Pages

Friday, January 29, 2010

China nafi ceracak diberi nama Avatar

DUNIA

China nafi ceracak diberi nama Avatar


GAMBAR fail menunjukkan beberapa pelancong mengunjungi Ceracak Langit Selatan yang kelihatan seperti gunung dalam filem Avatar di Taman Kebangsaan Zhangjiajie, China.

--------------------------------------------------------------------------------


ZHANGJIAJIE - Pihak pentadbiran bandar di sini menafikan satu puncak tinggi yang dikenali sebagai Ceracak Langit Selatan di wilayah Hunan, selatan China, diberi nama baru iaitu Gunung Hallelujah Avatar sempena dengan pemandangan yang ditayangkan dalam filem sains fiksyen Avatar.

"Kami cuma menambah panggilan untuk gunung itu (Gunung Hallelujah Avatar). Nama sedia ada tidak ditukar," kata seorang pegawai pelancongan tempatan, Song Zhiguang seperti dilapor agensi berita Xinhua.

Sebelum ini, laman web pihak pentadbiran tempatan menyatakan satu majlis telah diadakan pada Sabtu lepas bagi menamakan semula gunung tersebut.

Pihak pentadbiran tempatan itu menyatakan bahawa ilham gunung-gunung terapung yang terdapat dalam filem Avatar itu diperoleh daripada Ceracak Langit Selatan setelah seorang jurugambar Hollywood merakamkan pemandangan di lokasi itu pada 2008.

Filem Avatar mengetepikan filem Titanic sebagai filem yang memperoleh kutipan tiket No.1 sepanjang zaman apabila ia mendapat kutipan AS$1.85 bilion (RM6.3 bilion) menerusi tayangan di seluruh dunia. - Agensi

No comments: