Pages

Tuesday, December 27, 2011

Ahli perniagaan ditahan lagi selepas dibebaskan



Peguam suspek seorang ahli perniagaan lelaki bergelar Datuk, Datuk Ahmad Damanhuri Mohd. Yusof (kiri) berbincang sesuatu bersama penolongnya, Mohd. Rafik Rahem di Kuala Lumpur, semalam. - Foto CHINA PRESS


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Seorang ahli perniagaan lelaki bergelar Datuk yang dibebaskan selepas ditahan reman sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sekali lagi ditahan polis hari ini.

Suspek yang berusia 45 tahun dibawa ke Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil, ditahan semula selepas dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, penahanan semula lelaki itu dibuat bagi membantu siasatan satu kes penipuan yang dilaporkan seorang pengadu wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 7 Ogos 2009 lalu.

Katanya, pengadu yang berusia 43 tahun bersama sepupunya dikatakan bertemu dengan ahli perniagaan itu untuk berurusan mendapatkan projek stesen minyak Shell di sekitar Lembah Klang pada Oktober 2007.

Beliau berkata, sebaik perjumpaan dan perbincangan itu, suspek mengarahkan wanita itu membuat pembayaran sebanyak RM280,000 bagi mendapatkan projek tersebut.

"Setelah membayar wang itu, wanita tersebut mendapati ahli perniagaan itu tidak berjaya mendapatkan projek tersebut seperti mana yang telah dijanjikan.

"Berikutan itu, polis menahan lelaki itu sekali lagi selepas tempoh reman tahanan siasatan terhadapnya mengikut Akta SPRM 2009 tamat hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khamis lalu, ahli perniagaan tersebut ditahan reman selama dua hari selepas dipercayai cuba menyogok beberapa pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pada Sabtu lalu, tempoh tahanan reman suspek disambung hingga ke hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah JSJK, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan penangkapan semula ahli perniagaan itu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Mangsa banjir masih ditempatkan di khemah


CAGAYAN DE ORO 26 Dis. - Beribu-ribu mangsa banjir kilat di negara ini mungkin terpaksa meneruskan hidup di khemah-khemah sementara bagi tempoh beberapa bulan akan datang, sementara kawasan baru untuk menempatkan mereka dikenal pasti.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, lebih 60,000 penduduk yang hilang tempat tinggal akibat ribut tropika Washi kini ditempatkan di bangunan-bangunan kerajaan termasuk sekolah di bandar Cagayan de Oro dan Iligan.

"Kami tidak sempat membina penempatan baru untuk mereka. Ia akan mengambil masa.

"Buat sementara waktu, mereka akan ditempatkan di khemah-khemah apabila sesi persekolahan bermula pada 3 Januari ini," katanya.

Ramos berkata, mangsa yang terjejas akibat banjir di bandar Cagayan de Oro akan dipindahkan ke sebuah tanah kerajaan di pinggir ibu negara, sementara rumah-rumah dibina di kawasan seluas enam hektar.

Jelasnya, penduduk di Iligan pula akan ditempatkan di sebuah terminal bas, sementara pihak berkuasa mengenal pasti penempatan kekal untuk mereka.

Operasi mencari mayat akibat bencana itu hari ini diteruskan di kawasan yang lebih jauh dengan dibantu nelayan, tentera laut, polis dan anggota bomba.

Hampir 10 hari selepas Washi melanda, lebih banyak mayat dihanyutkan ke pantai, menjadikan angka korban setakat ini meningkat kepada 1,236 orang dengan dua pertiga daripada mayat itu tidak dapat dikenal pasti.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu merayu sumbangan dana berjumlah AS$28.6 juta (RM91 juta) untuk membantu lebih setengah juta mangsa taufan di Filipina. - AFP/AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Putin dapat sokongan majoriti rakyat


MOSCOW 26 Dis. - Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin masih mendapat sokongan majoriti rakyat di negara ini, walaupun beribu-ribu penduduk mengadakan perhimpunan besar-besaran di sini kelmarin bagi menuntut pemerintahannya ditamatkan dan pilihan raya baru diadakan.

Jurucakapnya, Dmitry Peskov berkata, sebagai ahli politik dan calon Presiden, pemimpin itu masih menerima sokongan padu rakyat Rusia, sekali gus menunjukkan keenganannya untuk tunduk kepada kemahuan penunjuk perasaan.

"Kita perlu menghormati dan mengakui hakikat bahawa Putin masih menerima sokongan majoriti rakyat," katanya kepada AFP.

Kira-kira 120,000 orang berhimpun di tengah Moscow kelmarin, menyaksikan penunjuk perasaan melaungkan slogan membantah Putin dan menuntut kemenangan partinya pada pilihan raya Parlimen baru-baru ini dibatalkan.

Perhimpunan itu adalah yang terbesar selepas tunjuk perasaan 20 tahun lalu yang menumbangkan Kesatuan Soviet.

Peskov berkata, Putin akan tetap bertanding pada pilihan raya Presiden pada 4 Mac ini, dalam usahanya menerajui Kremlin bagi penggal ketiga selepas empat tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Jurucakap itu bagaimanapun berkata, pendirian penunjuk perasaan kelmarin perlu dihormati, tetapi ia hanyalah suara minoriti.

Pemimpin terakhir Soviet, Mikhail Gorbachev malam Sabtu lalu mendesak Putin meletak jawatan seperti mana yang dibuatnya pada 25 Disember 1991 apabila kesatuan tersebut tumbang. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Kontroversi budaya punk gegar Aceh



Anggota kumpulan punk melalui proses pemulihan dengan menyertai sembahyang berjemaah dan ceramah agama yang disediakan oleh pihak berkuasa.


SEGALA-GALANYA bermula pada 10 Disember lalu apabila sekumpulan anak muda menggerakkan usaha mengadakan konsert rock punk di Banda Aceh, Indonesia.

Mesej utama konsert itu khabarnya untuk mengutip dana bagi membantu anak-anak yatim.

Maksud penganjuran konsert itu sangat manis dan sarat dengan nilai-nilai murni.

Namun yang menjadi titik persoalan ialah apakah kewajaran konsert rock punk dianjurkan di wilayah istimewa Indonesia yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu.

Rentetan daripada situ, ia mencetus kontroversi panjang. Seramai 64 anak muda dengan imej punk ditahan pihak berkuasa.

Apabila penangkapan mereka mendapat perhatian media, ia sekali gus mengundang kekecohan di kalangan masyarakat yang ralit mengikut isu tersebut.

Bukan hanya ditangkap oleh polis, bahkan, pejuang-pejuang imej punk itu turut diberi 'hukuman' segera dengan membotakkan kepala mereka.

Anak-anak muda itu juga dibawa ke sebatang sungai untuk direndamkan sebelum dibawa ke sesi ceramah pembersihan jiwa.

Pemerintah Aceh tentunya mempunyai asas untuk melaksanakan hukuman itu kerana umum sedia maklum, wilayah istimewa Aceh harus bebas daripada segala budaya yang boleh menjahanamkan kesucian agama Islam.

Namun dari satu sudut pandangan lain, pejuang-pejuang punk ini pula bangkit mempertahankan pendirian mereka.

Tegas jurucakap kumpulan punk itu, Yudi, dia dan kesemua temannya yang berimejkan budaya pop yang diimport dari barat itu bukanlah penjenayah.

"Kami sekadar menganjurkan konsert untuk membantu anak-anak yatim. Bahkan, kami juga memperoleh keizinan dan permit daripada pihak polis dan Majlis Ulama Indonesia. Kami tidak membawa sebarang benda berbahaya atau dadah seperti yang didakwa polis," tegas Yudi.

Nada kecewa Yudi kedengaran cukup tebal apabila dia mempertahankan bahawa kumpulan punk yang dianggotainya itu sudah lama merancang untuk mengadakan konsert amal seperti itu.

Kekecewaannya tambah berganda apabila dia mendakwa, kumpulan punk itu sering disalah faham oleh masyarakat sebagai puak yang tidak mempunyai arah dalam hidup.

"Kami sering digambarkan sebagai golongan yang tidak mempunyai masa depan, sering ditahan polis dan pihak berkuasa agama," tegasnya seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post baru-baru ini.

Sebetulnya, imej punk di mata masyarakat Timur bukanlah sesuatu yang manis dan elok untuk diterima sebagai sebahagian daripada budaya hidup.

Bukan saja di Aceh, bahkan di kebanyakan negara di dunia ini, budaya pop punk ini ditakrifkan sebagai puak yang mudah terdorong ke dalam kancah tidak bermoral.

Yudi pada masa sama turut mempersoalkan sejauh mana kebenaran hukum syariah di Aceh dilaksanakan kerana wujudnya diskriminasi dalam penentuan bentuk hukuman.

"Komuniti punk ini tidak menentang pelaksanaan hukum syariah tetapi seandainya berlaku diskriminasi dalam soal pelaksanaan hukuman terhadap golongan-golongan tertentu, ia membawa maksud penguatkuasaan hukum syariah tidak berada di landasan yang betul," kritik Yudi dengan menjadikan kes penahanan kumpulan punk sebagai rujukan.

Pandangan Yudi itu bagaimanapun disanggah pihak polis yang menegaskan, golongan punk di Aceh berjaya mengaburi mata pihak berkuasa di sebalik niat mereka mahu beramal.

Sedangkan hakikatnya, Ketua Polis Wilayah Aceh, Iskandar Hassan mendedahkan, semasa tangkapan dilakukan pihak polis menemui minuman keras dan dadah bersama-sama remaja punk itu.

"Itu alasan utama kenapa polis menahan mereka," jelasnya sambil menegaskan kesemua 64 remaja punk itu ditempatkan di Sekolah Polisi Negara (SPN) di Seulawah, Aceh Besar kira-kira 60 kilometer dari Banda Aceh.

Iskanda turut menafikan, kesemua yang ditahan polis menerima hukuman yang keras.

"Sebaliknya, kami mendidik mereka selama 10 hari untuk mengubah pemikiran mereka yang dijajah oleh budaya kurang sihat dan membantu mereka kembali memilih jalan yang baik untuk masa depan," tegas beliau lagi.

Apa yang menarik perhatian juga, kesemua pejuang punk ini sebelum dipindahkan ke SPN, Seulawah mereka terlebih dulu dibotakkan kepala supaya bebas daripada imej rambut Mohawk dan direndamkan ke dalam sungai untuk membersihkan diri.

'Hukuman' itu bagaimanapun disifatkan beberapa pejuang punk itu sebagai meragut nilai kemanusiaan.

"Kami dibotakkan kepala secara paksa. Ini benar-benar melanggar batas kemanusiaan saya sebagai warganegara untuk memilih gaya hidup sendiri," kata Wawan salah seorang anggota punk.

Wawan dan rakan-rakan seangkatan dengannya tidak mampu menghalang apabila pihak polis membotakkan kepala mereka.

Di kalangan lelaki, ada juga gadis remaja yang turut aktif dalam perjuangan punk yang akhirnya terpaksa menangis teresak-esak apabila anggota polis wanita membuang imej rambut cacak di kepala mereka.

"Ibu bapa saya sekalipun tidak pernah melayan saya seperti ini. Mereka telah melanggar hak asasi saya sebagai manusia," kata Nanda sambil menangis.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pameran kereta James Bond



BEBERAPA model kereta yang digunakan dalam filem James Bond yang terbabit dalam pameran di Muzium Kenderaan Negara United Kingdom. - AGENSI


LONDON 26 Dis. - Muzium Kenderaan Negara United Kingdom di Beaulieu bakal mengadakan pameran kereta yang digunakan dalam filem-filem James Bond untuk kali keempat pada 17 Januari ini.

Pameran kali ini dilaporkan yang terbesar seumpamanya di dunia dan akan menampilkan 50 model kenderaan daripada filem francais popular itu.

Antara kereta yang akan dipamerkan ialah model-model yang sebelum ini tidak pernah ditayangkan kepada umum iaitu Ford Mustang Mach 1 daripada filem Diamonds Are Foreverdan Rolls Royce Silver Shadow II daripada filem The World Is Not Enough.

Turut dipamerkan ialah kereta Rolls Royce 1962 yang ditolak ke dalam tasik oleh May Day dan Zorin dalam filem James Bond, A View to a Kill.

Beberapa alat pengangkutan lain seperti payung terjun Union Jack yang digunakan oleh Gustav Graves dalam filem James Bond, Die Another Day turut akan dipamerkan.

Pesawat prototaip berdasarkan 'jumbo jet' Boeing 747-200, Skyfleet S570 yang digunakan dalam Casino Royale pula bakal menjadi barangan paling mengkagumkan pada pameran itu.

Pameran tersebut akan berlangsung sehingga Disember 2012. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Interpol buru pengasas syarikat implan payu dara



GAMBAR fail bertarikh 17 Januari 2011 di La Seyne-sur-Mer, selatan Perancis merakamkan Jean-Claude Mas memegang implan payu dara. - AFP


LONDON 26 Dis. - Pengasas syarikat Poly Implant Prothese (PIP), Jean-Claude Mas yang kini diburu Interpol berhubung skandal kesihatan kerana implan payu dara keluarannya boleh menjejaskan pemakai, pernah bekerja sebagai penjual daging.

Mas, 72, diburu selepas implan payu dara firma itu yang digunakan lebih 300,000 wanita di seluruh dunia termasuk 40,000 di Britain, dikatakan mudah pecah sehingga boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada pemakainya.

Seorang pakar pembedahan plastik Perancis, Patrick Baraf mendedahkan, bahawa pemilik PIP itu pernah bekerja sebagai penjual daging sebelum memulakan karier sebagai pembuat implan payu dara.

"Dia berhenti menjual daging pada 1991 dan mula membuat implan payu dara di bandar Toulon, Perancis," katanya.

Baraf yang pernah beberapa kali bertemu Mas pada persidangan-persidangan mengenai pembedahan plastik di seluruh Eropah berkata, harga implan PIP merupakan yang paling murah di pasaran.

Menurut penyiasat, syarikat itu jimat kira-kira 1 juta pound (RM5 juta) setahun dengan menggunakan silikon industri berbanding silikon perubatan untuk pengeluaran implan payu dara tersebut.

Pemakai implan PIP bimbang bahan itu boleh mendatangkan masalah kesihatan sekiranya ia pecah dan kerajaan Perancis turut menawarkan untuk membiayai kos pembedahan kepada wanita yang berhasrat membuang implan berkenaan.

Peguam Mas, Yves Haddad berkata, anak guamnya terkejut dengan skandal baru yang menggemparkan dunia tersebut, tetapi menegaskan pemilik PIP itu yakin produknya tidak mendatangkan bahaya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Lagenda kriket Pakistan sampai mesej antirasuah



Imran Khan melambai tangan ke arah penyokongnya semasa mengadakan perjumpaan umum di Karachi, kelmarin. - AFP


KARACHI 26 Dis. - Lagenda kriket Pakistan yang menceburi politik, Imran Khan, semalam menyampaikan satu mesej antirasuah di sebuah perhimpunan yang dihadiri lebih 100,000 penyokongnya di Pakistan, sekali gus meningkatkan imejnya sebagai pemimpin politik yang semakin disegani.

Semua jalan di bandar pelabuhan Karachi berhampiran lokasi beliau berucap, sesak selama lebih 10 jam dan beribu-ribu penyokongnya mengibarkan bendera parti apabila bekas kapten kriket Pakistan itu tiba.

"Saya berjanji kepada anda semua bahawa saya akan mewujudkan Pakistan baru yang lebih dihormati. Marilah kita bersama-sama bagi mencapai hasrat ini.

"Saya merupakan seorang pemain kriket yang jujur dan tidak pernah menyogok pengadil. Saya berjanji tidak akan berbuat begitu juga sepanjang karier politik saya," katanya.

Dalam ucapannya, Imran turut mengenepikan spekulasi menyatakan kemunculan beliau dalam bidang politik mendapat sokongan.

"Sebaik-baik kami berkuasa, kami akan hapuskan rasuah dalam masa 90 hari. Parti saya tidak boleh berkrompomi dengan rasuah dan individu yang terlibat dengan gejala itu," katanya.

Imran turut menamakan kempen politiknya sebagai 'satu tsunami baik' yang akan menghapuskan ketidakadilan dan rasuah.

Lagenda kriket berusia 59 itu yang membantu pasukannya memenangi Piala Dunia pada 1992, menceburi politik selepas menubuhkan Parti Pergerakan untuk Keadilan pada 1996. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Netanyahu enggan berunding dengan Hamas


BAITULMAQDIS 26 Dis. - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam berkata, beliau enggan mengadakan rundingan damai dengan Pihak Berkuasa Palestin jika wakil Hamas menyertai perbincangan itu, lapor radio Israel.

Netanyahu enggan menyertai rundingan dengan Pihak Berkuasa Palestin jika Hamas menyertai kerajaan Palestin.

Netanyahu membuat kenyataan tersebut ekoran perjanjian damai antara Fatah dan Hamas yang bakal menyaksikan Hamas menyertai pentadbiran Palestin, Pihak Berkuasa Palestin.

Ini kerana Israel menyifatkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.

Jurucakap Netanyahu, Mark Regev ketika diminta mengesahkan kenyataan itu berkata, Perdana Menteri Israel itu sedang berbincang mengenai perkara itu secara tertutup dengan duta-duta negara ini.

Ketua Hamas, Khaled Meshaal pada minggu lepas bertemu dengan Presiden Palestin yang juga ketua pergerakan Fatah, Mahmoud Abbas untuk membincangkan penstrukturan semula badan pentadbiran Palestin termasuk Hamas.

April lalu, kedua-dua pergerakan tersebut menandatangani perjanjian damai, namun ia masih belum dilaksanakan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

PALING LAJU



Kereta api laju generasi baru China ini mampu mencapai kelajuan 500 kilometer sejam. – REUTERS


KERETA api laju generasi baru siri CRH buatan China yang mampu mencapai kelajuan 500 kilometer sejam menjalani ujian pertamanya di Qingdao, wilayah Shandong pada hujung minggu lalu.

Ia bakal menjadi kereta api paling laju di dunia.

Kereta api buatan syarikat CSR Corp. Ltd. itu mempunyai bentuk kepala menyerupai pedang purba China dan gerabaknya diperbuat daripada bahan plastik yang diperkuatkan dengan fiber karbon.

Ia mempunyai kuasa tarikan maksimum 22,800 kilowatt berbanding model CRH380 yang mempunyai kuasa tarikan 9,600 kilowatt. Pada masa ini kereta api berkelajuan tinggi CRH380 yang digunakan untuk laluan Beijing-Shanghai memegang rekod sebagai kereta paling laju di dunia dengan kelajuan 300 kilometer sejam.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Beribu-ribu peringati tsunami



Pelajar perempuan sebuah sekolah asrama penuh di Acheh mendoakan kesejahteraan keluarga mereka yang terkorban dalam bencana tsunami 2004 dalam satu upacara memperingati bencana itu, semalam. - REUTERS


JAKARTA 26 Dis. - Beribu-ribu orang berkumpul di satu padang golf di bandar Lhoknga, Aceh Besar bagi memperingati ulang tahun ketujuh bencana tsunami yang melanda wilayah itu dan mengorbankan beribu-beribu nyawa.

Mereka yang menghadiri majlis peringatan bencana alam yang berlaku ekoran gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter pada 26 Disember 2004, berdoa untuk kesejahteraan lebih 200,000 mangsa yang terkorban dalam bencana itu.

Agensi berita Antara melaporkan Lhoknga merupakan antara bandar di utara Aceh yang paling teruk dilanda tsunami dengan 80 peratus kawasannya musnah.

Antara yang menghadiri majlis itu ialah Gabenor Aceh, Irwandi Yuruf,

Beribu-ribu pelajar sekolah, kakitangan awam, tentera serta pelancong Jepun turut menghadiri upacara itu.

Di Phuket, majlis serupa diadakan di Mai Khao bagi memperingati lebih 5,000 mangsa yang terkorban dalam bencana tsunami di negara itu.

Lebih separuh daripada 5,395 mangsa yang terkorban itu dan 2,817 orang yang masih hilang di Thailand merupakan warga asing yang bercuti di resort-resort di pulau Phi Phi dan Phuket serta wilayah Phangnga.

Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongn Thailand di Phuket, Bang-orurat Shinaprayon berkata, pihak berkuasa telah memasang sistem amaran di pantai-pantai yang menjadi destinasi pelancongan popular.

''Maklumat laluan kecemasan juga dipaparkan di kebanyakan hotel,'' katanya.

Pulau peranginan itu dijangka menarik 5.1 juta pelancong pada tahun ini. - DPA/AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Kim Jong-un ketuai tentera



Jong-Un diiringi pegawai-pegawai kanan tentera korea utara melawat Istana Peringatan Kumsusan bagi memberi penghormatan terakhir kepada mediang bapanya Kim Jong-Il, kelmarin. – AFP


PYONGYANG 26 Dis. - Anak lelaki ketiga pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il, Kim Jong-un dikenal pasti sebagai ketua badan utama pembuat keputusan dalam parti pemerintah, Parti Pekerja - jawatan yang memberinya kuasa berhubung politik dan ketenteraan di negara ini.

Akhbar utama Korea Utara, Rodong Sinmun hari ini melaporkan, askar negara ini diarah untuk mengucapkan slogan berpegang teguh untuk melindungi Jawatankuasa Pusat yang diketuai Kim Jong-un.

Seminggu selepas media rasmi melaporkan kematian Jong-il, kempen untuk melantik Jong-un sebagai penggantinya semakin mendapat pengaruh.

Media rasmi, kelmarin merujuk Jong-un sebagai ‘pemimpin agung’ Korea Utara yang mempunyai kekuatan tentera seramai 1.2 juta orang dan ketua-ketua tentera berikrar menyokongnya.

Jong-il yang dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung, mentadbir Korea Utara dan mengetuai tiga badan utama, Parti Pekerja, Tentera Rakyat Korea dan Suruhanjaya Pertahanan Nasional.

Jong-un yang berumur lewat 20-an diumumkan sebagai pengganti Jong-il pada tahun lepas.

Beliau dinamakan sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat, Parti Pekerja dan dijangka memegang jawatan tentera dan politik baru ketika dilatih menjadi pengganti ayahnya.

Rujukan jawatan baru Jong-un hari ini dalam akhbar suara Parti Pekerja itu berlaku ketika dua delegasi peribadi Korea Selatan tiba di Pyongyang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Jong-il.

Slogan itu yang sebelum ini digunakan untuk mengumpul sokongan terhadap Jong-il, jelas menunjukkan anak lelakinya itu akan mengambil alih kepimpinan Parti Pekerja. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

23 lagi maut di Syria

BEIRUT 26 Dis. – Syria terus bermandi darah apabila pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan di bandar Homs yang masuk hari ketiga hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 23 maut, lapor kumpulan aktivis.Angka korban syahid meningkat kepada 23 orang.Seramai 14 terbunuh ketika pasukan keselamatan melancarkan serangan besar-besaran di kawasan kejiranan Baba Amr manakala sembilan lagi ditembak mati di pekan-pekan berhampiran,” kata jurucakap Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria. – REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

AS pertimbang lawatan Presiden Yemen

HONOLULU 27 Dis. – Amerika Syarikat (AS) akan mempertimbangkan permintaan Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh untuk melawat negara ini.
Namun, AS menegaskan pemimpin Yemen itu hanya dibenarkan memasuki negara ini jika beliau mahu mendapatkan rawatan perubatan.
Saleh yang diramalkan meletak jawatan selepas pilihan raya pada Februari depan menyatakan beliau berhasrat untuk melawat AS walaupun bukan untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan diserang pada Jun lalu. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Bapa cipta basikal gergasi untuk anak



ZHANG YALI menguji basikal gergasi ciptaannya di luar sebuah rumah gudang yang disewa di Jilin, China kelmarin.


JILIN, China - Seorang bapa, Zhang Yali menghabiskan masa selama dua bulan untuk mencipta sebuah basikal gergasi bersama seorang rakannya di sini.

Yali yang berusia 49 tahun mencipta basikal itu sebagai hadiah untuk anak lelakinya yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai kartunis sambilan di Shenzhen, wilayah Guangdong.

Basikal itu setinggi 3.2 meter dan panjang 5.5 meter.

Yali membelanjakan lebih 20,000 yuan (RM9,970) untuk mencipta basikal seberat lebih satu tan itu.

Menurut keluarga Yali, mereka akan mengayuh basikal itu dari Jilin ke Shenzhen. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Buku dimakan anai-anai dipamerkan



SEBUAH buku yang mengandungi lubang akibat dimakan anai-anai dipamerkan di Institut Pemuliharaan dan Pemulihan Buku-Buku Rosak pada 20 Disember lalu.


ROM, Itali - Sebuah buku lama yang dimakan anai-anai dipamerkan di sebuah muzium di Institut Pemuliharaan dan Pemulihan Buku-Buku Rosak pada minggu lalu di sini.

Buku-buku dan manuskrip lama yang rosak akibat terbakar, peperangan dan dimakan anai-anai dirawat di institut tersebut seperti seorang pesakit di hospital.

Institut yang ditubuhkan pada 1938 itu turut menyimpan pelbagai manuskrip lama termasuk salah sebuah kitab al-Quran paling tua di dunia. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pecah lapisan ais untuk tangkap ikan



SEORANG nelayan memegang seekor ikan yang ditangkap menerusi jaring selepas lapisan ais dipecahkan di Changchun, China semalam. - AFP


CHANGCHUN, China - Sekumpulan nelayan menangkap ikan dengan memecahkan lapisan ais untuk menangkap ikan di sini semalam.

Pada setiap musim sejuk, nelayan-nelayan, penduduk dan pelancong akan bekerjasama untuk memecahkan lapisan ais dan meletakkan jaring untuk menangkap ikan.

Jaring itu boleh mencecah sehingga 2,000 meter.

Sebuah jaring boleh mengaut ikan seberat 15 tan.

Sejarah menangkap ikan pada musim sejuk dikesan berlaku pada zaman pemerintahan Dinasti Liao pada 907 hingga 1125 Tahun Masihi. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Kereta 'tersepit' di bawah dahan pokok



SEJUMLAH orang melihat sebuah kereta 'tersepit' di bawah dahan sebatang pokok di Gurgaon, India semalam.


GURGAON, India - Sebuah kereta kelihatan seolah-olah berdiri di tepi sebatang pokok dalam nahas jalan raya di sini semalam.

Kereta itu dipandu dengan laju menyebabkan ia 'terpelanting' di bawah dahan pokok tersebut.

Menurut sebuah laporan akhbar, pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan ringan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Kampung tikus di Vietnam



SEORANG lelaki menangkap seekor tikus yang akan dijual di Kampung Canh Nau, Vietnam kelmarin.


HANOI, Vietnam - Daging tikus menjadi makanan istimewa buat penduduk Kampung Canh Nau yang terletak 40 kilometer dari sini.

Tikus dijual pada harga 80,000 dong (RM12.01) bagi setiap satu kilogram (kg) untuk dijadikan makanan.

Menurut media tempatan, kampung itu dikenali sebagai Kampung Tikus kerana secara puratanya, seratus kg tikus dijual pada setiap hari.

Tikus dimakan oleh penduduk kampung tersebut sebelum ini kerana kemiskinan.

Namun, daging haiwan itu menjadi makanan istimewa pada setiap penghujung bulan.

Tikus ditangkap dengan menggunakan perangkap, jaring dan baldi. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Filem Mission Impossible duduki No.1



SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem Mission Impossible: Ghost Protocol lakonan Tom Cruise (kiri).


LOS ANGELES - Filem terbaharu lakonan Tom Cruise mengungguli carta box-office pada hujung minggu musim cuti Krismas.

Anggaran kutipan oleh pihak studio kelmarin, filem Mission Impossible: Ghost Protocol lakonan Cruise menduduki tangga No.1 dengan mengutip kutipan tiket sebanyak AS$26.5 juta (RM83.6 juta) melebihi kutipan pada minggu pertama tayangannya.

Filem Sherlock Holmes: A Game of Shadows menduduki tangga kedua pada minggu kedua tayangan dengan kutipan sebanyak AS$17.8 juta (RM56.2 juta).

Filem animasi Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked berada pada kedudukan ketiga dengan menjana kutipan tiket sebanyak AS$13.3 juta (RM41.9 juta).

Penampilan artis baharu yang berpotensi gagal menarik perhatian penonton apabila filem lakonan David Fincher dan Daniel Craig, The Girl with the Dragon Tattoo hanya berada pada kedudukan keempat.

Filem tersebut mengutip sebanyak AS$13 juta (RM41 juta).

Filem arahan Steven Spielberg, The Adventures of Tintin berada pada kedudukan kelima dengan mengutip sebanyak AS$9.1 juta (RM28.7 juta).

Berada pada kedudukan keenam ialah filem lakonan Cameron Crowe dan Matt Damon, We Bought a Zoo yang telah mengutip sebanyak AS$7.8 juta (RM24.6 juta). - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

40 maut serangan bom pada Hari Krismas



BEBERAPA lelaki melihat sebuah kereta yang hangus akibat serangan bom di gereja Katolik St. Theresa di luar bandar Abuja kelmarin.


MADALLA, Nigeria - Satu siri letupan bom pada Hari Krismas yang menyasarkan gereja-gereja dan letupan berani mati di sini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang.

Pihak pemerintah menyalahkan sebuah kumpulan Islam, Boko Haram ekoran kejadian itu.

Jurucakap kumpulan tersebut mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut di sebuah gereja di luar Abuja dan juga bagi kematian lain.

Gelombang pembunuhan yang melanda Afrika dikutuk Amerika Syarikat.

White House menyatakan ia sebagai keganasan yang tidak munasabah manakala pihak Vatican menyifatkan ia sebagai satu tindakan kebencian yang membabi-buta.

Seramai 35 orang terbunuh di luar sebuah gereja Katolik.

Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan berjanji akan membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Katanya, dua orang yang disyaki terlibat dengan serangan berdekatan Abuja telah ditahan.

Pihak berkuasa Nigeria tidak dapat menghalang serangan tersebut walaupun tindakan tegas tentera yang telah mengangkap sejumlah anggota Boko Haram.

Serangan bom turut berlaku di luar kawasan gereja di pusat bandar Jos.

Seorang anggota polis mati ditembak.

Satu lagi letupan lagi menyasarkan sebuah gereja di kawasan timur laut Gadaka pada malam Krismas lalu.

Dua letupan lain berlaku di bandar Damaturu pada Hari Krismas, termasuk serangan berani mati.

Serangan bom turut berlaku di gereja St Theresa Katolik diluar bandar Abuja kelmarin. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pengasas Facebook lawat Vietnam


MARK ZUCKERBERG (tengah) diberikan bunga sebelum dia melawat Ha Long Bay di wilayah Quuang Ninh kelmarin.


HANOI, Vietnam - Pengasas bersama laman jaringan sosial Facebook, Mark Zuckerberg melakukan lawatan rahsia bersama kekasihnya Priscilla Chan ke Vietnam, lapor akbar VnExpress kelmarin.

Berdasarkan laporan beberapa sumber, VnExpress menyatakan, Zuckerberg telah menyewa satu penerbangan dari Bangkok menuju ke Lapangan Terbang Noi Bai di Vietnam pada 22 Disember lalu.

Beliau diberikan visa untuk memasuki Vietnam dari 12 Disember selama dua minggu.

Seorang pembaca menelefon jabatan pengarang VnExpress untuk memberitahu, dia dapat mengecam Zuckerberg bersama teman wanitanya semasa terserempak dengan mereka pada Jumaat lalu.

Menurut sumber, Zuckerberg ketika itu memakai baju-T bersama pakaian sukan.

Selepas melawat Penjara Hoa Lo di pusat bandar raya ini, beliau berkunjung ke sebuah kedai telefon bimbit dan kedai jean Levis sebelum kembali ke hotel penginapannya di sini.


KEPALA Mark Zuckerberg (dua dari kiri) ditutup dengan baju yang dipakainya di wilayah Quuang Ninh kelmarin.


Tambahnya, pemilik Facebook itu kelihatan peramah tetapi beberapa pengawai peribadinya bertindak menghalang orang ramai daripada merakam gambarnya.

Selain sumber berkenaan, beberapa lagi sumber menyatakan, Zuckerberg menginap di sebuah hotel lima bintang, dipercayai sama ada Hotel Hilton atau Hotel Sofitel Metropole yang terletak dekat Tasik Hoan Kiem di sni.

Bilionair berusia 27 tahun berada di Vietnam dipercayai kerana kunjungan peribadi sempena cuti perayaan Krismas di Amerika Syarikat.

Beberapa sumber menyatakan, beliau akan melawat sebuah tapak pelancongan popular di Vietnam, dipercayai Pulau Con Dao.

Dalam perkembangan terbaru, Zuckerberg bersama sembilan pengiringnya bermalam di Ha Long Bay yang dilabel sebagai antara tujuh keajaiban alam semula jadi di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook itu sempat melakukan aktiviti berkayak dan melawat beberapa buah gua di teluk berkenaan.

Beberapa lagi sumber memberitahu, sebelum pergi ke Ha Long Bay, Zuckerberg dan teman wanitanya itu telah berkunjung ke pusara Ho Chi Minh di sini.

Pada Hari Krismas pula, Zuckerberg melakukan perjalanan ke Sapa yang merupakan destinasi popular wilayah Lao Cai, utara Vietnam. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'