|
KAHERAH - Kementerian Luar Mesir semalam mengesahkan bahawa pihaknya menjadi penganjur pertemuan empat hala bagi menamatkan konflik di Syria selepas Iran bersetuju menyertai rundingan berkenaan.
Dalam satu kenyataannya, kementerian itu menyatakan, delegasi dari Turki, Iran dan Arab Saudi dijadualkan bertemu semalam bagi menangani situasi yang semakin buruk di Syria dan mengakhiri penderitaan rakyat Syria serta menamatkan pertumpahan darah melalui proses politik.
Pertemuan empat hala itu merupakan yang pertama melibatkan kumpulan hubungan di rantau Arab berhubung isu Syria.
Ia dicadangkan oleh Presiden Mesir yang baharu, Mohamed Morsi pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam di Arab Saudi.
Berlangsung pada Ogos lalu, persidangan tersebut membuat keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi berkenaan.
Pegawai Kementerian Luar Mesir, Nazih Al-Naggari dipetik sebagai berkata, para delegasi akan bertukar-tukar pendapat berhubung perkembangan tragis di Syria dan cara menamatkan pertumpahan darah serta mencapai aspirasi rakyat Syria.
Menurutnya, Mesir akan mengusahakan satu konsensus untuk segera menamatkan pembunuhan dan keganasan, mengekalkan penyatuan, kedaulatan dan integriti wilayah Syria di samping menolak campur tangan tentera asing di negara berkenaan.
Ia juga akan melancarkan proses politik dengan penyertaan daripada semua segmen masyarakat Syria.
Pada masa yang sama katanya, pertemuan itu turut menyokong usaha Arab dan antarabangsa bertujuan untuk menamatkan krisis di Syria termasuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) /Liga Arab yang diketuai oleh Lakhdar Brahimi.
Terdahulu, Kementerian Luar Iran dalam satu laporan menyatakan, Timbalan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian telah meninggalkan Teheran menuju ke bandar raya ini bagi menyertai rundingan berkenaan.
"Penglibatan Iran dalam pertemuan ini adalah dalam rangka kerja untuk menyelesaikan krisis Syria dan mendengar usul Mesir," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast.
Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera rejim Presiden Bashar- Al Assad menguasai semula beberapa berek tentera di bandar raya Aleppo selepas berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari dengan pemberontak.
"Tentera Syria kini menguasai sepenuhnya berek tentera Hanano selepas pertempuran tamat pada malam semalam," kata satu sumber kepada agensi berita AFP dari dalam berek berkenaan.
Pada Jumaat lalu, pejuang-pejuang pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria melancarkan serangan bertujuan untuk menawan pangkalan tentera berkenaan yang terletak di timur Aleppo.
Dalam pada itu, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, lebih 23,000 nyawa melayang sejak rakyat Syria bangkit menentang Bashar pada Mac tahun lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi. - Agensi
No comments:
Post a Comment