Pages

Monday, July 18, 2011

2 wanita Oman pandu kereta di Saudi ditahan

RIYADH: Dua wanita rakyat Oman ditahan kerana memandu di negara ini, di mana wanita dilarang memandu kereta, lapor media Arab Saudi, semalam.

Polis menahan dua pemandu wanita bercuti bersama keluarga mereka di jalan raya menghubungkan Riyadh dan Taef. “Seorang individu memberitahu polis peronda bahawa dua wanita memandu kereta dengan nombor plat Oman,” lapor akhbar Al-Hayat. “Dua wanita terbabit ditahan dan dimaklumkan bahawa wanita tidak dibenarkan memandu. Mereka juga perlu menandatangani dokumen supaya tidak melanggar undang-undang negara ini,” lapor kenyataan akhbar itu lagi. Arab Saudi menahan lima wanita tempatan akhir bulan lalu kerana memandu dan mengingkari larangan dikuatkuasakan kerajaan negara itu. - AFP

myMetro | 2 wanita Oman pandu kereta di Saudi ditahan

Jin punca rumah terbiar

MAKKAH: Terdapat khabar angin yang tersebar dengan meluas di kalangan penduduk Makkah mengatakan gangguan jin menjadi punca banyak bangunan dan kawasan perumahan ditinggalkan pemiliknya.

Menurut khabar angin, penduduk bangunan berkenaan yang terletak di beberapa daerah di bandar suci terbabit, terutama di pinggir bandar mengatakan mereka membatalkan hasrat menduduki kediaman itu selepas kuasa ghaib mengganggu mereka. Namun, terdapat pendapat berbeza di kalangan penduduk setempat. Kebanyakan mereka mengesahkan kehadiran sesuatu yang misteri di bangunan berkenaan. Keadaan ini mendorong sebilangan pemilik menjual hartanah mereka pada harga rendah. Terdapat juga laporan mengatakan sesetengah ejen hartanah menjadi dalang kepada khabar angin itu.


Penduduk, Muhammad Bazaid berkata, mudah untuk mengenal pasti bangunan terbiar yang sudah dihuni kuasa ghaib.

“Sesetengah bangunan dan hartanah di bandar raya ini dikenali dihuni jin. Penduduk sering mengatakan demikian,” katanya yang mendakwa keadaan itu dieksploitasi sesetengah ejen hartanah. “Mereka yang menyebarkan khabar angin itu dan meletakkan harga rendah pada hartanah itu. Kemudian mereka cuba membelinya pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.


Seorang lagi penduduk, Majdi Habeeb memberitahu Arab News terdapat beberapa bangunan dan rumah tinggal di bandar raya ini selepas penghuni mendakwa diganggu jin.

myMetro | Jin punca rumah terbiar

“Pembunuh Hospital” diburu polis Britain

LONDON: Polis Britain sedang memburu seorang lelaki yang dikenali sebagai pembunuh hospital setelah enam kematian yang tidak dapat dijelaskan puncanya, dilaporkan kelmarin.

Kes tersebut hampir sama dengan tiga kes kematian yang melibatkan seorang jururawat, Beverly Allitt.


Pada tahun 1993, Beverly yang diberi jolokan “Malaikat Maut” dipenjara seumur hidup kerana membunuh empat orang kanak-kanan dengan suntikan insulin yang tercemar dan percubaan membunuh sembilan lagi pesakit. Polis berkata mereka sedang menemuramah 11 pesakit yang terlepas daripada menerima suntikan insulin bercampur dengan larutan garam yang telah tercemar di Hospital Stepping Hill di Stockport, England.

Pihak hospital telah meningkatkan keselamatan setelah beberapa kematian dilaporkan dan menunggu keputusan bedah siasat - AFP

myMetro | “Pembunuh Hospital” diburu polis Britain

Pecahkan empayar Murdoch: Miliband





MILIBAND.
MILIBAND.



MURDOCH.
MURDOCH.


LONDON: Ketua pembangkang Britain, Ed Miliband semalam meningkatkan tekanan terhadap Rupert Murdoch dan News International dengan berkata, empayar bilionair media itu di Britain perlu dipecahkan.
Ketua Parti Buruh itu menggesa semua parti politik bersetuju terhadap undang-undang baru berhubung hak pemilikan media yang akan memecahkan monopoli ke atas pemilikan imedia - serangan secara langsung terhadap empayar Murdoch.

Tekanan yang semakin meningkat daripada Miliband itu dilakukan selepas dakwaan daripada satu sumber Scotland Yard bahawa eksekutif di News International, termasuk anak Murdoch, James, disiasat berhubung kemungkinan menyembunyikan skandal merakam bualan telefon.

James dan Rebeka Brooks, bekas Ketua Eksekutif News International menafikan mengetahui sebarang salah laku. Akhbar Sunday Telegraph melaporkan bahawa Scotland Yard ingin tahu mengapa beberapa siri e-mel tidak diserahkan kepada polis sehigga Januari tahun ini, empat tahun selepas ia disampaikan oleh News International kepada sebuah syarikat guaman luar.

Dalam temuramah dengan akhbar Observer, Miliband berkata, undang-undang yang ada sekarang sudah lapuk dan perlu dipinda, sesuai dengan era digital penerbitan dan penyiaran.


Meskipun dengan penutupan akhbar News of the World dan tindakan News International menarik diri daripada membida televisyen satelit BSkyB serta perletakan jawatan pegawai kanannya, Rebeka Brooks, Miliband berkata, Murdoch tidak bertindak secukupnya untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap industri media yang tercemar teruk. “Saya berpendapat, kita perlu melihat kepada keadaan di mana seorang hanya boleh memiliki tidak lebih daripada 20 peratus pasaran akhbar, platform Sky dan Sky News.

“Jika anda mahu mengurangkan penyalahgunaan kuasa, pemilikan monopoli seumpama itu memang berbahaya,” kata ketua pembangkan itu.

Beliau menuduh Murdoch mempunyai terlalu banyak kuasa terhadap kehidupan rakyat Britain. - Agensi

myMetro | Pecahkan empayar Murdoch: Miliband

Harry Potter raih RM520.8j

LOS ANGELES: Hasil kutipan tiket filem kelapan dan terakhir Harry Potter dalam tempoh tiga hari mencapai AS$168.6 juta (RM520.8 juta), pencapaian terbaik dalam sejarah di Amerika Syarikat dan Kanada.

Kutipan sehari pada hari pertama juga mencatat rekod iaitu AS$92.1 juta (RM276.8 juta), kata pengedar Warner Bros, semalam.
Angka kutipan tiket tiga hari itu bagi Harry Potter and the Deathly Hallows — Part 2 mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang filem Batman - The Dark Knight.
Filem itu meraih AS$158.4 juta (RM491.04 juta) dalam tayangan selama tiga hari pada 2008.

“Belum pernah berlaku kutipan tiket sehari mencapai hampir AS$100 juta (RM301 juta),” kata Pasul Dergarabedian, ketua firma yang memantau rekod pecah panggung, Hollywood.com Box Office.

Dergarabedian juga meramalkan filem terakhir Harry Potter akan menjadi yang pertama mencatat rekod kutipan AS$1 bilion (RM3.1 bilion) di seluruh dunia.

Harry Potter sudah mencatat perolehan tinggi bagi francais filem selepas memungut lebih AS$6.4 bilion (RM19.2 bilion) hasil kutipan tiket global. – Reuters
Berita Harian Online | Harry Potter raih RM520.8j

Arab Saudi haram penggunaan iPhone

Peralatan ditegah dibawa ke kawasan keselamatan

RIYADH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengeluarkan perintah mengharamkan penggunaan alat iPhone dan Galaxy Tab, sejenis komputer tangan di semua agensi keselamatan.
Larangan yang berkuat kuasa kelmarin sudah dilaksanakan kerana peralatan ini mudah digunakan untuk menggodam dan digunakan untuk pelanggaran keselamatan, lapor akhbar harian berbahasa Arab, lapor Assharq Alawsat yang dipetik akhbar Saudi Gazette.
Atas sebab itu, dua peralatan itu disifatkan oleh pakar keselamatan sebagai mengancam rahsia peribadi termasuk terhadap pertubuhan keselamatan.

Oleh itu, sesiapa yang mahu melawat agensi keselamatan Arab Saudi tidak boleh membawa masuk peralatan itu jika mahu mengunjungi kawasan terbabit.

“Setiap pertubuhan patut memiliki kriteria sendiri untuk menetapkan peralatan yang boleh dan tidak boleh dibawa serta mestilah sejajar dengan keperluan keselamatannya,” kata sumber yang memiliki kepakaran dalam teknologi maklumat (IT).

Sumber itu juga menambah, pertubuhan keselamatan perlu memutuskan risiko alat seperti itu kepada keselamatan mereka.
Arab Saudi bukanlah negara pertama yang mengharamkan penggunaan peralatan itu di dalam bangunan keselamatan kerana Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah melakukan perkara sama termasuk larangan peralatan mudah alih seperti kad menyimpan data.

Peralatan perkhidmatan iPhone dilancarkan di Arab Saudi pada Februari 2009. Ciri-ciri terbaru yang kreatif menggunakan teknik pelbagai jenis video di mana dwi kamera boleh secara automatik boleh merakam penemuduga dan pihak yang diwawancara secara langsung.

Alat iPhone terbaru mempunyai sekurang-kurang dua kamera menghala arah bertentangan, masing-masing mampu menerima aliran video secara serentak. – Agensi
Berita Harian Online | Arab Saudi haram penggunaan iPhone

Gaddafi ikrar tak tinggal bumi Libya

Perlekeh Barat iktiraf kerajaan pemberontak

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus menolak gesaan agar keluar dari negaranya dan menegaskan tidak akan sama sekali meninggalkan tanah nenek moyangnya serta mereka yang sanggup berkorban nyawa untuknya.
“Mereka meminta saya keluar dari Libya. Ia permintaan yang amat lucu.
“Saya bersedia mengorbankan diri saya demi rakyat dan saya tidak akan meninggalkan tanah yang dibasahi darah keturunan saya yang berjuang menentang penjajah British dan Itali,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan menggunakan pembesar suara di hadapan beribu-ribu penduduk di Zawiyah, kira-kira 50 kilometer ke barat Tripoli.

Sekurang-kurangnya 13 letupan kemudian menggegarkan Tripoli selepas Gaddafi memberi ucapan itu selepas 1 pagi waktu tempatan.

Kuasa besar Barat dan wilayah Arab bertemu di Istanbul kelmarin bagi mengadakan perbincangan buat kali keempat dengan memperbaharui gesaan agar Gaddafi meletak jawatan selepas berkuasa lebih 40 tahun.

“Kumpulan ‘pengecut’ menjadikan penduduk Benghazi dan Misrata sebagai tebusan, manakala kuasa Barat menjadikan mereka perisai manusia,” kata Gaddafi merujuk kepada kubu kuat pemberontak di timur dan barat negara itu.
Gaddafi berkata, lima juta rakyat Libya yang bersenjata akan menuju ke kedua-dua bandar itu dalam tempoh terdekat bagi membebaskan penduduk di situ.

Tentera kerajaan menawan semula Zawiyah berhampiran sempadan Tunisia, Mac lalu, selepas bertempur dengan pemberontak selama kira-kira dua minggu.

Pemberontak kehilangan anggota bersenjata terbanyak Sabtu lalu selepas menawan Brega apabila 12 terbunuh.

Penentang Gaddafi itu melancarkan serangan roket Grad. Mereka mengakui sukar menawan bandar itu kerana beberapa lubang digali di seluruh Brega diisi bahan kimia mudah terbakar bagi melambatkan kemaraan tentera pemberontak. – AFP
Berita Harian Online | Gaddafi ikrar tak tinggal bumi Libya

Abu Sayyaf culik wanita warga AS

Militan hubungi keluarga tuntut wang tebusan, benar mangsa berbual bukti masih hidup

MANILA: Penculik dipercayai kumpulan Abu Sayyaf menuntut wang tebusan selepas menahan wanita warga Amerika Syarikat dan anak lelaki selain anak saudaranya yang juga warga Filipina di selatan negara itu semalam.
Mangsa kemudian dibenarkan berbual dengan keluarga di Amerika sebagai bukti masih hidup. Perbualan itu dikesan di pulau Basilan. Anggota keselamatan kemudian ditempatkan di lokasi berdekatan bagi memastikan mereka tidak dipindahkan ke tempat lain.
Sekurang-kurangnya 14 lelaki bersenjata menculik Gerfa Yeatts Lunsmann, anak lelakinya berusia 14 tahun dan anak saudaranya berusia 19 tahun, Selasa lalu.

Ketika itu, mangsa berada di rumah saudara mereka di kampung berdekatan bandar selatan Zamboanga. Mereka diacukan senjata dan diarah menaiki bot, kata pegawai.

Penculikan bertujuan menuntut wang tebusan adalah masalah berpanjangan di selatan Filipina. Kumpulan yang ada kaitan dengan al-Qaeda, Abu Sayyaf didakwa melakukan kegiatan itu. Mereka juga pernah memenggal tahanan dan melakukan pengeboman.

Bantuan Amerika Syarikat menyerang militan itu melemahkan kumpulan berkenaan yang disenarai hitam Washington sebagai organisasi pengganas.
Ditanya mengenai tuntutan wang itu, Datuk Bandar Zamboanga, Celso Lobregat berkata penculik menghubungi keluarga mangsa dan menuntut wang tebusan.

