hafiz firdaus abdullah
BAB KEEMPAT: TUJUH TIPU DAYA SYAITAN KE ATAS UMAT ISLAM
Dalam Bab Kedua kita telah mempelajari empat objektif utama syaitan ke atas manusia, iaitu:
1.
Menyesatkan manusia.
2.
Mengkafirkan manusia.
3.
Memusyrikkan manusia.
4.
Menjadikan manusia penghuni neraka.
Untuk mencapai objektif ini, syaitan memiliki pelbagai ciri dan kemampuan sebagaimana yang telah kita pelajari dalam Bab Ketiga. Dalam bab ini pula kita akan mempelajari bagaimana syaitan menggunakan ciri-ciri dan kemampuan tersebut ke atas umat Islam untuk mencapai objektifnya.
Terdapat dua kaedah yang digunakan oleh syaitan untuk mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya, iaitu:
Kaedah Pertama: Gangguan Secara Terus.
Kaedah ini lazimnya digunakan terhadap orang yang lemah penghayatan agamanya atau yang mengabaikan agamanya. Syaitan secara terus akan mengajaknya kepada kemungkaran yang jelas lagi diketahui ramai seperti minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan kaedah syaitan yang pertama ini:
Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu
ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan,
maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh
(pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]
Kaedah Kedua: Gangguan Secara Tipu Daya.
Kaedah ini lazim ditujukan kepada orang yang memiliki penghayatan agama atau berminat untuk meningkatkan penghayatan agamanya. Bagi orang seperti ini, kaedah gangguan secara terus jarang digunakan kerana mereka sudah mengetahui keharaman arak, judi dan zina. Maka syaitan menggunakan kaedah tipu daya, iaitu menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menipu manusia sehingga akhirnya tercapai objektifnya. Tipu daya ini sukar untuk dikesan, bahkan orang yang mengalaminya merasai bahawa dia sedang berada di atas hidayah dan kebenaran.
Insya-Allah dalam Bab Keempat ini saya akan menyenaraikan tipu daya-tipu daya yang dimaksudkan, diikuti dengan beberapa contoh bagaimana syaitan menjalankan setiap dari tipu daya tersebut. Perkara penting yang perlu diingatkan di sini ialah cara syaitan menjalankan tipu dayanya tidak terhad kepada contoh yang saya beri. Para pembaca sekalian hendaklah bijak mengkaji dan menganalisa untuk mengetahui cara-cara lain syaitan menggunakan sesuatu tipu dayanya.
Tipu Daya # 1: Menakutkan Umat Islam.
Tipu daya yang pertama ini dapat kita pelajari dari ayat berikut:
Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan
yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya.
Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tipu daya syaitan yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berhadapan dengan musuh dalam Perang Uhud. Lalu Allah mengingatkan umat Islam agar tidak takut kepada musuh, sebaliknya takutlah kepada-Nya.
Pengajaran penting dari ayat ini ialah tipu daya syaitan untuk meresapkan perasaan takut ke dalam hati dan fikiran manusia. Perasaan takut ini tidak terhad kepada menghadapi musuh dalam peperangan, tetapi meluas kepada pelbagai urusan lain. Antaranya ialah menuntut ilmu.
Syaitan mengetahui bahawa untuk mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan umat Islam dari ilmu berkenaan agama mereka. Syaitan mengetahui bahawa jika umat Islam menguasai ilmu agama, khususnya al-Qur’an dan al-Sunnah, amatlah sukar baginya untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Oleh kerana syaitan tidak dapat menghapuskan al-Qur’an dan al-Sunnah, ia beralih kepada menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan al-Sunnah.
Caranya? Lakukan tipu daya untuk menakutkan umat Islam dari menghampiri al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari menelaah al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari mendengar atau membaca sesuatu sumber ilmu yang dipenuhi dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Untuk menakutkan umat Islam dari ilmu agama, syaitan memiliki 3 bisikan yang amat masyhur:
Bisikan Pertama:
“Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut ilmu dengan syaitan”.
Bisikan ini amat masyhur sehingga ia berjaya menakutkan ramai umat Islam dari menuntut ilmu tentang agama mereka. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai sebuah hadis.
Sebenarnya berguru memang penting dalam Islam. Maksud berguru ialah seorang yang rendah ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya. Cara atau sarana berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan, menonton program di TV, mendengar rakaman, berdialog di internet dan duduk berhadapan (face to face). Oleh itu, sebagai contoh, jika seseorang sedang membaca buku Imam al-Nawawi rahimahullah, bererti dia sedang berguru dengan beliau.
Akan tetapi syaitan telah masuk campur merosakkan maksud berguru. Ia membataskannya kepada berguru secara berhadapan sahaja (face to face). Syaitan mengetahui bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam tidak akan dapat menuntut ilmu. Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah, kerja dan keluarga sehingga sukar untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali untuk beberapa ketika. Selain itu sukar pula untuk mencari guru yang berilmu, amanah dan jujur untuk berguru secara face to face dengannya. Maka setelah melakukan pembatasan tersebut, syaitan menakutkan orang ramai bahawa jika mereka menuntut ilmu tanpa guru, yakni tanpa face to face dengan seorang guru, maka orang itu sedang menuntut ilmu dengannya.
Bisikan syaitan ini dapat dilawan dengan penjelasan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dengan apa jua cara, asalkan ikhlas demi memperbaiki agamanya, maka yang akan menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah berjanji di dalam al-Qur’an:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh
kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami;
dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah
adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.
[al-Ankabut 29:69]
Bisikan Kedua:
“Anda perlu menguasai bahasa arab terlebih dahulu. Tidak boleh belajar agama tanpa bahasa arab.”
Melalui bisikan ini syaitan sekali lagi dapat menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu agama. Melalui bisikan ini ramai yang menggunakan masa dan tenaga yang dia miliki untuk belajar bahasa Arab. Bertahun-tahun belajar tetapi yang diketahui hanya sekadar “Aina anta?”
Sebenarnya pada masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak perlu menjadi prioriti untuk menuntut ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat banyak buku-buku bahasa Arab yang sudah diterjemah ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Selain itu terdapat juga buku-buku dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris yang dikarang oleh penulis yang menguasai bahasa Arab dengan baik. Buku ini mewakili pelbagai subjek seperti aqidah, tafsir, hadis, fiqh, akhlak dan lain-lain. Semua ini memudahkan kita menuntut ilmu agama tanpa perlu menguasai bahasa Arab.
Dalam konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu agama boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:
1.
Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya mengambil masa beberapa tahun belajar bahasa Arab dengan hajat ingin dapat membaca kitab-kitab klasik[1] seperti Tafsir al-Qurtubi dan Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi. Setelah beberapa tahun, segelintir di antara mereka ada yang berjaya. Namun kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa tahun tersebut, mereka masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang bahasa Arab. Akhirnya mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
2.
Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai aqidah yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang selari dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka juga menguasai ilmu tafsir, hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka mula memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab.
Ini kerana pada tahap awal proses menuntut ilmu, bahasa Arab tidak penting. Akan tetapi pada tahap seterusnya, bahasa Arab menjadi penting untuk mereka melanjutkan kajian kepada sumber-sumber yang belum diterjemahkan. Bahasa Arab juga menjadi penting dalam rangka menjawab orang-orang yang kononnya ahli dalam bahasa Arab tetapi sengaja mengubah terjemahan ayat al-Qur’an, hadis atau perkataan ulama’ silam dalam kuliah atau tulisan mereka demi membenarkan pandangan mereka yang menyesatkan.
Oleh kerana kumpulan ini sudah memiliki penguasaan dalam sesuatu subjek, mudah untuk mereka menelaah subjek tersebut dari sebuah kitab berbahasa Arab. Sebagai contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam bahasa Arab akan mudah ditelaah oleh orang yang mahir dalam subjek fiqh sekali pun dia belum mahir dalam bahasa Arab. Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab tetapi lemah dalam subjek fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk menelaahnya.
Ringkasnya, menguasai bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan dalam ilmu-ilmu agama, apatah lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya menakut-nakutkan umat Islam dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan syarat penguasaan bahasa Arab terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini dengan menuntut ilmu-ilmu agama dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah aqidah dan asas-asas agama seperti ilmu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah. Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan akhlak. Kemudian apabila anda memiliki masa dan tenaga yang lebih, berilah tumpuan kepada bahasa Arab.
Bisikan Ketiga:
“Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan kerana mungkin terdapat kesilapan terjemahan.”
Tidak ada buku yang sempurna dari kesilapan melainkan al-Qur’an. Selain al-Qur’an, kemungkinan wujudnya kesilapan memang ada. Demikian juga bagi buku-buku yang diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Kemungkinan kesilapan memang ada. Akan tetapi kemungkinan tersebut amatlah kecil. Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab terjemahan dan membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya katakan bahawa kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya syaitan yang membesar-besarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.
Lebih dari itu, kesilapan yang berlaku di sisi penterjemah boleh juga berlaku di sisi penterjemah yang lain. Jika anda menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat kesilapan ketika membaca sesebuah kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada zaman awal dan pertengahan Islam.
Oleh itu lawanlah bisikan syaitan ini dengan cara menelaah sesebuah buku terjemahan dengan teliti. Jika menemui sebuah kenyataan yang memusykilkan, bertanyalah kepada orang yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah dia akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau kemusykilan yang sebenarnya satu kebenaran.
Demikian tiga contoh bisikan syaitan yang masyhur dalam rangka menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu agama. Sungguh, apabila iblis berjanji di hadapan Allah: “Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya).” [al-Isra’ 17:62], ia tidak sangka bahawa amatlah mudah untuk melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat dilihat pada masa kini dimana majoriti dari umat Islam amat takut untuk belajar berkenaan agama mereka. Sekali pun sebahagian dari mereka memiliki kelulusan pendidikan yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang Islam. Mereka mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.
Apabila umat Islam tetap berada dalam keadaan jahil, mudah bagi syaitan untuk mencapai objektifnya menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Atas tipu daya syaitan ini, kita akan temui kebanyakan orang yang memiliki penghayatan agama melaksanakan penghayatan tersebut hanya dengan mengikuti orang-orang sebelum mereka atau kumpulan tertentu. Amat sedikit yang menghayati agama berdasarkan kefahaman yang jitu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf al-Shalih.
Bahkan tanpa ilmu agama yang sahih, iaitu ilmu yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, mudah untuk syaitan mencapai objektifnya itu dengan melakukan tipu daya memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar. Tipu helah ini akan kita kaji seterusnya insya-Allah.
Maka kepada para pembaca sekalian, jika terlintas di hati anda perasaan takut untuk menuntut ilmu, ketahui bahawa itu adalah lintasan dari syaitan. Ucaplah “A’uzubillahi minas syaitan nirrajim” dan terus memberanikan diri anda untuk menuntut ilmu.[2]
Selain menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu, syaitan juga menakutkan umat Islam dengan cara-cara berikut:
Ø Menakutkan dari menyampaikan ilmu yang hak. Bagi orang yang berilmu, syaitan menakutkan mereka dari menyampaikan kebenaran. Konon, jika dia menyampaikan kebenaran, dia akan kehilangan kerja atau akan disisih oleh masyarakat.
Ø Menakutkan dari bersedekah. Bagi yang ingin bersedekah, syaitan berbisik bahawa sedekah itu hanya akan merugikan dia atau orang yang dia sedekahkan itu akan mensia-siakan sedekah tersebut.
Ø Menakutkan dari bersikap jujur. Syaitan banyak mengganggu dengan ketakutan ini. Syaitan menghasut, konon martabat dan harga diri seseorang akan jatuh jika dia bersikap jujur untuk meminta maaf atas sesuatu kesilapannya atau berkata “Saya tidak boleh melakukannya” untuk sesuatu permintaan.
Oleh kerana itu dua frasa yang paling sukar untuk disebut ialah “Maaf, saya silap” dan “Saya tidak boleh”. Semakin tinggi kedudukan atau kemasyhuran seseorang, semakin sukar untuk dia menyebut dua frasa tersebut. Ramai memilih untuk bersikap diam atau membuat alasan-alasan yang lain, padahal sikap seperti itulah yang sebenarnya menjatuhkan martabatnya dan memurahkan harga dirinya.
Tipu Daya # 2: Memperindahkan Perkara Mungkar.
Apabila syaitan diusir dari langit, ia berjanji:
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan
(segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini,
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr 15:39]
Tipu daya ini telah dilaksanakan oleh syaitan kepada setiap generasi umat manusia dari awal:
Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul
kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad),
lalu syaitan memperindahkan pada (pandangan) mereka
akan amal-amal mereka (yang sebenarnya mungkar);
maka Dia-lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini (Hari Kiamat)
dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[al-Nahl 16:63]
Maksud memper-indahkan perkara mungkar ialah memberi pengaruh palsu kepada umat Islam bahawa apa yang sedang mereka lakukan adalah amal shalih yang baik lagi sesuai dengan Islam. Akan tetapi yang benar apa yang sedang dilakukan itu adalah amal mungkar yang buruk lagi bertentangan dengan Islam. Amatlah mudah bagi syaitan untuk memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar kerana sejak awal ia telah berjaya menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu (Tipu Daya # 1). Tanpa ilmu, umat Islam tidak dapat mengukur baik atau buruk sesuatu perkara berdasarkan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Terdapat beberapa cara syaitan memperindahkan perkara mungkar. Antaranya ialah dengan memberi nama-nama yang indah kepada sesuatu yang sebenarnya haram. Ini dapat kita pelajari dari pengalaman Nabi Adam ‘alaihi salam. Ketika Adam berada dalam syurga, Allah Subhanahu wa Ta'ala berpesan kepadanya, bahawa dia boleh memakan apa jua yang dia sukai kecuali satu jenis pohon (pokok):
Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga,
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai,
dan janganlah kamu hampiri pohon ini;
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah 2:35]
Syaitan ingin mengeluarkan Adam dari syurga. Bagaimana caranya? Ahaa! Tukar nama pohon yang “dilarang” kepada nama yang lebih indah, seperti pohon yang “memberi kehidupan dan kekuasaan yang kekal abadi”. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tipu daya syaitan ini:
Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu
pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya,
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
[Ta-Ha 20:120]
Tipu daya syaitan dalam memperindahkan perkara mungkar tidak terhad kepada menukar nama. Pada kesempatan ini saya ingin berikan dua contoh amalan yang lazim dilakukan oleh masyarakat yang telah diperindahkan oleh syaitan.
Contoh Pertama: Zikir Berirama.
Pada masa kini terdapat satu amalan yang semakin meningkat kemasyhurannya, iaitu zikir dengan suara yang kuat (jahr) secara beramai-ramai dengan mengikuti irama atau rentak tertentu. Zikir berirama sebenarnya sudah wujud pada zaman pertengahan Islam. Akan tetapi pada masa kini dengan adanya teknologi moden seperti mikrofon, alat pembesar suara, kaset, cakera padat dan sebagainya, zikir berirama pantas mendapat tempat di hati orang ramai.
Apabila ditanya, kenapa kalian suka kepada zikir berirama? Mereka menjawab bahawa zikir berirama menghasilkan banyak kebaikan seperti hati yang khusyuk dan jiwa yang terasa seolah-olah diberi suntikan hidup yang baru (revitalized and recharged). Sebahagian lain menjawab, keindahannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Kemudian mereka mengemukakan ayat berikut sebagai hujah:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.
Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
[al-Ra’d 13:28]
Sebenarnya yang mengindahkan zikir berirama ialah syaitan. Syaitan mengindahkannya agar dengan itu umat Islam terhindar dari zikir yang sebenarnya disyari‘atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, iaitu:
Dan sebutlah serta ingatlah (zikir) akan Tuhanmu dalam hatimu
dengan merendah diri serta dengan perasaan takut,
dan dengan tidak pula menguatkan suara (jahr) pada waktu pagi dan petang,
dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[al-A’raaf 7:205]
Berdasarkan ayat di atas, dapat diketahui bahawa zikir yang dihendaki oleh Yang kita tujukan zikir (Allah) ialah:[3]
1.
Ingatan dalam hati.
2.
Sikap merendahkan diri kerana mengingati kebesaran Yang sedang ditujukan zikir.
3.
Sikap takut kepada Yang sedang ditujukan zikir.
4.
Secara sirr dan bukan jahr. Sirr ialah menyebut bacaan zikir dengan lidah dan bibir sehingga bacaan dapat didengar oleh orang yang sedang berzikir dan orang di sebelahnya. Jahr ialah menyebut bacaan zikir dengan getaran kotak suara di kerongkong sehingga suaranya dapat didengar oleh orang ramai di sekeliling.
Apabila seseorang itu berzikir dengan cara, kalimah dan jumlah yang dikehendaki oleh Allah, maka Allah akan mengurniakan ketenteram hati seperti yang dijanjikan-Nya dalam ayat 28 surah al-Ra’d. Ada pun bagi cara, kalimah dan jumlah yang berbeza dari yang dikehendaki oleh Allah, maka yang mengurniakan ketenteraman hati bukanlah Allah tetapi syaitan.
Contoh Kedua: Memagar Rumah.
Zukfikli beberapa kali menjengok keluar dari pintu rumahnya. Sudah hampir 15 minit dia duduk di kerusi malas yang diletakkannya di hadapan pintu. “Bila jamaah masjid nak sampai? Harap tuk imam tidak ada urusan lain. Harap dia dapat datang seperti yang dijanjikan” Demikian bisik hati Zulkifli dengan penuh debaran.
Jam di dinding menunjukkan waktu 7.22 malam. Pada malam itu, selepas solat Maghrib, Zulkifli merancang membuat kenduri doa selamat dan majlis memagarkan rumah. Sejak beberapa minggu yang lepas, terasa seolah-olah ada sesuatu yang asing di rumah. Pintu dan tingkap bergerak sendiri padahal tiada angin yang bertiup. Sekali sekala di tepi anak mata ternampak seolah-olah ada bayangan yang bergerak. Namun apabila ditoleh, ternyata tiada apa-apa.
Jiran-jiran dan rakan-rakan di pejabat mencadangkan agar Zulkifli memagar rumahnya. Kata mereka, ada makhluk ghaib yang keluar masuk dan turut menumpang di rumahnya. Atas cadangan itu, Zulkifli menjemput imam masjid dan para jamaahnya untuk membuat kenduri doa selamat dan majlis memagar rumah.
Nasi minyak, ayam masak merah, kuah dalca dan acar buah telah siap disediakan. Akan tetapi di antara semua persediaan tersebut yang terpenting ialah 2 botol air mineral yang disediakan atas permintaan imam. Air-air tersebut akan dijampi, kemudian dituang di sekeliling rumah. Kata imam, air tersebut akan bertindak sebagai pagar ghaib yang memagar rumah dari makhluk ghaib. Zulkifli tidak tahu bacaan apa yang bakal dijampikan. Akan tetapi dia yakin, tuk imam tahu apa yang patut dibacakan.
“Samaikuuum!” Kedengaran bunyi salam di pintu pagar. “Waikumsalaaam” jawab Zulkifli, penuh kelegaan. “Jemputlah masuk” sambung Zulkifli setelah melihat tuk imam dan beberapa orang jamaah masjid sedang berdiri di pintu pagarnya.
Amalan memagar rumah adalah sesuatu yang masyhur di Malaysia. Orang memagar rumah kerana ingin melindunginya dari gangguan makhluk ghaib atau kerana menyangka makhluk sedang mengganggu rumahnya. Di sebalik semua itu, yang sebenarnya mengganggu ialah syaitan. Untuk sebahagian orang, ia mengganggu dengan membisikkan perasaan takut kepada makhluk ghaib (Tipu Daya # 1) agar dengan itu orang tersebut akan berusaha memagar rumahnya. Untuk sebahagian yang lain, ia mengganggu dengan mengerak-gerakkan pintu dan tingkap, membuat suara aneh, memberi mimpi buruk, merasuk dan pelbagai lagi. Semua ini dengan tujuan agar penghuni rumah berusaha untuk memagar rumah.
Kenapa amalan memagar rumah menjadi penting kepada syaitan? Kepentingannya dapat dijelaskan dengan langkah-langkah berikut:
1.
Syaitan tahu dengan memagar rumah, penghuninya akan meletakkan keyakinan kepada alat yang dianggap sebagai pagar. Alat itu mungkin air jampi, tongkat, penyapu lidi dan sebagainya. Maka untuk menghasut penghuni rumah memagar rumahnya, syaitan mengganggu mereka dengan bisikan ketakutan atau perbuatan yang aneh di rumah.
2.
Setelah alat tersebut dijampi dan penghuni rumah meletakkannya pada tempat yang sepatutnya, syaitan serta merta menghentikan gangguannya.
3.
Dengan terhentinya gangguan, penghuni rumah akan segera berkeyakinan bahawa “pagar”nya telah berjaya menghalau makhluk ghaib.
4.
Dengan keyakinan kepada sesuatu selain Allah untuk memelihara rumahnya dari mudarat, penghuni rumah telah syirik kepada Allah.
5.
Akhirnya tercapailah hajat syaitan untuk memusyrikkan umat Islam. Syaitan mengindahkan amalan memagar rumah padahal amalan tersebut sebenarnya adalah satu kemungkaran.[4]
Sebenarnya Islam telah pun mengajar amalan memagar rumah yang bersih dari unsur syirik. Ia amat mudah dan boleh dilakukan dengan sendiri. Caranya, ucaplah Basmalah (Bismillah) setiap kali hendak memasuki rumah. Tutuplah pintu dan tingkap dengan membaca Basmalah juga. Hadis-hadisnya boleh dirujuk dalam Bab Ketiga, ketika mengupas ciri syaitan # 12.
Kemudian hendaklah para penghuni rumah beristiqamah dengan perintah larangan agama. Kaedah yang mudah dalam persoalan ini ialah: “Jika kita takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, maka syaitan akan takut dari mengganggu kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah, maka syaitan juga tidak akan takut dari mengganggu kita.” Oleh itu jika penghuni rumah tidak takut kepada Allah sehingga berani mengabaikan perintah larangan Allah, syaitan juga akan berani mengganggunya. Sebagai contoh, bagi kes Zulkifli di atas, hendaklah dia tidak duduk di rumah menunggu jamaah masjid sampai. Sebaliknya hendaklah dia ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib berjamaah.
Tipu Daya # 3: Mempelbagai Jalan Kebenaran.
Di samping berjanji untuk memperindahkan perkara mungkar, syaitan juga berjanji untuk menghalang umat Islam dari jalan Allah (Shirat al-Mustaqim). Seterusnya ia akan membuat banyak jalan yang lain dan memperindahkannya sehingga umat Islam menganggap jalan-jalan tersebut adalah Shirat al-Mustaqim padahal ia bukan. Allah Subhanahu wa Ta'ala merakam perjanjian syaitan ini:
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)
menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat
menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat al-Mustaqim).
Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka,
dari kanan mereka serta dari kiri mereka;
dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
[al-A’raaf 7:16-17]
Perjanjian, atau lebih tepat, tipu daya syaitan ini benar-benar telah dilaksanakannya sejak dari zaman awal Islam sehinggalah pada masa kini. Syaitan menghalang umat Islam dari jalan Allah yang tulen lagi benar. Kemudian ia membuat banyak jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan menyebut bahawa ia akan datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat arah ini bukan bererti empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang dibukakannya. Ini umpama seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku dari hadapan, belakang, kanan dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti ada empat orang musuh, tetapi bererti ada banyak musuh yang datang dari semua sudut.
Tipu daya # 3 ini dilaksanakan syaitan bersama tipu daya # 1 dan 2. Pertama sekali, syaitan menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu. Tanpa ilmu, umat Islam tidak tahu yang benar Shirat al-Mustaqim dan yang mana tidak. Kemudian syaitan membuka beberapa jalan yang baru. Walaubagaimana pun syaitan tahu bahawa jalan yang baru tidak cukup untuk menarik umat Islam kepadanya. Perlu diletak sesuatu umpan di atasnya. Maka syaitan mengambil satu atau dua ajaran yang berasal dari Shirat al-Mustaqim dan meletakkannya di atas jalan baru tersebut sebagai umpan.
Bagi setiap jalan, syaitan meletakkan umpan yang berbeza-beza. Kemudian syaitan memperindahkan umpan tersebut, konon ia adalah ajaran yang paling penting dalam Islam. “Memadai memberi tumpuan kepada ajaran tersebut, nescaya lengkaplah Islam anda!” demikian bisik syaitan di depan pintu masuk bagi setiap jalan. Kemudian bagi setiap jalan ada syaitan dipertengahannya yang berbisik: “Hendaklah kalian bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran tersebut!” Maka orang yang berada di atas jalan-jalan tersebut menokok tambah ajaran itu sehingga ia akhirnya jauh berbeza dari apa yang asalnya diambil dari Shirat al-Mustaqim.
Kini setiap jalan sudah memiliki ajaran yang membentuk dasarnya yang tersendiri. Akhir sekali, syaitan memberikan nama-nama indah bagi setiap jalan untuk menarik lebih ramai orang ke atasnya. Nama-nama itu ialah apa yang biasa kita temui pada aliran-aliran yang wujud pada masa kini di dunia Islam. Berikut dikemukakan beberapa aliran yang masyhur diikuti dengan umpannya:
1.
Aliran Tareqat. Umpannya ialah zikir dan kebersihan hati.
2.
Aliran Dakwah. Umpannya ialah keluar sekian-sekian hari untuk berdakwah.
3.
Aliran Kepartian. Umpannya ialah menegakkan politik Islam dan kepimpinan negara.
4.
Aliran Liberal. Umpannya ialah membuka ajaran Islam agar sesuai dengan zaman.
5.
Aliran Khalifah. Umpannya ialah menegakkan khalifah umat Islam.
6.
Aliran Syi‘ah. Umpannya ialah mengangkat Ahl al-Bait menjadi khalifah umat Islam.
7.
Aliran Falsafah. Umpannya ialah ayat-ayat al-Qur’an yang menyuruh umat Islam berfikir.
Demikian beberapa contoh jalan-jalan yang dibuka oleh syaitan sehingga akhirnya muncullah di atas jalan-jalan tersebut aliran-aliran yang memiliki ajaran dasarnya yang tersendiri. Setiap orang akan menganggap jalan merekalah yang paling benar, paling baik hingga akhirnya berlakulah permusuhan, tuduh-menuduh dan sangkaan buruk antara satu sama lain. Padahal mereka semuanya adalah umat Islam. Semua ini adalah hasil tipu daya syaitan jua:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman),
supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan yang amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka;
sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
[al-Isra’ 17:53]
Orang-orang yang berada di atas jalan-jalan tersebut benar-benar menganggap mereka sedang mendapat hidayah dan berada di atas Shirat al-Mustaqim padahal mereka berada di atas jalan dan hidayah syaitan:
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar,
sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah.
[al-Zukhruf 43:37]
Hanya satu jalan yang betul, iaitu jalan Shirat al-Mustaqim yang dibuka oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Orang-orang yang berada di atas jalan ini dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.[5] Inilah satu-satunya jalan yang benar yang Allah perintah kita untuk berada di atasnya:
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain)
kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,
Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-An’aam 6:153]
Inilah juga jalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sesiapa yang memilih jalan lain sehingga berpecah menjadi puak-puak atau jamaah-jamaah, masing-masing puak atau jamaah dengan jalan yang tersendiri, maka Rasulullah berlepas diri dari mereka. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka
dan mereka menjadi berpuak-puak,
tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.
Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah.
Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak),
apa yang telah mereka lakukan.
[al-An’aam 6:159]
Sebelum beralih ke tipu daya seterusnya, ingin saya tegaskan semula apa yang telah saya sebut di bahagian Kata Pembuka, bahawa tujuan saya menyebut aliran-aliran di atas bukanlah untuk mencela para pengikutnya, tetapi untuk menyedarkan bahawa apa yang dipegang selama ini perlu dianalisa semula.
Jika di kalangan pembaca ada yang mengikuti salah satu dari tujuh aliran yang saya sentuh di atas, saya harap anda dapat bersikap adil dalam menganalisa aliran yang anda ikuti. Hayatilah ayat 153 serta 159 surah al-An’aam dan bandingkanlah dengan ayat 16-17 surah al-A’raaf. Kemudian renungilah ayat 37 surah al-Zukhruf. Cuba tanya diri anda dengan jujur: “Adakah saya akan mengikut aliran saya sekarang ini jika sejak awal saya telah mengetahui tipu daya syaitan # 3 ini?”
Tipu Daya # 4: Janji Dan Angan-Angan Kosong.
Allah Subhanahu wa Ta'ala membongkar tipu daya syaitan yang keempat ini dalam firman-Nya:
Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka
dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu
tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
[al-Nisa’ 4:120]
Cara syaitan melaksanakan tipu daya ini berkait rapat dengan tipu daya # 3 yang telah dipelajari sebelum ini. Seperti yang dijelaskan, setelah membuka jalan-jalan yang baru, syaitan meletak umpan di setiap pintunya dan menjemput umat Islam memasuki jalan tersebut kerana umpannya. Kemudian bagi setiap jalan, ada syaitan di pertengahannya yang berbisik agar umpan tersebut ditokok tambah sehingga jauh berbeza dari asalnya.
Akhir sekali, bagi setiap jalan ada syaitan di hujungnya. Syaitan ini kerjanya menabur janji kejayaan dan angan-angan kemenangan bagi orang-orang yang berada di atas setiap jalan. Bagi orang yang mengikuti jalan atau aliran tareqat, syaitan memberi janji dan angan-angan kosong jika mereka berzikir dengan jumlah sekian-sekian bagi setiap malam, kedudukan mereka akan naik dari awam kepada khusus. Bagi orang yang mengikut jalan atau aliran kepartian, syaitan memberi janji dan angan-angan kosong jika mereka terus memberi tumpuan kepada persoalan politik, status negara Islam akan dapat dicapai. Demikianlah seterusnya bagi setiap jalan atau aliran, syaitan menabur janji dan angan-angan kosong agar dengan itu umat Islam tetap setia kepada aliran masing-masing.
Tipu daya janji dan angan-angan kosong juga ditabur ke atas individu. Antaranya:
1.
Bagi orang yang banyak berbuat maksiat, syaitan menabur angan-angan agar tidak perlu bertaubat serta merta, sebaliknya tunggulah dulu hingga apabila mencapai umur persaraan.
2.
Bagi orang yang sedang menuntut ilmu, syaitan menabur angan-angan bahawa apabila dia mencapai kelulusan PhD., maka dia telah mencapai kemuncak ilmunya.
3.
Bagi orang yang bersolat lima kali sehari, syaitan menabur janji bahawa amalan itu sudah mencukupi, tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang lain.
4.
Bagi orang yang ingin membanteras bid‘ah, syaitan menabur janji bahawa jika dia bersikap keras, nescaya semua bid‘ah akan berjaya dihapuskan.
5.
Bagi orang yang ingin menegakkan sunnah, syaitan menabur janji bahawa jika dia bergerak pantas, sunnah akan dapat ditegakkan dengan sekelip mata.
Tipu Daya # 5: Mengubah Ciptaan Allah.
Tipu daya kelima ini dinyatakan sendiri oleh syaitan:
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran),
dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka
dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya
aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak)
lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu;
dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka
mengubah ciptaan Allah.”
[al-Nisa’ 4:119]
Dalam kenyataan di atas, syaitan berjanji akan melakukan beberapa perkara kepada umat Islam, iaitu:
1.
Menyesatkan umat Islam dari jalan Allah. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 3.
2.
Menabur angan-angan kosong. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 4.
3.
Membelah telinga binatang. Ini adalah amalan masyarakat jahiliyah dimana mereka membelah telinga binatang sebagai tanda binatang tersebut adalah istimewa dan dapat dijadikan sembahan atau korban kepada tuhan berhala mereka.
4.
Mengubah ciptaan Allah. Perkara keempat inilah yang menjadi tumpuan kita.
Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan Islam, apakah yang dimaksudkan dengan “mengubah ciptaan Allah”. Di antara mereka ada yang berkata, ia adalah mengubah anggota badan seperti mencacatkannya atau menokok tambah kecantikan. Di antara mereka ada yang berkata, ia adalah mengubah agama Allah, iaitu Islam. Pendapat kedua adalah lebih kuat berdasarkan rujukan kepada ayat berikut:
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan:
agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia
(dengan keadaan bersedia dari semulajadi - fitrah) untuk menerimanya.
Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu;
itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[al-Rum 30:30]
Maksud mengubah ciptaan Allah ialah mengubah agama Islam. Mengubah agama Islam bererti menambah, mengurang dan mengubah-suai dari yang tulen. Inilah juga yang disebut sebagai bid‘ah.
Satu contoh mudah, agama Islam yang tulen mengajar bahawa doa sebelum makan hanya dengan membaca Basmalah (Bismillahi Rahmani Rahim). Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang telah dikemukakan sebelum ini: “Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”[6]
Akan tetapi syaitan telah mengubah amalan ini kepada membaca doa yang berbeza. Sekali pun seseorang itu membaca Basmalah, syaitan menghasutnya untuk menambah dengan doa-doa yang lain. Ini adalah satu bid‘ah dan inilah perubahan agama yang diinginkan oleh syaitan. Mungkin di kalangan pembaca ada yang tertanya: “Bukankah membaca doa tambahan sebelum makan adalah satu kebaikan?” Pertanyaan ini dijawab, bahawa kebaikan yang sebenar berasal dari Allah dan Rasul-Nya. Ada pun selain itu yang dianggap kebaikan, ia tidak lain adalah tipu daya syaitan yang memperindahkan perkara mungkar (Tipu Daya # 2).[7]
Sebagai tambahan, dalam ayat 119 surah al-Nisa’ di atas, syaitan bukan sahaja akan menyuruh umat Islam membuat bid‘ah agama tetapi bersumpah bahawa ia benar-benar akan mengerah dan memastikan umat Islam membuat bid‘ah. Perhatikan semula kata-kata syaitan ini yang didahului dengan sumpah: “…dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”
Atas sumpah inilah kelihatannya syaitan berjaya menghasut sebegitu ramai umat Islam untuk membuat bid‘ah. Tidak sekadar itu, syaitan juga memastikan agar mereka yang membuat bid‘ah kekal dengan bid‘ah tersebut. Oleh kerana itulah apabila cuba ditegur orang yang membuat bid‘ah, teguran itu tidak lain hanya akan menyebabkan orang tersebut lebih bersungguh-sungguh dalam bid‘ahnya. Kecuali segelintir yang ikhlas beragama, mereka mengetahui bahawa bid‘ah adalah tipu daya syaitan. Maka mereka segera meninggalkan bid‘ah tersebut dan kembali kepada Islam yang tulen, yang belum mengalami perubahan.[8]
Tipu Daya # 6: Menjadi Jurucakap Allah.
Dalam ayat 169 surah al-Baqarah, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan:
Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:169]
Apakah yang dimaksudkan dengan “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui”? Mudahnya, ia seumpama menjadi jurucakap Allah. Syaitan akan menghasut seseorang itu untuk menjadi jurucakap Allah (spokesman anad spokeswomen for god), iaitu bercakap tentang Allah dan Islam tanpa ilmu pengetahuan. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui” merujuk kepada orang-orang jahiliyah dan kafir musyrik yang mendakwa Allah memiliki anak, malaikat ialah anak perempuan Allah dan berhala-berhala mereka ialah wakil Allah di muka bumi. Maha Suci Allah dari semua dakwaan itu.
Ada pun pada masa kini, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui” berlaku dalam beberapa bentuk. Berikut dikemukakan tiga contoh:
Contoh Pertama: Mengulas Sebab Di Sebalik Sesuatu Tragedi.
Apabila berlaku sesuatu tragedi alam seperti banjir, gempa bumi dan kemarau, akan ditemui orang-orang yang memberi ulasan: “Tragedi ini berlaku kerana kilang arak di sana”, atau “Semua ini berlaku kerana ajaran sesat penduduknya”. Seolah-olah yang mengulas itu mempunyai hubungan terus (direct line) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan kenapa sesuatu tragedi itu berlaku. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Benar bahawa semua tragedi, atau lebih tepat: bala’ berlaku dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala. Akan tetapi kita tidak tahu mengapa Allah menurunkan bala’ tersebut. Lebih dari itu tidak semua bala’ Allah turunkan kerana dosa yang pernah dilakukan oleh mangsanya. Ini kerana bala’ juga boleh jadi satu ujian Allah kepada para hamba yang dicintai-Nya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ
فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.
Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan besarnya bala’.
Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum,
Dia menurunkan bala’ kepada mereka.
Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya
dan sesiapa yang marah maka Allah murka kepadanya.[9]
Seandainya kita hidup bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya kepada baginda mengapa sesuatu bala’ berlaku, nescaya baginda sendiri tidak berani berkata apa-apa melainkan diam sehingga turun wahyu dari Allah untuk menerangkan sebabnya. Oleh itu sikap yang benar dalam menghadapi sesuatu tragedi atau bala’ bukanlah mengulas mengapa ia berlaku tetapi mengulas apa yang telah kita lakukan untuk membantu mangsanya.
Contoh Kedua: Menyampaikan Hadis Tanpa Menyemak Sumber Dan Darjatnya.
Menjadi satu kebiasaan di Malaysia bahawa hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam disampaikan tanpa memerhatikan sumber dan darjatnya. Apa saja yang dikenali sebagai hadis, maka ia terus dianggap sebagai benar-benar berasal dari mulut Rasulullah. Padahal apabila disemak hadis-hadis tersebut, nescaya kebanyakan darinya tidak memiliki asal usulnya atau memiliki darjat yang tidak menepati disiplin ilmu hadis sehingga tidak dapat disandarkan kepada Rasulullah.
Sama-sama diketahui bahawa ucapan Rasulullah adalah wahyu yang berasal dari Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan Islam)
menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis)
tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
[al-Najm 53:3-4]
Apabila sesuatu hadis disampaikan tanpa menyemak sumber dan darjatnya, orang yang menyampaikannya telah menjadikan hadis tersebut sebagai wahyu yang berasal dari Allah. Seolah-olah dia mempunyai hubungan terus (direct line) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan hadis itu dan ini. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Benar bahawa jumhur ilmuan membolehkan hadis yang ringan kelemahannya disampaikan untuk tujuan keutamaan amal (Fadhail al-Amal) dan menganjurkan yang baik serta mengancam yang buruk (al-Targhib wa al-Tarhib). Akan tetapi kebolehan ini hanya khusus untuk ahli hadis kerana hanya mereka yang tahu kadar kelemahan sesuatu hadis. Para agamawan seperti imam, khatib, ustaz dan ustazah bukanlah ahli hadis, oleh itu kebolehan di atas tidak meliputi mereka.
Contoh Ketiga: Membicara Agama Tanpa Ilmu.
Berbincang tentang Islam memang baik jika ia didasari kepada ilmu yang sahih. Sebaliknya berbincangan tentang Islam menjadi tercela jika ia dilakukan tanpa ilmu atau dengan ilmu yang menyeleweng. Mutakhir ini ramai orang yang suka berbincang tentang Islam. Sama ada ceramah di masjid, kuliah di surau, berbalas pandangan di internet atau sembang-sembang di kedai kopi, ramai yang suka berbincang tentang Islam. Tak kira sama ada orang-orang yang berbincang itu duduk dalam jurusan agama atau selainnya, pelbagai pemikiran, hukum dan petua dikemukakan tanpa henti. Seolah-olah Islam adalah sebuah cerpen agama, masing-masing boleh mengarang cerita khayalannya sendiri.
Lebih tepat, seolah-olah semua orang mempunyai hubungan terus (direct line) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah untuk menerangkan sekian-sekian pemikiran, hukum dan petua berkenaan agama-Nya. Padahal dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Jika hendak dibandingkan, 1400 tahun yang lalu terdapat seorang manusia yang terkenal amanah lagi jujur. Dia adalah seorang yang pendiam, tidak berkata-kata kecuali sesuatu yang benar dan bermanfaat. Dia adalah manusia yang amat disayangi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sehingga Allah melantiknya menjadi pesuruh-Nya bagi menyampai agama yang terakhir kepada manusia. Orang yang saya maksudkan ialah Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi sekali pun baginda memiliki kedudukan yang amat mulia di sisi Allah, Allah tetap memberi amaran kepadanya:
Dan kalaulah (Muhammad) mengatakan atas nama Kami sebarang kata-kata rekaan,
sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami,
kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya!
[al-Haqqah 69:44-46]
Tipu Daya # 7: Memberi Nasihat.
Tipu daya syaitan yang ketujuh adalah sesuatu yang tidak kita sangka-sangkakan. Memang, enam tipu daya yang pertama juga tidak kita sangkakan. Akan tetapi yang ketujuh ini melebihi enam yang pertama. Tipu daya syaitan yang ketujuh ialah, ia berpura-pura memberi nasihat kepada kita. Ia berbisik atau bercakap melalui lisan orang yang kita percayai sehingga kita yakin itu adalah nasihat yang jujur dari hati ke hati. Akan tetapi di sebalik nasihat tersebut, syaitan hanya ingin menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan kita ahli neraka.
Tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan:
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:21]
Satu contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya ini ialah seperti berikut:
(Allah berfirman) “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga
serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai
dan janganlah kamu hampiri pokok ini,
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.”
Setelah itu maka syaitan membisikkan (nasihat) kepada mereka berdua
supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka
yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:
“Tidaklah Tuhan kamu berdua melarang kamu berdua
daripada (menghampiri) pohon ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua
menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal
(selama-lamanya di dalam syurga).”
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:19-21]
Dalam peristiwa di atas, syaitan memberi nasihat kepada Adam dan Hawa: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” Nasihat ini pada zahirnya kelihatan baik, tetapi ia sebenarnya bersikap batu api dan provokatif. Dengan nasihat ini syaitan ingin menimbulkan keraguan, buruk sangka dan permusuhan kepada Adam dan Hawa terhadap Allah. Setelah memberi nasihat itu, syaitan bersumpah bahawa ia bukan dari kalangan yang menghasut Adam dan Hawa dengan kemungkaran, tetapi: “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
Dalam rangka melaksanakan tipu daya memberi nasihat, syaitan kadangkala membisikkan nasihatnya secara terus kepada orang yang ingin diganggunya. Pada ketika yang lain ia membisikkan nasihatnya kepada orang yang diyakini oleh orang yang ingin diganggunya. Diingatkan semula bahawa syaitan adakalanya menggunakan umat Islam sebagai agennya. Strategi ini pernah digunakan oleh syaitan terhadap para Nabi, maka bukanlah merupakan satu keanehan jika ia menggunakannya terhadap kita juga:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh
dari syaitan-syaitan manusia dan jin,
setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain
kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.
[al-An’aam 6:112]
Berikut dikemukakan dua contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya # 7 ini dengan menggunakan agen-agen umat Islamnya:
Contoh Pertama: Masalah Rumah Tangga.
Kepada para pembaca sekalian, umpamakan anda memiliki masalah rumah tangga. Bagi yang belum, berlakonlah seolah-olah anda baru bernikah dan kini memiliki masalah rumah tangga. Umpamakan masalah tersebut ialah pasangan anda akhir-akhir ini menjauhkan diri dari anda. Pasangan anda tidak mengucapkan salam ketika masuk rumah, tidak duduk semeja untuk makan malam dan tidak lagi meluangkan masa bersenda gurau bersama anda.
Kemudian ceritakan masalah ini kepada rakan pejabat, jiran, saudara atau sesiapa lain. Nescaya akan didapati nasihat yang lebih kurang berbunyi:
*
“Dia sekarang ada hubungan sulit dengan orang lain. Pergi selidik segera!”
*
“Dia sekarang dah hilang citarasa kepada anda. Tengoklah perut anda yang boroi tu! Malam nanti bila dia tidur, tiupkan di ubun-ubunnya ayat 31 surah ‘Ali Imran: Qul inkuntum tuhibbuna…”
*
“Cuba semak emel dan sms dia, mungkin ada hubungan dengan kekasih lamanya.”
*
“Ada orang dengki dengan kalian berdua. Pasti dah kena sihir agaknya.”
*
“Hmm! Confirm buatan orang. Aku kenal seorang bomoh ini yang boleh bantu engkau lawan balik!”
Nasihat-nasihat di atas atau apa-apa lain yang senada berasal dari syaitan. Sekali pun ia terbit dari mulut orang yang kita kenali, syaitan telah menjadikan orang tersebut agennya dan membisikkan kepadanya nasihat yang berbentuk batu api dan provokatif. Dengan nasihat sedemikian syaitan bermaksud untuk membesarkan jurang masalah antara pasangan sehingga akhirnya mereka bergaduh dan bercerai.
Ingat! Syaitan yang dapat menceraikan pasangan suami isteri akan mendapat kedudukan yang istimewa dan pujian dari iblis. Maka dia akan mencuba pelbagai tipu daya untuk mencapai kejayaan tersebut. Dalam hadis yang telah dikemukakan dalam Bab Ketiga ketika mengupas ciri-ciri syaitan # 11, kita telah mempelajari sebuah hadis yang bermaksud: Kemudian datang seorang tentera (syaitan) yang lain dan berkata: “Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.” Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[10]
Ada pun rakan yang bukan agen syaitan, kita akan dapat mengenali mereka melalui nasihat yang membina lagi positif, umpama:
*
Mungkin pasangan anda dimarahi ketua di pejabat sehingga menyebabkan dia merasa rendah diri. Gembirakanlah dia dengan puji-pujian bahawa dia adalah seorang ayah/ibu yang amat baik lagi disayangi oleh anak-anak.
*
Kalian sudah sekian lama tidak pergi bercuti. Take a few days off dan pergilah bercuti ke Langkawi. Pastikan anda yang belanja kos percutian.
*
Saya rasa ada sesuatu di fikirannya yang merungsingkan. Cubalah anda menghampirinya dan bertanya secara lemah lembut. Jadilah pendengar yang setia, nescaya dia akan meluahkan apa yang menjadikan dia rungsing.
*
Bilakah kali terakhir kalian berdua pergi dating? Tinggalkan anak-anak di rumah bersama seorang penjaga dan pergilah makan malam di restoran kegemarannya. Hanya kalian berdua.
*
Agaknya dia menjauhkan diri dari anda kerana anda sendiri menjauhkan diri darinya? Mungkin anda sedang rungsing memikirkan sesuatu atau ada masalah lain di bahu? Dekatilah dia, nescaya dia akan mendekati anda. Kemudian berkongsilah cabaran yang sedang di hadapi.
Ada pun rakan yang telah dijadikan syaitan sebagai agennya, nasihatilah dia dengan baik. Sekali pun dia telah memberi kepada anda nasihat yang buruk, janganlah pula dibalas dengan nasihat yang buruk juga. Ingat:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman),
supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka;
syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
[al-Isra’ 17:53]
Jika anda tidak pandai untuk memberi nasihat, hadiahkanlah kepada dia buku ini.
Contoh Kedua: Perkhidmatan Menghalau Syaitan.
Sejak beberapa bulan yang lalu, Zulkifli dan ahli keluarganya tidur lena setiap malam. Tidak ada yang menjagakan mereka kecuali bunyi deringan jam penggera pada pukul 7.30 pagi. Sejak rumah mereka dipagar dalam majlis yang dipimpin oleh imam masjid, Zulkifli tidak lagi mengalami gangguan makhluk ghaib di dalam rumahnya. Sebagai tanda terima kasih, Zulkifli tidak pernah lupa untuk mensedekah setandan pisang emas kepada masjid pada Jumaat pertama setiap bulan.
Akan tetapi pada pagi Ahad ini Zulkifli termenung lama. Sekejap tadi rakan lamanya datang melawat. Ketika sedang duduk di sofa ruang tamu, dia kelihatan seperti melihat-lihat sesuatu di siling rumah. Sama ada siling ruang tamu, ruang makan mahu pun dapur, kelihatan seperti dia ada melihat sesuatu.
“Ada apa Rashid?” Zulkifli akhirnya memberanikan diri bertanya.
“Hmmm!”
“Ehh! Macam engkau nampak sesuatu je?” tanya Zulkifli lagi. Perasaan ingin tahu semakin melonjak, lebih-lebih lagi disebabkan rakannya itu orang kuat agama. Beliau belajar agama di Timur Tengah, dah naik haji enam kali, umrah entah berapa kali. Poket seluarnya tidak pernah kosong dari biji tasbih. “Orang-orang agama ini boleh nampak apa yang aku tak nampak!” hati Zulkifli mencelah.
“Ada apa Rashid?” ulang Zulkifli lagi. Kesabarannya mula menipis.
“Kamu ada merasai apa-apa gangguan atau perkara aneh di rumah? Rashid akhirnya membuka mulut.
“Err! Akhir-akhir ini takde. Tetapi sebelum ini adalah. Aku dah panggil imam masjid untuk memagar rumah. Hebat juga imam tu, sekarang dah OK.”
“Oh begitu! Err…aku cerita sikit boleh?”
“Haa! Cerita apa? Teruskan. My ears are all yours.”
“Bismillah, dengan izin Allah, aku sebenarnya dapat melihat makhluk-makhluk ghaib. Aku dapat melihat apa yang engkau dan orang ramai tidak dapat melihat. Allah telah membuka hijab ini kepada aku” jelas Rashid dengan suara yang perlahan lagi penuh rendah diri. Matanya kini hanya fokus ke lantai.
“OK, syabas! Teruskan…”
“Bukan apa, apabila saja aku masuk pintu pagar rumah engkau, aku merasai kehadiran sesuatu. Apabila sudah masuk, ternyata aku lihat ada syaitan yang tertawan di siling-siling rumah engkau. Minta maaf…… maafkan aku, aku hanya mengkhabarkan sesuatu yang benar.”
“Iyya ke? Tetapi aku dah pagar rumah ni beberapa bulan yang lalu.”
“Benar, itulah yang menyebabkan makhluk-makhluk tu tertawan di siling”. Ulas Rashid sambil mendongak sebentar ke siling, kemudian merendahkan kembali pandangannya ke lantai. “Tawadhu’ sungguh sahabat aku ni. Dulu zaman sekolah tak pula macam ni. Baguslah.” bisik hati Zulkifli. Rashid meneruskan dengan suara yang rendah:
“Dulu apabila kamu memagar rumah ini, ia berjaya menahan syaitan dari masuk ke dalam. Akan tetapi makhluk yang sudah sedia ada di dalam, mereka tidak dapat keluar. Mereka tertawan di siling.”
‘Iyya ke? Patutlah aku rasa macam ada orang lain dalam rumah ni, tetapi aku buat-buat tak layan la. So … sekarang macam nak halau yang tertawan di siling tu?”
Rashid menjeling ke jam tangan Radonya. “Hmmm, aku ada appointment pukul 10 nanti di rumah hujung sana untuk halau syaitan. Aku tersampai awal, sebab itu aku singgah rumah engkau dulu, nak tengok rakan lama. Khidmat aku lazimnya setengah jam saja. Apa kata pukul 11 nanti aku singgah semula dan halau yang tertawan di siling tu?”
“Fuyoo! Engkau ini macam orang profesional saja?”
“Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang terpilih kedudukan masing-masing. Ada yang menjadi doktor, ada yang menjadi jurutera. Aku Allah pilih untuk menghalau makhluk yang mengganggu para hamba-Nya. Profesional tu tak lah, tetapi hari ini aku ada lima appointment. Jadi bila aku datang pukul 11 nanti, tak perlu sediakan makanan. Aku kena cepat, pukul 2 petang ada appointment lain.”
“Orait! Gua tabik sama lu! Hmmm… engkau ada yuran ke?
“Terima kasih kerana bertanya. Biasanya tiga ratus ringgit. Tetapi kawan punya pasal, dua ratus cukuplah.”
“Orait set! Aku tunggu engkau pukul 11 ya!”
Dalam contoh di atas, Rashid ialah agen syaitan. Bukan sebarangan agen, tetapi agen yang profesional. Agen-agen seperti ini banyak yang dikader oleh syaitan. Mereka menziarahi rumah, kedai, pejabat, kilang atau asrama, lalu memberi nasihat kepada para penghuninya tentang kehadiran syaitan, kemudian menawarkan khidmat menghalaunya. Apabila para penghuni menaruh keyakinan kepada agen-agen tersebut untuk menghalau syaitan dengan sekian jampi-jampian dan tangkal, tercapailah objektif syaitan untuk menyesatkan para penghuni tersebut.
Terdapat beberapa cara untuk membuktikan bahawa yang menziarah itu ialah agen-agen syaitan:
1.
Dia akan mendakwa melihat atau mengetahui kehadiran syaitan di rumah anda. Ini adalah pendustaan kerana syaitan adalah ghaib, ia tidak dapat dikesan oleh deria manusia.
2.
Dia akan menawarkan khidmatnya untuk menghalau syaitan tersebut. Tawaran ini memusykilkan. Mengapa minta izin? Teruslah menghalaunya. Tawaran ini tidak lain seumpama orang yang nampak pencuri yang sedang berusaha memasuki rumah jirannya. Dia tidak terus menghalau pencuri itu, sebaliknya menalifon jirannya meminta izin: “Mat, aku nampak ada pencuri sedang cuba buka pintu belakang rumah engkau. Engkau nak ke khidmat aku untuk menghalaunya?”. Di sini mungkin ada yang berpendapat, permintaan izin dilakukan terlebih dahulu kerana mungkin syaitan yang dimaksudkan adalah peliharaan tuan rumah. Pendapat ini dijawab: Bolehkah anda membeza antara pencuri yang sedang cuba membuka pintu dan anak jiran yang sedang cuba membuka pintu? Tentu boleh. Maka demikianlah juga, jika orang itu benar-benar dapat melihat syaitan, dia akan dapat membezakan sama ada itu adalah peliharaan atau tetamu yang tidak dijemput.
3.
Jika seseorang itu benar-benar dapat menghalau syaitan, maka syaitan akan lari sebelum dia menghalau mereka. Ini kerana syaitan amat takut kepada orang yang ikhlas dalam beragama, kuat imannya, teguh ketaqwaannya, menjadikan al-Qur’an sebagai panduan hidup dan al-Sunnah sebagai jalannya. Hanya orang seperti ini yang mampu menghalau syaitan. Akan tetapi dia tidak perlu menghalaunya kerana syaitan itu sendiri akan menjauhkan diri darinya. Maka jika orang seperti ini masuk ke dalam sebuah rumah yang dihuni syaitan, syaitan-syaitan itu akan serta merta lari bertempiaran.
4.
Dia akan menampilkan sifat-sifat rendah diri dan beragama. Sifat-sifat ini adalah solekan semata-mata untuk meraih keyakinan penghuni rumah. Yang menjadi ukuran ialah tindak tanduknya sama ada menepati al-Qur’an dan al-Sunnah atau tidak. Ada pun sifat mahu pun perkataannya, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengingatkan kita: Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). [al-Baqarah 2:204]
5.
Seandainya benar rumah tersebut dihuni syaitan, orang yang mengetahuinya akan mengajar para penghuni rumah cara-cara menghalaunya. Ini kerana cara-cara untuk menghalau syaitan hendaklah dilaksanakan sendiri oleh orang yang menghuni rumah tersebut. Jika dilaksanakan oleh orang lain yang hanya menziarah sekadar setengah jam, syaitan akan kembali sebaik saja orang itu balik. Ingat! Syaitan tidak jahil tetapi manusialah yang jahil.
Apa dan bagaimana cara-cara menghalau syaitan tersebut? Ikutilah bab seterusnya insya-Allah. Sebelum itu ingin ditarik perhatian para pembaca sekalian bahawa cara syaitan melaksanakan tipu daya-tipu dayanya bukanlah secara serta-merta, akan tetapi secara bertahap-tahap. Jika syaitan melakukannya dengan serta-merta, ia tahu umat Islam akan mudah menangkap tipu daya tersebut. Dalam ayat 64 surah al-Isra’, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman berkenaan syaitan:
Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu
dan kerahlah penyokong-penyokongmu… [al-Isra’ 17:64]
[1] Yang saya maksudkan dengan kitab-kitab klasik (turats) yang dikarang pada zaman awal Islam hingga ke zaman pertengahan. Kitab-kitab ini dikarang dengan nilai sastera yang tinggi dan dengan gaya bahasa serta istilah yang perlu difahami mengikut kriteria pengarang itu sendiri. Ia berbeza dengan kitab-kitab yang dikarang pada zaman mutakhir dimana bahasanya adalah mudah dan lancar.
[2] Lebih lanjut rujuk dua risalah saya yang berjudul Adab-Adab Menuntut Ilmu Agama dan Unsur-Unsur Yang Merosakkan Ilmu Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[3] Sengaja saya menggunakan ayat “Yang kita tujukan zikir” kerana kelihatannya banyak orang yang berzikir menujukan zikirnya kepada sesuatu selain Allah. Atas tujuan selain Allah inilah kita dapati pada masa kini ada orang berzikir dengan susunan kalimah dan jumlah bilangan yang tersendiri atau berdasarkan tunjuk ajar guru tersendiri. Bahkan ada yang menggunakan zikir sebagai tangga bagi mencapai kedudukan (maqam) yang lebih tinggi.
Berzikir ialah ibadah untuk mengingati Allah. Sebagai satu bentuk ibadah, hendaklah kita mengingati Allah sebagaimana Allah menghendaki diri-Nya diingati. Allah bukanlah rakan sebilik asrama, teman sekerja, pasangan hidup atau ahli keluarga yang dengan itu kita boleh mengingati-Nya dengan cara yang direka-reka sendiri. Sebaliknya Allah ialah Tuhan yang tidak mampu untuk kita ukur dan ketahui cara untuk mengingatinya. Atas dasar inilah Allah telah mengajar kalimah-kalimah zikir dan jumlah bilangannya melalui lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
[4] Lebih lanjut tentang hukum menggunakan tangkal dan jampi-jampian, rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[5] Kenapa ia disebut Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan mengapa ia tidak dianggap sebagai salah satu dari jalan syaitan? Jawapannya boleh ditemui dalam buku saya yang berjudul Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[7] Dalam bab ini terdapat sebuah hadis yang mengajar doa sebelum makan:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِاسْمِ اللَّهِ.
“Ya Allah, berkatilah bagi kami apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab neraka. Bismillah.” Hadis ini dikeluarkan oleh al-Thabarani dan Ibn al-Sunni, sanadnya memiliki kecacatan yang parah dan ia dinilai dha‘if jiddan oleh Syaikh ‘Amr bin ‘Ali Yasin dalam semakannya ke atas Kitab al-Adzkar li al-Nawawi (Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh, 2001), hadis no: 674 (Zikir-zikir ketika makan dan minum).
[8] Lebih lanjut tentang maksud bid‘ah, kriteria membezakan antara sunnah dan bid‘ah serta bahaya-bahaya bid‘ah kepada Islam dan umatnya, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[9] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar terhadap bala’).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
No comments:
Post a Comment