Pages

Monday, January 25, 2010

Terpaut Islam kerana sempurna

PADA usia 36 tahun, Jaclyn atau dikenali dengan nama Islamnya Suria mengucap dua kalimah syahadah. Syukur kerana hidayah daripada Allah SWT tidak pernah mengenal masa dan wanita itu yang pernah bertugas sebagai penyampai kandungan kitab Injil dan pastor di gereja akhirnya menerima cahaya-Nya.


Kisah Suria bukannya yang pertama sebaliknya sudah banyak dilaporkan sama ada di negara kita atau di luar dengan masing-masing punya sebab tersendiri mengapa mereka akhirnya menyembah Allah SWT yang Esa.


Apakah sebab mereka sanggup meninggalkan agama asal dan memeluk Islam walaupun terpaksa menempuh ranjau dan duri selepas menjadi penganut bahkan ada pula yang sanggup menyampaikan Islam kepada individu lain.


Berdasarkan kajian dibuat beberapa pihak, ada dua punca utama iaitu hilang kepercayaan terhadap agama asal dan terpaut kepada kebenaran Islam.


Perkembangan terkini menunjukkan Islam semakin diberi perhatian besar di Barat dan ramai di kalangan masyarakat negara berkenaan menganutnya kerana kesempurnaan yang terdapat di dalam Islam tidak terdapat dalam agama asal mereka.


Antara komen mereka terhadap Islam ialah ia agama yang mudah diamal, rasional dan praktikal. Mereka mendapati Islam adalah agama yang tidak dicampuri dengan unsur karut, ajarannya pula senang difahami dan mempunyai alasan kukuh untuk diamalkan selain ia benar-benar agama daripada tuhan.


Dalam masalah ketuhanan, tiada unsur paksaan bahkan Islam memberi hak kepada akal untuk memikirkan kebenaran kewujudan dan keagungan tuhan. Mereka mendapati al-Quran membentangkan kepada manusia terlebih dulu bukti kekuasaan Allah SWT supaya akal dapat membuat pertimbangan tentang kewujudan-Nya.


Islam juga tidak memisahkan antara keperluan jasmani dan rohani. Pengkaji Islam di Barat melihat Islam menunjukkan jalan ke arah kesempurnaan rohani tetapi bukan dengan jalan menjauhi kehidupan duniawi. Firman Allah SWT: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat hitungnya.” Islam menunjukkan jalan kehidupan yang sempurna. Pengkaji Islam di Barat turut melihat Islam memberikan bimbingan untuk setiap langkah kehidupan individu mahu pun masyarakat secara keseluruhan.


Risalah Islam juga dilihat untuk dan sesuai bagi seluruh umat manusia. Tuhan dalam ajaran Islam adalah tuhan yang Esa bagi seluruh alam.


Segala ajaran dalam Islam turut terpelihara daripada perubahan serta apa yang terdapat di dalam al-Quran pula tetap atas dasar juga nas yang sama tanpa ada perubahan sejak dulu, kini dan selamanya.


Semoga segala keterangan itu menambahkan minat kita untuk terus bersama Islam dan menyampaikannya kepada seluruh manusia dengan penuh keyakinan serta kebanggaan.


Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 5: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.


“Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikannya).”


Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments: