Pages

Thursday, October 9, 2014

Tapak kaki wanita hadap ke belakang


Walaupun dilahirkan dengan tangan dan kaki menghadap ke belakang, Wang Fang, berjaya menjalani kehidupan normal.
Doktor mulanya bimbang Wang tidak akan dapat berjalan dengan baik kerana keadaan kakinya itu.

Bagaimanapun, pelayan restoran yang kini berusia 30-an berkata, dia tidak melihat dirinya cacat.
Foto
WANG menunjukkan kakinya yang menghadap ke belakang.

“Saya boleh berlari lebih laju berbanding rakan saya dan mempunyai kerja tetap sebagai pelayan di restoran milik keluarga. Tiada alasan untuk menganggap saya cacat,” katanya.

Dia yang mempunyai anak dengan kaki yang normal berkata: “Saya boleh berjalan seperti orang lain. Saya sama seperti orang lain, kecuali terpaksa memakai kasut terbalik.

Wang bukan satu-satunya orang yang yang berjaya mengatasi kecacatan ganjil.

Sebelum ini, Claudio Vieira de Oliveira dari Brazil berjaya menjadi penceramah umum walaupun dilahirkan dengan kepalanya terbalik. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Makanan percuma untuk pelanggan tidak mampu



Riyadh: Sebuah restoran makanan laut menawarkan makanan percuma untuk mereka yang tidak mampu membayarnya.

Laman berita Sabq melaporkan, papan tanda yang digantung di depan restoran itu memberitahu pengunjungnya: “Jika kamu tiada duit untuk makan, buat saja pesanan di sini secara percuma.”


Pekerja restoran yang enggan dikenali berkata, pemiliknya memutuskan berbuat demikian sebagai tanda syukur selepas restoran itu terselamat daripada satu kebakaran.

“Mujur kebakaran itu tidak menyebabkan kerosakan atau kehilangan nyawa.

Foto
POSTER yang menawarkan makanan percuma untuk golongan tidak mampu digantung di depan kedai.


“Kami diarah memberi makanan secara percuma tanpa soal jika ada yang memintanya. Mereka cuma perlu memberitahu mereka tiada wang dan makanan akan diberikan tanpa sebarang bayaran.


“Ada juga orang muda yang datang mendakwa tiada wang tetapi selepas membuat pesanan dan mendapat apa diminta mereka membayarnya. Mereka hanya mahu menguji dasar keikhlasan restoran ini,” katanya.

Menurutnya, restoran itu kerap didatangi orang berkeluarga yang meminta makanan percuma.

“Sudah tentu kami memberinya,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Cengkerik hidup dalam telinga


Doktor di Pusat Kajian Villupram, Tamil Nadu mengeluarkan serangga berukuran dua inci dari telinga lelaki yang dirahsiakan namanya menggunakan penyepit. 
Sebaik doktor memasukkan penyepit di dalam telinga, cengkerik itu cuba merangkak lebih dalam, tetapi doktor berjaya menariknya keluar dan pesakit berkenaan dilapor selamat. 

Menurut doktor, serangga berkenaan tidak boleh menyengat bahagian dalaman telinga tetapi ia boleh mengakibatkan masalah pendengaran dan keseimbangan badan. - Agensi
Foto
CENGKERIK yang dirakam di dalam telinga seorang lelaki di India sebelum ia dikeluarkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Ketumbuhan sebesar bola sepak dibuang


WAJAH Grace sebelum (kiri) dan selepas (kanan) menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang membesar pada rahangnya. - AGENSI
KINSHASA 8 Okt. - Seorang gadis dari Republik Demokratik Congo yang menderita tumor pada rahangnya, terselamat daripada maut selepas dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu yang membesar sehingga saiz sebiji bola sepak.
Remaja itu yang hanya dikenali sebagai Grace, 17, selamat menjalani pembedahan membuang tumor itu di sebuah hospital kebajikan Mercy Ships, hospital kapal terbesar di dunia, baru-baru ini.
Grace boleh meninggal dunia sekiranya tulang tumor yang terbentuk daripada sel-sel yang biasanya membentuk enamel gigi itu, terus membesar pada tulang rahangnya.
Walaupun ketumbuhannya mula membesar ketika usianya 10 tahun, Grace masih mampu bercakap dan makan namun dia membuat keputusan untuk berhenti sekolah selepas menyedari penyakitnya itu.
Selepas hospital tempatan gagal menolong Grace, Mercy Ships tampil membantu remaja itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhannya termasuk merendahkan rahang dan giginya.
Doktor bedah, DR Gary Parker berkata, Grace boleh mati sekiranya tidak menjalani pembedahan itu.
"Untuk membuang tumor itu, kami terpaksa membedah lehernya dan memisahkan ketumbuhan tersebut daripada rahang asal," katanya sebagaimana lapor Mirror Online.
Tambahnya, selepas membuang tumor bersaiz bola sepak itu, mereka menggantikan rahang yang dibuang dengan plat logam diperbuat daripada titanium.
"Dia boleh menggunakan gigi palsu sekiranya dia mahu nanti,'' katanya.
Kehidupan Grace kini berubah selepas pembedahan itu yang menjadikannya lebih gembira dan yakin, malah remaja itu kini mahu meneruskan pembelajarannya dalam bidang kejururawatan bagi membantu orang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_12/Ketumbuhan-sebesar-bola-sepak-dibuang#ixzz3FcmgdCfs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelagak ngeri paling muda dari Jerman


LUISA mempamerkan aksi berani apabila melepaskan tangannya ketika meluncur udara bersama ayahnya di selatan Jerman, baru-baru ini. - AGENSI
BERLIN 8 Okt. - Seorang kanak-kanak perempuan Jerman berusia tiga tahun, menjadi pelagak ngeri paling muda di dunia apabila melakukan aksi luncur udara pertama pada ketinggian 1,981 meter, baru-baru ini.
Kanak-kanak tersebut, Luisa Broschart seperti yang dilaporkan portal berita Mail Online, melakukan aksi tersebut bersama bapanya, Mik, di kawasan berbukit Lenggries di selatan negara ini lebih daripada 20 minit.
Mik, 49, berkata, anaknya itu terlalu gembira melakukan aksi berbahaya tersebut dan meminta satu lagi penerbangan sebaik-baik sahaja mereka mendarat.
Jelasnya, Luisa mula menunjukkan minat terhadap sukan ekstrem itu sejak boleh mula bercakap, tetapi tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
"Selepas lebih dua tahun menunggu, anak saya berjaya mencapai impiannya untuk terbang bersama saya, lebih-lebih lagi apabila melihat kakaknya, Emelia yang berusia lima tahun melakukan aksi itu secara bersendirian.
"Saya tidak pernah memaksa Luisa untuk terbang bersama, tetapi dia sendiri yang mahu melakukan aksi tersebut," katanya.
Kini Luisa telah merasai pengalaman pertamanya dalam sukan luncur udara dan masih belum boleh terbang bersendirian kerana masih belum cukup tinggi seperti kakaknya.
"Emelia sering terbang bersama saya sejak dua tahun lalu dan saya pasti Luisa tidak mahu ketinggalan untuk terbang secara solo," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_13/Pelagak-ngeri-paling-muda-dari-Jerman#ixzz3FcmEtTC9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, October 7, 2014

Buat persembahan dalam bola gergasi elak dijangkiti Ebola



PENYANYI rap terkenal, Akon membuat persembahan dalam bebola hamster gergasi sewaktu konsertnya di Goma, Repubik Demokratik Congo pada Ahad lalu. - Agensi


GOMA – Penyanyi rap terkenal, Akon yang membuat persembahan dalam bebola hamster gergasi semasa mengadakan konsert di Republik Demokratik Congo kerana bimbang dengan penularan wabak Ebola telah dikecam oleh para peminatnya.
Peminat di laman Twitter menuduh dia cuba mengelak daripada dijangkiti virus yang telah membunuh lebih 3,000 orang sewaktu konsertnya di Goma pada Ahad lalu.
“Pihak penganjur konsert hanya melindungi Akon, maka penonton sahaja yang terdedah dengan risiko Ebola,” kata seorang pengguna Twitter.
Menurut seorang lagi penonton, dia juga inginkan bola gergasi yang sama bagi melindungi dirinya daripada terdedah kepada jangkitan wabak Ebola.
Akon bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa dia berbuat demikian bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan Ebola, sebaliknya memberitahu turut menggunakan bola yang sama semasa konsertnya di Australia dan Dubai pada tahun 2010 iaitu empat tahun sebelum penularan wabak Ebola.
Bola gergasi itu digunakan untuk membolehkan penyanyi hip hop kelahiran Missouri, Amerika Syarikat tersebut berada dekat dengan para penonton. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3FSj784pn 
Hakcipta terpelihara 

Monday, October 6, 2014

Anak tiri, ibu tiri jadi suami isteri


Elisabeth Lorentz, 48, berkahwin dengan Eric Holder yang tiga tahun lebih muda daripadanya di daerah Alsace-Lorraine, timur laut Perancis. 
Wanita itu sebelum ini berkahwin dengan bapanya tetapi pasangan itu tidak ada hubungan darah. 

Undang-undang Perancis melarang perkahwinan antara anak tiri dengan ibu bapa tiri walaupun selepas ibu atau bapa tiri itu sudah bercerai.
Foto
Elisabeth (kiri) dan bekas anak tirinya, Holder.

Pasangan itu merayu hingga ke Istana Elysee. Mereka menerima sepucuk surat pada Mei lalu yang ditandatangani oleh Presiden Francois Hollande, mengesahkan perkahwinan seperti itu dilarang di negara berkenaan.

Bagaimanapun, mereka memperoleh hak untuk berkahwin daripada mahkamah tempatan Alsace-Lorraine. 

Pejabat pendakwa raya di Paris membantah keputusan itu tetapi tidak merayu. 
“Akhirnya kami berkahwin,” kata Elisabeth. 

Bekas suaminya yang juga bapa kepada pengantin lelaki antara 100 tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan itu. 

“Dia tidak pernah melarang kami berkahwin,” kata pengantin perempuan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Kahwin diri sendiri


Grace Gelder berkata, dia melamar dirinya di bangku sebuah taman dan akhirnya mengadakan majlis perkahwinan dengan dihadiri 50 tetamu.
Grace, yang bekerja sebagai jurugambar berkata, selepas enam tahun membujang, dia ‘menjalinkan hubungan dengan dirinya.’ 

Menurutnya, ia lebih mudah dan selesa daripada menjalinkan hubungan dengan orang lain.
Foto
GRACE membaling bunga kepada tetamunya selepas melangsungkan perkahwinan.

Terdorong dengan lagu oleh penyanyi Björk berjudul Isobel, yang senikatanya antara lain berbunyi ‘My name’s Isobel, married to myself’ (Nama saya Isobel, berkahwin dengan diri saya), Grace yang menetap di London berkata, lirik itu sesuai dengan dirinya dan mengambil keputusan untuk berkahwin dengan dirinya sendiri.

Bermula dengan melamar dirinya di atas bangku di taman Bukit Parlimen, London November lalu, hingga majlis perkahwinan itu baru-baru ini, Grace berkata, kisah cintanya berjalan lancar.

Seperti pengantin lain, dia membeli baju, cincin dan menyatakan ikrar taat setia kepada pasangannya. Grace akhirnya berkahwin di sebuah ladang di Devon, dengan kehadiran kakak dan rakannya.

Dia mengakhiri upacara perkahwinan itu dengan mengucup cermin.

Bercakap kepada wartawan mengenai perkahwinannya, Grace berkata, memang ada yang berkata dia gila.

“Tetapi saya tidak kisah kerana saya bahagia dengan pasangan saya yang juga diri saya,” katanya.

Dia dikahwinkan oleh rakannya, Tiu, yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Saya yakin Grace akan menjalani kehidupan lebih bahagia selepas ini,” kata Tiu.

Menurut Grace, sebulan sebelum majlis perkahwinannya, dia menghadapi masalah sehingga terpaksa diyakinkan bahawa apa yang dilakukannya itu tepat.

Meskipun undang-undang tidak mengiktiraf perkahwinan seumpama itu, Grace berkata, dia bangga kerana tidak lagi membujang.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

AS akan guna bot peronda robotik



AFP - GAMBAR pada 21 Ogos lalu menunjukkan sebuah bot peronda berteknologi robotik beroperasi di Sungai James, Virginia, AS.


WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi akan menggunakan bot peronda tanpa anak kapal untuk mengiringi dan melindungi kapal perang yang menyeberangi laluan laut sensitif.
Sistem itu diadaptasi daripada kenderaan penjelajah Planet Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Pejabat Penyelidikan Tentera Laut AS semalam menyiarkan kejayaan 13 bot peronda robotik mengiringi sebuah kapal perang dalam satu latihan tentera di Sungai James, Virginia.
Latihan tersebut melibatkan lima kapal peronda kawalan jauh itu melindungi sebuah kapal perang manakala lapan lagi mengepung sebuah kapal musuh.
“Demonstrasi itu direka untuk meniru laluan transit di selat,” kata ketua penyelidikan tentera laut, Laksamana muda Matthew Klunder pada satu sidang akhbar.
“Laluan sensitif ini mungkin di Selat Melaka atau Selat Hormuz” tambahnya.
Menurutnya, bot peronda berteknologi robotik itu mungkin digunakan untuk mengiringi kapal-kapal perang AS pada tahun depan.
Satu bot peronda tersebut sepanjang 11 meter pada kebiasaannya dikendalikan oleh tiga atau empat kelasi.
Namun kata Klunder selepas dipasang dengan teknologi robotik, hanya seorang kelasi diperlukan untuk mengawal sehingga 20 bot tersebut.
Tentera AS memperkenalkan teknologi baharu itu menjelang ulang tahun ke-14 hari memperingati serangan ke atas kapal perang USS Cole di perairan Yemen.
Dalam serangan pada Oktober 2000 itu sebuah bot kecil sarat dengan bahan letupan diletupkan dekat kapal perang berkenaan yang menyebabkan 17 anak kapal terbunuh manakala 39 lagi cedera. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3FJL50haZ 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, October 5, 2014

Luar Biasa! Kuda Berbulu Emas Yang Unik

Kuda antara haiwan yang boleh dianggap mahal dan bernilai bagi sesetengah orang. Oleh kerana itulah, tidak semua orang mampu memilikinya. Namun pernahkah anda menunggang kuda seperti spesis kuda berbulu emas ini? Nampak unik dan luar biasa sebenarnya. 

Dikenali dengan nama Akhal-Teke, ia merupakan spesies kuda berbulu emas keturunan (breeding) dari Turkmenistan. Selain berpenampilan penuh kemilau seperti emas, kuda jenis ini juga dikenali kerana ketangkasan SERTA punya daya tahan yang hebat untuk melakukan aktiviti berat.


Spesies Akhal-Teke merupakan spesies kuda terancam yang hanya tinggal sedikit jumlahnya. Kuda yang juga menjadi lambang negara Turkmenistan ini menurut wikipedia hanya berjumlah sekitar 3500 ekor sahaja ketika ini.

kuda1
kuda2
kuda3
kuda5

kuda4

Bebola Rambut ditemui dalam Perut remaja

Kyrgyzstan: Bebola rambut seberat 4 kilogram telah dijumpai di dalam perut seorang remaja perempuan, Ayperi Alekseeva, 18 sekaligus menjawab mengapa dia tidak boleh minum dan makan.


Perkara tersebut terjadi adalah susulan daripada tabiat pelik dan menjijikkan wanita tersebut yg mana suka mengutip rabut yg gugur dijumpainya diatas permaidani sebelum mengunyah dan menelannya.

Keadaan itu berlarutan selama bertahun-tahun hinggakan dia mengalami penghidratan yg teruk dan kekurangan zat makanan. Ia juga menyebabkan Ayperi hampir mati.

Menurut doktor yg merawatnya,Bahadir Bebezov, ibu bapanya membawa remaja itu ke hospital selepas dia mula kehilangan berat badan dan tidak boleh menelan makanan.

Dia akan mengalami kesakitan yg amat sangat meskipun hanya minum air.

“Ketika dia tiba di hospital, Ayperi langsung tidak boleh minum air dan dari situ kami sedar dia perlu dibedah selepas pembedahan dijalankan.

“Perutnya membengkak dan sebaik sahaja kami memotong perutnya, bebola rambut itu terus keluar,” katanya.

Selain tabiat pelik menelan rambut itu, Ayperi sebenarnya tidak mempunyai sebarang penyakit dan merupakan seorang remaja yg normal.

Dia kini sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan dan berjanji tidak akan menelan SERTA mengunyah rambut lagi selepas ini.

Dalam pada itu, doktor memaklumkan rekod perubatan sebelum ini menunjukkan tidak ada bebola rambut sebesar itu ditemui dalam tempoh 50 tahun.
http://um-fabolous.blogspot.com/2014/10/bebola-rambut-ditemui-dalam-perut-remaja.html

1.5 bilion umat Islam sambut Aidiladha


BERIBU-RIBU penduduk menunaikan solat sunat Aidiladha di hadapan sebuah gereja yang terletak berhampiran Masjid Pusat di Moscow, Rusia semalam.


MEKAH – Seramai dua juta jemaah haji dari seluruh dunia memulakan ibadah melontar di tiga jamrah semalam sebagai kemun­cak ibadah haji pada tahun ini. Berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia juga mula menyam­but Hari Raya Aidiladha dengan bergotong-royong menyembelih haiwan ternakan untuk dikorbankan sebelum diagih-agihkan kepada fakir miskin.
Jemaah haji melakukan ibadah melontar di Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah di Mina yang terletak kira-kira lima kilometer dari barat Masjidil Haram di kota suci Mekah.
Mereka bergerak ke Mina sejak kelmarin dengan berjalan kaki, menaiki motosikal dan bas selepas berkumpul di Padang Arafah.
Kerajaan Arab Saudi memberitahu seramai 1.4 juta jemaah haji dari 163 negara di seluruh dunia mengunjungi kota suci berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Seramai 700,000 lagi jemaah pula adalah dari negara tersebut.

SEORANG budak lelaki Palestin menarik seekor kambing untuk dijual di sebuah pasar di Rafah di Genting Gaza kelmarin untuk dijual sempena Hari Raya Aidiladha.


Seramai 85,000 anggota kese­lamatan dan beribu-ribu pegawai kesihatan ditempatkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan musim haji pada tahun ini berjalan lancar.
Dalam ibadah berkenaan, jemaah haji mengutip sejumlah batu yang dikutip di Muzdalifah ketika dalam perjalanan ke Mina sebelum melontar ke dinding di tiga jamrah sebagai simbolik me-
ngusir syaitan.
Ibadah tersebut sebagai memperingati Nabi Ibrahim a.s. yang melontar batu kepada syaitan yang cuba mempengaruhi bagin­da bagi mengingkari perintah Allah supaya mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s.
Pada hari tersebut jemaah haji termasuk umat Islam di seluruh dunia disunatkan mengorbankan haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta sebelum dagingnya disedekahkan.
Sejumlah 1.5 bilion umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha di seluruh dunia. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3FDWg10MM 
Hakcipta terpelihara 

Gajah selamat anak jatuh lubang


Omysha dibantu seekor gajah betina lain menyelamtkan anaknya yang terjatuh ke dalam lubang. - AGENIS
ZURICH 4 Okt. - Seorang pengunjung di sebuah zoo, di sini berjaya merakam video yang menyentuh hati tentang kelibat seekor gajah menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam lubang dan meraung meminta bantuan.
Mail Online melaporkan, video yang dirakam di Zoo Zurich itu memaparkan seekor anak gajah berusia enam minggu yang diberi nama Omysha cuba memanjat tebing tanah sebelum dia hilang imbang lalu terjatuh.
Omysha yang gagal bangun untuk keluar dari lubang berkenaan kemudian menangis meminta bantuan, sebelum ibu gajah berkenaan iaitu Indi bersama seekor lagi gajah betina datang membantunya.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk membantu gajah tersebut selepas melihat dia terjatuh ketika cuba memanjat tebing, tapi saya dapat rasa ada sesuatu yang istimewa akan berlaku.
"Omysha selalu menghabiskan masa bersama Indi yang sering memerhatikannya dan sama sekali tidak akan membenarkan Omysha melakukan sesuatu yang boleh membahayakan dirinya," kata Kurator zoo berkenaan.
Sejak dimuat naik di laman sosial, video berdurasi 53 saat itu mendapat banyak komen daripada penonton yang kagum dengan kasih sayang sejati yang ditunjukkan antara ibu dan anak gajah berkenaan.
Omysha merupakan antara gajah Asia yang terdapat di Zoo Zurich yang semakin diancam kepupusan dan mengikut statistik sehingga kini hanya terdapat antara 40,000 dan 50,000 gajah itu di dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141005/lu_09/Gajah-selamat-anak-jatuh-lubang#ixzz3FDSMcbcv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, October 4, 2014

Kisah Pemandu Kepada Bilionaire Tolak 2 Juta Pemberian Tuannya

Pemandu kepada Li Ka Shing – LKS (Jutawan No 1 di Asia) telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan LKS dan telah capai umur bersara. LKS sebagai tanda penghargaan telah memberinya cek bernilai 2 juta tetapi pemandu tersebut menolaknya kerana dia mendakwa sudah miliki 20 juta ditangannya. LKS berasa hairan kenapa bekas pemandunya ada simpanan sebegitu banyak walhal gaji dia cuma 6 ribu sahaja .


Pemandu LKS akhirnya mendedahkan bahawa ketika dia menjadi pemandu kereta beliau, LKS selalu membuat pesanan kepada pengurusnya melalui telefon, memberi arahan supaya membeli tanah atau saham yang mana satu. Pemandu tersebut memasang telinga dan secara tidak serius dan diam-diam membeli saham-saham yang LKS arahkan kepada pengurus beliau.

Lama kelamaan, selepas bermula secara kecil-kecilan bermain saham melalui curi-curi dengar arahan LKS kepada pengurusnya, pemandu tersebut berjaya mengumpul dana lebih 20 juta.

Anda Cerita:

Dalam perjalanan hidup, amat penting untuk kita memilih dengan siapa kita bersama. Bak kata pepatah, cari tandas, ikut lalat, cari bebunga, ikut lelebah, cari berjuta-juta, ikutlah jutawan !!

Bersama orang yang rajin, anda tidak akan malas, bersama orang bertekad anda tak akan murung, bersama orang yang pintar, anda jadi luarbiasa, bersama orang yang hebat, anda pasti berjaya!!!

InsyaAllah .. - ini Vocket

2 bulan jalan kaki tunai haji


Headline

Mina: Seorang warga emas berusia 75 tahun dari Yaman tiba di Mina empat hari lalu selepas berjaya berjalan kaki dari rumahnya selama kira-kira dua bulan.

Mohammed Ali Al-Mirfa (gambar) semalam berkata, dia memulakan perjalanan dari rumahnya di Yaman pada hari ketiga Aidilfitri, 3 Julai lalu. 
“Perjalanan itu memang terlalu meletihkan dan amat jauh namun saya tekad berjalan tanpa menghiraukan kesukaran yang hadapi,” katanya. 

Mohammed Ali berkata dia mengucapkan selamat tinggal kepada isteri, 12 anak dan saudara-maranya sebelum memulakan pengembaraan unik itu.

“Saya terlalu miskin dan menganggap tidak rugi apa jika mencuba pengembaraan ini.

“Sejujurnya ada kalanya hanya semangat dan keazaman saya yang kuat menjadi pendorong untuk terus melangkah setapak demi setapak, sehingga akhirnya saya diizinkan juga untuk berdiri di sini. 

Ketika ditemui, dia sedang minum teh sambil makan roti yang diberikan seorang tukang cuci. 

“ Alhamdulillah saya cukup gembira kerana berjaya sampai,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Polis Dubai guna Google Glass


Cermin mata itu mempunyai skrin komputer kecil yang dipasang pada sudut bingkai dan berupaya merakam gambar dan video. 
Seorang jurucakap semalam mengesahkan laporan akhbar bahawa perisian yang direka oleh polis Dubai berkenaan akan membolehkan si pemakai berhubung terus dengan pangkalan data orang yang dikehendaki. 

Sebaik peralatan itu boleh ‘mengecam’ suspek berdasarkan mukanya, ia akan memberi siyarat kepada pegawai yang memakai Google Glass itu.
Foto
GAMBAR hiasan.

Gajet berkenaan akan mula digunakan dalam fasa pertama memerangi pesalah trafik dan menjejaki kenderaan yang disyaki melakukan kesalahan jalan raya.

Fasa kedua akan menyaksikan teknologi itu digunakan oleh detektif. 

Syarikat Internet yang berpejabat di Amerika Syarukat itu berkata Mei lalu, sesiapa saja boleh membeli gajet berkenaan di Amerika Syarikat. 

Keputusan Dubai berkenaan dilihat selari dengan pihak berkuasa untuk melengkapkan pasukan polis mereka dengan peralatan canggih. 

Tahun lalu, pasukan itu mula menggunakan kereta Lamborghini berharga RM1.6 juta di kawasan tumpuan pelancong. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Nombor plat BMW5 dapat bidaan tertinggi



NOMBOR plat kenderaan BMW menjadi rebutan pemilik kereta mewah tersebut selepas tendernya dibuka sejak Ogos lalu. – Gambar hiasan


SHAH ALAM – Pembidaan nombor pendaftaran kenderaan BMW yang sinonim dengan jenama sebuah kenderaan mewah bu­atan Jerman mendapat sambutan luar biasa dan menarik perhatian ramai termasuk kerabat diraja, ahli perniagaan dan bintang sukan.
Keputusan tender nombor plat berkenaan yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Se­langor semalam menunjukkan nombor plat BMW5 memperoleh bidaan tertinggi iaitu RM188,100 oleh seorang kerabat diraja.
Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang baru meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan di Sukan Asia ke-17 juga memenangi nombor plat BMW6 de­ngan nilai bidaan RM97,777.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3F7fQgM52 
Hakcipta terpelihara 

Lembu ganggu sesi fotografi pengantin



Brian dan pasangannya terkejut apabila tiba-tiba dihampiri oleh seekor lembu yang cuba menyerang mereka.


TAMWORTH – Satu pasangan pengantin cemas selepas seekor lembu tiba-tiba cuba menyerang mereka ketika satu sesi fotografi di sebuah kawasan ladang di sini baru-baru ini lapor New York Daily News kelmarin.
Pasangan berkenaan, Brian dan Rebecca Pepper yang baru berkahwin pada 21 September lalu mengupah seorang jurugambar, Rachel Deane untuk merakamkan detik bahagia mereka.
Ketika pasangan berkenaan sedang merakamkan gambar di satu kawasan padang rumput tiba-tiba mereka dihampiri seekor lembu jantan.
Lembu jantan itu dilihat cuba menyerang Rebecca tetapi Brian yang menyedari perkara itu segera mempertahankan isterinya sebelum menghalau lembu tersebut.
Deane yang turut terkejut sempat merakamkan aksi Brian menghalau haiwan berkenaan dan gambar tersebut menarik perhatian pengguna internet selepas dia memuat naik gambar di laman Facebook miliknya.
“Lihatlah lembu ini yang cuba mencabar Brian untuk mendapatkan cinta Rebecca,” kata Deane. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3F7ePbuFQ 
Hakcipta terpelihara 

Jemaah haji bergerak ke Arafah



AFP - JEMAAH haji berhimpun di Padang Arafah, dekat kota suci Mekah untuk melakukan ibadah wukuf semalam.


MEKAH – Umat Islam dari seluruh dunia tiba di Padang Arafah, barat Arab Saudi kelmarin untuk menu­naikan ibadat wukuf pada musim haji tahun ini.
Kerajaan Arab Saudi me­nyatakan, hampir 1.4 juta jemaah dari 163 negara mengunjungi kota suci ini untuk mengerjakan haji.
Mereka bergerak keluar dari kota suci ini menuju ke Mina. Kebanyakan jemaah akan menunggu sehingga awal pagi semalam sebelum meninggalkan Mina untuk berhimpun di Arafah, menandakan ke­mun­cak ibadat haji.
Ketika wukuf di Arafah, jemaah haji akan melakukan ibadah seperti bersolat dan dan membaca al-Quran.
Bagaimanapun, sejumlah jemaah tiba awal di Padang Arafah lewat kelmarin termasuk Iman Izzidine, 42, yang melarikan diri daripada perang saudara di Syria.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana dapat berada di tanah suci ini. Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ini,” kata wanita itu.
Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi menempatkan seramai 85,000 anggota ke­selamatan dan beribu-ribu petugas kesihatan bagi memastikan musim haji kali ini berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3F7eFcDWx 
Hakcipta terpelihara 

Seni ilusi unik buat ‘bangunan terapung’


ALEX Chinneck bangga mempamerkan seni ilusi mata yang dihasilkannya, yang menunjukkan bangunan di belakangnya seolah-olah terbelah dua dan terapung. - AGENSI
LONDON 3 Okt. - Seorang penggiat seni dan pereka Britain mempamerkan kemahiran unik dalam seni ilusi apabila menjadikan sebuah bangunan di daerah pelancongan yang sibuk dekat ibu negara ini, kelihatan terapung di udara.
Lebih mengagumkan, seni yang dihasilkan oleh Alex Chinneck, juga dikenali sebagai pakar ilusi mata, mengelirukan orang ramai yang seolah-olah melihat bangunan bersejarah berusia 184 tahun di Covent Garden itu, terbelah dua.
Bahagian atas struktur bangunan itu seakan-akan terapung serta tidak bercantum dengan separuh lagi bahagian atas di bawah.
Menurut laporan portal berita Mail Online, seni tersebut yang dinamakan sebagai Take my Lightning but Don’t steal my Thunder, mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan serta melibatkan teknik silap mata yang rumit.
Jelas laporan berkenaan, bangunan sepanjang 12 meter itu diperbuat daripada rangka keluli dan sejenis polistirena yang dipanggil sebagai filcor, selain mengambil masa 500 jam untuk mengecat binaan tersebut menggunakan teknik digital khas bagi menampakkan pemandangan bangunan lain di sekelilingnya.
Selain itu, pengimbang yang kuat iaitu keluli yang disembunyikan di bahagian tepi bangunan tersebut, dipasang untuk menyokong bahagian atas struktur itu sehingga kelihatan terapung tanpa bercantum dengan bahagian bawah.
Chinneck berkata, orang ramai tidak dapat memastikan perkara yang palsu dan sebenar dengan menyentuh atau melihat bangunan tersebut yang terapung.
“Seni ini sangat rumit dan selagi orang ramai gembira melihatnya, saya sudah cukup berpuas hati.
“Ciptaan saya itu merupakan persoalan yang memerlukan pemikiran logik untuk mendapatkan penyelesaian," katanya.
Seni Take my Lightning but Don’t Steal my Thunder akan dipamerkan di Covent Garden East Piazza sehingga 24 Oktober ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_11/Seni-ilusi-unik-buat-bangunan-terapung#ixzz3F7SfoaMx
© Utusan Melayu (M) Bhd