Pages

Monday, September 5, 2011

Siapa tembak Noramfaizul?


Pasukan pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) dikatakan terbabit dalam kejadian tembakan yang menyebabkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor terbunuh ketika membuat liputan di Somalia, kelmarin. – Agensi



KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kematian Noramfaizul Mohd. Nor dalam kejadian tembakan di Somalia, kelmarin menimbulkan seribu tanda tanya berhubung siapa yang bertanggungjawab melepaskan tembakan dan bagaimana jurukamera itu terkena tembakan.
Berdasarkan kesan tembakan pada jenazah jurugambar BernamaTV itu, kemungkinan beliau ditembak dari arah atas lalu mengenai bahu kanannya dan menembusi rusuk kirinya.
Ada juga pihak yang mendakwa Allahyarham ditembak dari arah kiri lalu mengenai rusuk kirinya dan menembusi paru-parunya sehingga ke bahu kanan.
Akibat tembakan itu, Noramfaizul, 39, gagal diselamatkan meski sempat diberikan rawatan awal di bilik pembedahan di hotel penginapannya terletak dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu, Somalia.
Pelbagai pihak juga membuat pelbagai andaian berhubung siapakah yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu.
Utusan Malaysia difahamkan, Noramfaizul ditembak oleh tentera Kesatuan Afrika (AU).
Saksi di tempat kejadian berkata, mereka melihat tentera AU bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul bersama lima lagi krew televisyen dari Malaysia yang membuat liputan misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia.
Menurut saksi, AU mahu menjadikan insiden tembakan itu sebagai alasan bagi menunjukkan Somalia masih tidak selamat dan masyarakat antarabangsa perlu campur tangan.
Katanya, AU juga berharap militan al-Shabab akan dituduh melakukan perbuatan itu.
Semua itu dilakukan AU untuk membolehkan AU terus diberi mandat dengan peruntukan berbilion dolar bagi menjaga keselamatan di negara ‘Tanduk Afrika’ itu, kata saksi itu kepada wartawan Utusan Malaysia yang turut menyertai misi bantuan itu.
Ada juga pihak yang mendakwa tembakan berkenaan dilakukan oleh militan Al-Shabaab yang sejak awal lagi tidak menyukai mana-mana negara memasuki Somalia membawa bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa kebuluran.
Bagi al-Shabaab, Somalia adalah ‘tanah’ mereka dan semua pihak perlu mendapatkan kebenaran militan itu untuk memasuki negara berkenaan.
Ada juga pihak mendakwa tembakan yang turut mencederakan jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan, 26, itu dilakukan individu tertentu yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat bantuan.
Pihak lain pula mendakwa tembakan itu dilepaskan oleh pihak yang tidak menyukai rakyat Barat memasuki Somalia.
Atas dasar benci itu, mereka bertindak melepaskan tembakan amaran yang mengenai pacuan empat roda yang dinaiki pengamal media dari Malaysia.
Seramai 15 wartawan Malaysia termasuk seorang wartawan Utusan Malaysia dan dua blogger menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia itu.
Misi yang bermula pada 28 Ogos itu dijadual berakhir pada 9 September ini, tetapi misi itu ditamatkan semalam ekoran insiden itu dan semua anggota misi serta wartawan Malaysia terbabit tiba di tanah air pagi ini bersama jenazah Noramfaizul. – Utusan

Terkejut imej ganjil dirakam telefon bimbit

IMEJ ganjil dalam telefon bimbit Anuar Safie iaitu seorang wanita
bertudung di sebelahnya di Jeti JTLM Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin, kelmarin.

ROMPIN 4 Sept. - Seorang Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) di sini, tidak menyangka gambar yang diambil oleh rakannya ketika berada di Jeti JTLM Kampung Tekek, Pulau Tioman kelmarin, turut mempunyai imej yang pelik.
Anuar Safie, 38, berkata, imej menyerupai seorang wanita itu dirakamkan pada pukul 8 malam kelmarin oleh salah seorang rakannya sebelum mereka keluar menjalankan operasi penguatkuasaan di jeti berkenaan.
Menurutnya, semasa berdiri di sebelah tiang jeti, dia langsung tidak menyedari kehadiran lembaga itu sebelum rakannya memberitahu terdapat imej mencurigakan di belakang sebelah kanan wajahnya apabila merakamkan gambar dengan menggunakan telefon bimbitnya.
"Sebaik sahaja sampai di jeti itu, rakan saya terus meminta telefon bimbit dan mahu merakamkan gambar saya. Namun saya terkejut apabila mendapati imej mencurigakan berdiri di belakang gambar saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, selepas imej berpakaian putih itu dirakamkan, dia dan rakannya terus terdiam seketika sebelum menceritakan pengalaman yang dilaluinya kepada rakan-rakan lain pada keesokannya.
Anuar yang sudah berkhidmat lebih lapan tahun dalam agensi itu mengakui telah beberapa kali menemui lembaga tersebut di depan matanya.
"Apa yang penting sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT, kita tidak perlu taksub dan takut dengan kejadian aneh yang belum tentu kesahihannya sehingga boleh menjejaskan akidah," katanya.

Pemberontak kesan kedudukan Gaddafi

KAHERAH 5 Sept. - Tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) telah mengenal pasti kedudukan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang digulingkan, lapor televisyen Al-Jazeera semalam.
Laporan tersebut memetik kenyataan ketua tentera NTC di Tripoli, Abdul Hakim Belhadj, namun Al-Jazeera tidak dapat memastikan kedudukan pemimpin tersebut. - REUTERS

24 maut dalam keganasan terbaru di Syria

DAMSYIK 5 Sept. - Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dalam terbaru di Syria, hari ini, tatkala lawatan ketua Palang Merah untuk melihat keadaan penunjuk perasaan yang ditahan sejak tunjuk perasaan anti rejim yang meletus lima bulan lalu.
Menurut agensi berita SANA, enam askar dan enam orang awam terbunuh apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah bas di Maharda, tengah Syria.
"Sembilan orang, termasuk pegawai tentera, terbunuh manakala 17 yang lain cedera pagi ini di Maharda dalam serang hendap oleh kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah bas yang membawa askar dan pekerja," katanya.
Tambahnya, sekumpulan pasukan keselamatan yang sedang berkawal membunuh tiga penyerang terbabit dan mencederakan empat yang lain.
Sementara itu, Jawatankuasa Koordinator Tempatan (LCC) yang merupakan kumpulan aktivis anti rejim berkata, pihak keselamatan menembak mati 12 orang di kawasan Kahn Sheikhwan di wilayan Idlib di barat laut Syria.
Tambahnya, pihak keselamatan mengepung hospital untuk menghalang penunjuk perasaan yang cedera daripada dirawat. - AFP

‘Kami bukan al-Qaeda’

PARIS: Seorang pemimpin kanan pemberontak Islam yang menguasai Tripoli sejak kejatuhan Muammar Gaddafi semalam menafikan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.
Abdel Hakim Belhadj - yang mengetuai kumpulan Islam dan bekerjasama dengan Majlis Peralihan Kebangsaan - berkata dia pernah menjadi mangsa penderaan pegawai perisik AS di Bangkok selepas ditahan di Malaysia pada Mac 2004.

Akhbar Perancis, Le Monde, melaporkan pegawai Barat bimbang sesetengah pejuang yang menyingkirkan Gaddafi mempunyai kaitan dengan militan atau al-Qaeda.

Mereka juga bimbang kedudukan kumpulan terbabit mungkin memberi kesan kepada pelaksanaan peraturan tegas Islam dalam kerajaan.

Kata Abdul Hakim, kumpulannya tidak berniat merampas kuasa dan akan membiarkan rakyat Libya memilih bentuk pemerintahan selepas era Gaddafi.

Dalam temu bual dengan Le Monde, Abdul Hakim berkata, dia menjadi mangsa seksaan CIA kerana disyaki menganggotai al-Qaeda.


Walaupun mengakui pernah berjuang dengan al-Qaeda di Afghanistan, Abdul Hakim berkata, ia tidak bermakna kumpulannya memiliki ideologi sama seperti Osama bin Laden.

“Hanya kebetulan kami berada di tempat dan waktu sama dengan al-Qaeda ketika di Afghanistan kerana kami mahu membebaskan negara itu,” katanya. - Reuters

Pemimpin puak kekal sokongan kepada bekas diktator

TUNIS: Jurucakap Muammar Gaddafi menafikan dakwaan penyokong bekas diktator itu di Bani Walid akan menyerah kepada kerajaan sementara Libya.
Menurut Moussa Ibrahim, pemimpin masyarakat di Bani Walid masih tetap setia menyokong Gaddafi.

“Bani Walid adalah bandar utama menempatkan satu daripada puak terbesar di Libya yang mengisytiharkan kesetiaan mereka kepada Gaddafi.

“Mereka turut menolak sebarang rundingan dengan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC),” katanya.

Menurut Moussa, dia bercakap dengan pemimpin puak Warfalla yang dominan di Libya.

Dianggarkan sejuta daripada enam juta warga Libya adalah daripada keturunan puak Warfalla.


Menurut pemimpin itu, kata Moussa, mereka memutuskan untuk terus menyokong Gaddafi.

Sementara itu, sumber berkata, sesetengah pemimpin puak di Bani Walid kini berbincang dengan wakil NTC bagi membolehkan tentera kerajaan sementara Libya memasuki bandar itu. - Reuters

Peluncur hilang separuh badan akibat dibaham jerung

SYDNEY: Seorang peluncur air yang sedang meluncur bersama beberapa rakannya mati selepas hilang separuh badan akibat dibaham seekor jerung, semalam.
Jerung itu dikatakan menerkam lalu membaham bahagian bawah tubuh lelaki yang berusia awal 20an itu.

Lelaki itu dikatakan meluncur di Sugar Loaf Rock dekat Bunker Bay, sebuah tempat terkenal di persisiran barat Australia, apabila haiwan itu menyerang kira-kira jam 1 petang waktu tempatan.

Seorang jurucakap polis berkata: “Mangsa meluncur dengan empat atau lima orang kawannya apabila tubuhnya diterkam oleh jerung itu.

“Bahagian bawah tubuhnya hilang dan dia mati serta-merta.” Lelaki itu sudah biasa meluncur di kawasan itu yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari selatan Perth.

Ia adalah serangan jerung terbaru sejak Febuari lalu apabila seorang lelaki yang mencari abalone diserang jerung di selatan Australia. dan kejadian yang keempat sejak Disember 2008. - AFP

NTC sedia tawan Bani Walid


SEMAKIN HAMPIR...pejuang anti-Gaddafi tiba di bandar Tarhouna, kira-kira 70 kilometer di utara Bani Walid, semalam.
SEMAKIN HAMPIR...pejuang anti-Gaddafi tiba di bandar Tarhouna, kira-kira 70 kilometer di utara Bani Walid, semalam.

SHISHAN (Libya): Pejuang yang setia kepada kerajaan baru kini semakin mara ke kubu terakhir Muammar Gaddafi semalam, ketika rundingan untuk penyerahan aman bekas pemimpin Libya itu diketepikan.
Seorang pemimpin tentera itu berkata, serangan ke atas Bani Walid yang menjadi tempat pertahanan terakhir Gaddafi tidak dapat dielakkan.

“Kami bersedia,” katanya dari sebuah kampung 70 kilometer di utara Bani Walid.

Kata pemimpin itu, rundingan di antara mereka dengan kumpulan Gaddafi berakhir kerana didapati tidak serius.

Katanya, dua kali kem Gaddafi berjanji menyerah tetapi ia gagal dikotakan.

“Hakikatnya, mereka mengambil kesempatan atas keadaan semasa dan mahu mengelak malu,” katanya.


Sementara itu, Menteri Dalam Negara Libya yang baru, Ahmed Darrat, berkata dia yakin Bani Walid ditawan dalam tempoh sehari dua lagi.

Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) tempatan, Mahmud Abdelaziz, berkata tentera mereka kini menunggu arahan daripada pihak atasan untuk mara.
“Malam semalam (kelmarin) Gaddafi cuba meninggalkan Bani Walid dan mencetuskan tembak-menembak beberapa minit,” katanya.

Kelmarin, timbalan ketua tentera Libya di bandar Tarhouna, utara Bani Walid, berkata Gaddafi dan penyokongnya diberi tempoh sehingga jam 4 petang semalam (waktu Malaysia) untuk menyerah. - AFP

20 maut, 50 hilang Taufan Talas landa barat Jepun

TOKYO: Taufan yang melanda barat Jepun semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 terbunuh manakala lebih 50 lagi dilaporkan hilang.

Sungai yang dilimpahi air menyebabkan bangunan dan rumah dibawa arus akibat tanah runtuh.
Seorang daripada mangsa lemas selepas banjir menghanyutkan keretanya dengan kawasan ditimpa taufan ibarat tragedi tsunami yang melanda negara itu 11 Mac lalu.
Turut dilaporkan ribuan orang ramai kini kehilangan tempat kediaman akibat taufan berkenaan.

Taufan Talas yang membadai kelmarin adalah antara taufan yang membawa kemusnahan dan angka kematian yang tinggi sejak beberapa tahun lalu dengan membawa angin kencang sehingga 108 kilometer sejam melanda Pulau Shikoku dan Honshu.

Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan bagi menangani keperluan mangsa yang kebanyakannya rumah mereka roboh akibat ditimpa tanah runtuh. - AFP 

Taufan landa Jepun, selatan AS

Sekurang-kurangnya 17 terbunuh, 43 lagi hilang dibadai Talas

Foto
TIANG elektrik terbalik menyebabkan bekalan ke rumah tergendala disebabkan hujan lebat dan Taufan Lee di New Orleans, Louisiana, semalam.
Foto
ANGGOTA Bomba dan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari di celah runtuhan rumah selepas tanah runtuh di Tanabe, selatan Jepun, semalam.
TOKYO: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 43 lagi hilang, selepas Taufan Talas melanda bahagian utara Jepun semalam, membawa bersama hujan lebat dan menyebabkan tanah runtuh, lapor media.
Agensi berita Kyodo melaporkan, pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan berpindah kepada kira-kira 460,000 penduduk di bahagian barat dan tengah negara itu.
Rakaman stesen televisyen menunjukkan sebuah jambatan dibawa arus selepas hujan lebat, manakala sebatang sungai melimpahi tebing. Penduduk membawa payung mengharungi air sedalam paras lutut di jalan-jalan di bandar raya terbabit dan kawasan kediaman.

Agensi Meteorologi Jepun, menyatakan pusat taufan bermusim ke 12 itu berpindah secara perlahan ke utara Laut Jepun dan ia kini merentasi pulau selatan Jepun di Shikoku serta sebahagian pulau utara Honshu tengah malam semalam.

Disebabkan taufan terbabit bergerak perlahan, agensi itu memberi amaran bahawa hujan lebat dan angin kencang akan berterusan dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya tiga rumah tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di wilayah Wakayama, manakala seorang wanita yang diselamatkan tetapi masih belum dikenali identitinya disahkan meninggal dunia selepas itu.
Polis berkata empat mangsa masih lagi hilang manakala seorang gadis berusia 14 tahun diselamatkan dari runtuhan terbabit.

“Sekurang-kurangnya 10 maut dan 32 yang lain hilang di wilayah yang terjejas,” kata pegawai kanan polis.

Seramai tujuh orang dilaporkan hilang di wilayah Nara berhampiran selepas beberapa rumah dihanyutkan sungai, lapor NHK.

Sementara itu di LOUISIANA, Amerika, New Orleans yang musnah dilanda Taufan Katrina enam tahun lalu, berdepan ancaman baru kelmarin dengan kedatangan Ribut Tropika Lee, membawa hujan lebat sekali gus mencabar sistem menghadapi banjir bandar raya itu.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan, Taufan Lee diramal membawa hujan hingga 51 sentimeter ke tenggara Louisiana dalam tempoh beberapa hari akan datang, termasuk di New Orleans.

Ombak besar yang dibawa ribut itu boleh menyebabkan banjir di Louisiana, Mississippi dan Alabama sebelum melanda wilayah tenggara minggu depan.

Ribut yang bergerak perlahan itu membingungkan peramal kaji cuaca. Angin Lee semakin lemah malam kelmarin ke utara ke arah pantai Lousiana pada kelajuan tiga kilometer sejam selepas bertiup perlahan selama beberapa jam pada tengah hari.

Lewat kelmarin, pusat Lee terletak di luar pantai Louisiana kira-kira 137 kilometer ke barat barat daya Bandar Raya Morgan, dengan angin maksimum 80 kilometer sejam, kata pusat taufan. Angin dijangka kekal pada kelajuan 119 kilometer sejam ketika ribut itu bersedia melanda persisiran pantai, kemungkinan tengah malam kelmarin.

Sistem tambak New Orleans mengepam kira-kira 20 sentimeter hujan setakat ini, dengan laporan banjir mula dikesan di jalan raya dan rumah.

“Kita masih berdepan risiko. Ribut ini bergerak perlahan tetapi tetap berbahaya,” kata Datuk Bandar Mitch Landrieu dalam satu sidang akhbar.

New Orleans berada dalam pemantauan sepanjang malam ini disebabkan potensi menerima hujan lebat, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan kelmarin. Kemungkinan berlaku kerosakan akibat kelajuan angin sehingga 80 kilometer sejam turut menjadi kebimbangan di bandar raya itu ketika Lee semakin dekat, katanya.

Prospek banjir di New Orleans membangkitkan memori Taufan Katrina, yang menenggelamkan 80 peratus daripada bandar raya itu, membunuh 1,500 orang dan menyebabkan kerugian lebih $80 bilion (RM232 bilion) pada tahun 2005.
Sebahagian daripada bandar raya itu terletak di bawah paras laut dan dilindungi oleh sistem tambak dan pagar banjir. – Reuters/AP 

3 beradik harapan keluarga maut

pix_gal0
Dua bakal masuk universiti, mangsa ketiga raih 5A ujian percubaan UPSR



SIMPANG RENGGAM: “Merekalah harapan keluarga saya di masa depan, namun semuanya hilang sekelip mata,” rintih bapa tiga beradik yang terbunuh dalam nahas jalan raya dekat Pekan Yong Peng di sini, awal pagi semalam.
Koperal Patah Raji Muhamad, 50, berkata tiga anaknya yang terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, selepas bercuti di Machang, Kelantan itu, adalah pelajar cemerlang dalam pelajaran masing-masing.
Dalam kemalangan di Kilometer 113.6 Jalan Johor Bahru-Seremban antara Yong Peng dan Labis kira-kira jam 2.45 pagi itu, Ahmad Zakwan, 19, yang memandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua adiknya, Ahmad Zainuddin, 18, dan Ahmad Zarif, 12, meninggal dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat (HBP).

Tiga beradik itu menaiki kereta Perodua Kancil manakala bapa mereka yang juga anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Simpang Renggam, Kluang, Koperal Patah Raji Muhamad, memandu sebuah lagi kereta bersama isteri, Sopiah Azmi, 48 dan dua lagi anaknya mengekori tidak jauh di belakang.

Patah Raji berkata, Ahmad Zakwan, anak sulungnya sepatutnya mendaftar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini, bagi mengikuti pengajian jurusan bioteknologi manakala Ahmad Zainuddin, sepatutnya berlepas ke Mesir, Selasa ini bagi mengikuti pengajian jurusan sama selepas mendapat tajaan Petronas.

“Mereka menjadi harapan keluarga kerana cemerlang dalam pelajaran masing-masing. Malah anak keempat saya yang turut terkorban dalam kemalangan itu, Ahmad Zarif, 12, memperoleh keputusan 5A dalam percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
“Saya tidak menyangka kehilangan tiga anak serentak kerana ketika kemalangan berlaku, jarak kereta yang saya pandu bersama isteri, Sopiah Azmi, 48, dan dua lagi anak kami hanya kira-kira 200 meter,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian tiga beradik itu dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Turut melawat keluarga mangsa di Taman Renggam Jaya termasuk Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal.

Bapa saudara tiga beradik terbabit, Mohd Yusuf Stapa, 46, berkata ahli keluarga yang tinggal di Kampung Limau Hantu, Pangkal Meleret, Machang, terkejut dengan khabar mengenai nahas itu.

“Kami dapat tahu selepas solat Subuh pagi ini. Saya sangat terkejut.. tidak sangka mereka yang saya jumpa ketika hari raya di kampung pada Selasa lalu sudah tiada lagi. Saya perasan yang Ahmad Zakwan lebih pendiam sepanjang raya kali ini,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil yang dinaiki tiga beradik terbabit bertembung sebuah Proton Saga dari arah bertentangan.

“Pemandu Proton Saga yang berusia lingkungan 20an yang terbabit dalam kemalangan itu turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya. bharian

Thaksin hadapi dakwaan

GAMBAR fail 25 Ogos meunjukkan Thaksin mendaki bukit ketika melawat wilayah Natori di timur laut Jepun yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac.
GAMBAR fail 25 Ogos meunjukkan Thaksin mendaki
 bukit ketika melawat wilayah Natori di timur laut Jepun
 yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac.

Bekas PM Thailand dituduh hasut penunjuk perasaan gunakan video

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang pernah melaksanakan undang-undang antikeganasan pertama negara itu dengan kuasa perintah eksekutif pada tahun 2003, kini berdepan dakwaan di bawah undang-undang sama atas kesalahan menghasut tunjuk perasaan menerusi video.
Turut berdepan dakwaan di bawah undang-undang itu ialah pemimpin demonstrasi kumpulan Baju Merah yang menyebabkan 91 orang terbunuh dan lebih 1,800 lagi cedera.
Selepas disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera tanpa pertumpahan darah 2006, jutawan telekomunikasi itu melarikan diri ke luar negara untuk mengelakkan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan ke atasnya selepas didakwa dengan rasuah, salah guna kuasa dan tidak menghormati Raja Bhumibol Adulyadej.

Thaksin kini menetap di Dubai. Adik perempuannya, Yingluck Shinawatra, dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand yang mengambil alih pucuk kepemimpinan Ogos lalu.

Perbalahan ketara antara penyokong Thaksin, ‘Baju Merah’ dan penentangnya, ‘Baju Kuning’, meletakkan Thailand dalam krisis politik. Kumpulan Baju Kuning merampas pejabat Perdana Menteri selama beberapa bulan dan menutup dua lapangan terbang di Bangkok hampir seminggu pada tahun 2008 untuk membantu menumbangkan kerajaan proThaksin.

Seramai 54 orang didakwa dengan keganasan dan berdepan hukuman penjara daripada tiga tahun hingga seumur hidup. Daripada jumlah itu, 36 adalah penyokong Thaksin dan 15 lagi kumpulan Baju Kuning.
Sementara di selatan Thailand, yang menyaksikan lebih 4,700 maut sejak kebangkitan pemisah Islam pada tahun 2004, tiada seorang pun didakwa dengan keganasan yang mendorong aktivis hak kemanusiaan mengisytiharkan undang-undang itu bertujuan menghalang kegiatan politik, bukan mengekang keganasan di selatan negara itu.

Peguam bagi pemimpin demonstrasi proThaksin, Karom Poltaklang, berkata undang-undang itu jelas bermotifkan politik dan menegaskan: “Penunjuk perasaan politik tidak boleh menjadi pengganas.”

Thailand menjadi sekutu Washington dalam kempen memerangi keganasan, dan didakwa membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik melemaskan ke atas suspek al-Qaeda, Abu Zubaydah, di sebuah penjara rahsia dalam wilayahnya pada tahun 2002. CIA turut menggunakan kaedah penderaan sama ke atas perancang pengeboman USS Cole, Abd Al-Nashiri, sebanyak dua kali di Thailand, menurut bekas pegawai perisik.

Pasukan keselamatan Thailand dan CIA bekerjasama menangkap suspek keganasan, Hambali, pada Ogos 2003 di Ayutthaya, 80 kilometer ke utara Bangkok.

Beliau kini ditahan di pusat tahanan Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba.
Hambali, warga Indonesia yang nama sebenarnya, Riduan Isamuddin, didakwa sebagai ketua operasi Jemaah Islamiyah, dituduh melancarkan serangan bom di Bali yang meragut 202 nyawa pada tahun 2002. – Agensi

Gaddafi perlu dibicarakan di Libya

LONDON - Muammar Gaddafi yang rejimnya tumbang sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sepatutnya dibicarakan di Libya.
Kenyataan itu dibuat oleh seorang jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang merupakan badan yang mewakili pemberontak Libya yang berjaya menumbangkan rejim tersebut dengan bantuan jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
NTC kini mentadbir Libya dan diiktiraf sejumlah beberapa buah negara sebagai pentadbir sah negara itu.
Menurut jurucakap itu, Guma al-Gamaty, Gaddafi sepatutnya dibicarakan di Libya atas satu siri dakwaan jenayah selepas beliau merampas kuasa pada 1969.
Gaddafi merampas kuasa pada 1969 ketika beliau merupakan seorang pegawai tentera.
Beliau merampas kuasa semasa pemerintah Libya ketika itu, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Menurut Guma, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada hukuman mati sesuai dijatuhkan ke atas Gaddafi.
Gaddafi masih menyembunyikan diri dan beliau kini diburu oleh para pemberontak selepas rejimnya berjaya ditumbangkan. - Agensi

Peluru sesat lalu celah ketiak - Aji



NORAZRINA JAAFAR menyiram pusara Allahyarham suaminya, Noramfaizul sambil
mendukung anak mereka, Mohd. Naufal, 3, di Tanah Perkuburan Islam
Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor semalam.

SUBANG - Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan menyifatkan dirinya bagaikan mati hidup semula apabila terselamat dalam tragedi tembakan curi yang mengorbankan jurugambar BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di Mogadishu, Somalia kelmarin.
Dia berkata, selepas mengorbankan rakannya, peluru sesat tersebut yang dipercayai dilepaskan oleh tentera Kesatuan Afrika (AU) telah melalui celah ketiak dan rusuknya di sebelah kanan.
NAJIB dan Muhyiddin bersolat jenazah Allahyarham Noramfaizul di Masjid Pangkalan Tentera Udara Subang di Selangor semalam.
"Saya sangat bernasib baik kerana peluru tersebut menembusi badan arwah terlebih dahulu sebelum lalu di celah ketiak dan rusuk saya di sebelah kanan, menyebabkan saya tercedera.
"Ada orang beritahu saya, telah terjumpa sebuah peluru yang dipercayai terkena arwah dalam pacuan empat roda dinaiki saya bersama rakan media lain," ceritanya lagi.

Kesatuan Afrika siasat pembunuhan wartawan Malaysia

MOGADISHU - Kesatuan Afrika menyatakan pasukan pengaman Somalia mungkin terlibat dalam kejadian tembakan seorang jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di sini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin, pihaknya menyiasat laporan awal yang menyatakan salah satu konvoi pasukan pengaman itu mungkin terlibat dalam kejadian tembakan ke atas kakitangan media tersebut.
Noramfaizul meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas cedera akibat ditembak.
Sebelum ini, beberapa kumpulan hak asasi manusia dan penduduk Mogadishu menuduh pasukan pengaman melepaskan tembakan terhadap beberapa sasaran orang awam di sini. - AP

Harga penginapan hotel di Mekah menurun

MEKAH - Penginapan di hotel-hotel dan unit perumahan yang disewa di sekitar Masjidilharam mula merosot 50 peratus pada Selasa lalu.
Kemerosotan itu berlaku ekoran ramai penduduk tempatan dan 40 peratus penganut Islam dari luar negara yang menunaikan umrah dalam bulan Ramadan mulai meninggalkan Mekah.
Mereka mula meninggalkan Mekah ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut di Arab Saudi pada Selasa lalu.
Harga penginapan hotel lima bintang yang menghadap Masjidilharam menurun sebanyak 70 peratus untuk mencecah harga hanya 650 riyal (RM513.79).
Bilik-bilik yang tidak menghadap Masjidilharam kini berharga 500 riyal (RM395.23).
Harga bilik hotel yang terletak jauh dari Masjidilharam berharga di antara 200 riyal (RM158) hingga 400 riyal (RM316.18).
Pengerusi Jawatankuasa Hotel dan Pelancongan di Dewan Perdagangan dan Industri Mekah, Waleed Abu Sabaah menyatakan, harga hotel akan berkurangan secara berperingkat-peringkat untuk mencecah peringkat paling rendah pada pertengahan Syawal ini. - Agensi

Israel tak akan minta maaf

BAITULMUQADDIS - Pemimpin Israel menyatakan negaranya tidak akan meminta maaf berhubung serbuan di atas sebuah kapal milik Turki yang menyertai misi bantuan ke Gaza, Palestin pada tahun lalu.
Menurut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, pihaknya menyuarakan perasaan kesal kerana sembilan rakyat Turki mati dalam serbuan itu.
Beliau berharap hubungan di antara Israel dan Turki akan menjadi semakin baik selepas kejadian itu berlaku.
Ia merupakan kenyataan pertama Netanyahu selepas Turki mengusir Duta Israel pada Jumaat lalu berhubung kejadian tersebut.
Turki mahu Israel meminta maaf kerana kematian rakyatnya itu.
Namun, Netanyahu memberitahu Kabinetnya semalam bahawa Israel tidak akan meminta maaf kerana tentera negaranya bertindak untuk mempertahankan rakyatnya dalam kejadian tersebut.
- AP

Kita semua buat perkara bodoh semasa muda - PM Britain



DAVID CAMERON

LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron menyatakan bahawa semua orang membuat perkara bodoh semasa mereka muda, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Beliau membuat kenyataan itu selepas ditanya seorang juruhebah dalam program Today Show di stesen Radio 4 berhubung gelagatnya semasa belajar di Universiti Oxford.
Ketika Cameron menjadi pelajar, dia menyertai kelab Bullington di univeristi itu yang terkenal dengan sikap mabuk ahli-ahlinya yang memecahkan tingkap termasuk restoran.
Perdana Menteri itu ditanya jika terdapat persamaan di antara menjadi anggota geng muda yang terlibat dalam kelakuan ganas dengan pencuri yang berlaku semasa rusuhan di London baru-baru ini.
Cameron menjawab: "Saya berpendapat, kita semua melakukan perkara yang bodoh semasa muda dan kita sepatutnya mendapat pengajaran."
Juruhebah itu juga bertanya kepada Cameron: "Adakah anda menjadi saksi sebagai ahli kelab tersebut, terdapat orang membaling benda-benda menerusi tingkap, memecahkan restoran?
Perdana Menteri itu berkata: "Tidak, saya tidak melakukannya."
Menurutnya, semasa rusuhan di London berlaku baru-baru ini, kebanyakan kes mencuri dilihat diatur dengan amat baik.
- Agensi, kosmo

Bekas hamba seks akan saman lelaki lacurkannya



JETSADOPHORN CHALADONE

SYDNEY - Seorang wanita Thailand yang pernah menjadi hamba seks semasa dia berumur 13 tahun, Jetsadophorn Chaladone berhasrat untuk menyaman seorang lelaki Sydney yang bertanggungjawab melacurkannya di rumah pelacuran miliknya pada 1995, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia diseludup untuk bekerja di sebuah rumah pelacuran dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan lebih 100 lelaki.
Selepas 10 hari, dia ditangkap dalam satu serbuan pihak imigresen dan diusir pulang.
Kini dengan bantuan bekas detektif polis Australia, Chris Payne dan seorang pembikin filem, Luigi Acquisto, wanita tersebut merancang untuk menyaman pengendali rumah pelacuran tersebut.
- Agensi, kosmo

Ahli astronomi diancam saman pertikai tarikh Aidilfitri



SEJUMLAH orang bersolat Hari Raya Aidilfitri di luar sebuah masjid di Mekah pada Selasa lalu.

JEDDAH - Sejumlah cendiakawan Islam mengancam untuk menyaman seorang ahli astronomi Arab Saudi yang juga seorang saintis, Khaled Al-Zaaq kerana meragui tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Khaled sebelum ini mempertikaikan pengakuan beberapa rakyat Arab Saudi yang mengaku melihat anak bulan Syawal pada hari Isnin lalu.
Beberapa rakyat yang melihat anak bulan itu membuat penemuan tersebut kepada Jawatankuasa Melihat Bulan di Arab Saudi yang dikenali sebagai Hilal yang kemudian memutuskan Aidilfitri jatuh pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, Khaled menyatakan apa yang dilihat oleh rakyat Arab Saudi itu adalah planet Zuhal dan bukan anak bulan Syawal.
Beberapa cendiakawan mempertahankan kenyataan kumpulan orang yang melihat anak bulan itu dengan menyatakan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah tepat.
Anak bulan itu amat jelas kelihatan pada malam hari Selasa lalu.
Ia sekali gus menyokong kumpulan orang yang melihat anak bulan itu.
Sejumlah penduduk di kawasan Al-Ais menyatakan mereka melihat anak bulan itu pada Isnin lalu selama setengah jam.
Kumpulan orang yang dipilih untuk melihat anak bulan itu merupakan golongan yang berintegriti.
Mufti Besar, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Asheikh semasa membacakan khutbah Jumaat lalu di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh menyatakan, ahli astronomi yang mempertikaikan anak bulan tersebut cuba untuk memaksakan pandangan mereka ke atas rakyat.
"Kami mengikuti ajaran Sunah Nabi kita dengan kuat semasa menentukan puasa dan Hari Raya Aidilfitri," katanya. - Agensi, kosmo