Pages

Friday, April 6, 2012

Serbuk tanduk sumbu popular di Vietnam



TANGAN Giang menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu pada pinggang seramik.


HANOI, Vietnam - Seorang wanita, Nguyen Huong Giang gemar berparti tetapi dia benci kesan alkohol yang menyebabkan kepalanya berasa sakit.
Bagi menghilangkan kesakitannya, dia menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu di atas permukaan pinggan seramik sehingga menjadi serbuk dan meminum ramuan itu bersama air.
Giang memiliki tanduk berwarna coklat sepanjang 10 sentimeter itu yang diberikan oleh bapanya.
Ia dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk sakit kepala dan kanser.
"Saya tidak tahu harga sebenar tanduk ini," kata Giang, 24, selepas menunjukkan tanduk badak sumbu itu di apartmennya di sini.
"Saya cuma tahu ia mahal," tambahnya.
Tanduk badak sumbu terdiri daripada keratin, bahan protein yang turut ditemui dalam rambut dan kuku manusia.
Beberapa pakar menyatakan sebahagian tanduk badak sumbu yang dijual di Vietnam didapati palsu.
Giang meminum serbuk tanduk badak sumbu bersama air apabila dia mengalami alahan atau selepas mengambil terlalu banyak minuman keras.
Serbuk berkenaan popular dalam kalangan penduduk di Vietnam.
Seorang penjual ubat tradisional memberitahu bahawa setiap paket serbuk tanduk badak sumbu dijual pada harga 200,000 dong (RM30.65) di Vietnam.
Beberapa pegawai Amerika Syarikat pula menyatakan serbuk itu berharga sekitar AS$55,000 (RM168,575) bagi setiap satu kilogram di Asia sekali gus menjadikan ia lebih mahal daripada kokain. - Agensi

Whitney Houston mati ambil dadah berlebihan


LOS ANGELES - Legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston (gambar) mati mungkin disebabkan pengambilan dadah, ubat-ubatan dan minuman keras yang berlebihan, menurut laporan koroner dalam dokumen setebal 42 muka surat.
Menurut dokumen tersebut, dia mengambil dadah dan ubat-ubatan itu sebelum lemas dengan mukanya menghadap ke dalam tab mandi, kata pegawai koroner dalam satu laporan terbaharu.
Ia memberikan butiran terperinci berbanding laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini.
Pada bulan lalu, satu laporan siasatan menyimpulkan bahawa Houston maut kerana lemas secara tidak sengaja di dalam tab mandi selepas mengambil kokain yang mungkin menyebabkannya diserang sakit jantung.
"Dia mungkin mengambil sejenis dadah, ubat-ubatan preskripsi, ubat-ubatan yang diambil tidak menerusi kaunter perubatan sah dan alkohol dengan dos berlebihan," kata laporan penuh yang dikeluarkan kelmarin oleh Pejabat Koroner Los Angeles County.
Menurut laporan itu, tiada sebarang tanda-tanda perbuatan khianat terhadap penyanyi yang berusia 48 tahun itu.
Laporan tersebut menyatakan pembantu peribadi Houston menemui dia tidak bernyawa di dalam bilik Hotel Beverly Hilton pada 11 Februari lalu beberapa jam sebelum Anugerah Grammy berlangsung.
"Pembantu peribadi memasuki bilik mandi dan dia menemui Houston tertiarap dengan mukanya di dalam tab mandi, serta tidak sedarkan diri. Tab mandi dipenuhi air dan terdapat air di lantai bilik air," menurut laporan itu.
Butiran lanjut mengenai keadaan tubuh Houston menyatakan terdapat darah yang keluar dari hidungnya.
Laporan tersebut menyatakan, satu bahan yang kemudian dipastikan sebagai kokain turut ditemui dalam bilik tidurnya.
Pelbagai botol ubat juga ditemui dengan 12 ubat preskripsi yang diperoleh daripada lima doktor yang berlainan.
Para penyiasat turut menemui satu lubang pada septum dalam hidungnya yang mungkin disebabkan penggunaan kokain bagi tempoh yang lama. - AFP

Warga asing beri keterangan

MCCARTNEY menunjukkan bekas kecederaannya untuk dilihat oleh panel hakim di sebuah mahkamah di Jakarta semalam.


JAKARTA - Empat warganegara asing yang menjadi mangsa serangan bom di Bali pada 2002 telah memberi keterangan di sebuah mahkamah di sini semalam.
Mereka memberikan keterangan dalam perbicaraan seorang militan Indonesia, Umar Patek yang dituduh menghasilkan bom kereta untuk melakukan serangan tersebut.
Keempat-empat warga asing iatu ialah Jason McCartney, Peter Hughes dan Anstee Stuart dari Australia manakala seorang lagi warga Amerika Syarikat (AS), Steven William Cabler.
Mereka memberitahu mahkamah itu tentang bom kereta itu dan pengebom yang memusnahkan dua buah kelab malam.
Umar, 45, bakal menghadapi hukuman mati jika dia didapati bersalah berhubung pelbagai tuduhan berkaitan keganasan termasuk serangan bom di Bali.
Dalam kejadian itu, seramai 202 orang terbunuh, kebanyakannya warga asing. - Agensi

Drama cemas suami mahu kelar isteri


SAKDAWUT menghisap rokok sambil mengacukan pisau dekat leher isterinya di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.



BANGKOK - Seorang lelaki, Sakdawut Hamsiri mengacukan pisau dekat leher isterinya dalam drama tebusan yang berlaku selama enam jam di Thailand.
Sakdawut yang bersenjatakan sebilah pisau menawan isterinya, Thawee Naiyanit di sebatang jalan raya di sini semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu nekad menjadikan wanita berkenaan sebagai tebusan dan berulang kali menolak permintaan polis supaya mangsa tersebut dibebaskan.
Insiden tersebut hanya berakhir apabila polis menggunakan pistol renjatan elektrik terhadapnya.
Dia ditangkap dan dibawa ke sebuah balai polis untuk disoal siasat selepas rebah terkena renjatan itu.
Polis kemudian memberitahu, Sakdawut berada di bawah pengaruh dadah ketika insiden tersebut berlaku. - Agensi

Thursday, April 5, 2012

Buta, tuli akibat cinta

FotomyMetro | Buta, tuli akibat cinta:
LONDON: Mangsa serangan asid, Patricia Lefranc, menganggap insiden malang yang berlaku ke atas dirinya menjadikan dia “jembalang” walaupun sebelum ini pernah memiliki paras menarik.
Ibu kepada tiga anak itu disimbah asid sulfurik oleh kekasihnya, Richard Remes, pada 22 Mac 2009.

Semalam, dia menceritakan pengalamannya secara terbuka untuk kali pertama.

Menurut Patricia, serangan itu meninggalkan kesan abadi pada fizikal dan emosinya.

Akibat simbahan berkali-kali itu, hidung dan kelopak mata Patricia cair dan dia turut kehilangan jari.

Satu daripada mata dan telinga Patricia pula hilang keupayaan untuk berfungsi selama-lamanya.
FotoKetika asid sulfurik itu memusnahkan tubuh Patricia, 48, perlahan-lahan, dia berada di ambang maut kerana cecair itu hampir membakar jantung dan paru-parunya.

Namun, Patricia bernasib baik kerana implan payudaranya menghalang kerosakan organ penting itu berlaku.
Selepas melalui 86 pembedahan dan 30 lagi pemindahan kulit, Patricia terus mengalami kesakitan berpanjangan.

“Azam mahu melihat anak-anak gembira menguatkan semangat saya,” katanya.

Bercakap mengenai pengalamannya kepada majalah Closer, Patricia berkata, Remes bertanggungjawab menukar dirinya menjadi “jembalang.” Pada ketika tertentu, katanya, dia hanya mampu menangis.

“Orang ramai merenung dan mempersendakan penampilan begini. Ia bagaikan hukuman seumur hidup untuk saya,” katanya.

Patricia bertemu Remes, 57, kali pertama ketika mereka tinggal di apartmen sama di Brussels, Belgium, pada Disember 2008.

Selepas berbual seketika dalam lif, Remes mempelawa Patricia minum dan hubungan itu kemudian menjadi lebih serius.

Bagaimanapun, selepas beberapa pertemuan, Patricia mendapat tahu Remes sudah berkeluarga dan dia nekad memutuskan hubungan itu.

Kata Patricia, dalam keadaan begitu, hubungan itu sepatutnya tidak lebih daripada kawan biasa.

“Tambahan pula kami tidak pernah tidur bersama, justeru perpisahan itu sepatutnya tidak sukar,” katanya.

Sejak itu, mereka bertemu dua kali seminggu di rumah Patricia.

Pada satu ketika, isteri Remes mengetahui skandal berkenaan dan dia diusir, tetapi lelaki terbabit kembali ke keluarganya tidak lama kemudian tanpa memutuskan hubungan dengan Patricia.

Hanya ketika bercuti di Mesir pada 2009, Patricia menyedari sifat jahat yang ada pada Remes apabila lelaki terbabit mula bercakap mengenai filem ganas, termasuk membabitkan penyeksaan ke atas wanita.

Apabila pulang ke Brussels, Patricia enggan bertemu Remes lagi, menyebabkan lelaki itu semakin obsesif.

Patricia mengadu kepada polis dan dia dinasihat supaya berpindah.

Empat hari selepas pindah ke Molenbeek-Saint-Jean, Remes mengunjungi kediaman Patricia dengan menyamar sebagai penghantar bungkusan.

Remes dihukum penjara 30 tahun atas kesalahan cuba membunuh. - DM

12 puting beliung musnah ratusan rumah di Texas

myMetro | 12 puting beliung musnah ratusan rumah di Texas:


AUSTIN: Beberapa puting beliung melanda Dallas malam kelmarin, menyebabkan ratusan rumah, pokok dan kenderaan musnah.
Dianggarkan lapan hingga 12 puting beliung terjadi di Texas Utara dan mencederakan 17 orang. Tiada kematian dilaporkan.

Satu daripada puting beliung itu menyentuh kawasan parkir yang dipenuhi lori, menyebabkan sebahagian daripadanya melayang dibawa angin kencang.
Bencana alam itu turut memaksa beratus-ratus penerbangan dibatalkan, selain merosakkan kira-kira 110 pesawat di Lapangan Terbang Dallas-Fort Worth.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) pada mulanya melaporkan sekurang-kurangnya dua angin kencang “besar dan sangat berbahaya” dikesan.

Kemudian, pegawai kanan NWS menyatakan, dianggarkan ada enam hingga 12 puting beliung berlaku, tetapi jumlah sebenar belum dapat disahkan sehingga malam tadi. - Reuters

Nenek maut muka diserkup selimut, bantal

Berita Harian Online | Nenek maut muka diserkup selimut, bantal:


CUCU mangsa, Azniza Abd Latif (kanan) tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat Sareah (gambar kecil)  di Alor Gajah, semalam.
CUCU mangsa, Azniza Abd Latif (kanan) tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat Sareah (gambar kecil) di Alor Gajah, semalam.
ALOR GAJAH: Bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Solok Limau Nipis, ditemui mati dalam keadaan hidung berdarah di kediamannya di Batu 24, Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina, Masjid Tanah, dekat sini, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata Sareah Abd Rahman, 78, ditemui seorang anak lelakinya, Abd Ghafar Daud, ketika berkunjung ke situ jam 8 pagi. Katanya, polis belum dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan.
“Mayat wanita ini ditemui dalam keadaan terbaring atas katil di bilik tengah rumahnya dengan muka ditutup kain selimut dan bantal. Pemeriksaan lanjut mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan luaran. 

“Siasatan awal polis setakat ini mendapati tiada kesan pecah masuk di rumah itu, manakala barangan berharga termasuk wang tunai juga tidak hilang. 
Berdasarkan soal siasat, kali terakhir dia dilihat pada jam 3.30 petang kelmarin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam. 

Sareah yang juga saudara kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latipah Omar menjadi Ketua Wanita UMNO cawangan Solok Limau Nipis pada awal 1980-an dan bersara daripada politik sejak lebih 15 tahun lalu. 
Umar Ali berkata, pihaknya perlu menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa. 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-5562222. 

Sementara itu, Abd Ghafar, 57, berkata beliau setiap hari menghantar sarapan kepada ibunya sebelum ke tempat kerja. 

“Saya memanggil emak tetapi dia tidak menyahut. Saya kemudian meninggalkan sarapan untuknya dan terus ke tempat kerja. 

“Apabila balik semula untuk memeriksa keadaannya, saya menemui emak terbaring di atas katil,” katanya.

Dua gerila pemisah Thai ditangkap



GAMBAR fail menunjukkan lokasi pusat beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza yang rosak akibat letupan bom di Hatyai pada Sabtu lalu.


BANGKOK – Polis menyatakan dua anggota kumpulan pemisah Islam ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengeboman di selatan Thailand pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, dua suspek itu adalah antara 20 anggota pemisah yang dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan bom kereta ke atas Hotel Lee Gardens Plaza di bandar Hatyai pada Sabtu lepas.
Sebanyak tiga orang terbunuh manakala lebih 200 yang lain cedera dalam serangan itu.
Polis turut percaya bahawa serangan tersebut memiliki kaitan dengan pengeboman pada hari yang sama di wilayah Yala.
Siri pengeboman di Yala meragut nyawa lebih 11 orang.
Lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah selatan Thailand sejak gerakan pemisah Islam tercetus pada 2004.
Kejadian letupan bom itu menandakan peningkatan serangan kumpulan tersebut.
Penentangan yang berlaku di selatan Thailand telah meragut nyawa ribuan penduduk Thailand sejak tahun 2004.
Serangan bom atau tembakan yang berlaku hampir pada setiap hari disasarkan terhadap askar dan orang awam sama ada penganut Islam atau Buddha.
Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menyatakan sebelum ini terdapat lebih 3,000 militan Islam terlibat dalam keganasan di selatan Thailand.
Militan terbabit dipercayai bukan sebahagian daripada gerakan jihad global tetapi menentang apa yang didakwa mereka sebagai diskriminasi turun-temurun terhadap etnik Melayu Islam yang dilakukan kerajaan Thai.
Gabenor Songkhla, Grisada Boonrach kelmarin menawarkan ganjaran 500,000 baht (RM49,196) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan setiap seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam letupan bom di hotel tersebut. – Agensi

Patung emas Kapten Jack Sparrow dijual

Kosmo! Online - Dunia: "

SEORANG pekerja melihat patung emas Kapten Jack Sparrow dipamerkan di sebuah pusat beli-belah di Tokyo semalam.

TOKYO - Sebuah patung emas watak Kapten Jack Sparrow dalam filem Pirates of the Caribbean dijual pada harga AS$435,000 (RM1.3 juta).

Ia dijual di sebuah pusat beli-belah di sini sempena ulang tahun kelahiran ke-110 tahun Walt Disney yang merupakan pengasas bersama The Walt Disney Company.

Patung emas seberat 1,800 gram itu setinggi 26 sentimeter.

Watak Sparrow itu dilakonkan oleh aktor terkenal Johnny Depp. - Agensi"

'via Blog this'

Treler melayang dipukul puting beliung



SEBUAH treler (dalam bulatan) melayang semasa puting beliung melanda bandar Dallas-Fort Worth, Texas kelmarin.


DALLAS, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah treler melayang semasa puting beliung melanda kawasan Dallas-Fort Worth di negeri Texas kelmarin.
Dua buah bandar di Texas, Arlington dan Lancaster diisytihar zon bencana selepas puting beliung berkembar serta ribut menyebabkan 300 buah rumah di kawasan berkenaan rosak teruk.
Banyak kediaman yang berada dalam laluan ribut berkenaan ranap manakala sejumlah trak dan kereta turut terbalik ditiup angin kencang.
"Saya tidak pernah melihat dua puting beliung melanda dua kawasan metropolitan secara serentak seperti ini," kata seorang pakar meteorologi, Henry Margusity.
Seorang lelaki yang merakamkan gambar satu puting beliung berkenaan di utara Texas, Brandy Kemps memberitahu saluran berita ABC News; "Serpihan berterbangan merata-rata di depan mata saya termasuk debu, batu dan batang kayu.
"Puting beliung itu menuju ke arah kami dan ia kemudian hilang dari arah belakang bangunan apartmen tempat saya tinggal," katanya.
Lebih 12 orang cedera tetapi tiada laporan kemalangan jiwa berlaku dalam bencana tersebut setakat ini. - Agensi

Kastam AS gagalkan seludup kereta mewah



DUA anggota kastam memeriksa sebuah kereta Ferrari 458 yang dirampas di sebuah gudang di Carson, California kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pasukan kastam California Selatan merampas beberapa buah kereta mewah termasuk Ferrari, Mercedes dan Audi dalam operasi bagi menghalang kenderaan tersebut dieksport secara haram ke Asia.
Dalam serbuan di beberapa pelabuhan di Los Angeles dan Long Beach, kastam merampas 16 buah kereta mewah.
Pengarah Operasi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, Carlos Martel berkata, semua kenderaan itu termasuk empat buah lagi kereta yang dirampas dianggarkan bernilai AS$1.5 juta (RM4.5 juta).
Rampasan itu termasuk beberapa buah kenderaan utiliti sukan BMW dan Mercedes, sebuah kereta Audi Quattro dan sebuah Ferrari 458 keluaran 2010 berwarna hitam yang dianggarkan berharga AS$280,000 (RM853,580).
Menurut Martel, pencuri-pencuri terbabit menggunakan identiti palsu untuk menyewa atau bersetuju membeli kenderaan baharu tersebut dengan menipu pengedar, pemberi pinjaman dan syarikat insurans di sini.
Rampasan dibuat selepas pihak berkuasa menerima maklumat lokasi Ferrari yang dicuri daripada pengedar kereta berkenaan ekoran kenderaan tersebut dipasang dengan sistem pengesanan global. - Agensi

KEUTAMAAN SOLAT SUBUH



1] Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi:
“Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah S.A.W., dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”..

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?...

2] Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim)...

3] Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya....

4] Rasulullah S.A.W. memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh... Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah).....

5] Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah... Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh...

Wednesday, April 4, 2012

Puting beliung landa Dallas


  • Foto
  • Foto
  • Foto
DALLAS: Puting beliung melanda Dallas, Amerika Syarikat (AS) hari ini, mengakibatkan puluhan bumbung rumah tercabut dan menerbangkan treler ke udara. 

Menurut laporan, puluhan penduduk cedera. Kelihatan banyak kereta terbalik manakala trak remuk serta rosak teruk di bahu lebuh raya.
Pegawai Kanan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Meteorologi, Eric Martello, berkata dianggarkan antara enam hingga 12 puting beliung melanda Utara Texas. - AP

AS tawar RM36j tahan militan


Hafiz Mohammad Saeed
Hafiz Mohammad Saeed
Pengasas, pemimpin kedua pergerakan Lashkar-e-Taiba dikehendaki 

ISLAMABAD: Amerika Syarikat menawarkan AS$10 juta kepada sesiapa yang membantunya menahan pengasas sebuah kumpulan militan yang dipersalahkan atas serangan terhadap Mumbai pada 2008 kerana pergerakan pemimpin itu diketahui ramai di Pakistan. Hadiah pemberi maklumat itu membabitkan Hafiz Mohammad Saeed, pengasas Lashkar-e-Taiba (LeT) yang sering muncul di khalayak ramai di Pakistan, diumumkan Penolong Setiausaha Negara Amerika, Wendy Sherman di India, kelmarin dan butir-butirnya boleh dibaca di laman web ‘Rewards for Justice’ kerajaan Amerika.
Nilai tawaran itu diberi untuk pihak yang memberi maklumat hingga tertangkapnya Saeed adalah sama dengan yang membabitkan pemimpin tertinggi Taliban Afghanistan, Mullah Omar. 

Nilai itu yang kedua tertinggi selepas pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri iaitu AS$25 (RM75 juta). 

Washington juga menawarkan AS$2 juta kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan pemimpin kedua LeT, Hafiz Abdul Rahman Makki. 

Saeed ketua badan kebajikan diharamkan, Jamaat-ud-Dawa yang dianggap mewakili LeT. 
Pada 27 Mac lalu, dia berucap di depan beribu-ribu penyokongnya di Islamabad menggesa kerajaan Pakistan tidak membuka pintu di sempadan Afghanistan kepada askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan askar Amerika. 

Notis di laman web berkenaan menyatakan, Saeed disyaki merancang banyak serangan pengganas termasuk di Mumbai pada 2008 menyebabkan 166 orang terkorban termasuk enam warga Amerika. 

Di bawah skim Jabatan Negara yang sama, Amerika membayar wang itu selepas suspek bersenjata menembaknya. 

Kementerian Luar Pakistan berkata, ia tiada ulasan mengenai pengumuman Amerika berkenaan tetapi disambut baik di New Delhi. 

“Ia memberi isyarat kuat kepada LeT, anggota dan penyokongnya bahawa masyarakat antarabangsa bersatu menentang keganasan,” kata Kementerian Luar India. 
Dawa kemudian mengutuk tindakan Washington menyifatkannya cubaan untuk menceriakan India. 

“Hafiz Saeed bukan seorang yang lari daripada undang-undang, dia tidak tinggal dalam gua, tidak melakukan sebarang jenayah dan mahkamah sudah mengisytiharkannya tidak bersalah.” 

Setiausaha Penerangan LeT, Hafiz Muhammad Masood, memberitahu menerusi telefon: “Dia meneruskan aktiviti seperti biasa dan tawaran itu tidak akan menjejaskan mereka,” katanya. 

Pakistan menahan Saeed di rumahnya sebulan selepas serangan Mumbai berlaku tetapi dibebaskan pada 2009, manakala pada 2010 Mahkamah Agung membebaskannya atas alasan bukti tidak cukup. 

Penganalisis Pakistan, Imtiaz Gul berkata sukar menahan Saeed kerana tindakan perundangan sebelum ini tidak pernah berjaya. – AFP

Culik adik minta tebusan RM50,000


KUALA LUMPUR: Gara-gara kalah berjudi hingga menanggung hutang mencecah puluhan ribu ringgit, seorang lelaki berusia 30-an mengupah dua rakan baiknya melarikan adik kandungnya sendiri dalam kejadian di Taman Cheras, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun berada di rumahnya sebelum menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memaklumkan dia menerima sebuah bungkusan daripada kakaknya yang berada di luar negara.

Sumber polis berkata, mangsa diminta mengambil bungkusan itu di sebuah kedai serbaneka berdekatan rumahnya.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di kedai serbaneka itu, dua lelaki dikenali sebagai rakan kepada abangnya melarikannya ke kawasan tidak dikenali.

“Mangsa dikurung dalam bilik di sebuah hotel sebelum seorang daripada mereka menghubungi ayah mangsa berusia 51 tahun memaklumkan anak bongsunya berada dalam kawalan mereka dan meminta wang tebusan RM50,000,” katanya.

Beliau berkata, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras kerana bimbangkan keselamatan mangsa.
“Mangsa bernasib baik kerana ketika berada dalam kurungan, rakan abangnya yang menjaganya itu tertidur dan peluang itu digunakan untuk melarikan diri.

“Bapanya menghubungi polis dan selepas disoal siasat abang kandung mangsa dicekup manakala dua lagi rakan mangsa sedang diburu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Anak disangka sakit diperkosa jiran tua


KUALA LUMPUR: Naluri seorang ibu yang menyatakan anak perempuannya yang berusia lapan tahun kelihatan sakit membongkar kejadian anak kecil itu menjadi mangsa nafsu jiran mereka yang berusia 50-an dalam kejadian di Sungai Besi.
Mangsa berusia lapan tahun itu mengalami kecederaan di bahagian sulitnya akibat tindakan kejam jiran itu yang merogol mangsa sejak sebulan lalu ketika ibu mangsa yang berusia 40-an keluar bekerja.

Sumber berkata, kejadian itu hanya disedari malam kelmarin ketika ibu mangsa yang baru pulang dari kerja melihat mangsa tidur di ruang tamu, namun dari riak muka mangsa ibunya melihat anaknya itu sakit.
“Pada mulanya, ibu mangsa tidak berniat mengejutkan anaknya itu dari tidur tetapi naluri keibuannya mendesaknya untuk membuat pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu.

“Selepas memeriksa badan mangsa, ibunya terkejut apabila mendapati alat sulitnya anaknya bengkak. Selepas disoal siasat, anaknya mendedahkan dirogol jiran mereka yang berusia 50-an,” katanya.

Dua amah kebas licin


KECEWA...Ira bersama Dr Ibrahim menunjukkan bekas simpanan beberapa jam berharga miliknya yang sudah kosong.
KECEWA...Ira bersama Dr Ibrahim menunjukkan bekas simpanan beberapa jam berharga miliknya yang sudah kosong.
KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka. Selama ini apa yang diingini saya beri dan tidak pernah abaikan tanggungjawab sebagai majikan.
“Tetapi lain pula yang dibalas. Saya terkilan dan sakit hati apabila mereka sanggup melarikan diri, malah turut mencuri barang berharga kami sekeluarga,” itu luahan jutawan kosmetik, Datin Ira Ghani, 35, yang kerugian lebih RM500,000 dipercayai dilarikan dua pembantu rumah di banglo mewahnya di Gombak dekat sini.
Difahamkan, ketika kejadian, beliau dan suami, Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad berada di Singapura selama empat hari kerana urusan kerja.

Hanya tinggal dua anak lelakinya, Mohd Danish Irfan, 13, Mohd Danish Roshan, 8, dan seorang anak saudara perempuan bersama kedua-dua pembantu rumah terbabit.

Dua pembantu rumah mangsa berasal dari Jawa Barat dikenali Luluk Tanjiyah, 33, dan Udayati, 40, sudah bekerja dengannya setahun lalu dan diberi layanan baik.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Media Saudi kecam Iraq


RIYADH: Akhbar Arab Saudi semalam melancarkan kempen mengecam Perdana Menteri Iraq Nuri al-Maliki ekoran kritikannya terhadap negara itu dan Qatar kerana gesaan untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Syria.
“Negara Teluk patut memulaukan Nuri dan kerajaannya,” kata Tariq al-Homayed, pengarang akhbar Sharq al-Awsat dalam rencana pengarangnya.

Beliau menggesa supaya “hukuman dikenakan kepada mereka yang menyokong pemerintah zalim Damsyik, khususnya kerajaan Nuri.” “Pulaukan dia bagi mencegah kemunculan Saddam baru atau seorang lagi Bashar,” kata Tariq, merujuk kepada diktator Sadam Hussein dan Presiden Syria Bashar al-Assad.
Kempen media Saudi terhadap Nuri dibuat selepas Perdana Menteri Iraq itu berkata, Baghdad menolak ‘sebarang rancangan membekalkan senjata kepada pemberontak Syria dan proses menggulingkan Bashar.

Nuri berkata, gesaan Qatar dan Saudi supaya membekalkan senjata kepada pemberontak Syria hanya akan mencetuskan krisis lebih besar di rantau itu. Perdana Menteri Iraq itu juga memberi amaran negara yang campur tangan dalam hal ehwal dalaman Syria akan hanya mengganggu urusan negara lain. Ulasan Nuri itu dibuat ekoran laporan media menyebut bekas Timbalan Presiden Iraq Tareq al-Hashemi yang dikehendaki kerajaan Iraq, berada di Qatar sejak Ahad lalu.

Tareq dituduh mempunyai skuad pembunuh.
Akhbar harian al-Riyadh pula mengecam hubungan erat Iraq dengan negara jirannya, Iran sambil mempertikaikan pendirian Nuri.

“Adakah Nuri suara yang menyokong Iran atau pemimpin Iraq?,” lapor akhbar itu. Menurutnya, rakyat Syria berhak memberontak bagi menentang kezaliman, sama seperti yang dialami rakyat Iraq di bawah pemerintahan Saddam. - AP

Lelaki maut lepas kereta langgar unta


SHARJAH: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut semalam selepas kenderaannya melanggar unta di jalan Maleha.
Mangsa sedang memandu kereta dari Kalba menuju ke bandar raya Sharjah untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi, kata sumber polis.

Kenderaan mangsa terbakar ekoran nahas itu dan pemandunya mati serta-merta di tempat kejadian.
Unta berkenaan turut mati dalam kemalangan itu.

Ekoran nahas itu, pemerintah Sharjah mengarahkan pagar dibina bagi mengelak unta dan haiwan lain berkeliaran di jalan raya. - GN

Warga Pakistan seludup heroin dipancung


RIYADH: Arab Saudi semalam melaksanakan hukuman pancung terhadap seorang warga Pakistan selepas dia didapati bersalah menyeludup sejumlah besar heroin ke negara itu.
“Salim Shah Sayed Shah dari Pakistan dituduh menyeludup sejumlah besar dadah heroin ke negara ini,” menurut Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Saudi. Salim dihukum pancung di Makkah.

Kementerian itu Ahad lalu berkata, Arab Saudi menahan 681 orang sejak empat bulan lalu yang didakwa terbabit dengan pengedaran dadah bernilai kira-kira AS$460 juta (RM1.38 bilion). Hukuman mati warga Pakistan itu meningkatkan jumlah angka hukuman pancung di negara berkenaan kepada 16 orang sejak awal tahun ini. - AFP

Israel roboh rumah Palestin


BETHLEHEM: Tentera Israel memusnahkan empat rumah dan 54 tiang elektrik awal pagi semalam.
Menurut penyelaras pertubuhan yang menentang penempatan Yahudi di Bethlehem, Mazen al-Azzeh, insiden berlaku di kawasan Makhrureh, Beit Jalla.

“Mereka mahu merampas tanah di situ untuk dibangunkan dengan penempatan bagi membolehkan ia bersambung dengan kawasan Kfar Etzion dan Har Gilo,” katanya.
Kedua-dua kawasan itu terletak 10 kilometer antara satu sama lain.

Pencerobohan itu menyebabkan penduduk setempat terputus bekalan elektrik.

Menuurt Mazen, sebahagian besar penduduk di kawasan berkenaan beragama Kristian.
“Menjelang sambutan Easter, inilah hadiah Israel untuk komuniti Kristian di sini,” katanya. - AFP

Bashar terus mengganas


DAMSYIK: Pertempuran sengit tercetus semalam selepas rejim Syria menghantar pasukan tambahan ke kawasan dikuasai pemberontak.
Pada masa sama, Barat cuba memberi amaran kepada Damsyik bahawa PBB akan bertindak kecuali mereka patuh kepada perjanjian menarik balik pasukan keselamatan dari kawasan berkenaan.

Keganasan terbaru semalam berlaku ketika ketua Palang Merah, Jakob Kellenberger, berada di Syria dalam misi terbaru dan ketiga sejak tahun lalu.
Beberapa kumpulan pemantau melaporkan, pertempuran sengit tercetus di kubu kuat pemberontak di selatan wilayah Daraa, barat laut Idlib dan beberapa kawasan sekitar Damsyik.

Puluhan kereta perisai dan pengangkut tentera tiba di Dael, Daraa bandar yang memulakan kebangkitan rakyat menentang Presiden Bashar al-Assad pada Mac tahun lalu. Turut disasarkan, Zabadani, satu daripada kubu pemberontak yang terletak berhampiran sempadan Lubnan.

Aktivis di Dael, Sayyed Mahmud, berkata keadaan semasa di situ sangat tegang.
Katanya, tentera kerajaan membakar 14 rumah kelmarin, selain menahan ramai orang serta meningkatkan bilangan pasukan keselamatan.

“Sebagai sebahagian daripada cara rejim memotong bekalan makanan orang ramai, tentera menyerbu kediaman dan memusnahkan simpanan harian serta peralatan yang berkaitan.
“Sebagai contoh, jika mereka melihat ada mesin jahit, ia akan dimusnahkan,” katanya.

Tentera Bashar juga dilaporkan memusnahkan roti ketika bekalan elektrik dipotong 15 jam sehari.

Di Idlib yang bersempadan dengan Turki, pertempuran masih berlangsung di pinggir Taftanaz dan menyebabkan dua orang awam serta seorang tentera maut.

Sumber berkata, empat orang awam cedera, manakala sejumlah rumah musnah dibakar.

“Pemberontak berjaya merosakkan sebuah pengangkut tentera dan membunuh atau mencederakan beberapa anggota keselamatan,” katanya. - AFP