ZURICH 4 Okt. - Seorang pengunjung di sebuah zoo, di sini berjaya merakam video yang menyentuh hati tentang kelibat seekor gajah menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam lubang dan meraung meminta bantuan.
Mail Online melaporkan, video yang dirakam di Zoo Zurich itu memaparkan seekor anak gajah berusia enam minggu yang diberi nama Omysha cuba memanjat tebing tanah sebelum dia hilang imbang lalu terjatuh.
Omysha yang gagal bangun untuk keluar dari lubang berkenaan kemudian menangis meminta bantuan, sebelum ibu gajah berkenaan iaitu Indi bersama seekor lagi gajah betina datang membantunya.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk membantu gajah tersebut selepas melihat dia terjatuh ketika cuba memanjat tebing, tapi saya dapat rasa ada sesuatu yang istimewa akan berlaku.
"Omysha selalu menghabiskan masa bersama Indi yang sering memerhatikannya dan sama sekali tidak akan membenarkan Omysha melakukan sesuatu yang boleh membahayakan dirinya," kata Kurator zoo berkenaan.
Sejak dimuat naik di laman sosial, video berdurasi 53 saat itu mendapat banyak komen daripada penonton yang kagum dengan kasih sayang sejati yang ditunjukkan antara ibu dan anak gajah berkenaan.
Omysha merupakan antara gajah Asia yang terdapat di Zoo Zurich yang semakin diancam kepupusan dan mengikut statistik sehingga kini hanya terdapat antara 40,000 dan 50,000 gajah itu di dunia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141005/lu_09/Gajah-selamat-anak-jatuh-lubang#ixzz3FDSMcbcv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment