Pages

Monday, June 6, 2011

Leher lelaki dijerut dengan baju



ANGGOTA polis mengangkat mayat Kim Loong yang mati dijerut oleh pembunuhnya dalam kejadian di sebuah apartmen di Pandan Utama, Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Rutin hidup seorang wanita tua adalah datang ke rumah anak lelakinya di sebuah apartmen di Pandan Utama di sini tiga hari sekali untuk mengemas dan mengambil baju kotor lelaki itu.
Bagaimanapun, semalam Yoke Ching, 65, tidak menyangka kunjungan ke rumah anak kesayangannya, Ng Kim Loong, 45, pada pukul 8 pagi di tingkat lapan apartmen tersebut membuatkan dia trauma apabila menemui mayat lelaki itu terlentang di atas katil dengan kaki dan tangannya diikat.
Leher pengurus sebuah kedai jam di pusat beli-belah Lot 10 Bukit Bintang di sini yang masih bujang itu turut dijerut selain terdapat kesan lebam di muka.
“Saya sangka dia sedang tidur ketika saya datang. Selepas tunggu di ruang tamu selama setengah jam, saya jadi pelik sebelum meninjau ke dalam bilik tidur.
“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati dia telah mati dengan tangan dan kakinya diikat. Lehernya pula dijerut dengan baju,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

Tunang batal nikah melalui SMS


AIZAT merenung barang-barang hantaran untuk majlis pernikahan yang dibatalkan oleh tunangnya melalui SMS di Kangar semalam.


KANGAR - Impian seorang jurujual kereta di sini untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

Lebih melukakan hati lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, kiriman SMS oleh gadis tersebut dibuat kira-kira 11 jam sebelum majlis perkahwinan mereka diadakan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi semalam.

Ekoran terkejut dan terkilan dengan keputusan pasangannya itu, Aizat tidak dapat tidur semalaman dan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di sini semalam.

"Saya buat laporan ekoran rasa ditipu dan teraniaya oleh tindakan tunang saya dan keluarga perempuan yang membatalkan majlis akad nikah secara tiba-tiba.

"Saya sepatutnya bernikah dan bersanding hari ini (semalam) di rumah pengantin perempuan, namun impian saya musnah tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Aizat, pasangannya yang dikenali sebagai Amira, 20, membatalkan pernikahan mereka atas alasan abang gadis itu yang merupakan wali perempuan berubah fikiran pada saat-saat akhir.

"Dalam SMS itu, Amira kata dia tidak boleh meneruskan perkahwinan kerana abangnya yang patut menjadi wali perkahwinan marah kerana saya pernah menuduh keluarga Amira sebagai zalim," ujarnya.

Menurut Aizat, sebelum itu dia ada terlepas cakap perkataan zalim itu ekoran tertekan dengan keluarga tunangnya itu yang berkeras mahu wang hantaran sebanyak RM8,860 diserahkan sebelum majlis pernikahan diadakan.

Kosmo! Online - Negara

Tukang sapu sampah jadi terkenal kerana senaman gimnastik




SALAH satu kemahiran gimnastik yang ditunjukkan Zhang Xiufang semasa dia menyapu sampah di Beijing baru-baru ini.


BEIJING - Seorang tukang sapu sampah menjadi terkenal di daerah Chaoyang di sini selepas seorang lelaki merakamkan video yang menunjukkan dia melakukan pelbagai aksi senaman gimnastik semasa menyapu sampah, lapor sebuah akhbar semalam.
Ekoran klip video tersebut menjadi popular di YouTube, tukang sapu sampah itu, Zhang Xiufang diundang untuk muncul dalam satu program televisyen.
Menurut Xiufang, dia bekerja sebagai tukang sapu sampah bagi menyara seorang anak perempuannya yang masih bersekolah semasa suaminya sakit.
Dia berkata, senaman gimnastik itu dilakukan semasa menyampu sampah bagi mengubati kerinduan senaman Taichi yang dilakukannya pada waktu pagi sebelum dia mendapat pekerjaan sebagai tukang sapu sampah. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Taman untuk orang ramai tanam pokok ganja






PHOENIX - Sebuah syarikat yang beribu pejabat di California, weGrow membuka sebuah taman pokok ganja seluas sebuah pasar raya di sini pada Rabu lalu.
Taman itu menyediakan kemudahan kepada orang ramai yang mahu menanam pokok ganja milik mereka sendiri untuk tujuan perubatan.
Menurut pengasas syarikat itu, Dhar Mann, pihaknya menjual produk dan perkhidmatan kepada orang ramai yang mahu menanam pokok ganja.
Dia berkata, taman itu menawarkan 2,000 produk termasuk tanah, lampu dan ruang pengairan tetapi tidak menjual pokok ganja.
Seorang doktor juga disediakan di taman itu bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan kelulusan perubatan dan memohon kad kelulusan daripada Jabatan Kesihatan untuk menanam pokok ganja. - Reuters
Kosmo! Online - Dunia

Penunjuk perasaan rai Presiden Yaman cedera




SEJUMLAH penduduk meraikan kegembiraan di bandar Taez semalam selepas Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh dirawat di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi kerana cedera terkena serpihan kayu akibat bedilan roket.


SANAA, Yemen – Sejumlah penunjuk perasaan semalam menari, menyanyi lagu dan menyembelih lembu setelah Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh dihantar ke Arab Saudi untuk menerima rawatan selepas cedera dalam serangan roket di pekarangan istananya.
Ali dirawat di sebuah hospital tentera di Riyadh dan menjalani satu pembedahan yang berjaya di dadanya untuk mengeluarkan serpihan kayu akibat bedilan roket di sebuah masjid di pekarangan istananya pada Jumaat lalu.
Naib Presiden, Abed Rabbo Mansour Hadi kini menjadi pemangku presiden semasa ketiadaan Ali yang dirawat di Riyadh.
Timbalan Menteri Penerangan, Abde al-Janadi berkata, presiden itu akan pulang ke Yemen dan menyambung semula tugasnya selepas dia menjalani rawatan perubatan.
“Ali akan pulang semula. Dia berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan dia mungkin akan menyerahkan kuasa tetapi ia perlu dilakukan mengikut perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, rampasan kuasa gagal dilakukan oleh kumpulan kabilah yang menentang pemerintahannya.
Bagaimanapun, di jalan-jalan raya di sini, para penunjuk perasaan bergembira kerana mengenggap Ali akan berada di luar Yemen buat selama-lamanya selepas hampir 33 tahun memerintah.
Ketiadaan Ali di Yemen mencetuskan kebimbangan bahawa perebutan kuasa bakal berlaku di antara kabilah yang setia kepadanya dan yang taat kepada tentera.
Pergolakan di Yemen berlaku sejak empat bulan lalu selepas rakyat bangkit menuntut Ali meletakkan jawatan.
Ali menegaskan dia akan meletakkan jawatan hanya jika kalah dalam pilihan raya sebelum bersetuju untuk berundur mengikut perlembagaan.
Bagaimanapun, sehingga kini Ali masih belum meletakkan jawatan seperti yang dijanjikannya. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Sunday, June 5, 2011

100 jemaah Terkejut buku Yasin ada terselit gambar lucah

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

“Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

“Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

“Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

“Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

“Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

“Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing,” katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

“Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati.
indah.com: 100 jemaah Terkejut buku Yasin ada terselit gambar lucah

Ketaqwaan Sayidina Umar Ibnu Aziz


1. Sebaik sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata: " Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang turut memikul beban umat."

Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga wafatnya, tidak pernah tidur bersama dengannya.

2. Khadam (pembantu) kepada Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz merasa hairan kerana di malam hari titisan air mata khalifah itu sering jatuh menimpanya yang tidur di pangkin bawah.

Apabila khadam itu bertanya kepada Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz beliau menjawab, "Amanah Allah SWT yang dikurniakan kepada diriku seperti anggota tubuh, anak isteri dan sedikit harta benda. Aku cemas kalau-kalau aku tidak dapat menjawabnya di hadapan Allah SWT. Betapalah kini aku sedang memikul beban dan tanggungjawab umat Muhammad, seluruh urusan umat ini Allah SWT akan tanya kepada aku satu persatu, bolehkah aku melelapkan mata, lantaran aku menanggung segala beban umat ini."

3. Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz setiap minggu akan duduk berkumpul bersama para ulama untuk mendengar nasihat dan tarbiyah terutamanya dari kalangan ulama sufi. Kerana ulama sufi sering sahaja bercerita mengenai kehidupan akhirat. Di sini juga memperlihatkan betapa di zaman beliau para ulama sangat jujur dan berperanan mendidik masyarakat termasuk kepada pemimpin.

Suatu hari seorang ulama sufi bercerita mengenai nasib tiap-tiap khalifah sebelumnya yang diperolehi melalui mimpi. Kata ulama tersebut: "Aku melihat dalam mimpi betapa Khalifah Abu Bakar melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya. Begitu juga aku melihat giliran Khalifah Umar r.a melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya dengan selamat. Diikuti pula oleh KhalifahUthman dan beliau juga selamat. Khalifah Ali r.a juga aku lihat selamat melepasi Siratal Mustaqim."

Sambungnya lagi: "Selepas itu aku lihat tiba pula giliran tuan untuk melalui Siratal Mustaqim..."
Tiba-tiba saja Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz berkata, "Aku bagaimana yang engkau lihat?"
Ulama sufi itu dengan tenang bercerita, "Aku lihat tuan..."

Belum habis ulama sufi itu bercerita, tiba-tiba Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz menjerit, "Allahu Akbar" lalu beliau jatuh pengsan.
Beberapa ketika selepas itu beliau kembali membuka matanya dan bertanya, " Terus ceritakan apa yang kamu lihat mengenai aku."
Ulama sufi itu mengulangi lagi cerita mimpinya, "Apabila sampai giliran tuan, aku lihat..."
Sekali lagi Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz jatuh pengsan.

Setelah beliau kembali membuka mata dan bertanya mengenai nasib dirinya ketika melalui Siratal Mustaqim, ulama sufi itu tidak mengulangi ceritanya seperti sebelum ini. Sebaliknya ulama sufi itu menjawab dengan ringkas sahaja, "Tuan selamat."
http://cahayamukmin.blogspot.com/

Guru terima 4 menantu serentak




NORIAH Abdul Aziz (kanan) gembira menyaksikan empat anaknya bersanding serentak di Kampung Bukit Palong, Baling, Kedah, semalam. -MINGGUAN/AZMAN MD.NOOR


BALING 4 Jun - Seorang ibu melalui detik paling istimewa apabila empat anaknya melangsungkan perkahwinan serentak, sekali gus membolehkannya menerima empat menantu hari ini.
Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Noriah Abdul Aziz, 54, memilih hari ini iaitu tarikh kematian bapa mereka, Azizan Abdul Aziz kira-kira 15 tahun lalu untuk memulakan kehidupan berumah tangga.
Pasangan mempelai itu ialah Mohd. Aizuddin Azizan, 29, dan pilihan hatinya, Noorazizah Mohd. Noor, 25; adiknya, Mohd. Afendi, 27, dan Norfadilah Abdul Halim, 21; dan Mohd. Afami, 24, yang memilih Norashikin Abd. Razak, 22.
Anak perempuan Noriah, Noradila, 22, pula menjadikan Amzani Kamaruzaman, 25, sebagai teman hidup.
Dua lagi anaknya, Norliana, 18, dan Norshamila, 15, masih belajar.
Menurut Noriah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Tunku Putera di sini, selain gembira dan terharu, dia turut berasa lega apabila empat anaknya itu bersetuju mengadakan majlis perkahwinan serentak.
Ini kerana, dia dapat menjimatkan belanja perkahwinan anak-anaknya sekitar RM6,000 hingga RM8,000 seorang.
"Saya sangat bersyukur kerana mendapat empat menantu serentak hari ini," katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu di rumahnya di Kampung Bukit Palong, Bongor dekat sini hari ini.
Selain menumbangkan seekor lembu untuk menjamu para jemputan, majlis turut diserikan pertunjukan pencak silat.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Presiden Yaman mahu bertindak balas




Beribu-ribu penunjuk perasaan anti Presiden Ali Abbullah Saleh mengadakan tunjuk perasaan di Sanaa selepas solat Jumaat kelmarin menggesa Presiden Yemen itu meletakkan jawatan. – AFP


SANAA 4 Jun – Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh hari ini memberi amaran akan bertindak balas, selepas beliau cedera dalam serangan yang dilancarkan pemberontak ke atas Istana Presiden, semalam.
Yemen kini berada di ambang perang saudara dengan Kesatuan Eropah (EU) semalam menggerakan mekanisme untuk memindahkan rakyatnya dari Yemen dan menggesa ‘gencatan senjata segera’ dikuatkuasakan, menurut Ketua Hal Ehwal Luarnya, Catherine Ashton.
Ali yang mengetuai parti pemerintah, Kongres Agung Rakyat (GPC) mengalami cedera ringan apabila pemberontak melancarkan serangan roket ke arah Istana Presiden ketika pegawai-pegawai menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kawasan istana itu, semalam.
Ali mengalami cedera ringan di bahagian belakang kepalanya.
Rejim Ali menuduh kabilah pemberontak, Sheikh Sadiq al-Ahmar bertanggungjawab melakukan serangan itu setelah anggota kabilah itu terlibat dalam pertempuran dengan tentera kerajaan di Sanaa, ibu negara Yemen sejak usaha damai gagal Selasa lalu.
“Kabilah Ahmar telah melampaui batas,’’ kata Jurucakap GPC, Tariq al-Shami.
Ali turut mengeluarkan kenyataan audio lewat semalam menyatakan beliau berada dalam keadaan selamat.
“Jika anda sihat, saya juga sihat. Semoga rakyat kita terselamat daripada krisis ini,” katanya dalam kenyataan audio itu yang disiarkan di televisyen kerajaan Yemen.
Ali turut mengesahkan tujuh pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan itu.
Pemimpin lain yang cedera termasuk Perdana Menteri Ali Mohammed Mujawar yang terbakar di bahagian muka dan Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Rashad al-Alimi yang kini berada dalam keadaan kritikal. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tentera Yaman lancar serang balas, 10 terbunuh, 35 cedera


SANAA 5 Jun - Seramai 10 orang terbunuh manakala 35 yang lain cedera selepas tentera Yemen melancarkan serangan meriam ke atas rumah tokoh kabilah yang berpengaruh, Sheikh Hamid al-Ahmar di selatan Sanaa, kata pegawai perubatan hari ini.
Sheikh Hamid, seorang ahli perniagaan terkenal, merupakan ketua kepada parti pembangkang terbesar di negara ini, Parti Islam al-Islah (pembaharuan).
Serangan yang dilancar menggunakan senjata berat dan peluru berpandu mensasarkan rumah pemimpin pembangkang itu, yang merupakan abang kepada ketua kabilah berpengaruh, Sheikh Sadiq al-Ahmar, yang ditahan dalam pertembungan dengan tentera setia Presiden Yemen di utara Sanaa.
Serangan meriam turut dilancarkan ke kawasan berjiran, Hada yang terletak di selatan Sanaa, menyerang rumah dua adik-beradik Sheikh Hamid yang lain, Hemyar dan Mizhij. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Bekas Menteri Kewangan Mesir dipenjara 30 tahun


KAHERAH 5 Jun - Bekas Menteri Kewangan Mesir, Yussef Boustros Ghali dijatuhkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atas kesalahan rasuah, walaupun menteri tersebut tidak menghadiri perbicaraan, kata wartawan AFP hari ini.
Hakim mahkamah jenayah di Kaherah, Magdi Ghoneim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Ghali atas kesalahan membazir duit rakyat dengan menggunakan kereta yang diubahsuai.
Manakala 15 tahun lagi atas kesalahan menyalahguna kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk kepentingan peribadi.
Ghali, yang melarikan diri dari Mesir, merupakan seorang daripada menteri di bawah pimpinan rejim bekas Presiden Hosni yang dibawa ke muka pengadilan sebagai usaha kerajaan tentera yang baru untuk membawa mereka yang melakukan penipuan untuk dibicarakan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Dewan AS selar Obama


WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat semalam meluskan ketetapan menyelar Presiden Barack Obama kerana membabitkan negara itu dalam misi serangan Nato ke atas Libya tanpa mendapatkan kebenaran Kongres.
Ketetapan berasingan yang boleh memaksa pengunduran serta-merta tentera Amerika dari misi itu bagaimanapun ditolak.

Keputusan itu menggambarkan rasa kurang selesa berhubung perang ketiga membabitkan tentera Amerika Syarikat selepas Iraq dan Afghanistan dan tanggapan bahawa Obama tidak berunding dengan Kongres sebelum operasi Nato dilancarkan pada Mac. Dewan mengundi 268 menyokong dan 145 menentang untuk meluluskan ketetapan yang diusulkan oleh Speaker Dewan, John Boehner, mendesak Obama memaklumkan kepada anggota Kongres dalam masa dua minggu mengenai skop, tempoh dan kos misi Libya itu. - AP

myMetroDewan AS selar Obama

Pihak asing campur tangan di selatan Thai


BANGKOK: Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mendakwa gerakan pemisah di selatan negara itu diarah oleh pihak asing dari seberang laut.
Prayuth berkata demikian sebelum berlepas ke selatan untuk melihat sendiri usaha tentera mengawal keganasan yang melanda wilayah itu sejak awal 2004.

Prayuth turut memberitahu, masalah di selatan negara itu kini menjadi semakin rumit selepas beberapa kumpulan baru juga terbabit.

Beliau yang enggan menamakan kumpulan itu berkata, ia adalah rahsia.

Namun, menurutnya, pertubuhan asing berusaha menguasai pertubuhan politik atau kumpulan perniagaan haram dengan mempengaruhi mereka untuk memburukkan lagi kekacauan,.


“Kami berusaha mengawal keadaan seperti yang anda lihat dari segi penangkapan suspek,” katanya.

Menurut Prayuth, pihaknya hanya akan mengundurkan tentera dari wilayah Selatan, khususnya Narathiwat, Yala dan Pattani sekiranya keadaan semakin pulih.

Sementara itu, tentera Thai mengesahkan, tiga militan yang terbunuh dalam pertempuran di Narathiwaat kelmarin ialah anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK), sebuah pertubuhan pemisah. - Agensi

myMetroPihak asing campur tangan di selatan Thai

Jutawan tak tahu baca


LONDON: Seorang jutawan yang tersenarai selaku antara orang paling kaya di Britain semalam membuat pengakuan mengejut - dia tidak tahu membaca.
Andreas Panayiotou, 45, tidak boleh mengisi sendiri borang pasport paling mudah.

Dia juga terpaksa memberi tumpuan untuk mentafsirkan tanda jalan apabila memandu.

Bapa lima anak itu yang mempunyai kekayaan mencecah £400 juta (RM2 bilion) dan menduduki tangga ke-200 orang paling kaya di Britain mengaku: “Ketika kanak-kanak, saya berusaha sedaya upaya untuk membaca.


“Tetapi otak saya tidak dapat mentafsirkan huruf yang membentuk perkataan itu.”


Selepas meninggalkan sekolah pada usia 14 tahun tanpa sijil, dia belajar mengatasi masalah disleksia yang dihadapinya itu dengan menghafal bentuk perkataan penting.

Bekas peninju itu yang dilahirkan di London dari keluarga keturunan Greek Cyprot bagaimanapun berkata: “Saya menghadapi masalah besar apabila menemui perkataan yang saya tidak pernah jumpa.

“Di jalan raya, saya tyerpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya untuk membaca tanda jalan. Ia sentiasa merisaukan saya.

“Mengisi borang seperti kawalan kastam juga menjadi masalah.”

Meskipun buta huruf, Panayiotou kini memiliki tiga pesawat, satu daripadanya jet Gulfstream berharga £40 juta (RM200 juta), dan sebuah kapal layar berharga £12 juta (RM60 juta).

Dia tinggal di rumah di Epping Forest, Essex, yang kawasan tanahnya seluas 20 ekar.

Panayiotou yang menyuarakan hasrat untuk membantu mereka yang mengalami disleksia sepertinya berkata: “Ketika kanak-kanak, saya tidak suka membaca. Apabila dewasa, saya mengatur kehidupan seharian saya supaya dapat mengelak daripada membaca.” - Agensi

myMetroJutawan tak tahu baca

Pegawai Yaman dirawat di Saudi


SANAA: Beberapa pegawai kanan Yaman yang cedera dalam serangan terhadap istana presiden kelmarin dihantar ke negara jiran, Arab Saudi, untuk dirawat, semalam.
Speaker kedua-dua Dewan Parlimen, timbalan perdana menteri dan beberapa pegawai lain diterbangkan ke negara jiran itu.

Sumber perubatan yang melaporkan demikian bagaimanapun tidak memberi butir lanjut mengenai keadaan pegawai itu.

Laporan beberapa media Arab sebelum ini berkata, Timbalan Perdana Menteri Yaman cedera parah selepas pemberontak melancarkan serangan terhadap istana.


Presiden Ali Abdullah Salleh bagaimanapun cedera ringan dan tujuh orang terbunuh dalam kejadian itu. - AP

myMetroPegawai Yaman dirawat di Saudi

Jepun beku RM13.2 bilion aset Gaddafi


TOKYO: Jepun membekukan aset pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan konconya berjumlah AS$4.4 bilion (RM13.2 bilion) berdasarkan terma Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan, aset berkenaan termasuk simpanan dalam bank.

Jurucakap Kementerian Kewangan bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan laporan berkenaan.

Majlis Keselamatan dengan sokongan kuat daripada negara Arab dan Afrika, secara sebulat suara meluluskan sekatan terhadap Gaddafi pada 26 Februari lalu.


Kabinet Perdana Menteri Naoto Kan meluluskan sekatan itu, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap beberapa pegawai kanan Libya Mac lalu. - AP

myMetroJepun beku RM13.2 bilion aset Gaddafi

'Layan macam pelacur'


Dr Rohaya Mohamed
Dr Rohaya Mohamed


Isteri ‘dingin’ di ranjang punca lelaki cari kepuasan di luar

KUALA LUMPUR: Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.
Malah, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami adalah antara punca utama kegagalan rumah tangga apabila pasangan mereka sebaliknya beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu. Peringatan itu disuarakan Naib Presiden Kelab Isteri Taat yang baru ditubuhkan di negara ini, Dr Rohaya Mohamed.

“Tanggungjawab isteri bukan saja untuk memasak, mengemas rumah dan menjadi ibu malah turut membabitkan aspek seksual. Lelaki berkahwin dengan wanita yang menyamai atau jauh lebih bagus daripada pelacur (di ranjang), sudah pasti tidak akan curang.

“Nafsu lelaki jauh lebih besar daripada wanita dan tidak boleh diketepikan. Daripada membiarkan mereka bergelumang dengan dosa, seorang isteri itu harus melakukan apa saja bagi memenuhi keinginan nafsu suami.

“Justeru, tanggungjawab kami adalah untuk membantu isteri menjadi lebih taat kepada suami. Seorang isteri hanya perlu memenuhi empat syarat untuk masuk syurga – menunaikan solat wajib, berpuasa ketika Ramadan, melindungi maruah dirinya serta taatkan suami,” katanya selepas majlis pelancaran kelab berkenaan di Kelab Golf Perangsang Templer dekat sini, semalam.
Kelab Isteri Taat mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Ia ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam. Kelab pertama dilancarkan di Jordan pada 1 Mei lalu, cawangan Malaysia semalam dan diikuti kelab di Jakarta, Indonesia pada 19 Jun depan.

Organisasi syarikat itu juga merancang untuk menubuhkan cawangan kelab sama di Eropah termasuk London dan Rome pada masa depan.

Rohaya berkata, penubuhan kelab itu terbuka kepada semua golongan isteri tanpa mengira kaum dan agama serta menawarkan latihan dan khidmat nasihat termasuk pendidikan seks supaya golongan isteri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada suami masing-masing. Berita Harian Online | 'Layan macam pelacur'

Tolak RM15j bukukan riwayat hidup Osama


HAMID menunjukkan poster ceramah yang dijalankan beliau untuk berkongsi pengalaman ketika menemuramah Osama.
HAMID menunjukkan poster ceramah yang dijalankan beliau untuk berkongsi pengalaman ketika menemuramah Osama.


Hamid tidak mahu bersekongkol sandiwara Barat

KUALA LUMPUR: RM15 juta! Itulah jumlah ganjaran tertinggi pernah ditawarkan kepada wartawan terkenal, Hamid Mir, 46, untuk membukukan pengalamannya menemubual pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, termasuk menerbitkan biografi pengganas terbabit yang didakwa berjaya dibunuh komando Amerika Syarikat (AS) di Abbottabad, Pakistan, 2 Mei lalu.
Menjadi satu-satunya wartawan pernah menemubual Osama, tawaran itu diberikan sebuah akhbar berpengaruh di AS kepadanya tidak lama selepas berlakunya peristiwa 11 September (2001) di New York, yang turut direkodkan sebagai serangan pengganas terburuk dalam sejarah dunia moden.
Bagaimanapun, Hamid yang kini bertugas sebagai Pengarang Eksekutif Geo News TV Islamabad menolak mentah-mentah tawaran itu hingga dianggap ‘bodoh’ oleh beberapa rakannya.

“AS$5 juta (RM15 juta) cukup banyak, saya boleh jadi jutawan jika mahu. Malah, mereka memberikan saya hak cipta (penerbitan) jika bersetuju dengan syarat perjanjian yang ditetapkan. Yang mereka mahukan cuma hak meminda manuskrip (The Truth of Osama Bin Laden), termasuk menyelitkan kisah kehidupan seks Osama.

“Ini yang membuatkan saya sangsi, bagaimana mereka boleh mengetahui lebih dari saya sedangkan hanya saya yang pernah menemubual Osama. Kononnya, mereka ada sumber maklumat lain yang saya ragui kesahihannya. Dari situ saya sedar motif sebenar mereka yang tidak lebih dari satu lagi plot pembohongan Barat mengenai Osama,” kata wartawan berpengalaman 25 tahun dengan pengkhususan dalam konflik Asia Barat ketika ditemui di Islamabad, baru-baru ini. Berita Harian Online | Tolak RM15j bukukan riwayat hidup Osama

3 sepupu mati serentak


pix_gal0
Bapa sedih gagal keluarkan anak daripada kereta remuk 


MACHANG: Seorang bapa tergamam menyaksikan sendiri nahas kereta yang meragut nyawa anaknya dan dua sepupu mereka di Kilometer 46.8 jalan Kota Bharu-Kuala Krai, pagi semalam.
Lebih menyayat hati, selepas menyaksikan kereta anak sulungnya bertembung kereta lain menerusi cermin pandang belakang, Halim Jusoh, 43, yang berada dalam kereta lain, berpatah balik dan cuba mengeluarkan anaknya daripada kereta yang remuk itu, tetapi gagal.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu Norhasmalinda Halim, 24; dari Gua Musang dan dua sepupunya Noor Azura Mohd Saari, 18; dan adiknya, Nur Aqilah Najiha, 14, dari Bachok yang menaiki kereta Proton Wira meninggal di tempat kejadian.

“Sebak saya melihat mereka...saya berusaha keluarkan anak dari kereta, manakala dua lagi penumpang tersepit,” katanya ditemui di Hospital Machang, di sini, semalam.

Noor Azura dan adiknya dari Kampung Pantai Melawi, Bachok, bermalam di rumah Norhasmalinda di Gua Musang sebelum ke Bachok untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara mereka.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam di Pantai Melawi, selepas Isyak, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malik Bedot, mengesahkan menerima laporan nahas itu. Berita Harian Online | 3 sepupu mati serentak

Raja Kemboja bagai tahanan dalam istana



Raja Norodom Sihamoni
Raja Norodom Sihamoni

Hun Sen bolot kuasa selepas rampasan 1997

PHNOM PENH: Raja Norodom Sihamoni mungkin menjadi pewaris kepada susur galur kerajaan kira-kira 2,000 tahun lalu, namun beliau sentiasa kelihatan lebih sesuai dengan persekitaran seni di Eropah, di mana beliau pernah menjadi penari balet, berbanding pergolakan politik di tanah airnya.
Kini, pembantu rapat dan pakar berkata, beliau semakin ketara menjadi tahanan dalam istananya sendiri dengan Perdana Menteri, Hun Sen, mengukuhkan kuasa sejak rampasan 1997 ketika Kemboja secara perlahan keluar daripada kancah Perang Vietnam dan perang saudaranya selepas selepas beberapa lama.
Kumpulan hak asasi manusia pula menuduh beliau dan rakan perniagaannya menambah kekayaan mereka, sementara kebanyakan penduduk terus miskin.

Sihamoni dikelilingi pemerhati kerajaan dan diawasi Menteri Hal Ehwal Diraja, Kong Som Ol, pegawai rapat kepada Hun Sen.

Sihamoni diiringi secara rapat dalam beberapa kunjungannya ke luar dinding istana dengan media dijarakkan. Walaupun perlembagaan memberinya kuasa, ia tidak pernah digunakan.

“Saya fikir kita boleh guna perkataan ‘raja boneka’. Kuasanya dikurangkan hingga kosong,” kata Son Chhay, seorang Ahli Parlimen pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan.
Tidak seperti bapanya, Raja Norodom Sihanouk, memiliki enam isteri dan ramai kekasih, Sihamoni masih bujang dan sudah pasti tidak meninggalkan seorang waris bagi meneruskan dinasti bapanya. – Agensi Berita Harian Online | Raja Kemboja bagai tahanan dalam istana