Pages

Thursday, September 13, 2012

Peminat beli rumah asal Muhammad Ali




RUMAH Muhammad Ali dengan papan tanda untuk dijual dipacak di laman kediaman tersebut di Louisville, Kentucky pada 27 Ogos lalu - AP


LOUISVILLE, Kentucky - Seorang peminat setia Muhammad Ali telah membeli rumah yang menjadi tempat petinju legenda berkenaan membesar.
Seorang ejen hartanah Amerika Syarikat memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa peminat berkenaan, Jared Weiss membeli hartanah tersebut yang terletak di sini, dalam negeri Kentucky, awal minggu ini.
Ejen hartanah berkenaan, Dave Lambrechts berkata, Weiss membayar AS$70,000 (RM217,840) untuk rumah kecil berwarna putih itu.
"Lelaki ini peminat setia Ali, faktor ini mendorong dia membeli rumah berkenaan," kata Lambrechts.
Weiss merupakan seorang pelabur hartanah di bandar raya Las Vegas.
Ali yang pernah menjadi juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali kekal sebagai antara manusia paling dikenali di dunia. - AP

Raih pendapatan RM66 sehari menarik rakit di Babelan




Seorang lelaki menarik tali untuk menggerakkan rakitnya menyeberangi sebatang sungai di Babelan, pinggir bandar raya Jakarta semalam. - REUTERS


JAKARTA - Berbekalkan keringat, sebuah rakit kayu dan tali yang diikat menyeberangi sebatang sungai di Babelan, dekat sini, beberapa penarik rakit mampu meraih pendapatan yang agak lumayan.
Mereka memberikan khidmat kepada orang ramai yang mahu menyeberangi sungai berkenaan dengan mengenakan bayaran semurah 30 sen untuk sehala.
Namun, seorang penarik rakit berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Ali memberitahu, dia mampu memperoleh pendapatan mencecah 200,000 rupiah (RM66) sehari hasil pekerjaan tersebut. - Reuters

Aktivis bantah penjualan daging anjing




TIGA aktivis persatuan People Love Pet mewarnakan wajah mereka semasa mengadakan tunjuk perasaan di Bangkok semalam. - REUTERS


BANGKOK - Sekumpulan aktivis di Thailand mewarnakan wajah mereka menyerupai wajah anjing dalam satu tunjuk perasaan di negara berkenaan semalam.
Aktivis-aktivis pertubuhan sosial People Love Pet itu mengadakan satu tunjuk perasaan di luar Kementerian Dalam Negeri di sini.
Protes tersebut bertujuan untuk menggesa pihak berkuasa Thai supaya menghentikan perdagangan daging anjing di negara berkenaan.
Akhbar Huffington Post melaporkan puluhan ribu ekor anjing di Thailand diseludup keluar untuk dijual kepada pengedar daging anjing di Vietnam pada harga sekitar AS$10 (RM31) seekor. - Agensi

Nenek mangsa buli dapat derma RM2.1 juta






TORONTO, Kanada - Seorang pengawas bas sekolah yang dibuli tanpa belas kasihan oleh empat pelajar sekolah menengah rendah di New York menerima lebih AS$700,000 (RM2.1 juta) dalam derma yang dikumpulkan oleh seorang lelaki Kanada.
Karen Klein (gambar), 68, menerima cek berkenaan pada satu majlis di sini kelmarin.
Seorang jurucakap untuk kempen dana tersebut berkata, lebih 30,000 orang dari 84 buah negara telah menyumbang bagi membantu meringankan beban Klein.
Jumlah derma terkumpul itu jauh melebihi jangkaan seorang lelaki Kanada, Max Sidorov yang memulakan inisiatif mengmpulkan dana AS$5,000 (RM15,560) supaya Klein boleh pergi bercuti untuk menenangkan fikirannya.
Simpati orang ramai terbit susulan insiden buli tersebut yang dirakam oleh seorang pelajar di dalam bas berkenaan dan disiarkan di YouTube pada Jun lalu.
Klip video itu menunjukkan Klein cuba untuk tidak menghiraukan cemuhan, cacian dan ugutan yang dilemparkan terhadapnya oleh keempat-empat pelajar itu. - AP

Pembikin filem anti-Islam sembunyikan diri




PENUNJUK perasaan mengoyakkan bendera AS di luar pejabat kedutaan AS di Mesir kelmarin sebagai tanda bantahan. - AFP


LOS ANGELES - Pembikin filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam kerana menghasilkan filem menghina Nabi Muhammad SAW dikatakan sedang menyembunyikan diri.
Filem yang dihasilkan oleh penulis dan pengarah, Sam Bacile telah mengakibatkan tunjuk perasaan di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Mesir dan Libya, serta membunuh seorang pegawai Jabatan Negara AS di sana.
Bacile yang bercakap melalui telefon dari lokasi tidak diketahui tetap membela diri dengan mengatakan Islam adalah satu barah dan mahu filemnya menjadi satu kenyataan politikal.
Lelaki berusia 56 tahun itu turut mendedahkan dirinya sebagai Yahudi Israel. Menurutnya, filemnya itu akan membantu Israel dengan mendedahkan keburukan Islam kepada dunia.
Petikan filem yang dialih bahasa ke dalam bahasa Arab telah disiarkan di laman video YouTube. Filem itu mencetuskan kemarahan kerana ia menghina Nabi Muhammad SAW sebagai seorang kaki perempuan dan membenarkan gangguan seksual ke atas kanak-kanak.
Bacile menyatakan kekesalan atas kematian kakitangan kedutaan itu, tetapi menyalahkan kawalan keselamatan premis terbabit. - AP

Mati akibat suntikan silikon pada kemaluan





NEWARK, New Jersey - Seorang wanita tidak mengaku salah menyebabkan kematian seorang lelaki selepas dia didakwa menyuntik silikon melebihi dos sewaktu menjalankan prosedur membesarkan alat kelamin.
Kasia Rivera, 35, (gambar) tidak mengaku cuai dan menyebabkan mangsa, Justin Street yang berusia 22 tahun meninggal dunia.
Street yang merupakan bapa kepada dua orang anak dikatakan berjumpa Rivera untuk membesarkan kemaluannya selepas membaca iklan mengenai perkhidmatan tersebut.
Rivera menjalankan prosedur itu di rumahnya. Dia yang didakwa tidak memiliki lesen atau latihan perubatan telah menyuntik silikon ke kemaluan Street. Lelaki tersebut meninggal dunia keesokan harinya. Ujian perubatan mendapati dia mati akibat embolisme silikon.
Pasukan penyiasat percaya Rivera ada melakukan prosedur sama sebelum ini, tetapi tiada saksi baharu yang tampil. Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$75,000 (RM230,294). Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun. - AP

Wednesday, September 12, 2012

Krisis Syria: Angelina Jolie rayu dunia 'buka mata'




12 September 2012
Angelina Jolie
Angelina Jolie ketika melawat kem pelarian di Zaatari, Jordan semalam.
ZAATARI, Jordan - Pelakon terkenal Hollywood, yang juga Duta Kebajikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie berharap statusnya sebagai selebriti dapat membantu rakyat Syria dengan dunia "membuka mata" menyelesaikan krisis pelarian.

Menurutnya, dia sendiri telah menyaksikan serta menyelami situasi yang dilalui kanak-kanak di Syria, di mana kebanyakan daripada mereka kini hidup sebagai yatim piatu dan sebatang kara.

“Seorang budak perempuan sembilan tahun bercerita kepada saya bahawa menjadi pemandangan biasa untuk melihat anggota badan berselerak dan mayat orang mati dibakar, diratah macam ayam oleh binatang di sini,” kata Jolie semasa membuat lawatan ke kem pelarian di Jordan berdekatan dengan sempadan Syria.

Menurut agensi pelarian PBB, setiap hari dianggarkan lebih kurang 2,000 penduduk Syria mati akibat pergolakan politik melanda negara itu sejak 18 bulan yang lalu.

Selain itu, hingga kini, sebanyak 253,000 pelarian Syria dilaporkan mendapat perlindungan dengan hidup dalam kem pelarian dan rumah sementara di negara berdekatan seperti Jordan, Turki, Lebanon dan Iraq.

Menempuh kehidupan di kem pelarian Zaatari, Jordan bukanlah semudah yang disangka, di mana kebanyakan mereka hilang segala harta benda selepas meninggalkan rumah di Syria.

Salah seorang pelarian menceritakan pengalamannya kepada CNN.

Katanya, dia sekeluarga merentasi sempadan dengan bayi yang hanya baru dilahirkan empat hari sebelum itu, dengan semua pakaian dikendong di belakang.

Mereka juga merungut mengenai ketiadaan bekalan minuman dan makanan yang dapat menampung kehidupan pelarian.

Jolie ditemani tentera Jordan membuat lawatan sehari ke sempadan, menyaksikan sendiri pelarian dari Syria bergerak ke Jordan dalam usaha mencari perlindungan.

Aktres yang mempunyai enam orang anak bersama pasangannya, Brad Pitt menyatakan dia berasa sangat tersentuh dengan situasi itu dan tidak dapat membayangkan  perkara itu terjadi kepada ibu-ibu dan anak-anak mereka terutamanya.

“Dengan jumlah kanak-kanak yang tidak bersalah menjadi mangsa, seperti ada yang meninggal dunia, cedera parah dan hidup sebatang kara, dengan ibu bapa mereka pula dibunuh, kita harus berbuat sesuatu agar perkara ini akan dapat dibanteras,” kata Jolie.

Jolie sebelum ini telah banyak mengembara ke negara-negara bergolak untuk melihat sendiri kedaifan hidup mereka dan sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan sejagat sejajar dengan tugasnya sebagai Duta Kebajikan PBB.

Sementara itu, menurut Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh, negaranya sedang membina lebih banyak khemah pelarian untuk menampung pelarian Syria yang kini sudah terlebih muatan di sesetengah khemah pelarian.

Jolie pula menggesa negara-negara lain untuk turut sama membantu pelarian di sini.

“Saya sangat terharu dengan usaha Jordan dan negara sempadannya yang lain dalam usaha menyelamatkan nyawa pelarian Syria.  Ini adalah satu perkara murni dan sangat luar biasa.

“Oleh itu, saya menggesa semua pihak menyokong projek ini dan berharap kehidupan penduduk di  Syria akan kembali normal seperti dulu semula,” kata Jolie.

Doktor Pakistan: Saya tidak tahu AS guna saya buru Osama



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
, Dr Shakil Afridi
Dr Shakil Afridi
ISLAMABAD - Seorang doktor Pakistan, Dr Shakil Afridi yang membantu agensi risikan Amerika Syarikat (AS), CIA mengesan Osama bin Laden, mendakwa dia tidak tahu telah digunakan untuk memburu pemimpin bekas ketua Al-Qaeda itu.
Doktor itu ditahan sejurus selepas Osama ditembak mati dalam operasi khas anggota SEAL AS.
Beliau kini menjalani hukuman penjara 33 tahun berhubung kesalahan khianat.
Dr  Shakil memberitahu media yang beliau tidak tahu apa-apa melainkan hanya menjalankan tugasnya.
Beliau mengambil bahagian dalam kerja-kerja pengumpulan DNA untuk mengesahkan tempat Osama bersembunyi di sebuah rumah agam di Abbottabad.
Dr Shakil didapati bersalah atas kesalahan penghianatan Mei lalu.
"Saya sedar bahawa sesetengah pengganas yang tinggal di kompaun (rumah Osama tinggal), tetapi saya tidak tahu siapa. Saya terkejut. Saya tidak percaya saya telah dikaitkan dalam pembunuhan itu,” katanya dalam satu temuk bual khas kepada Fox News.
Berikutan kematian Osama, Dr Shakil berkata beliau dinasihatkan oleh CIA untuk melarikan diri ke Afghanistan.
Bagaimanapun beliau tidak menyedari terlibat dengan kematian Osama.
Beliau telah diculik oleh agensi perisikan Pakistan ISI pada Januari lalu dan berkata mereka menyifatkankan AS sebagai musuh terburuk mereka.
Digari selama setahun dan ditutup mata selama lapan bulan, beliau menceritakan bagaimana dia dipaksa untuk baring di atas lantai dan makan seperti anjing.
Mei lalu, Dr Shakil didapati bersalah atas pengkhianatan dan dihukum 33 tahun oleh sebuah mahkamah  Pakistan.
Hubungan antara AS dan Pakistan semakin tegang berikutan pembunuhan Osama.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta memberitahu CBS bahawa Dr Shakil tidak melakukan kerja-kerja khianat terhadap Pakistan.
"Bagi mereka, untuk mengambil tindakan seperti ini ke atas seseorang yang telah membantu usaha memerangi keganasan, saya fikir ia benar-benar satu kesilapan di pihak mereka," katanya lagi.

Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Christopher Stevens
Christopher Stevens
Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya antara 4 maut
Protes yang diadakan di pejabat konsul Amerika Syarikat semalam.
[DIKEMAS KINI] WASHINGTON - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens disahkan terbunuh dalam serangan roket ke atas pejabat konsul di Benghazi semalam, demikian menurut oleh Presiden Barack Obama hari ini.
"Saya dengan keras mengutuk serangan melampau ke atas kemudahan diplomatik di Benghazi, yang meragut empat nyawa rakyat Amerika termasuk Duta Chris (Christopher) Stevens," kata Obama dalam satu kenyataan.
Tiga yang lain merupakan kakitangan keselamatan AS, kata seorang pekerja kontraktor di misi tersebut, lapor CNN.
Serangan ke atas pejabat konsul itu diadakan sebagai protes berhubung filem keluaran negara, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS hanya mengesahkan kematian seorang pegawai tetapi tidak mengeluarkan nama lagi.
Selain di Libya, protes juga diadakan di Kedutaan AS di Kaherah.
Dalam serangan di Benghazi, seorang lelaki memasuki kawasan pejabat konsul dan melepaskan tembakan, selain membaling bom.


Laporan terdahulu memetik seorang pegawai Libya berkata, Stevens meninggal dunia disebabkan sesak nafas ekoran serangan itu.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengesahkan kematian seorang pegawai negara itu premis tersebut.
Tindakan seorang lelaki AS berbangsa Yahudi menghasilkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan orang Islam di Libya dan Mesir.
Kumpulan penunjuk perasaan yang berang itu bertindak menggempur Kedutaan AS di Kaherah dan Benghazi pada hari sama sambutan ulang tahun ke-11 memperingati serangan 11 September diadakan, semalam.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, protes di bandar timur Libya tersebut bertukar ganas selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam pejabat konsul dan membakar premis itu.
"Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama tiga kakitangan dilaporkan turut terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan roket yang disasarkan ke bangunan tersebut," kata Wanis al-Sharef.
Beberapa jam sebelum insiden itu, ratusan penunjuk perasaan ultrakonservatif berarak menuju ke Kedutaan AS di Kaherah dan berhimpun di luar bangunan tersebut sambil melaungkan slogan mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghasilkan filem terbabit.
Bagaimanapun, demontrasi itu juga bertukar menjadi ganas selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak luar kawalan dengan memanjat tembok di luar bangunan kedutaan tersebut dan menurunkan bendera kebangsaan AS.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa memaklumkan tiada tangkapan dibuat kerana protes tersebut dilakukan secara aman dan kumpulan itu dilaporkan bersurai menjelang tengah malam tadi.
Difahamkan, treler filem selama 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile, 52, menerima kecaman banyak pihak terutamanya orang Islam selepas ia dimuat naik ke dalam laman Youtube.
Wall Street Journal melaporkan Bacile turut menerima bantuan berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) daripada kira-kira 100 bangsa Yahudi untuk membuat filem yang sengaja memburuk-burukkan sifat Nabi Muhammad SAW.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam.

250,000 jadi pelarian Syria

Hakikat 100,000 rakyat Syria membanjiri negara jiran dalam masa sebulan menjadikan ia pertambahan luar biasa krisis ini.

Di Jordan, yang menyaksikan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Guterres, mengiringi wakil khas agensi itu, aktres Angelina Jolie, menempatkan 85,197 pelarian berdaftar, dengan 35,961 lagi menantikan pemprosesan.


Jolie dikawal tentera 


Jolie tiba di Jordan petang kelmarin dengan dikawal tentera Jordan. Beliau melawat keluarga Syria tidak berumah yang baru-baru ini menyeberangi sempadan.

Pelakon itu dijangka melawat kem pelarian Al-Zaatri lewat semalam dan mengunjungi Raja Abdullah, Perdana Menteri Fayez Tarawneh dan Menteri Luar, Nasser Judeh.
“Angelina Jolie ialah wakil khas kami dan bekerjasama dengan kami mengenai isu strategik dan ini satu lawatan penting, ketika krisis terbesar berlaku,” kata Edwards.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mahu mengukuhkan semula aktivitinya di Homs, wilayah memiliki 2.2 juta penduduk yang menyaksikan hospital dibanjiri pesakit.

“Krisis kemanusiaan menjadi bertambah buruk. Keperluan utama berkaitan dengan penjagaan kesihatan, bantuan makanan, perlindungan, air dan pendidikan.


Masalah kesihatan


“Usaha mempercepatkan bantuan kemanusiaan diburukkan dengan musim sejuk yang semakin dekat,” kata jurucakapnya, Tarik Jasarevic, pada sidang akhbar di Geneva, sambil menambah bilangan penduduk yang memerlukan bantuan mencecah 550,000.

Kekurangan penjagaan kesihatan menjadi antara masalah terbesar, dengan cuma separuh daripada 12 hospital awam di Homs masih beroperasi dengan kapasiti yang semakin berkurangan. Hospital yang boleh memuatkan 350 katil musnah.

“Ada laporan hospital di Latakia kehabisan stok ubat barah, manakala hospital lain kekurangan ubat terutama antibiotik, bius, ubat trauma dan diabetes,” katanya. - AFP

Abu Yahya diakui terbunuh




         
HONG KONG: Pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri mengeluarkan video sempena ulang tahun serangan 11 September dan mengesahkan buat kali pertama mengenai kematian timbalannya.

Video sepanjang 42 minit itu, yang pertama oleh Ayman dalam masa tiga bulan, mengesahkan Abu Yahya al-Libi terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di wilayah Waziristan, Pakistan, pada 4 Jun lalu, menurut Kumpulan Perisikan SITE dan IntelCenter.


Abu Yahya ialah perancang propaganda global al-Qaeda dan kematiannya memberi tamparan hebat kepada kumpulan itu selepas Osama bin Laden dibunuh oleh komando tentera Amerika Syarikat pada Mei 2011.

“Dengan kematian Sheikh Abu Yahya, semoga Allah merahmati rohnya, lebih ramai lagi orang yang akan membaca tulisannya dan menyahut seruannya. Insya Allah,” kata Ayman dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh SITE.


Video itu dimuatnaikkan dalam forum kumpulan jihad Isnin lalu.


Teks yang diterjemahkan tidak mengulas secara langsung ulang tahun 11 September.

Dalam ucapannya itu, Ayman juga menyifatkan Presiden AS, Barack Obama sebagai ‘pembohong.’ Menurutnya, Obama dipilih untuk menipu umat Islam di seluruh dunia dan kini tentera negara itu berdepan dengan kekalahan di Afghanistan.


Beliau turut menyebut mengenai Warren Weinstein, pekerja bantuan AS yang sudah berusia dan diculik di Pakistan oleh al-Qaeda tahun lalu.

Ayman berikrar tidak akan membebaskan lelaki itu sehingga tentera AS membebaskan pengikut al-Qaeda di Afghanistan.


Dengan judul ‘Singa Ilmu dan Jihad: Kesyahidan al-Sheikh Abu Yahya al-Libi,’ video itu adalah kenyataan Ayman yang ke-13 tahun ini.


Videonya seringkali dirakam dalam bahasa Urdu dan Pashto.


Abu Yahya, menjadi terkenal pada 2005 selepas melarikan diri dari tahanan AS di Afghanistan. Beliau kemudian menjadi tokoh motivasi utama pengikut al-Qaeda.


Video mengenai beliau diedarkan oleh al-Qaeda seminggu selepas kematiannya. - AFP

Rakyat AS tak selamat: Taliban




         
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) berdepan dengan kekalahan di Afghanistan dan rakyat negara itu tidak akan selamat, tidak kira di mana mereka berada, kata Taliban, sempena ulang tahun serangan 11 September 2001.

“Ulang tahun 11 September menghampiri Amerika tahun ini ketika tentera negara itu berdepan dengan kekalahan yang sudah pasti di Afghanistan, baik dari segi ketenteraan, politik dan ekonomi.
“AS sudah kehabisan cara untuk melanjutkan perang haram ini,” menurut kenyataan Taliban Afghanistan, kata Kumpulan Perisikan SITE yang berpangkalan di AS.
Kenyataan dalam bahasa Inggeris itu yang dimuatnaikkan Ahad lalu di laman jihad seterusnya berkata, tindak balas terhadap Afghanistan atas alasan serangan 11 September tidak mempunyai asas dari segi undang-undang atau etika.
“Rakyat Afghanistan tidak terbabit dalam serangan itu. AS membelanjakan sejumlah besar aset ketenteraan dan ekonomi dalam peperangan di Afghanistan tetapi rakyatnya tidak akan selamat di mana jua,” menurut kenyataan itu. - AFP

Tahanan Guantanamo ditemui mati




         
MIAMI: Seorang tahanan di Teluk Guantanamo ditemui mati atas sebab yang belum dipastikan.

Tahanan itu yang nama dan kerakyatannya belum didedahkan, meninggal dunia Sabtu lalu, kata tentera Amerika Syarikat (AS).
Teluk Guantanamo, pangkalan tentera Laut AS di timur Cuba dijadikan pusat tahanan warga asing selepas serangan 11 September 2001.

Tahanan itu adalah yang kesembilan mati di kem berkenaan sejak ia dibuka pada 2002.


Jurucakap operasi tahanan, Kapten Robert Durand berkata, si mati bukan di antara kumpulan kecil tahanan yang berdepan dengan tuduhan jenayah perang. - Reuters

Kawan ‘makan’ kawan cacat

ALDOUS (kiri) membantu Stringer di majlis perkahwinan bekas tentera itu baru-baru ini
ALDOUS (kiri) membantu Stringer di majlis perkahwinan bekas tentera itu baru-baru ini
STRINGER bersama isteri dan anaknya, Millie yang berusia empat tahun.
STRINGER bersama isteri dan anaknya, Millie yang berusia empat tahun.
LONDON: Seorang pengapit pengantin ditahan kerana disyaki mencuri �85,000 (RM 420,843) daripada rakannya - seorang bekas tentera kurang upaya - yang baru berkahwin.
Connor Aldous, 21, menjadi pengapit ketika Alex Stringer dikahwinkan dengan wanita yang menjadi temannya sejak kecil.
Stringer adalah veteran tentera Britain yang pernah berkhidmat di Afghanistan, tetapi kehilangan kedua-dua kaki dan tangan kirinya akibat terkena jerangkap samar Taliban.

Dia menggunakan anggota palsu dan terpaksa dipapah Aldous di majlis perkahwinannya.


Di sebalik ‘kebaikan’ itu, Aldous disyaki mengeluarkan dari bank �35,000 (RM173,288) daripada �800,000 (RM3.9 juta) pampasan diterima Stringer akibat kecacatan kekal dialaminya.

Tidak cukup dengan itu, Aldous juga meminjam �50,000 (RM247,555) wang Stringer dan ia tidak pernah dibayar semula.

Stringer yang menganggur mengenali Aldous sejak mereka bersekolah dan dia menumpang di rumah bekas tentera itu yang tinggal bersama isterinya, Danielle, 20, di Canvey Island, Essex.

Jurucakap polis berkata, Aldous ditangkap Jumaat lalu dan akan ditahan sehingga Oktober untuk membolehkan siasatan dijalankan, Sementara itu, Stringer berkata, dia menganggap Aldous seperti saudara kandung sendiri dan memberikan segala yang diperlukannya.

“Kami mempercayai Aldous dan menyediakan tempat tinggal untuknya,” katanya. Stringer berkhidmat dengan Kor Logistik Rejimen Pioneer Ke-23 ditimpa kemalangan di Afghanistan pada Januari tahun lalu. Hasil hubungannya dengan Danielle, mereka mendapat dua anak, masing-masing berusia empat dan satu tahun.

Pasangan itu bakal mendapat anak ketiga musim panas ini.

Tindak-tanduk Aldous disedari apabila Stringer mengesan rakannya itu membuat banyak pengeluaran dari akaun banknya dalam tempoh 12 bulan.

Katanya, pada hari tertentu, Aldous membuat sehingga lapan pengeluaran wang sehari. - DM

Majalah ritual menghalau hantu pertama di dunia



EDISI pertama majalah Egzorcysta yang dijual di Poland pada bulan ini.


WARSAW, Poland - Susulan peningkatan aktiviti menghalau hantu di Poland, paderi-paderi Roman Katholik di sini bergabung tenaga dengan seorang penerbit untuk melancarkan sebuah majalah bulanan pertama di dunia yang memfokuskan secara eksklusif tentang cara menghalau syaitan.
"Peningkatan aktiviti menghalau hantu daripada empat kepada lebih 120 kes dalam tempoh 15 tahun di Poland merupakan petanda (untuk menerbitkan majalah berkenaan)," kata Paderi Aleksander Posacki.
Posacki merupakan seorang profesor dalam bidang falsafah, teologi dan hal ehwal syaitan serta penghalau hantu terkenal di Poland.
Komen itu dikeluarkan sempena majlis pelancaran majalah berkenaan, Egzorcysta, dalam satu sidang media di sini kelmarin.
Menurutnya, isu pertama majalah setebal 62 muka surat itu termasuk artikel bertajuk New Age - the spiritual vacuum cleaner dan Satan is real mula dijual bulan ini pada harga 2.34 euro (RM9.24) senaskhah.
Paderi berkenaan percaya peningkatan rasukan syaitan berpunca daripada perubahan kepercayaan sebahagian masyarakat Poland yang kini lebih berpegang kepada pasaran bebas kapitalisme dan menolak ajaran Katholik.
"Ia secara tak langsung disebabkan perubahan dalam sistem ekonomi. Kapitalisme mencipta lebih peluang untuk melakukan perniagaan merangkumi ilmu hitam. Malah kini, menelek nasib juga dikategorikan sebagai pekerjaan dan dikenakan cukai," kata Posacki kepada AFP.
"Jika orang ramai boleh membuat keuntungan dengan menggunakan elemen ilmu hitam, gangguan rohani turut berkembang," tambahnya.
Posacki yang turut berkhidmat dengan panel pakar penghalau hantu antarabangsa menjelaskan bahawa rasukan merupakan tingkah laku ekstrem yang gagal dirawat melalui kaedah psikologi, psikiatri dan terapi konvensional.
"Rasukan berlaku akibat kejahatan. Mencuri, membunuh dan pelbagai dosa lain," katanya kepada wartawan.
Jelasnya, roh jahat yang merasuk pesakit akan diusir dengan menggunakan panduan mantera yang diluluskan oleh ketua mazhab Roman Katholik, Pope John Paul II. - AFP

Restoran 80 meter di bawah tanah




PARA pelanggan sedang makan malam di restoran Muru Pop Down yang terletak di dalam lombong Tytyri di Lohja, Finland kelmarin.


LOHJA - Seorang cef pemenang anugerah membuka sebuah restoran baharu yang unik di Finland pada kedalaman 80 meter di bawah tanah.
Menyajikan pelbagai hidangan istimewa seperti ikan salmon masin, daging anak lembu dan siput dimasak bersama epal cincang, restoran itu berada di dalam lombong batu kapur Tytyri di sini, sekitar 60 kilometer ke barat ibu kota Finland, Helsinki.
Harga makan malam merangkumi empat hidangan di restoran Muru Pop Down itu hanya AS$160 (RM497) termasuk kos pengangkutan pergi balik ke lombong itu dari Helsinki.

CEF Niklas Ekblom (kiri) dan pengusaha restoran Timo Linnamaki menyediakan makanan di restoran Muru Pop kelmarin.


"Saya seronok bekerja di restoran bawah tanah ini kerana anda jauh dari dunia luar, jadi, anda tiada gangguan untuknya memasak," kata cef berkenaan, Timo Linnamaki.
Seorang pengunjung ke restoran tersebut, Olli-Pekka Jantti berkata, makanan yang disediakan amat lazat.
"Saya juga sukakan kelainan apabila makan di restoran ini, anda berada jauh di dalam bumi, anda berasa amat pelik," katanya.
Lombong berkenaan yang berusia 115 tahun memiliki kedalaman 380 meter.
Sebahagian lombong tersebut masih beroperasi dengan kebanyakan galian itu digunakan dalam industri kimia. - AP

Takungan 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis




RUANG dalam takungan kuno berusia 3,000 tahun yang ditemui di Baitulmuqaddis.


BAITULMUQADDIS - Beberapa pakar arkeologi menemui sebuah takungan air kuno di sini yang digunakan oleh jemaah semasa ke kota suci bangsa Yahudi, Temple Mount atau dikenali sebagai Haram Ash-Sharif oleh orang Islam.
Akhbar MailOnline melaporkan bahawa takungan yang dinamakan cistern itu boleh menyimpan sebanyak 250 kubik meter air.
Tempat simpanan air itu dipercayai dibina pada era Tempat Ibadat Pertama sekitar 3,000 tahun dahulu.
Menurut kitab Bangsa Yahudi, Tempat Ibadat Pertama dibina oleh Nabi Sulaiman pada kurun ke-10 sebelum masihi (S.M.) sebelum dimusnahkan 400 tahun kemudian.
"Penemuan ini menjelaskan bahawa sumber air pada era Tempat Ibadat Pertama bukan sahaja bergantung kepada mata air tempatan tetapi juga takungan awam," kata ketua ahli arkeologi Pihak Berkuasa Alam Semulajadi dan Taman Israel, Tvika Tsuk.
Menurutnya, tapak Tempat Ibadat Pertama yang dibina oleh Nabi Sulaiman kini berada di bawah Dome of the Rock atau Masjid Kubah Emas di sini. - Agensi

Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom



Mohammed Nasser


SANAA - Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed terselamat dalam satu serangan bom kereta semalam yang menjadikan konvoinya sebagai sasaran.
Insiden itu bagaimanapun membunuh 13 orang termasuklah tujuh pengawal keselamatan.
Serangan itu berlaku selepas sehari laman web Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pemimpin kedua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), Saeed Al-Shihri terbunuh dalam satu operasi ketenteraan di timur negara tersebut.
"Menteri Pertahanan menjadi sasaran," kata seorang pegawai keselamatan, sambil memberitahu tiga lagi mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenal pasti. Agensi beritaSaba melaporkan satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar bangunan pejabat kerajaan.
Pada Mei lalu, AQAP mengaku bertanggungjawab atas satu serangan berani mati di Sanaa yang mengakibatkan hampir 100 orang askar terbunuh. - AFP

Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen maut



Saeed Al-Shihri


SANAA - Ketua nombor dua rangkaian Al-Qaeda di Yemen, Saeed Al-Shihri dan enam orang bersamanya di dalam sebuah kereta maut dalam satu serangan udara kelmarin, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Yemen.
Beberapa pegawai tentera berkata, Saeed yang merupakan warga Arab Saudi dan pernah berperang di Afghanistan sebelum dipenjarakan selama enam tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo mati terkena tembakan peluru berpandu di wilayah Hadramaut, selatan Yemen.
Peluru berpandu itu dipercayai ditembak oleh sebuah pesawat kawalan jauh AS atau dron. Kematian orang kanan Al-Qaeda itu disahkan oleh dua pegawai kanan AS. - AP

Tuesday, September 11, 2012

Lelaki Arab sorok monyet dalam seluar




         
NEW DELHI: Kastam India menahan seorang lelaki yang cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi bersama seekor monyet terancam disorok dalam seluar dalamnya, kata pegawai agensi itu, semalam.

Suspek berasal dari Emiriah Arab Bersatu kini ditahan bersama dua rakannya.


Menurut jurucakap kastam, suspek tiba dari Bangkok dan sepatutnya menaiki penerbangan Jet Airways ke Dubai. “Kastam mengesan monyet itu ketika membuat pemeriksaan badan,” katanya. Monyet berukuran 17 sentimeter itu - dikenali sebagai loris - hidup di India dan Asia Tenggara, dianggap mempunyai khasiat bagi menguatkan tenaga batin. Ia adalah spesies terancam di dunia. Seekor lagi monyet itu ditemui ditinggalkan dalam tong sampah lapangan terbang berkenaan. - AFP

Zionis terus serang Gaza




         
GAZA: Seorang kanak-kanak Palestin cedera berikutan empat serangan udara yang dilancarkan rejim Zionis.

Serangan itu turut mensasarkan pos polis di El Tufah, timur bandar Gaza.


Minggu lalu, enam rakyat Palestin maut dalam dua serangan tentera Zionis di wilayah itu. - Reuters

Bekas panglima tentera Mesir hadapi tindakan undang-undang




         
KAHERAH: Bekas Panglima Tentera Mesir, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan timbalannya, Jeneral Sami Annan berdepan dengan tindakan undang-undang selepas 30 aduan difailkan terhadap mereka.

Satu sumber kehakiman berkata, aduan itu berkait dengan tindakan tentera menangani kebangkitan rakyat Mesir tahun lalu.


Sami juga berdepan dengan aduan tambahan yang menuduh dia memperoleh beberapa tapak bangunan berhampiran Kaherah secara tidak sah.

Peguam Negara, Abdel Meguid Mahmud akan menyerahkan aduan itu kepada pejabat pendakwa raya tentera yang akan memutuskan sama tindakan selanjutkan perlu diambil. — AFP

Brahimi mula tugas di Syria



 

Brahimi (kanan) dan Elaraby keluar dari Ibu Pejabat Liga Arab, di Kaherah selepas mengadakan sidang media.
Wakil PBB lawat Damsyik lancar proses pulih keamanan

Kaherah: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi, semalam berkata beliau akan melakukan lawatan pertama ke Damsyik sejak mengambil alih jawatan itu dalam masa beberapa hari lagi dan berharap untuk bertemu Presiden Bashar al-Assad.

Brahimi yang menggantikan Kofi Annan sebagai wakil antarabangsa bulan ini, memberitahu wartawan tugasnya amat sukar tetapi tidak berhak menolak apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat Syria.
Bertemu pegawai, aktivis

Beliau membuat kenyataan sama mengenai misinya sejak dinamakan wakil baru. Annan menyalahkan kebuntuan dalam Majlis Keselamatan PBB kerana menggagalkan usahanya selama enam bulan yang membawa kepada peletakan jawatannya.

