Pages

Wednesday, September 12, 2012

Abu Yahya diakui terbunuh




         
HONG KONG: Pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri mengeluarkan video sempena ulang tahun serangan 11 September dan mengesahkan buat kali pertama mengenai kematian timbalannya.

Video sepanjang 42 minit itu, yang pertama oleh Ayman dalam masa tiga bulan, mengesahkan Abu Yahya al-Libi terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di wilayah Waziristan, Pakistan, pada 4 Jun lalu, menurut Kumpulan Perisikan SITE dan IntelCenter.


Abu Yahya ialah perancang propaganda global al-Qaeda dan kematiannya memberi tamparan hebat kepada kumpulan itu selepas Osama bin Laden dibunuh oleh komando tentera Amerika Syarikat pada Mei 2011.

“Dengan kematian Sheikh Abu Yahya, semoga Allah merahmati rohnya, lebih ramai lagi orang yang akan membaca tulisannya dan menyahut seruannya. Insya Allah,” kata Ayman dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh SITE.


Video itu dimuatnaikkan dalam forum kumpulan jihad Isnin lalu.


Teks yang diterjemahkan tidak mengulas secara langsung ulang tahun 11 September.

Dalam ucapannya itu, Ayman juga menyifatkan Presiden AS, Barack Obama sebagai ‘pembohong.’ Menurutnya, Obama dipilih untuk menipu umat Islam di seluruh dunia dan kini tentera negara itu berdepan dengan kekalahan di Afghanistan.


Beliau turut menyebut mengenai Warren Weinstein, pekerja bantuan AS yang sudah berusia dan diculik di Pakistan oleh al-Qaeda tahun lalu.

Ayman berikrar tidak akan membebaskan lelaki itu sehingga tentera AS membebaskan pengikut al-Qaeda di Afghanistan.


Dengan judul ‘Singa Ilmu dan Jihad: Kesyahidan al-Sheikh Abu Yahya al-Libi,’ video itu adalah kenyataan Ayman yang ke-13 tahun ini.


Videonya seringkali dirakam dalam bahasa Urdu dan Pashto.


Abu Yahya, menjadi terkenal pada 2005 selepas melarikan diri dari tahanan AS di Afghanistan. Beliau kemudian menjadi tokoh motivasi utama pengikut al-Qaeda.


Video mengenai beliau diedarkan oleh al-Qaeda seminggu selepas kematiannya. - AFP

No comments: