SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”
Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:
1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?
Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).
2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?
3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?
Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).
Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.
Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.
4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah?
Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had
KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:
1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.
2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.
3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:
a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.
b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.
c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.
d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.
e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
No comments:
Post a Comment