“Saya akan ke Damsyik dan bertemu pegawai serta aktivis persatuan sivil serta intelektual di Damsyik, dan Insya-Allah, juga di luar bandar raya itu,” kata Brahimi tetapi tidak memberikan tarikh tepat.

Ditanya jika beliau akan bertemu Presiden Syria, Brahimi berkata: “Saya berharap dapat menemuinya tetapi saya tidak dapat kata dengan pasti.”

Agensi berita MEHR memetik Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, sebagai berkata, Brahimi akan melawat Tehran, berikutan perbualan telefon Sabtu lalu dengan Menteri Luar republik itu, Ali Akbar Salehi.

Bertemu penunjuk perasaan


Iran masih setia menyokong Bashar ketika beliau berusaha menghapuskan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan keluarganya selama 42 tahun.
Tehran menuduh negara seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki membantu pemberontak Syria.

Brahimi dan Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby, bertemu penunjuk perasaan anti-Bashar di luar ibu pejabat liga itu di Kaherah.

Penunjuk perasaan menggesa Liga Arab dan negara lain melaksanakan zon larangan terbang di Syria, dan Elaraby membalas: “Kami tidak boleh buat demikian. Negara yang boleh melaksanakan zon larangan terbang di Syria tidak mahu berbuat demikian.” - Reuters

Ahli parlimen suka ponteng

Keadaan di Parlimen Indonesia yang  tidak penuh dengan anggota.Keadaan di Parlimen Indonesia yang tidak penuh dengan anggota.
Isteri disaran suruh penggubal undang-undang negara rajin kerja 

Jakarta: Pengerusi parti Demokratik Indonesia, Anas Urbaningrum menggesa isteri ahli penggubal undang-undang negara itu mengingatkan suami mereka supaya lebih rajin bekerja berikutan kedatangan anggota untuk menghadiri sidang dewan adalah rendah.


Beri ingatan
“Jika ada tanda-tanda suami anda mahu mengelak menghadiri tugas mereka di Dewan Perwakilan, beri ingatan kepada mereka (supaya pergi kerja),” kata Anas pada satu mesyuarat kelab Isteri Penggubal Undang-Undang Parti Demokrat semalam.

“Jika perlu, iringi mereka apabila mereka ke kawasan pilihan raya berikutan pilihan raya perundangan semakin hampir.”

Penggubal undang-undang Indonesia menjadi sasaran kritikan mengenai kekerapan mereka tidak hadir bersidang dan prestasi teruk ketika mesyuarat Dewan Perwakilan.


Sesi Dewan tak produktif


Kehadiran yang kurang menyumbang kepada sesi Dewan yang tidak produktif pada tahun ini selain menyebabkan sejumlah 38 rang undang-undang terhenti dalam perbincangan.
Selain itu, ketika satu mesyuarat berlangsung sempena memperingati ulang tahun 67 badan perundangan terbabit, hanya 350 daripada 560 ahli perundangan yang hadir. Pada masa sama, kebanyakan mereka yang hadir juga menyelinap keluar lebih awal.

Sebelum ini, ada pihak mencadangkan supaya dewan menggunakan sistem cap jari elektronik dipasang untuk mengambil kehadiran tetapi rancangan itu terkubur begitu saja berikutan bantahan kebanyakan ahli dewan.

Anas memberitahu kelab isteri ahli Parlimen bahawa pembabitan mereka adalah perlu untuk memastikan kejayaan Parti Demokratik. - Agensi

Al-Maliki mahu pecat TPM pula

Saleh al-MutlakSaleh al-Mutlak
Gara-gara dituduh lebih teruk daripada Saddam Hussein

Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, turut berhasrat memecat Timbalan Perdana Menteri negara itu yang berfahaman Sunnah, Saleh al-Mutlak, kerana melabel beliau ‘lebih teruk daripada bekas Presiden Saddam Hussein.’

Perkembangan itu menyusuli hukuman mati yang dikeluarkan mahkamah Iraq terhadap Naib Presiden Tareq al-Hashemi. melanjutkan ketegangan politik di negara itu yang melumpuhkan kerajaan selama beberapa bulan selepas kematian lebih 100 orang dalam serangan di seluruh negara sejak dua hari lalu.
Hashemi yang berada di Turki, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kelmarin kerana membunuh seorang peguam dan pegawai tentera berpangkat brigadier jeneral, dalam perbicaraan yang meliputi sebahagian daripada 150 dakwaan terhadap beliau dan pengawal peribadinya.

Tokoh politik berpengaruh Sunnah itu, dituduh membentuk skuad pembunuh, menolak sabitan dan hukuman berkenaan serta menolak kemungkinan kembali ke Iraq sehingga beliau dijamin selamat dan mendapat perbicaraan adil.

“Saya tidak akan kembali ke Iraq. Apa yang saya perlukan ialah jaminan keselamatan dan perbicaraan yang adil,” katanya pada sidang media di Ankara.


Sering bertelagah


Parti Iraqiya, blok dikuasai Sunnah yang turut dianggotai Hashemi dan sering bertelagah dengan al-Maliki, mengecam keputusan mahkamah itu dalam satu kenyataan semalam.
Hukuman dibuat atas dasar tiada keadilan, termasuk seksaan teruk ke atas tertuduh yang didedahkan. Cara perbicaraan dikendalikan sejak hari pertama mengukuhkan kepercayaan keputusan mahkamah khas bermotifkan politik dan sudah dijangka.

“Hukuman dijatuhkan tanpa kehadiran tertuduh dan dibayangi krisis keselamatan kompleks. Daripada menenangkan keadaan, parti politik melakukan penindasan. Amalan ini memuncak dalam penghakiman politik ke atas naib presiden negara itu,” kata kenyataan Iraqiya.

Iraq digegarkan dengan siri krisis politik yang bermula pertengahan Disember tahun lalu, walaupun keadaan lebih tenang sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Hospital di India upah kaki pukul kawal keselamatan




DUA kaki pukul beruniform berkawal di hadapan pintu masuk ke wad di Hospital Deen Dayal Upadhyay di New Delhi pada 21 Ogos lalu.


NEW DELHI - Sebuah hospital di India mengupah sejumlah kaki pukul bagi mengelakkan kakitangannya daripada menjadi mangsa keganasan di tempat kerja.
Seorang kaki pukul berkenaan, Pradeep Kumar dan lebih 20 rakan sekerjanya bertugas mengawal wad kecemasan dan bersalin Hospital Deen Dayal Upadhyay (DDU) di sini.
Mereka akan memastikan saudara-mara dan rakan pesakit tidak memenuhi dan mengganggu ketenteraman di kedua-dua wad berkenaan.
"Orang ramai yang datang bersama pesakit yang mengalami trauma atau wanita mengandung mudah hilang sabar," kata Pradeep.
"Sebab itu, kami hanya membenarkan seorang pelawat untuk seorang pesakit di wad kecemasan," tambahnya.
Kumpulan kaki pukul itu melayan pelawat ke wad berkenaan dengan sopan tetapi wajah garang dan tubuh sasa mereka membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk tidak menghiraukan arahan lelaki-lelaki berkenaan.
"Mereka kelihatan ganas seperti watak dalam filem aksi," kata seorang bapa, Pawan Desai semasa membawa anak perempuannya yang berusia empat tahun ke DDU bagi merawat luka pada tangannya.
Pekerja hospital di India berdepan risiko bahaya dengan beribu-ribu serangan berlaku pada setiap tahun.
Kebanyakan serangan itu ekoran rasa tidak puas hati saudara-mara dan rakan pesakit.
Pada April lalu, beberapa rakan seorang pesakit di wad kecemasan DDU menumbuk muka seorang doktor dan mematahkan hidungnya sebelum mengamuk dengan bersenjatakan beberapa kayu hoki.
Mereka menghayunkan senjata itu terhadap staf perubatan dan memecahkan sejumlah tingkap, lampu dan perabut hospital berkenaan. - Agensi

Traktor berentap di Jerman




SEBUAH traktor yang diubah suai beraksi pada pertandingan traktor di bandar Fuechtorf, Jerman kelmarin.


FUECHTORF - Satu pertandingan traktor diadakan di sini, barat Jerman kelmarin.Dinamakan Tractor Pulling Euro Championships, acara tersebut disertai oleh 80 buah pasukan dari seluruh benua Eropah.
Pertandingan selama dua hari itu menyaksikan penyertaan pelbagai jenis traktor yang diubah suai dan berkuasa tinggi.
Traktor yang dapat menarik beban sejauh mungkin di atas trek sejauh 100 meter akan memenangi pertandingan tersebut. - Reuters

Mesir adakan pertemuan empat hala



UTUSAN PBB/Liga Arab, Lakhdar Brahimi (kiri) menemui Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Kaherah semalam.


KAHERAH - Kementerian Luar Mesir semalam mengesahkan bahawa pihaknya menjadi penganjur pertemuan empat hala bagi menamatkan konflik di Syria selepas Iran bersetuju menyertai rundingan berkenaan.
Dalam satu kenyataannya, kementerian itu menyatakan, delegasi dari Turki, Iran dan Arab Saudi dijadualkan bertemu semalam bagi menangani situasi yang semakin buruk di Syria dan mengakhiri penderitaan rakyat Syria serta menamatkan pertumpahan darah melalui proses politik.
Pertemuan empat hala itu merupakan yang pertama melibatkan kumpulan hubungan di rantau Arab berhubung isu Syria.
Ia dicadangkan oleh Presiden Mesir yang baharu, Mohamed Morsi pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam di Arab Saudi.
Berlangsung pada Ogos lalu, persidangan tersebut membuat keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi berkenaan.
Pegawai Kementerian Luar Mesir, Nazih Al-Naggari dipetik sebagai berkata, para delegasi akan bertukar-tukar pendapat berhubung perkembangan tragis di Syria dan cara menamatkan pertumpahan darah serta mencapai aspirasi rakyat Syria.
Menurutnya, Mesir akan mengusahakan satu konsensus untuk segera menamatkan pembunuhan dan keganasan, mengekalkan penyatuan, kedaulatan dan integriti wilayah Syria di samping menolak campur tangan tentera asing di negara berkenaan.
Ia juga akan melancarkan proses politik dengan penyertaan daripada semua segmen masyarakat Syria.
Pada masa yang sama katanya, pertemuan itu turut menyokong usaha Arab dan antarabangsa bertujuan untuk menamatkan krisis di Syria termasuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) /Liga Arab yang diketuai oleh Lakhdar Brahimi.
Terdahulu, Kementerian Luar Iran dalam satu laporan menyatakan, Timbalan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian telah meninggalkan Teheran menuju ke bandar raya ini bagi menyertai rundingan berkenaan.
"Penglibatan Iran dalam pertemuan ini adalah dalam rangka kerja untuk menyelesaikan krisis Syria dan mendengar usul Mesir," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast.
Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera rejim Presiden Bashar- Al Assad menguasai semula beberapa berek tentera di bandar raya Aleppo selepas berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari dengan pemberontak.
"Tentera Syria kini menguasai sepenuhnya berek tentera Hanano selepas pertempuran tamat pada malam semalam," kata satu sumber kepada agensi berita AFP dari dalam berek berkenaan.
Pada Jumaat lalu, pejuang-pejuang pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria melancarkan serangan bertujuan untuk menawan pangkalan tentera berkenaan yang terletak di timur Aleppo.
Dalam pada itu, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, lebih 23,000 nyawa melayang sejak rakyat Syria bangkit menentang Bashar pada Mac tahun lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi. - Agensi