Pages

Friday, January 29, 2010

Pasukan khas, rakaman CCTV ‘buru’ suspek

Pasukan khas, rakaman CCTV ‘buru’ suspek
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Polis Kuala Lumpur menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes lempar kepala babi di Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pasukan khas itu ditubuhkan semalam dan telah bermesyuarat untuk merangka gerakan memburu individu yang terlibat.

“Polis kini menggemblengkan segala kepakaran risikan semua jabatan dalam usaha mendapatkan maklumat yang boleh membantu siasatan kes ini.

“Kita juga akan menjalinkan kerjasama dengan kontinjen polis negeri lain bagi mengesan mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kewangan Berhemat di Hotel Kuala Lumpur International di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sabtu, siasatan kes ini masih di peringkat awal dan pihaknya tidak dapat mendedahkan perkembangan siasatan.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya memberikan sedikit masa kepada pihaknya untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Saya minta mereka yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tampil membantu polis,” ujarnya.

Sementara itu, polis sedang menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di belakang Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun untuk mencari maklumat berkaitan kejadian lempar kepala babi yang berlaku awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihak polis yakin rakaman CCTV itu sedikit sebanyak mampu memberi petunjuk tentang individu yang terlibat.

Pada masa yang sama, katanya, beberapa individu telah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Polis juga sudah memulakan risikan dan siasatan di restoran-restoran yang menghidangkan haiwan eksotik bagi mencari dalang yang terlibat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil rumah ibadat di sini hari ini.

Menurut Arjunaidi, perjumpaan hari ini bagi meredakan penduduk selain menjelaskan usaha polis untuk segera menyelesaikan kes itu.

Beliau memberitahu, polis percaya beberapa insiden yang berlaku di rumah ibadat sebelum ini dilakukan oleh segelintir golongan yang cuba mengambil kesempatan untuk mencetuskan ketegangan kaum.

“Saya yakin majoriti rakyat di negara ini tidak suka dengan apa yang sedang berlaku manakala mereka yang terlibat pula bertindak seumpama menangguk di air yang keruh.

“Polis memandang serius perkara ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian antara kaum,” katanya.

No comments: