Pages

Sunday, April 8, 2012

Jual organ beli iPhone





2012/04/08

Remaja perdagang buah pinggang 

BEIJING: Tindakan seorang remaja menjual satu buah pinggangnya bagi membeli iPhone dan iPad membantu pihak berkuasa wilayah tengah China membongkar urus niaga organ haram selepas menahan lima orang. Kes itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan mencukupi bagi menangani kesan negatif kepenggunaan khususnya generasi muda.
Pendakwa di Chenzhou menuduh suspek berniat untuk mencederakan kerana mengatur pembedahan dan pemindahan buah pinggan pelajar sekolah tinggi berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Wang, lapor agensi berita Xinhua, lewat kelmarin. 

Seorang wanita yang bertugas di pejabat pendakwaan Xhenzhou Beihu wilayah Hunan mengesahkan pihak pendakwa mengendalikan kes itu dan defendan berhadapan dengan dakwaan sengaja melakukan kecederaan. 

Dia enggan mengulas sebaliknya meminta perkara itu ditanya kepada bahagian media pejabat berkenaan untuk maklumat lanjut. 

Defendan termasuk seorang pakar bedah, seorang kontraktor hospital dan broker yang mencari penderma melalui internet dan menyewa bilik pembedahan untuk mengendalikan prosedur berkenaan, lapor Xinhua. 
Kira-kira 1.5 juta penduduk di China perlukan pemindahan organ tetapi hanya 10,000 pemindahan dilakukan setiap tahun, menyebabkan berlakunya perdagangan organ secara haram. 

Xinhua melaporkan, seorang defendan dikenali sebagai He Wei kecewa menanggung hutang judi dan meminta seorang defendan lain mencari penderma organ. – AP

Keadaan Yaman kacau-bilau





2012/04/08

ASKAR  kerajaan Yaman yang belot menguasai protes menuntut penstrukturan semula unit keselamatan negara  itu di Sanaa.
ASKAR kerajaan Yaman yang belot menguasai protes menuntut penstrukturan semula unit keselamatan negara itu di Sanaa.
Askar sokong jeneral yang dipecat paksa lapangan terbang ditutup

SANAA: Lapangan terbang di ibu negara Yaman ditutup semalam selepas tentera yang setia kepada jeneral yang dipecat dan rapat dengan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh mengepung dan mengancam menembak jatuh pesawat. Lapangan terbang itu dikepung tentera setia kepada Ketua Tentera Udara Jeneral Mohammed Saleh al-Ahmar, adik tiri Saleh yang enggan berundur selepas dipecat Presiden Abdrabuh Mansur Hadi, kata sumber.
Tiada pesawat berlepas atau mendarat sejak anggota pasukan itu membuat ancaman Jumaat lalu. - Sumber tentera
“Tiada pesawat berlepas atau mendarat sejak anggota pasukan itu membuat ancaman malam Jumaat lalu,” kata sumber dan menambah tentera yang mengepung lapangan terbang disokong anggota puak Hamdan yang menyokong bekas pemimpin Yaman, Saleh. 

Pasukan tentera yang belot itu diketuai ketua puak Hamdan, Naji Jamaan, tambah sumber. 

Pada Khamis lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melahirkan kebimbangan mengenai kejadian terbaru di Yaman selepas penyokong Saleh didakwa mengganggu proses peralihan politik. 

Ahmar enggan berganjak kecuali beberapa pegawai kanan Kementerian Pertahanan termasuk menteri sendiri turut berundur, kata sumber tentera. 
Ketika memberi mesej kepada pasukan tentera itu, Ahmar berkata perintah presiden tidak akan dilaksanakan sehingga Menteri Pertahanan Mohammed Nasser Ahmed, Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar dan Ketua Staf Ali al-Ashwal turut melepaskan jawatan.

Beliau juga menuntut beberapa anggota puak berpengaruh Hashed supaya dibuang negeri kerana menyokong pemimpin berpaling tadah seperti Jeneral Ali Mohsen semasa protes anti rejim tahun lalu.

Ramai rakan Saleh masih berkuasa dalam badan keselamatan di Yaman dan sudah ada gesaan dalam pasukan tentera udara supaya Ahmar berundur. 

Kelmarin, Hadi memecat ketua tentera udara dan ketua pengawal presiden serta anak saudara Saleh, Jeneral Tareq Mohammed Abdullah Saleh.

Sumber tentera berkata, Saleh sudah menolak untuk memimpin batalion ke-37 Pengawal Republikan berpangkalan di tenggara wilayah Hadramawt. 

Hadi mengambil alih pemerintahan daripada Saleh pada Februari lalu selepas pemimpin veteran yang sudah memerintah selama 33 tahun, menyerahkan kuasa sebagai sebahagian penyelesaian yang ditaja negara Teluk bagi mengakhiri kekerasan pemerintah terhadap bantahan awam. – AFP

150 askar tertimbus belum ditemui

Berita Harian Online | 150 askar tertimbus belum ditemui:




2012/04/08

GAMBAR fail  menunjukkan askar Pakistan membawa barangan ke kawasan Himalaya yang menempatkan pangkalan tentera.
GAMBAR fail menunjukkan askar Pakistan membawa barangan ke kawasan Himalaya yang menempatkan pangkalan tentera.
Salji runtuh timpa ibu pejabat batalion tentera di Siachen

ISLAMABAD: Beratus-ratus anggota tentera Pakistan bertungkus-lumus melakukan kerja menggali di pangkalan tentera Gyari dekat glasier Siachen, bagi mencari sekurang-kurangnya 150 askar yang dipercayai tertimbus dalam kejadian salji runtuh semalam. Selepas lebih 12 jam usaha menyelamat secara besar-besaran dijalankan, tiada mangsa ditemui selamat.


"Kami masih menanti dan berharap mendapat berita baik. Tentera, anjing pengesan dan peralatan mekanikal dikerah ke tempat kejadian tetapi masih gagal menghampiri lokasi yang ditimbus salji sedalam 21 meter. Kawasan runtuhan terlalu luas," kata jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas.
“Kami masih menanti dan berharap mendapat berita baik. Tentera, anjing pengesan dan peralatan mekanikal dikerah ke tempat kejadian tetapi masih gagal menghampiri lokasi yang ditimbus salji sedalam 21 meter. Kawasan runtuhan terlalu luas,” kata jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas.

Siachen terletak di bahagian utara wilayah Kashmir yang dituntut oleh India dan Pakistan.

Sekurang-kurangnya 150 askar Pakistan dikhuatiri tertimbus hidup-hidup dalam kejadian semalam.

Laporan menyatakan salji runtuh dan menimbus ibu pejabat batalion tentera Pakistan di Gyari, dekat glasier Siachen, kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan. 
Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai risiko mengerahkan tentera di lokasi yang paling tidak sesuai untuk didiami. Kawasan glasier Siachen dikenali sebagai medan perang paling tinggi di dunia.

India dan Pakistan menempatkan beribu-ribu askar di wilayah itu. Tentera kedua-dua negara berkawal pada ketinggian hingga 6,700 meter (22,000 kaki) kawasan yang dianggap paling mencabar berikutan suhu dingin dan tiupan angin kencang berterusan hingga beberapa bulan.

Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani melahirkan rasa terkejut dengan kejadian itu dan menegaskan, kejadian itu tidak akan menjejaskan semangat tinggi tentera. – Reuters

Plat WWW 1 termahal

Kosmo! Online - Negara:


PLAT termahal dunia, '1', yang berharga RM43.7 juta dibeli oleh jutawan Abu Dhabi, Saeed Abdul Ghaffar Khouri (gambar kecil) pada 2008 dan dipakai pada kereta kesayangannya, Bugatti Veyron.


KUALA LUMPUR - Nombor plat pendaftaran kenderaan WWW 1 yang hangat diperkatakan khususnya di ibu negara kini diramalkan mampu mencecah nilai RM500,000 apabila tendernya dibuka pada 30 April nanti.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Nadzri Osman, ramalan tersebut dibuat berdasarkan beberapa tawaran awal yang sudah diterima meskipun tender belum lagi dibuka kepada orang ramai.
"Sejak pengumuman mengenai nombor yang dikaitkan dengan singkatan terkenal WWW iaitu World Wide Web dibuat, beberapa tawaran telah dilakukan oleh individu yang berminat dengan harga sudah pun melebihi RM400,000," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Remaja jual ginjal kerana mengidam iPad

Kosmo! Online - Dunia:


CHENZHOU - Pihak berkuasa mendakwa lima orang di Chenzhou, tengah China kerana terbabit dalam perniagaan organ secara haram selepas seorang remaja menjual satu ginjalnya bagi mendapatkan wang untuk membeli sebuah telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad.
Agensi berita rasmi Xinhua kelmarin melaporkan, lima individu terbabit didakwa kerana menyebabkan kecederaan dengan mengatur pemindahan ginjal daripada seorang pelajar sekolah tinggi berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Wang.
Menurut Xinhua, kelima-lima tertuduh termasuk seorang doktor bedah, seorang kontraktor hospital dan beberapa broker mencari penderma organ di Internet sebelum mereka menyewa dewan bedah bagi melakukan prosedur tersebut pada April tahun lalu.
Seorang defendan berkenaan menerima bayaran 220,000 yuan (RM107,310) untuk pembedahan mengeluarkan ginjal tersebut. Dia menyerahkan 22,000 yuan (RM10,731) kepada pelajar berkenaan dan berkongsi baki wang itu dengan defendan lain.
Tambah Xinhua, sekitar 1.5 juta penduduk di China memerlukan transplan organ tetapi cuma sekitar 10,000 pembedahan itu dilakukan setiap tahun, sekali gus mendorong kepada perniagaan organ secara haram. - AP

Jet pejuang AS rempuh pangsapuri

Kosmo! Online - Dunia:


API marak di sebuah blok pangsapuri yang dirempuh sebuah jet F-18 kelmarin.


VIRGINIA BEACH - Pasukan bomba menyelongkar serpihan sebahagian bangunan pangsapuri di Amerika Syarikat (AS) yang runtuh semalam selepas dirempuh sebuah jet pejuang F-18 milik Tentera Laut AS.
Insiden tersebut mencetuskan satu kebakaran besar yang mencederakan sembilan orang termasuk dua juruterbang kelmarin tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Jet berkenaan merempuh bangunan pangsapuri di sini, dalam negeri Virginia, sejurus selepas ia berlepas dari sebuah pangkalan tidak jauh dari lokasi kejadian.
Seorang pegawai tentera laut AS, Kapten Mark Weisgerber menyalahkan kerosakan mekanikal sebagai punca nahas.
Menurutnya, kedua-dua juruterbang sempat mengaktifkan kerusi anjal mereka untuk menyelamatkan diri sebelum pesawat terhempas.
Beberapa pegawai penyelamat pula memberitahu, sekitar 40 pangsapuri didapati musnah atau rosak dalam nahas tersebut.
Bahagian-bahagian pesawat yang berkecai dapat dilihat di belakang beberapa buah bangunan di sekitar lokasi kejadian selepas pasukan bomba menyembur cecair buih bagi mengelakkan api daripada merebak.
Beberapa saksi berkata, jet itu menjunam secara tiba-tiba manakala kebakaran merebak dengan cepat akibat tumpahan bahan api pesawat.
"Bangunan pangsapuri itu seperti mula hendak runtuh," kata seorang lelaki, Zack Zapatero kepada saluran berita CNN.
Seorang saksi lain, Jon Swain menceritakan detik cemas jet pejuang itu merempuh blok pangsapuri berkenaan.
"Saya melihat api keluar dari bahagian belakang pesawat dengan ia terbang semakin rendah. Saya kemudian melihat seorang juruterbang melantun ke udara sebelum jet itu terhempas," katanya.
Jet F-18 berkenaan ditempatkan di Stesen Udara Tentera Laut Oceana, di sini yang merupakan pangkalan kepada 19 skuadron AS.
Punca kejadian masih disiasat. - Agensi

Salji runtuh timbus lebih 100 askar Pakistan

Kosmo! Online - Dunia:

Salji runtuh timbus lebih 100 askar Pakistan


GAMBAR fail 19 Februari 2012 menunjukkan askar-askar Pakistan membawa bekalan ke sebuah pos terpencil pada ketinggian 2,400 meter di Banjaran Himalaya.


ISLAMABAD - Satu runtuhan salji telah mengenai sebuah pangkalan tentera Pakistan yang dibina di atas glasier Banjaran Himalaya dekat sempadan India semalam dan menyebabkan lebih 100 askar tertimbus, kata pihak tentera.
Tentera Pakistan dalam satu kenyataan memberitahu, beberapa buah helikopter, anjing pengesan dan pasukan tentera dikerahkan ke Glasier Siachen untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Menurut seorang pegawai keselamatan, salji runtuh itu mengenai ibu pejabat sebuah batalion di sektor Gayari di atas glasier berkenaan pada pukul 5.45 pagi waktu Pakistan.
Siachen terletak di bahagian utara wilayah Kashmir yang dituntut oleh India dan Pakistan.
Kedua-dua negara menempatkan ribuan askar yang terpaksa mengharungi suhu sejuk ekstrem, tekanan altitud dan angin kencang selama beberapa bulan di lokasi tersebut.

GAMBAR fail pada Mei 2003 menunjukkan Glasier Siachen yang terletak dekat sempadan Pakistan-India.


Pasukan tentera ditempatkan pada ketinggian hingga 6,700 meter dengan beberapa pertempuran kecil berlaku sejak tahun 1984 walaupun lokasi tersebut kini tenang selepas satu gencatan senjata dimeterai pada tahun 2003.
Glasier berkenaan sebelum ini dikenali sebagai medan tempur tertinggi di dunia.
Ibu pejabat di Gayari merupakan pintu utama untuk tentera Pakistan menyalurkan askar dan bekalan ke pos-pos kawalan yang lebih terpencil di sektor berkenaan.
Menurut seorang pegawai yang pernah bertugas di ibu pejabat berkenaan pada tahun 2003, pangkalan tersebut terletak di sebuah lembah di antara dua buah gunung yang tinggi.
"Saya tidak faham bagaimana salji runtuh boleh mengenai kawasan itu. Ia sepatutnya selamat kerana berada pada altitud tinggi," katanya.
Konflik di Siachen bermula pada tahun 1984 apabila India menawan puncak glasier sepanjang 78 kilometer itu kerana bimbang Pakistan mahu menuntut wilayah berkenaan.
Pakistan turut menghantar askar ke sektor tersebut.
Pakistan dan India berperang tiga kali sejak benua kecil India itu dibahagi dua apabila kedua-dua negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1947.
Dua perang tersebut melibatkan perebutan wilayah Kashmir yang dituntut secara keseluruhan oleh India dan Pakistan. - AP

Saturday, April 7, 2012

Memperingati perang Bosnia




Gambar tidak bertarikh menunjukkan keadaan penduduk etnik Bosnia yang ditahan di kem tahanan perang Manjacar yang sesak dan tidak selesa selama berbulan-bulan. - AGENSI


SARAJEVO 6 April - Sejumlah 11,541 kerusi merah disusun dalam barisan sepanjang jalan utama di bandar raya ini, yang merupakan ibu negara Bosnia-Herzegovina, melambangkan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terbunuh dalam kepungan paling lama dalam sejarah moden.
Sarajevo, hari ini memperingati ulang tahun ke-20 tercetusnya perang Bosnia.
Pameran, konsert dan persembahan diadakan tetapi tiada satu pun yang boleh menandingi kesan beratus-ratus barisan kerusi merah, yang lebih kecil melambangkan kanak-kanak yang terkorban, diletakkan di dataran yang sama di mana konflik itu mula meletus pada 6 April, 1992.
"Penduduk bandar raya ini perlu berhenti sejenak dan memberi penghormatan kepada warganya yang terkorban," kata penganjur 'Garisan Merah Sarajevo', Haris Pasovic.
Kepungan pengganas Serb ke atas Sarajevo berlarutan selama 44 bulan atau selama 11,825 hari, lebih lama daripada kepungan tentera Nazi Jerman ke atas bandar raya Leningrad (kini St. Petersburg) semasa Perang Dunia Kedua.
Seramai 380,000 penduduk di Sarajevo pada waktu itu tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau alat pemanas, dan terpaksa bersembunyi daripada terkena 330 tembakan meriam yang dilepaskan oleh pengganas Serb setiap hari ke atas bandar raya ini.
Pada 6 April, 1992, kira-kira 40,000 penduduk di negara ini, terdiri daripada etnik Bosnia yang beragama Islam, puak Serb yang beragama Kristian Ortodoks dan etnik Croat penganut Roman Katolik membanjiri dataran Sarajevo untuk menuntut perdamaian daripada para pemimpin politik mereka yang berfahaman nasionalis.
Komuniti Eropah (EC) telah mengiktiraf Bosnia sebagai sebuah negara merdeka selepas majoriti penduduknya mengundi menyokong kemerdekaan daripada Republik Yugoslavia pada waktu itu.
Namun, pengundian dilakukan mengikut garis-garis etnik, dengan penduduk Bosnia dan Croat menyokong kemerdekaan tetapi Serb Bosnia memilih untuk terus berada dalam Yugoslavia yang didominasi oleh puak Serb.
Perpaduan etnik yang ditunjukkan di dataran Sarajevo membangkitkan kemarahan golongan nasionalis Serb yang kemudian melepaskan tembakan ke arah orang ramai dari sebuah hotel berdekatan, menyebabkan lima orang maut dan mencetuskan perang 1992-1995 itu. - AGENSI

Pekan terkecil di AS dilelong




Pekan Buford seluas 1.6 hektar, pekan terkecil di Amerika di lelong pada harga AS$900,000


SALMON 6 April – Sebuah pekan terkecil di Amerika Syarikat (AS) dijual pada harga AS$900,000 (RM2.7 juta) kepada seorang pembeli dari Vietnam selepas 11 minit dilelong dalam internet, semalam.
Pekan Buford, terletak di tenggara Wyoming antara Cheyenne dan Laramie, hanya mempunyai seorang penduduk, telah menarik minat ramai pembida daripada 46 negara semasa ia mula dilelong.
Firma jualan lelong di Oklahoma, Williams & Williams berkata, pembeli tersebut yang dirahsiakan namanya, berlepas dari Vietnam ke Wyoming untuk membeli pekan terbabit yang mempunyai kawasan seluas 1.6 hektar dan turut mempunyai kemudahan kedai, stesen minyak dan rumah.
“Memiliki harta di AS merupakan impian saya,” kata pembeli terbabit dalam satu kenyataan.
Satu-satunya penduduk di pekan itu, Don Sammos, berpindah bersama isterinya, Terry ke Buford dari Los Angeles pada 1980.
Pada 1992, enam tahun selepas kematian isterinya, Sammons membeli pekan terbabit dan menukar nama pekan berkenaan, Interstate 80 kepada Buford, sempena nama pegawai tentera Perang Saudara AS, Jeneral John Buford.
Lelaki berusia 61 tahun itu memutuskan untuk menjual pekan tersebut kerana mahu berpindah dekat rumah anak lelakinya di Colorado.
“Keluarga saya tiada lagi di sini. Tujuan saya berpindah ke sini telah selesai dan kini saya mahu mencuba cabaran lain,” katanya. – REUTERS

Runtuhan salji: 100 askar Pakistan tertimbus




7 April 2012
ISLAMABAD — Kira-kira 100 askar tertimbus dalam runtuhan salji di pangkalan tentera Pakistan yang terletak di Siachen, kawasan terpencil pergunungan Himalaya, di sempadan India, hari ini.

Menurut satu kenyataan tentera, helikopter, anjing pengesan dan tentera telah dikerahkan ke kawasan runtuhan bagi menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Runtuhan berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 8.45 pagi waktu tempatan.

Glasier Siachen terletak di penghujung utara Kashmir, yang merupakan kawasan yang dituntut oleh kedua-dua India dan Pakistan. Ia dikenali sebagai medan perang tertinggi di dunia.
Kedua-dua negara berkenaan mengerahkan beribu-ribu tentera mengharungi suhu sejuk yang melampau dan angin kencang untuk mengawal sempadan untuk satu tempoh berbulan lamanya pada satu-satu masa.

Tentera terbabit turut dikerahkan mengharungi ketinggian sehingga 6,700 meter (22,000 kaki) sejak 1984, walaupun kawasan itu diisytiharkan menguat kuasa gencatan senjata pada tahun 2003.

Sementara itu seorang pegawai yang ditempatkan di kawasan kejadian sejak tahun 2003 rasa pelik dengan kejadian itu.

"Ia sepatutnya selamat. Ibu Pejabat di Gayari adalah pintu masuk utama di mana tentera dan bekalan disalurkan. Ia terletak di sebuah lembah di antara dua gunung yang tinggi dan berhampiran dengan hospital tentera,” katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, lebih ramai askar telah meninggal dunia berikutan cuaca melampau berbanding pertempuran di medan perang.- AP

5 pegawai polis dipenjara hingga 65 tahun



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
Arthur Kaufman
WASHINGTON - Lima bekas pegawai polis New Orleans, yang menembak enam orang awam di atas satu jambatan ketika taufan Katrina tujuh tahun yang lalu, dihukum penjara antara enam hingga 65 tahun, semalam.

Keenam-enam mangsa ditembak di Danziger Bridge pada September 2005.

Laporan BBC menyebut bahawa empat daripada pegawai polis disabitkan kesalahan menggunakan senjata api manakala yang kelima pula cuba menutup kes itu, yang mengambil masa lima tahun untuk dibuktikan.

Pegawai-pegawai berkenaan didapati sengaja mereka saksi-saksi dan mengadakan laporan palsu selain meletakkan senjata di tempat kejadian bagi menjustifikasikan insiden tembakan.

Robert Faulcon, 48, dikenakan hukuman penjara paling lama iaitu 65 tahun; Kenneth Bowen, 38, dan Robert Gisevius, 39, pula masing-masing 40 tahun seorang, dan Anthony Villavaso, 35, perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun.

Bekas sarjan Arthur Kaufman, 55, pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menyiasat insiden itu dihukum penjara enam tahun kerana membantu menutup kes.

ICC tolak tuntutan Palestin dakwa Israel



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
PALESTIN
THE HAGUE - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat gagal memberi keadilan kepada semua pihak selepas dengan sengaja menolak tuntutan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mahu tribunal jenayah perang menyiasat kekejaman rejim Zionis di Genting Gaza.

Keputusan berat sebelah itu kononnya, terpaksa diambil hanya kerana Palestin tidak diiktiraf sebagai negara yang sah, walaupun tuntutan untuk mendapat keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendapat sokongan 139 negara dan organisasi
antarabangsa.

Jurucakap pejabat pendakwa raya, menyatakan mahkamah tidak boleh membuat keputusan berdasarkan bidang kuasa sejagat kerana sesuatu kes hanya boleh dibuka jika dituntut oleh Majlis Keselamatan PBB atau negara yang diiktiraf.

Difahamkan, PA meminta ketua pendakwa raya, Moreno-Ocampo campur tangan berhubung konflik di negara tersebut dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran kekejaman Israel di wilayah Palestin sejak tahun 2002, tetapi usaha itu seakan sia-sia kerana keputusan itu.

AS dakwa lima suspek serangan 11 Sept



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
AS dakwa lima suspek serangan 11 Sept
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan mendakwa dalang utama serangan 11 September 2001, yang menyaksikan menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) dirempuh pesawat, yang dikendalikan oleh beberapa penyerang berani mati.

Suspek utama, Khaled Sheikh Mohammed bersama empat yang lain berhadapan dengan tuduhan keganasan, merampas pesawat, mengadakan konspirasi, pembunuhan dalam pencabulan undang-undang perang dan lain-lain.

“Dalam tuduhan itu, kelima-lima suspek dituduh bertanggungjawab terhadap perancangan dan melakukan serangan-serangan 11 September 2001 di New York, Washington, dan Shanksville, yang mengakibatkan seramai 2,976 orang terbunuh.

“Kes dirujuk kepada suruhanjaya ketenteraan utama yang membawa maksud, jika disabitkan kesalahan, kelima-lima suspek mungkin dihukum mati,” menurut kenyataan jabatan pertahanan.

Khaled bersama Walid Attash dan Mustafa al-Hawsawi dari Arab Saudi, Ramzi al-Shibh dari Yaman, Ali Abd al-Aziz yang turut dikenali sebagai Ammar al-Baluchi dari Pakistan, akan dihadapkan ke mahkamah untuk prosiding pertuduhan dalam tempoh 30 hari.

Perbicaraan yang mungkin berlangsung lebih sebulan akan diadakan di pangkalan tentera laut AS di Kepulauan Guantanamo, Cuba iaitu tempat suruhanjaya tentera khas yang ditubuhkan kerajaan AS terhadap suspek pengganas.

AS hukum penjara pengedar senjata 'Merchant of Death'



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 April 2012
Viktor Bout
NEW YORK - Pengedar senjata Viktor Bout, yang terkenal dengan panggilan "Merchant of Death", dihukum penjara 25 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ketika hukuman dijatuhkan, bekas pegawai Kesatuan Soviet itu menjerit "itu pembohongan."

Pendakwa raya membentangkan kes dengan mendakwa Bout ada mengakui bahawa dia menjual senjata bagi membunuh rakyat Amerika.

Pada November lalu, Bout, 45, didapati bersalah cuba untuk menjual senjata berat kepada kumpulan pemberontakan Colombia.

Dia ditahan di Bangkok pada 2008 susulan siri operasi di mana pemberi maklumat AS menyamar sebagai pemberontak Colombia.

Bout, yang dilaporkan menjadi inspirasi bagi penyeludup senjata dalam filem Hollywood, Lord of War tujuh tahun lalu, berada dalam tahanan di Thailand selama dua tahun sebelum diekstradisikan ke AS untuk menghadapi tuduhan.

Pengumuman hukuman tertangguh dua kali ekoran permintaan peguam-peguamnya agar diberikan lebih masa untuk membuat persediaan dan mendakwa pendakwa raya telah memerangkap warganegara Rusia itu.

"Dua puluh lima tahun sudah cukup," kata hakim Shira Scheindlin selepas Bout menegaskan dia tidak bersalah.

Ketua Jabatan Peguam Manhattan, Preet Bharara dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata: "Viktor Bout telah bertindak sebagai penyeludup nombor satu senjata bertahun-tahun, membekalkan senjata bagi kebanyakan wilayah yang berkonflik di seluruh dunia."

"Dia akhirnya dibawa ke muka pengadilan di mahkamah Amerika," katanya lagi.

Kenyataan itu menambah Bout mula menyalurkan senjata kepada wilayah-wilayah yang berkonflik di Afrika pada 1990-an

Pemberontak isytihar kemerdekaan Azawad, utara Mali



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 April 2012
Pemberontak isytihar kemerdekaan Azawad, utara Mali
GAO - Sebuah kumpulan pemberontak di utara Mali mengisytiharkan kemerdekaan wilayah yang dikenali sebagai Azawad, susulan kejayaan menguasainya, akhir bulan lalu.

Pergerakan Kebangsaan Bagi Kemerdekaan  Azawad (MNLA) membuat pengumuman itu menerusi laman webnya hari ini. MNLA juga menambah ia akan menghormati sempadan negeri-negeri lain.

MNLA merupakan salah satu daripada dua kumpulan pemberontak yang bertapak di utara Mali selepas kerajaan negara itu digulingkan.

“Bagi pihak rakyat Azawad yang bebas dan selepas perbincangan jawatankuasa eksekutif, majlis revolusi, majlis perundingan, pejabat-pejabat kawasan, ketua staf Tentera Kemerdekaan Kebangsaan, kami mengisytiharkan kemerdekaan Azaward, berkuat kuasa hari ini,” kata kenyataan dalam bahasa Arab.

MNLA juga meminta masyarakat antarabangsa mengiktiraf negara Azawad.

Kenyataan itu menambah MNLA akan menguruskan hal ehwal semasa Azawad sehingga pelantikan pihak berkuasa kebangsaan.

MNLA dibentuk Oktober 2011 apabila pemberontak Tuareg tempatan disertai ketua-ketua mereka, yang berada di Libya, selepas Muammar Gaddafi digulingkan.