Lobregat enggan mendedahkan maklumat termasuk jika penculik sudah mengumumkan identiti kumpulan atau membenarkan tebusan bercakap dengan keluarga.

“Ada panggilan kepada keluarga dan tuntutan dibuat,” kata Lobregat. Komander polis wilayah, Felicisimo Khu Jr berkata penyiasat sudah tahu mengenai tuntutan itu.

Lunsmann, 41, adalah doktor veterinar dan tinggal di Virginia, dilahirkan dalam keluarga Muslim di kampung tidak jauh dari tempat beliau dan anak lelakinya bercuti apabila mereka diculik, kata Khu.

Beliau menjadi anak angkat pasangan Amerika dan dibesarkan di negara itu.

Pihak berkuasa mengesyaki mangsa ditahan militan di bawah komander Abu Sayyaf, Nurhassan Jamiri dan Puruji Indama, yang dipersalahkan atas kejadian penculikan dan pancung sejak kebelakangan ini. – AP
Berita Harian Online | Abu Sayyaf culik wanita warga AS

3 maut kereta langgar tiang



Foto
TIGA maut selepas kereta terbabas di KM 35.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Serdang, semalam. Gambar kecil, mayat mangsa yang terbunuh. Gambar kecil, Zulkifle Zainul (kiri) dan Nur Nazirah Sungip.
Kenderaan dinaiki 10 orang ziarah saudara sakit dipercayai hilang kawalan
Foto
Zulkifle Zainul (kiri) dan Nur Nazirah Sungip.


SERDANG: Tindakan 10 sekeluarga menaiki sebuah kereta Proton Wira membawa padah apabila kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh lampu jalan di Kilometer 35.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini, malam kelmarin, mengakibatkan sepasang suami isteri dan anak mereka maut, manakala tujuh yang lain cedera.
Kemalangan jam 11.50 malam itu berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Taman Seri Intan, Kajang selepas menziarah seorang saudara yang dirawat di Hospital Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) di ibu negara.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta, Zulkifle Zainul, 29, yang bekerja sebagai vendor di Utusan Melayu (M) Berhad; isterinya, Nur Nazirah Sungip, 20, dan anak mereka, Mohd Danish Adam, dua.

Dalam kemalangan itu, kakak Nur Nazirah, Nur Atikah Sungip, 29, patah pinggang, manakala adiknya, Nur Khairuddin, 12, patah kaki kanan dan pundi kencing pecah.

Lima lagi yang cedera ialah Nur Jumaatun Shuhaida, 24; anaknya, Mohd Amirul Aiman Mohd Nur Alif, satu; Nur Effendi, 17; Nurul Asyura, 7 dan Nor Shahidatul Shafiqa, 4.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan yang melebihi muatan dan dipandu Zulkifle hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri jalan sebelum merempuh lampu jalan.
“Akibat rempuhan kuat itu, semua 10 bersaudara itu tercampak keluar kereta, menyebabkan Zulkifle dan anaknya, Mohd Danish mati di tempat kejadian, manakala Nur Nazirah meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Nur Effendi yang cedera di tangan berkata, beliau mendengar jeritan kakaknya, Nur Nazirah yang melaungkan nama suaminya ketika kereta berpusing beberapa kali sebelum tercampak keluar.

Nur Effendi berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang selepas menziarahi bapa saudara yang tenat di PUSRAWI.

Jenazah semua mangsa dibawa ke Jengka 4, Pahang, petang semalam untuk pengebumian.
Berita Harian Online | 3 maut kereta langgar tiang

Pasangan khalwat beri alasan siapkan tugasan kolej



PASANGAN pelajar kolej yang ditangkap kerana berkhalwat di sebuah hotel di Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR - Helah sepasang kekasih yang mendakwa terpaksa menyewa hotel untuk menyiapkan tugasan kolej bagi mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) gagal apabila mereka ditahan awal pagi kelmarin untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah hotel bajet di Jalan Lencong Barat di sini, pasangan terbabit turut mendakwa mereka baharu sahaja mendaftar masuk hotel berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati mereka berdua telah dua malam menginap di hotel tersebut.

Ketua Operasi JHEAIK, Md. Nasir Md. Dali berkata, pasangan dari Alor Setar berusia awal 20-an itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan pejabat agama untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM1,000.

"Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali," katanya di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara

Penjual ayam cedera diserang bekas pekerja




ARIFF fadilah deraman (kanan) menunjukkan luka pada badan abangnya, Rosdi yang cedera di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Angkara berebut tapak perniagaan, seorang penjual ayam cedera selepas dilibas dengan sebilah parang panjang oleh seorang peniaga lain yang juga merupakan bekas pekerjanya sebelum ini.

Mangsa, Rosdi Deraman, 47, cedera di pinggang, belakang telinga dan kaki selepas diserang suspek dan isterinya dalam kejadian di Pasar Borong Flat Buluh Kubu di sini pada pukul 9.45 pagi Jumaat lalu.

Menurut Rosli, kejadian itu berlaku ketika dia menuju ke keretanya untuk pulang selepas bertemu dengan rakannya di pasar tersebut.

“Saya nampak suspek menerkam ke arah saya dengan melibas-libas parangnya. Dia libas saya dua kali tapi saya sempat berundur dan ketika cuba melibas kali ketiga saya masuk dan sempat memegang tangannya.

“Kemudian berlaku pergelutan kira-kira 10 minit dan mungkin ketika itu parang tersebut terkena pinggang saya. Ketika pergelutan itu berlaku isteri suspek pula datang dan cuba menetak kaki saya dengan menggunakan pisau pemotong ayam tetapi saya sempat mengelak dan menendang wanita tersebut,” dakwanya ketika ditemui semalam.

Kosmo! Online - Negara

Tragedi ragut nyawa 3 beranak




SEORANG anggota polis melihat keadaan kereta Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan hingga mengakibatkan Zulkifle, Nur Nazirah dan Mohd. Adam maut kelmarin.


SERDANG – Hasrat seorang anak saudara untuk membaca surah Yasin ke atas bapa saudaranya yang nazak tidak kesampaian apabila dia bersama isteri dan anak lelaki tunggalnya maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki bersama tujuh lagi penumpang terlibat dalam kemalangan kelmarin.

Kejadian memilukan pukul 11.50 malam di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Serdang menuju ke Seremban, di sini itu mengakibatkan Zulkifle Zainul, 29; isterinya, Nur Nazirah Sungip, 20, dan anak mereka, Mohd. Adam Danis, 2, maut akibat kecederaan parah di seluruh badan dan kepala.

Zulkifle yang merupakan pekerja kontrak di Jabatan Pemasaran, Utusan Melayu (M) Berhad dan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nur Nazirah menemui ajal di hospital.

Penumpang lain yang menaiki kereta itu, Nur Jumaatun Suhaida, 24; Nor Atikah, 19; Nur Effandi, 17; Khairuddin, 12; Muhammad Amirul Aiman Muhammad Nuralif, 5; Nurul Asyura Darwisyah Abdullah, 4, dan Nor Syahiratul Shafikah, 4, cedera dan dikejarkan ke hospital.

Nor Atikah dan Khairuddin parah tetapi stabil.

Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Bangi untuk mandi selepas melawat bapa saudara Nur Nazirah yang nazak di Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak dekat sini. Selepas itu, mereka berhasrat pergi semula ke situ untuk membaca surah Yasin.

Mengimbau semula kejadian itu, Nur Effandi memberitahu, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga selepas terdengar jeritan.

Katanya, sebaik membuka mata, dia mendapati kereta yang dipandu Zulkifle berpusing-pusing beberapa kali.

Kosmo! Online - Negara

Guru tidak gentar disaman GISB

KUALA LUMPUR - Bekas pengikut Al-Arqam, Zawawi Aman, 44, menegaskan dia tidak takut disaman oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) berikutan dakwaannya mengatakan mereka bertanggungjawab melarikan isteri dan enam anaknya pada 25 Jun lalu.

Sebaliknya, Zawawi memberitahu, dia akan membuat lebih banyak lagi pendedahan mengenai penyelewengan dalam kumpulan itu demi akidah anak-anak dan isterinya.

"Saya tidak takut disaman kerana saya ada hak ke atas semua anak-anak dan isteri," tegasnya ketika dihubungi semalam.

Tambah Zawawi lagi, dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa ahli keluarganya kembali ke pangkal jalan.

Zawawi berkata demikian sebagai mengulas tindakan GISB yang menafikan dakwaan guru itu.

Ahli Lembaga Pengarah GISB, Zulkifli Awang Kecik, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media semalam berkata, pihaknya meminta Zawawi menarik semula dakwaan atau menghadapi tindakan undang-undang.

"Apa yang didakwa Zawawi tidak benar. Isteri dan tiga anaknya pergi ke Mesir untuk menyambung pengajian manakala tiga lagi anaknya masih ada di negara ini," katanya.

Kosmo! Online - Negara

Budak sekolah jadi penyamun


ABDUL RASYID menunjukkan pedang samurai dan beberapa barang berharga lain yang dirampas daripada empat remaja pada sidang akhbar di Kajang semalam.


KAJANG - Keriangan seorang orang kenamaan (VIP) ketika menonton perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan kelab gergasi England, Liverpool terbantut sebaik dimaklumkan rumahnya dimasuki empat pencuri bersenjatakan pedang samurai yang melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM50,000 kelmarin.
Kejadian pukul 7.30 malam itu berlaku ketika mangsa sedang menonton perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Difahamkan, suspek yang merupakan pelajar kolej, penganggur dan dua pelajar sekolah telah memecah masuk rumah VIP tersebut di Bandar Tun Hussein Onn di sini sebelum mengikat tangan pembantu rumah mangsa dengan tuala.
Polis percaya suspek mengenali mangsa berdasarkan cara mereka memecah masuk ke rumah teres dua tingkat tersebut yang seolah-olah mengetahui selok-belok di dalam premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten komisioner Abdul Rasyid Abdul Wahab berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, empat suspek itu dapat masuk ke rumah mangsa selepas melonggarkan skru pada tombol pintu tepi rumah dengan menggunakan sepana dan pemutar skru.
Katanya, sebaik masuk, suspek telah mengacukan sebilah pedang samurai ke arah pembantu rumah mangsa yang merupakan warga Indonesia sebelum mengikat tangannya dengan tuala.
"Suspek yang seolah-olah telah mengetahui keadaan rumah mangsa, kemudian telah menggeledah bilik dan melarikan jam tangan, dua buah komputer riba, wang RM150, telefon bimbit dan barangan kemas milik VIP tersebut dengan jumlah keseluruhan RM50,000.
"Mereka hanya mengambil masa setengah jam sahaja sebelum melarikan diri dengan menunggang dua buah motosikal yang diletakkan di luar kawasan rumah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

Bersih: 500 pelajar hadapi tindakan



KIRA-KIRA 500 pelajar institusi pengajian tinggi tempatan terlibat dalam perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KAJANG - Seramai 500 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikenal pasti menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai lalu bakal berdepan tindakan tegas daripada pentadbiran universiti masing-masing.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bentuk tindakan sama ada ringan mahupun berat bergantung mengikut keputusan pihak universiti terbabit berdasarkan bentuk kesalahan yang dilakukan.
Menurutnya, hukuman itu bukan ditentukan oleh kementerian namun Kosmo! difahamkan hukuman membuang dan menggantung pelajar boleh dilakukan oleh pengurusan sesebuah IPT di negara ini.
"Terpulang kepada pihak universiti, tindakan ke atas pelajar ikut mereka. bukan kementerian tentukan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Latihan 1Malaysia bersama Komuniti 1Hulu Langat di Kolej Komuniti Hulu Langat di sini semalam.
Menurut Mohamed Khaled, pihaknya telah menerima kira-kira 500 nama daripada pihak polis dan kini sedang menyiasat sama ada nama tersebut merupakan pelajar universiti atau sebaliknya.
"Kita belum tahu 500 nama itu pelajar universiti dan universiti mana. Ia sedang diperiksa kerana jika dilihat dari sudut umur bagi nama-nama tersebut, mereka tergolong dalam kategori pelajar.
"Setelah kita tahu institusi pengajian mereka, nama pelajar itu akan diserahkan kepada pihak universiti untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Kosmo! Online - Negara

Teksi dihempap kereta SUV



BUMBUNG sebuah teksi remuk dihempap kenderaan Land Rover (kiri) di New York kelmarin.


NEW YORK - Bumbung sebuah teksi dihempap kenderaan utiliti sukan (SUV), Land Rover yang terbabas semasa dipandu selaju 193 kilometer sejam di sebuah jejantas, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 pagi waktu tempatan pada Sabtu lalu apabila Land Rover itu terbabas dan merempuh penghadang lebuh raya sebelum terbalik dan menghempap bumbung teksi.

Kenderaan Land Rover itu jatuh dari ketinggian 6.09 meter dan menghempap bumbung teksi tersebut yang sedang berhenti di sini.

Namun, apa yang menakjubkan tiada sesiapa pun yang cedera dalam nahas itu.

Land Rover itu dinaiki tujuh orang dengan dua daripadanya cedera parah manakala pemandu teksi hanya mengalami kecederaan kecil.

Anggota-anggota perkhidmatan kecemasan terpaksa menarik bumbung Land Rover untuk menyelamatkan mangsa.

"Saya hampir pengsan apabila melihat kereta tersebut," kata saudara pemandu teksi itu, Amar Abbas.

"Saya hampir kehilangannya. Dia seorang lelaki yang bertuah," tambahnya.

Menurut seorang saksi, Brian Duncan, dia bergegas ke teksi itu dan mendapati pemandunya, Raza Abbas menjerit selepas bumbungnya dihempap Land Rover. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Beckham dedah gambar anak perempuan



GAMBAR David Bekham mendukung anak perempuannya yang disiarkan di laman Twitter.


LOS ANGELES - Gambar anak perempuan bintang bola sepak England, David Beckham disiarkan di laman Facebook dan Twitter, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Isteri, Beckham, Victoria yang merupakan bekas anggota kumpulan Spice Girls mendedahkan satu gambar tersebut di laman Twitter.

Beckham kemudian menghantar gambar Victoria bersama anak perempuannya itu di laman Facebook.

Anak perempuan Beckham yang bernama Harper Seven itu dilahirkan Victoria di sebuah hospital baru-baru ini.

Dalam gambar itu, Victoria mendukung anak perempuannya itu dengan keterangan gambar: "Anak perempuan daddy."

Salah satu gambar itu juga menunjukkan Beckham mendukung anak perempuannya.

Anak perempuannya itu sudah lama dinantikan Beckham kerana dia sebelum ini mempunyai tiga anak lelaki.

Tiga anak lelakinya itu bernama Brooklyn, Romeo dan Cruz.

Anak perempuan Beckham itu dilahirkan pada 10 Julai lalu melalui pembedahan.

Selepas pembedahan itu, Victoria menghantar mesej di Twitter dengan menyatakan: "Bayi Harper merupakan bayi yang paling comel pernah saya lihat." - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

China berang Obama temui Dalai Lama



DALAI LAMA (dua dari kiri) menghadiri majlis merahmati Sungai Anacostia di Washington kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin tidak mematuhi amaran dari China dengan mengalu-alukan ketibaan pemimpin Tibet dalam buangan, Dalai Lama ke White House.

China segera membuat bantahan dan mendakwa Obama menjejaskan hubungan di antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia melalui pertemuan dengan pemimpin spiritual Tibet yang hidup dalam buangan lebih setengah abad.

"Presiden mengulangi sokongan padu untuk memelihara agama, budaya dan bahasa Tibet yang unik dan masyarakat Tibet di seluruh dunia.

"Beliau menekankan pentingnya perlindungan hak asasi manusia penduduk Tibet di China," kata White House dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, White House tidak membenarkan wartawan memasuki bilik tempat lokasi pertemuan itu. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Tujuh cedera akibat serangan Israel di Gaza

BEBERAPA penduduk memeriksa lokasi serangan Israel di Beit Hanoun, Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Tujuh orang cedera di Gaza semalam apabila Israel melancarkan satu serangan udara, kata sumber-sumber perubatan Palestin.

Namun, Israel menafikan ia melakukan satu serangan udara.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan yang dikendalikan Hamas, Adham Abu Selmiya berkata, empat kanak-kanak dan tiga orang dewasa cedera dalam serangan itu di Beit Hanun.

Bagaimanapun, seorang jurucakap Pasukan Pertahanan Israel memberitahu, tiada aktiviti tentera rejim Zionis di Gaza pada malam dan awal pagi semalam.

Laporan itu disiarkan beberapa hari selepas roket dilancarkan dari Gaza di selatan Israel.

Menurut tentera Israel, empat serangan roket dilancarkan ke wilayah Yahudi pada minggu lalu.

Kebangkitan serangan itu berlaku selepas berbulan-bulan suasana tenang wujud di Palestin.

Sebelum ini ketegangan berlaku pada April lalu apabila sebuah peluru berpandu antikereta kebal dilancarkan dari Gaza dan mengenai sebuah bas sekolah menyebabkan seorang penduduk Israel terbunuh.

Israel kemudian membalas serangan itu dengan melancarkan satu siri serangan udara yang menyebabkan 19 penduduk Palestin terbunuh. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Sunday, July 17, 2011

Hukum bogel



MANGSA... mendakwa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.
MANGSA... mendakwa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.



BUKTI... barang milik kasanova yang ditemui keluarga mangsa yang menahannya.
BUKTI... barang milik kasanova yang ditemui keluarga mangsa yang menahannya.


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ‘buaya darat’ mungkin tidak akan melupakan pembalasan diterimanya selepas kemaluannya nyaris dipotong oleh waris enam daripada 10 gadis, kebanyakannya siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dari sekitar Lembah Klang yang pernah diperdaya, termasuk diragut ‘kesucian’, sejak dua tahun lalu.
Malah, sebagai balasan atas perbuatan durjananya terhadap gadis berkenaan sebelum ini, gambar lelaki terbabit dalam keadaan berbogel turut dirakam untuk menyedarkannya dan memastikan dia tidak mengulangi tindakan sama.
Dia yang berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mengamalkan pelbagai ajaran dan ilmu kebatinan berkaitan wanita, akhirnya kecundang selepas waris keenam-enam keluarga terbabit berpakat ‘menuntut pembelaan’.

Akibatnya, 15 telefon bimbit mengandungi pelbagai gambar bogel gadis ditidurinya dibuang, manakala dia dibogelkan di satu kawasan sebelum kemaluannya cuba dipotong, selain beberapa barangan pelik miliknya dirampas.



Bagaimanapun, kejantanan lelaki terbabit tidak diusik apabila ada ahli keluarga mangsa enggan melampaui undang-undang, selain memikirkan nasib isteri dan dua anaknya yang masih bergantung hidup kepadanya.


Wakil kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Haji Ali, 45, (bukan nama sebenar) berkata, mereka mengambil tindakan sendiri selepas berbincang dan mendapati kesukaran menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa kerana dakwaan mangsa diperkosa sukar dibuktikan disebabkan kebanyakannya mengikut lelaki itu ke hotel secara sukarela.

Oleh kerana khuatir ramai gadis lain akan menjadi mangsa, katanya, gadis yang pernah menjadi mangsa lelaki itu bertekad ‘memberi pengajaran’ kepadanya, terutama selepas dara mereka diragut dan wang dibekalkan keluarga dihabiskan lelaki itu.

Mereka mengupah sekumpulan samseng sambil dibantu ahli keluarga masing-masing menjejaki lelaki itu sebelum terserempak dengannya berhampiran sebuah hotel di Cheras ketika suspek dalam perjalanan ke hotel bersama seorang gadis lain.

Dalam kejadian jam 8 malam Khamis lalu itu, kereta lelaki terbabit dihalang sebelum dia dipaksa turun dan dibawa ke satu tempat untuk ‘disoal siasat’ akibat perbuatan dilakukannya sebelum ini.

“Ketika disoal, lelaki yang bekerja sebagai peniaga aksesori telefon itu mengaku memperdaya sekurang-kurangnya 10 gadis, semuanya melalui laman sosial Facebook.

“Kebanyakan mangsa adalah siswi dan mereka yang bekerja, dan kegiatannya dilakukan sejak dua tahun lalu selepas dia dipercayai mengamalkan pelbagai ilmu kebatinan berdasarkan barangan yang ditemui dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan bernasib baik kerana ada ahli keluarga gadis yang menjadi mangsa berfikiran rasional dan memikirkan masa depannya, malah ketika disoal, dia mengaku akan bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan sama.

“Memang dia boleh menipu kami jika dia mahu, tetapi dia harus ingat kami juga boleh mencarinya jika kami mahu seperti yang berlaku pada malam kejadian,” katanya.

Seorang mangsa, Nurhaslinda Omar, 25, (bukan nama sebenar) berkata, dia bertindak nekad mencari kenalan lelaki berkenaan melalui laman sosialnya sebelum mereka berhubung antara satu sama lain selepas geram dengan apa yang berlaku terhadapnya.

“Selepas mengambil barangan berharga seperti barangan kemas, kad bank dan juga wang tunai, saya ditinggalkan begitu saja, malah beberapa kenalan ditemui dalam laman sosialnya turut mengalami nasib sama.

“Selain ‘dikikis’, kami dijadikan mangsa memuaskan nafsu, malah ada antara kami dirakam gambar mereka sebagai bahan pornografi, menyebabkan kami akhirnya sepakat untuk ‘bertindak’ dan memaklumkan keluarga.

“Saya percaya dia menggunakan barangan bagi tujuan memukau gadis supaya menurut segala kemahuannya meskipun pertama kali bertemu,” katanya.

Yang pasti, katanya, lelaki berkenaan menjadikan Facebook sebagai ‘lombong’ mencari gadis cantik atau golongan berada berdasarkan profil yang biasanya tertera pada laman sesawang itu.

“Pada awal perkenalan, si gadis akan ditabur dengan timbunan wang ringgit disimpan pada but kereta supaya pandangan gadis dikaburi wang ringgit dan akur menemani dia bergembira, namun selepas dia puas bersama mereka, dia pasti meninggalkan si gadis,” katanya.
myMetroHukum bogel