepada tindakan Allah yang memalingkan iblis dari hidayah-Nya, mengusir iblis dari langit dan melaknatnya terus menerus hingga Hari Kiamat. Akan tetapi semua ini berlaku bukan kerana Allah tetapi kerana sikap iblis sendiri yang pada awalnya menentang perintah Allah.






Perkataan iblis “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…” tidak dibantah oleh Allah kerana merupakan peraturan-Nya bahawa sesiapa yang melawan perintah-Nya, Allah akan menjadikan orang tersebut sesat.






Apa yang berlaku kepada iblis hendaklah dijadikan iktibar yang penting oleh kita semua. Apabila sampai ke pengetahuan kita “Firman Allah” atau “Sabda Rasulullah”, hendaklah serta merta merendahkan diri dan taat kepadanya. Jangan berpaling, melawan atau membantahnya kerana mungkin sahaja Allah akan memaling hati kita dari hidayah-Nya sehingga menjadilah kita dari kalangan orang-orang yang sesat.






Mutakhir ini telah menjadi satu kelaziman orang yang apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah yang tidak selari dengan logiknya, mazhabnya, ajaran tok gurunya atau amalan kebiasaannya, dia berpaling, melawan dan membantah dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.






Ada yang cuba berdalih dengan menyalah-gunakan kaedah-kaedah usul fiqh, konon ayat tersebut terbatas kepada Asbab al-Nuzulnya (sebab-sebab turunnya), hadis tersebut terbatas kepada Asbab al-Wurudnya (sebab-sebab lahirnya), konon ‘illat (sebab) di sebalik perintah larangan ayat atau hadis itu telah hilang pada masa kini dan konon yang penting ialah tujuan syari‘at (maqasid) dan bukannya firman Allah mahu pun sabda Rasulullah.






Semua ini adalah sesuatu yang amat merbahaya kepada orang itu sendiri kerana mungkin sahaja dengan sikap sedemikian, Allah akan memalingkan hatinya dari hidayah-Nya sehingga menjadilah dia dari kalangan orang-orang yang sesat.






Sebaliknya orang yang apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah lalu dia terus berpegang dengannya, Allah menambahinya dengan hidayah-Nya. Oleh kerana itulah, anda akan mendapati orang yang pada awalnya hanya berpegang kepada beberapa ayat al-Qur’an yang ditemuinya, Allah menambahinya dengan puluhan lagi ayat al-Qur’an. Orang yang pada awalnya hanya berpegang kepada beberapa hadis yang ditemuinya, Allah menambahinya dengan puluhan lagi hadis. Sehingga akhirnya menjadilah orang tersebut pakar al-Qur’an dan hadis sekali pun dia baru mengenal agama dalam masa yang singkat.






Al-Qur’an dan hadis yang sahih merupakan hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala dan merupakan peraturan-Nya (sunnatullah) bahawa sesiapa yang akur menerima hidayah tersebut, Allah akan menambahinya dengan hidayah demi hidayah:






Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima hidayah), Allah menambahi mereka dengan hidayah,


serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.


[Muhammad 47:17]






Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah;


dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu,


lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.


[Maryam 19:76]










[1] Mereka yang bersikap seperti ini lazimnya berhujah dengan beberapa ayat al-Qur’an yang menyuruh manusia berfikir. Padahal jika dikaji dengan cermat ayat-ayat tersebut, akan diketahui bahawa:


1.


Manusia disuruh berfikir, bahawa di sebalik pelbagai benda dan hidupan yang ada di alam ini, sudah tentu ada yang menciptanya. Fikirannya akan berbisik: “Mustahil semua ini berlaku secara kebetulan.” Maka dengan fikirannya, dia akan beriman kepada kewujudan pencipta dan pencipta itu tidak lain ialah yang sejak awal menyuruh dia berfikir, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala.
2.


Manusia yang sudah mengenal Penciptanya, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala, juga disuruh berfikir, bahawa akalnya memang bijak tetapi sudah tentu yang menciptakan akal itu jauh lebih bijak. Fikirannya berbisik: “Jika akal aku bijak, hendaklah ia tunduk mengikuti wahyu dan bukan menentangnya.” Maka dengan fikirannya, dia akan beriman kepada apa jua khabar dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.


Ada pun orang yang menafikan wahyu atas alasan berfikir, maka dia sebenarnya telah menyalahgunakan pemikirannya. Bahkan dia sebenarnya belum menggunakan pemikirannya ke tahap kematangan yang maksimum.






[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2865 (Kitab al-Jannah wa Shifati…, Bab sifat-sifat yang dapat dikenali dengannya di dunia akan ahli syurga dan ahli neraka).

No comments: