Pages

Friday, November 11, 2011

Bush, Blair kena bicara di KL

Oleh Badrul Kamal Zakaria

2011/11/11

KLWCC dakwa bekas pemimpin AS, Britain rancang perang Afghanistan, Iraq

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair akan dibicarakan di Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan jenayah perang terhadap Afghanistan dan Iraq, walaupun tanpa kehadiran mereka.

Kedua-dua mereka dituduh oleh Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) selepas dua tahun menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat mangsa perang di Iraq pada 2009. Ini kali pertama kedua-dua bekas ketua negara itu dituduh bagi jenayah perang mengikut proses undang-undang.
Turut didakwa bersama mereka ialah beberapa tokoh dalam pentadbiran Bush seperti bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney; bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor undang-undang, John Yoo.
Setiausaha Agung Kuala Lumpur Foundation to Crimanalise War, Datuk Dr Yaacob Hussain Merican, berkata perbicaraan akan diadakan di Yayasan Al-Bukhary di Jalan Perdana di sini mulai 19 hingga 22 November ini.

“Suruhanjaya selepas menerima aduan daripada mangsa perang di Iraq pada 2009 telah melakukan siasatan rapi dan menyeluruh selama dua tahun dan memutuskan untuk membuat pendakwaan jenayah perang terhadap Bush, Blair dan sekutu mereka,” katanya pada sidang media di Balai Berita, semalam.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), Tan Sri Norian Mai; Pengarah Eksekutif PGPF, Dr Zulaiha Ismail dan pemegang amanah yayasan itu, Tan Sri Dr Samsudin Hitam.

Serangan dan penaklukan Iraq pada 2003 mengakibatkan lebih 1.4 juta rakyat terbunuh, selain ramai lagi yang disiksa dan didera.
Dr Yaacob berkata, bagi tuduhan pertama Bush dan Blair dituduh melakukan jenayah terhadap keamanan, di mana kedua-dua mereka didakwa bertanggungjawab untuk merancang, menyerang dan menakluk sebuah negara berdaulat Iraq pada 19 Mac 2003 yang turut menyalahi undang-undang antarabangsa dan mencabuli piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi tuduhan kedua, Bush dituduh bersama lapan pegawai kanannya melakukan penyiksaan dan jenayah perang, iaitu dengan mengambil bahagian, mengeluarkan perintah dan arahan eksekutif untuk mengecualikan semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Terhadap Penyeksaan 1984, Konvensyen Geneva III 1949, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Piagam PBB berhubung pembabitan mereka dalam perang di Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada 2003.

Bush juga didakwa melakukan perbuatan penyeksaan, layanan kejam, menjatuhkan maruah dan tidak berperikemanusiaan terhadap semua mangsa, serta melanggar semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa.

Dr Yaacob berkata, tribunal itu akan dibarisi beberapa pakar perundangan dalam dan luar negara supaya proses perbicaraan berlangsung dengan lancar dan adil.

Tribunal tujuh anggota itu akan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, manakala anggotanya ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zakaria Yatim; peguam dan pakar undang-undang antarabangsa dan bekas peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Prof Salleh Buang.

Pengarang buku politik, Alfred Lambremont Webre; pakar undang-undang perlembagaan, pentadbiran dan antarabangsa, Prof Niloufer Bhagwat; pensyarah undang-undang, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan peguam, Tunku Sofiah Jewa.

Pendakwaan akan dilakukan Pensyarah Undang-Undang, Prof Gurdial S Nijar dengan dibantu pensyarah undang-undang antarabangsa dari AS, Prof Francis Boyle.

“Sekiranya terbukti bersalah, nama semua tertuduh akan dimasukkan ke dalam senarai daftar Suruhanjaya Penjenayah Perang dan akan disiarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Berita Harian Online | Bush, Blair kena bicara di KL:

'via Blog this'

Kapal angkasa Moscow gagal

PEKERJA menyediakan    kapal angkasa,  Phobos-Grunt tanpa pemandu berharga RM535.93 juta di  tapak pelancar Baikonur, Kazakhstan bulan lalu. - Foto REUTERS
PEKERJA menyediakan kapal angkasa, Phobos-Grunt tanpa pemandu berharga RM535.93 juta di tapak pelancar Baikonur, Kazakhstan bulan lalu. - Foto REUTERS
MOSCOW: Sebuah kapal angkasa Russia dalam perjalanan ke planet Marikh membawa 12 tan bahan api toksik terkandas di orbit bumi dan mungkin terhempas dalam tempoh beberapa minggu jika jurutera gagal membetulkan haluannya.

Pada masa sama, pakar angkasa lepas berharap enjin senyap kapal angkasa itu boleh ditujah untuk ke Marikh. Jika tidak, ia akan terjunam ke bumi. Namun kebanyakan pakar serpihan angkasa Amerika yakin bahan api di dalamnya mungkin meletup di ruang atmosfera dan tidak sampai ke bumi.
Kesilapan pelancaran itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri kegagalan Russia yang menambah kebimbangan mengenai keadaan industri angkasa lepas negara itu.
Kapal angkasa, Phobos-Grunt tanpa pemandu berharga AS$170 juta (RM535.93 juta) berjaya memasuki orbit dengan tujahan roket pelancar Zenit-2 selepas tengah malam waktu tempatan kelmarin (2016 GMT Selasa) dari tapak pelancar Baikonur di Kazakhstan. Selepas berpecah daripada pelancar, 11 minit kemudian, ia sepatutnya menyalakan dua enjin dan menghala ke Marikh.

Bagaimanapun, kedua-dua enjin gagal dihidupkan. Berikutan itu, Phobos-Grunt tidak dapat meninggalkan orbit bumi, sebaliknya terus terbang mengeliling antara 207.61 kilometer dan 341.18 kilometer di atas bumi. Orbit itu sudah semakin menurun, menurut satelit Amerika yang mengesannya.

Agensi Angkasa Lepas Persekutuan berkata, orbit kapal itu dan sumber kuasanya mungkin membenarkannya mengelilingi bumi kira-kira dua minggu. Pengiraan itu dipersetujui Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

“Dari orbit Rangkaian Pemantauan Angkasa Lepas Amerika, ia mungkin begitu dalam tempoh dua minggu sebelum terhempas,” kata ketua saintis serpihan kapal angkasa NASA, Nicholas Johnson tengah hari kelmarin. – AP
Berita Harian Online | Kapal angkasa Moscow gagal:

'via Blog this'

10 korban gempa bumi terbaru Turki


Foto
MIYAZAKI menerima rawatan selepas dikeluarkan dari runtuhan sebuah hotel di Van. Beliau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. - Foto AP
Foto
PASUKAN penyelamat cuba mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan bangunan di Van, Turki, semalam. - Foto EPA


Berpuluh dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan

VAN: Seorang pekerja Jepun adalah antara 10 yang terbunuh dalam gempa bumi kedua di timur Turki manakala sekumpulan penduduk yang marah mengadakan bantahan menggesa pihak berkuasa menutup dua hotel yang musnah dalam kejadian gempa bumi yang pertama.

Polis pencegah rusuhan menggunakan penyembur lada hitam untuk menyuraikan tunjuk perasaan.
Demonstrasi tercetus berikutan pekerja bantuan menggunakan penyodok untuk mencari mangsa yang selamat dalam kejadian gempa bumi Rabu lalu yang melanda wilayah sama digegarkan dengan gempa bumi pada 23 Oktober mengorbankan 600 penduduk.
Sekurang-kurangnya 28 penduduk dibawa keluar dari runtuhan di Van berikutan usaha menyelamat yang berterusan sepanjang malam menggunakan lampu berkuasa tinggi. Sepuluh kematian dilaporkan dalam dua hotel yang runtuh.

Mereka yang tertimbus termasuk sekumpulan wartawan Turki yang membuat liputan kejadian gempa pertama mengakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal ketika cuaca sejuk mula melanda di wilayah pergunungan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata gempa kelmarin menumbangkan 25 bangunan di bandar Van, namun hanya tiga dihuni sementara yang lain dikosongkan selepas mengalami kerosakan dalam gempa kuat bulan lalu.

Gempa dengan magnitud 5.7 adalah susulan gempa dengan kekuatan 7.2 23 Oktober lalu, mengorbankan lebih 600 orang.
Stesen televisyen CNN-Turk melaporkan pekerja penyelamat mempercepatkan usaha mencari mangsa terselamat pada waktu siang semalam, cuba membuka laluan dalam runtuhan.

Pekerja menggunakan lampu berkuasa tinggi untuk bekerja sepanjang malam walaupun berlaku beberapa gegaran susulan.

Atalay berkata pekerja penyelamat memberi tumpuan kepada dua tapak hotel yang runtuh dan sebuah bangunan pangsapuri. Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata 28 mangsa yang terselamat ditarik keluar bersama tujuh mayat.

Satu daripada bangunan yang runtuh adalah Hotel Bayram, hotel terkenal di Van.
Agensi berita Dogan Turki, berkata dua wartawannya hilang.

Sebilangan pekerja penyelamat asing yang membantu mangsa dalam gempa sebelumnya juga menginap di hotel itu.

Persatuan Bantuan dan Penyelamat Jepun berkata seorang daripada anggotanya, Miyuki Konnai yang bergegas ke Turki untuk membantu mangsa dalam gempa sebelumnya, ditarik keluar hidup-hidup dari Hotel Bayram namun seorang lagi kakitangan, Atsushi Miyazaki, meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

“Kami bercakap dengannya seketika, beliau berada di hospital,” kata Ikuko Natori kepada The Associated Press menerusi telefon dari Tokyo, Jepun, memaklumkan keadaan Konnai, 32.

Natori, bagaimanapun, berkata mereka gagal menghubungi Miyazaki, 41.
“Kami cuba menelefon telefon bimbitnya, ia berdering namun dia tidak menjawab,” kata Natori.

Seorang jurukamera agensi berita Cihan, Turki, Ozgur Gunes, berkata ada wartawan terperangkap menghantar mesej meminta diselamatkan.

Beliau meninggalkan hotel sebelum gempa namun bergegas semula mengambil kameranya apabila gempa melanda, tetapi mendapati bangunan itu sudah runtuh. – AP Berita Harian Online | 10 korban gempa bumi terbaru Turki:


Kapal induk bertukar stadium



PEKERJA-PEKERJA sibuk memasang lantai gelanggang bola keranjang di atas dek kapal induk USS Carl Vinson pada Selasa lepas.


SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Selepas digunakan untuk mengangkut jenazah Osama bin Laden, kapal induk USS Carl Vinson sekali lagi menjadi tumpuan. Kali ini sebagai gelanggang perlawanan bola keranjang kolej AS.

Seramai 7,000 penonton termasuk Presiden AS, Barack Obama dijangka menonton perlawanan tersebut di atas kapal induk berkenaan yang berlabuh di sini.

Setakat semalam, kerja-kerja menukar dek kapal gergasi berkenaan menjadi sebuah stadium bola keranjang sudah selesai.

Pasukan Universiti Negeri Michigan akan menentang pasukan Carolina Utara dalam perlawanan yang dijadual berlangsung hari ini. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Lukisan dijual RM194.4 juta



GAMBAR oleh firma lelongan Sotheby di New York menunjukkan lukisan abstrak 1949-A-No. 1.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Firma lelongan Sotheby di sini menjual sebuah lukisan abstrak karya Clyfford Still pada harga AS$61.7 juta (RM194.4) dalam satu lelongan kelmarin, sekali gus mencatat rekod baharu untuk pelukis AS berkenaan.

Lukisan yang berjudul 1949-A-No. 1, menampilkan gabungan corak abstrak berwarna putih, hitam dan merah pada kanvas. Harga anggaran lukisan tersebut ialah antara AS$25 juta (RM78.8 juta) hingga AS$35 juta (RM110.37 juta).

Rekod termahal untuk lukisan Still sebelum ini ialah AS$21.3 juta (RM67.1 juta).

Still yang dianggap pakar dalam lukisan ekspresionisme, meninggal dunia pada tahun 1980. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Eddie Murphy tarik diri hos Oscar



Murphy


LOS ANGELES - Aktor Eddie Murphy menarik diri daripada menjadi hos majlis anugerah berprestij, Anugerah Oscar 2012, tiga bulan sebelum majlis tersebut berlangsung.

Keputusan itu diumumkan sehari selepas penerbitnya, Brett Ratner mengambil tindakan sama daripada menjadi penerbit rancangan berikutan komennya yang berbaur anti-gay.

Presiden Academy Motion Picture Arts and Sciences, Tom Sherak mengumumkan penarikan diri Murphy sehari selepas pengarah filem box office terkini, Tower Heist yang turut dibintangi Murphy itu mengundur diri.

"Kami hargai bagaimana perasaan Eddie apabila kehilangan rakan kreatifnya, Brett Ratner dan kami doakan yang terbaik baginya," kata Sherak dalam satu kenyataan.

Murphy pula berkata dia memahami serta menyokong keputusan pihak penganjur untuk menukar penerbit rancangan tersebut.

"Saya sememangnya teruja untuk menjadi sebahagian daripada kru produksi dan kami sudah mula bekerja. Tetapi saya yakin pasukan produksi dan hos baharu akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik," katanya.

Tiada pengumuman segera mengenai siapakah pengganti mereka. Penarikan diri kedua-duanya memaksa pihak penganjur majlis tahunan yang berprestij itu mencari pengganti pada saat akhir sedangkan perancangannya sudah bermula sejak berakhirnya edisi tahun lepas.

Murphy yang diumum menjadi pengacara majlis anugerah tersebut pada September dilihat lebih berbakat berbanding pasangan hos tahun lepas, Anne Hathaway dan James Franco. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Iklan wangian Marc Jacobs diharamkan



Fanning


LONDON - Badan pemantau pengiklanan Britain mengharamkan iklan minyak wangi keluaran Marc Jacobs yang dibintangi pelakon Dakota Fanning kerana ia seolah-olah memanipulasi seksual kanak-kanak dan boleh disabitkan dengan kesalahan yang serius.

Menurut Pihak Berkuasa Standard Pengiklanan, empat pembaca telah membuat aduan mengenai iklan minyak wangi Oh, Lola! keluaran Marc Jacobs di dalam majalah yang dilancarkan baru-baru ini.

Iklan tersebut memaparkan bintang berusia 17 tahun itu memakai gaun singkat, duduk dengan sebotol minyak wangi yang bersaiz besar di antara kakinya.

Badan pemantau berkenaan berkata Fanning kelihatan seperti remaja bawah umur 16 tahun dalam iklan tersebut. Sementara gaya imej tersebut menarik perhatian pembaca terhadap seksualitinya.

"Oleh sebab itu, kami menganggap penampilannya itu memperlihatkan seksualiti kanak-kanak," katanya.

Pembuat minyak wangi, Coty UK pula tidak menerima sebarang aduan.

Coty UK menyatakan minyak wangi tersebut disasarkan kepada pembaca berusia 25 tahun ke atas. Walaupun menyifatkan iklan itu sebagai provokatif, namun ia tidak lucah.

Fanning dikenali sebagai pelakon kanak-kanak dalam beberapa filem antaranya I am Sam dan siri televisyen arahan Steven Spielberg, Taken. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Kumpulan misteri bakar masjid di Perancis

Kosmo! Online - Dunia: "
BESANCON, Perancis - Polis menyatakan satu kebakaran kecil di sebuah masjid di bandar Montbeliard, timur Perancis dicetuskan oleh satu kumpulan misteri.

Menurut polis, kumpulan sama sebelum ini mendakwa bertanggung jawab membakar dua lagi masjid di negara berkenaan.

Perbuatan khianat itu dilakukan sekitar pukul 5 pagi waktu tempatan di dalam sebuah tong sampah berhampiran dinding belakang masjid berkenaan.

Pasukan bomba bagaimanapun berjaya memadam kebakaran sebelum ia merebak.

Polis berkata, mereka menemui sepucuk surat yang memiliki tandatangan bermaksud 'Artis-Artis Bebas' di tempat kejadian.

Kata polis, kumpulan tersebut mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan sabotaj itu. -AP"

'via Blog this'

Guru berasmara dengan 11 pelajar



CINDY CLIFTON


COVINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang guru wanita berusia 41 tahun dituduh mengadakan hubungan seks dengan 11 orang pelajarnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Pihak pendakwa raya AS percaya guru berkenaan, Cindy Clifton akan dikenakan lebih banyak dakwaan berhubung jenayah terhadap pelajar bawah umur berbanding guru-guru lain di AS sejak sedekad lalu.

Dia kini berdepan 53 tuduhan yang membawa hukuman penjara lebih 60 tahun.

Polis berkata, Clifton menggunakan minuman keras untuk mengumpan remaja-remaja terbabit sebelum dia melakukan hubungan seks dengan mereka di kediamannya di sini, negeri Tennessee.

Clifton didakwa berasmara dengan 11 pelajar berlainan antara bulan April dan Julai tahun ini.

Menurut polis, kebanyakan pelajar terbabit merupakan rakan-rakan anak perempuannya.

Semua mangsa Clifton berusia antara 14 hingga 17 tahun dengan sebahagian mereka ialah pelajar di sekolah Crestview tempat guru berkenaan mengajar.

Polis di sini melancarkan satu siasatan pada Ogos lalu selepas pengetua sekolah berkenaan membuat aduan berhubung perilaku tidak bermoral membabitkan Clifton.

Selepas tiga bulan siasatan dilakukan, pihak berkuasa mengenakan 53 pertuduhan terhadap Clifton.

Peguamnya bagaimanapun menafikan semua tuduhan tersebut. Beliau menyatakan Clifton ialah seorang isteri yang setia, guru yang berdedikasi dan kerap menghadiri upacara keagamaan di gereja.

Clifton menangis apabila gambarnya dirakam semasa dalam tahanan polis.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$40,000 (RM126,100) tetapi diperintahkan supaya hadir di mahkamah semalam untuk berdepan 53 dakwaan terhadapnya termasuk jenayah rogol dan memberikan alkohol kepada remaja bawah umur.

Pada minggu lalu, seorang guru wanita berusia 33 tahun di negeri Ohio, Stacy Schuler dipenjara selama empat tahun selepas dia didapati bersalah melakukan hubungan seks dengan lima pelajarnya.

Dia didapati bersalah atas 16 tuduhan jenayah seks selepas seorang juri di Cincinnati menolak alasan tertuduh bahawa dia kurang siuman. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Berebut kahwin tarikh 11/11/11



RAMAI pasangan di China memilih untuk berkahwin pada hari ini berikutan deretan nombor satu yang ada padanya dan dianggap bertuah.


SHANGHAI – Beribu-ribu pasangan di China akan melangsungkan perkahwinan hari ini kerana mereka menganggap 11/11/11 sebagai tarikh bertuah.

Akhbar Shanghai Morning Post melaporkan lebih 3,000 pasangan membuat tempahan untuk berkahwin di bandar raya ini.

Peluang untuk berkahwin pada tarikh yang mengandungi barisan angka 1 itu, kata akhbar berkenaan, cuma datang sekali dalam tempoh satu abad.

Keghairahan sama turut dilaporkan di bandar-bandar lain di China dengan lebih 400 pasangan menempah untuk berkahwin di bandar raya Wuhan, tengah China.

Di bandar Jinan, timur China pula lebih seratus pasangan merancang untuk berkahwin pada tarikh tersebut yang dianggap bertuah.

“Peluang untuk berkahwin pada hari ini yang memiliki tarikh 11/11/11 cuma datang sekali dalam seumur hidup,” kata seorang pengantin lelaki, Wang Qiang.

“Saya dan pasangan saya tidak akan membiarkan peluang ini terlepas,” tambahnya. – Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Lima maut dalam gempa bumi di Ankara


PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang terselamat di sebalik runtuhan bangunan di Van, Turki semalam.


ANKARA – Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di timur Turki semalam, kurang tiga minggu selepas gempa bumi kuat mengorbankan lebih 600 orang di kawasan yang sama, jelas kenyataan rasmi kerajaan.

“Dua puluh orang ditemui masih hidup dan lima mati,” kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Besir Atalay selepas melawat tempat kejadian.

Lebih ramai mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dan angkanya masih belum dapat dikenal pasti.

Gempa bumi itu berlaku pada waktu petang dengan berpusat di daerah Edremit, kira-kira 15 kilometer dari wilayah Van.

Sebanyak 25 bangunan termasuk dua hotel dan 22 bangunan kosong runtuh, kata Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.

Ini termasuklah sebuah hotel enam tingkat yang dihuni oleh wartawan dan anggota pasukan Bulan Sabit Merah Turki. Jumlah penghuni hotel bagaimanapun tidak diketahui.

Gempa itu nyata memberikan kesan panik terutama kepada penduduk baharu. Dua minggu lalu, Turki digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud, sehingga mengorbankan lebih 600 orang dan 4,150 lagi cedera.

Dalam kejadian itu, Turki menerima bantuan daripada banyak negara termasuk Israel dan Armenia walaupun kedua-dua negara itu mempunyai hubungan dingin.

Turki kerap mengalami gegaran berikutan kedudukannya di beberapa garisan bahaya.

Pada 1999, dua gempa kuat berlaku di kawasan yang berpadatan tinggi dan kawasan perindustrian di barat laut Turki yang mengorbankan 20,000 orang.- AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Memalukan saya - Chef Wan


CHEF Wan (tengah) bersama Chef Riz dan seorang lagi anaknya, Serina.


KUALA LUMPUR - Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail menganggap isu memperincikan butiran profil kelayakan secara berlebihan anaknya, Chef Mohd. Nadzri atau Chef Riz sebagai satu perkara yang memalukan bukan sahaja kepada anaknya tetapi diri beliau dan seluruh ahli keluarga.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Wan melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan tindakan anak lelakinya itu melalui kenyataan terbuka di laman sosial Facebook miliknya semalam.

Beliau turut meminta Chef Riz, 29, memohon maaf kepada orang ramai dan menerima apa sahaja kesan terhadap apa yang dilakukannya itu.

Katanya, Chef Riz mungkin tidak faham bahawa apabila menjadi terkenal dan berbakat, maka akan ada pihak yang tidak senang dan timbul perasaan hasad serta dengki.

"Populariti dan berbakat akan membuatkan ramai orang tidak senang duduk dan cuba mencari kesalahan kita.

"Padanlah muka dia," kata Chef Wan yang memberitahu isu itu secara tidak langsung menjejaskan reputasi Chef Riz.

Chef Riz sebelum ini didakwa memberikan profil mengenai dirinya secara kurang tepat di laman MasterChef Malaysia dengan menyatakan pernah bekerja di dua buah restoran terkenal di Amerika Syarikat iaitu sebagai 'Chef de Cruisine' di Babbo dan 'Sous Chef' di Le Bernardin.

Beliau merupakan salah seorang daripada lima juri dalam program MasterChef Malaysia yang bersiaran setiap Sabtu hingga Rabu di Astro Ria.

Antara juri lain yang terlibat ialah Chef Zubir (Zubir Mohd. Zain), 45; Chef Priya (Priya Menon), 53; Chef Jo (Mohd. Johari Edrus), 55; dan Chef Yahya (Yahya Hassan), 49.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Polis cari Mohammad Roshaidi



ROSHAIDI


MELAKA - Penjenayah yang bertindak merompak dua buah kedai dan membunuh salah seorang pemilik premis di Kampung Parit Melana, Alor Gajah di sini kelmarin kini pasti tidak senang duduk apabila polis telah mengenal pasti identitinya.

Bekas banduan yang juga penagih dadah jenis heroin dan syabu, Mohammad Roshaidi Mohd. Ghazali, 32, disyaki telah melakukan perbuatan itu selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh daripada kedai telefon bimbit yang dirompaknya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, pihaknya percaya suspek sedang khayal ketika melakukan jenayah itu.

Katanya, suspek juga memiliki rekod jenayah lampau serta dikehendaki bagi membantu siasatan beberapa kes samun di negeri ini termasuk kes bunuh dan samun seorang warga emas di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai di sini 15 Ogos lalu.

"Suspek dari Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan juga giat menyamun di sekitar Port Dickson dan Tampin, Negeri Sembilan serta Alor Gajah di sini.

"Ketika kejadian, suspek yang bersenjatakan sebilah parang menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna gelap bernombor WKQ 3879," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Perut terburai, leher hampir putus



ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang ditemui mati dengan perut terburai dan lehernya hampir putus di Sungai Buloh, Selangor semalam.


SUNGAI BULOH - Mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui dalam keadaan yang mengerikan dengan perutnya terburai manakala lehernya hampir putus di tepi jalan berhampiran tanah perkuburan Cina, Padang Tembak di sini kelmarin.

Mayat mangsa berusia lingkungan 20 dan 30-an tersebut ditemui pukul 9.40 malam oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Difahamkan, mangsa baru sahaja dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di situ berdasarkan darah yang masih mengalir pada tubuhnya ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati mangsa telah ditetak di leher dan belakang badan hingga perutnya terburai dan lehernya hampir putus.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Enam bersaudara dakwa dipukau



ROHANI (dua dari kiri) bersama enam saudaranya menyerahkan laporan polis kepada Mahadevan di Melaka semalam.


MELAKA - Kegembiraan enam bersaudara selepas ditawarkan bekerja sebagai pembantu kantin bertukar duka apabila wang tunai, barang kemas dan pelbagai jenis telefon bimbit milik mereka yang dianggarkan kira-kira RM34,000 didakwa dilarikan dua wanita kelmarin.

Salah seorang mangsa, Rohani Putih, 30, dari Bachang di sini mendakwa, dia menerima tawaran pekerjaan untuk menyara keluarga kerugian kira-kira RM4,000 apabila wang tunai dan barang kemas lesap dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu.

Suri rumah itu mendakwa, lima saudara Rohani yang tinggal berhampiran itu pula kehilangan wang tunai, pelbagai jenis telefon bimbit dan barangan kemas dengan anggaran lebih RM30,000.

Menurut Rohani, dua wanita terbabit yang berusia lingkungan 20-an disyaki menggunakan ilmu pukau sewaktu menawarkan pekerjaan pembantu kantin dengan pendapatan sebanyak RM950 sebulan.

Ketika itu, katanya, dia dan anggota keluarganya yang lain berusia antara 18 hingga 52 tahun sedang berkumpul di hadapan rumah sebelum dihampiri oleh dua wanita berkenaan dengan menaiki sebuah van berwarna hijau.

"Ketika itu, saya amat memerlukan pekerjaan kerana suami tidak bekerja kerana sakit jantung dan apabila wanita terbabit menawarkan peluang itu, saya terus merebut peluang itu kerana menyangka ia mampu membantu kehidupan kami sekeluarga," ceritanya lagi.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Pembantu Khas Hal Ehwal Awam dan Kebajikan Pejabat Ketua Menteri, Datuk M. Mahadevan di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Hidung bernanah selepas disuntik



MICHAEL (kiri) menunjukkan hidung Puan Kuo yang bernanah didakwa akibat suntikan kosmetik di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Gara-gara hendak cantik dan mempunyai hidung yang kecil, seorang wanita terpaksa menanggung derita kehilangan hidungnya ekoran suntikan kosmetik yang dilakukan kira-kira dua bulan lalu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Puan Kuo, 48, berkata, dia mendaftar untuk pakej pembedahan kosmetik bernilai RM20,000 bagi perkhidmatan melangsingkan badan, pencerahan kulit, rawatan muka serta suntikan mencantikkan hidung di sebuah pusat kecantikan di sini.

“Pada 14 September lalu, juruterapi kecantikan memberi suntikan pertama ke dalam hidung saya dan pada masa itu ia masih dalam keadaan baik.

“Malangnya selepas suntikan kedua pada 1 Oktober lalu, kulit hidung saya mengelupas dan menjadi hitam dalam tempoh dua minggu,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Puan Kuo yang berasal dari Singapura berkata, keadaan hidungnya semakin teruk sehingga bernanah.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Rozmey, Bella-Z sedia bantu rawat Mohd. Taufiq



MOHD. TAUFIQ yang menderita kegatalan kulit kini mendapat perhatian ramai pihak.


KUALA LUMPUR - Penderitaan seorang pelajar tingkatan tiga di Jerantut, Pahang yang menghidap psoriasis, menarik perhatian beberapa pengeluar produk kesihatan di negara ini.

Penderitaan Mohd. Taufiq Asifaq Ibrahim, 15, mendorong dR. Rozmey Group untuk membantunya menerusi sumbangan produk rawatan kulit dR-II dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan menyumbang sekotak produk tersebut bagi membantu pelajar itu merawat penyakit yang dihidapinya.

"Saya rasa terpanggil untuk membantu meringankan kesengsaraan pelajar itu menerusi produk dR-11 dan dia (Mohd. Taufiq) boleh mencuba sekotak dahulu bagi melihat keserasian produk itu dengan tubuhnya," katanya di sini semalam.

Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan, pelajar itu mengalami simptom kulit mengelupas, kemerahan dan gatal, sekali gus menjejaskan kulitnya.

Berikutan itu, dia hanya mampu duduk di rumah di sebabkan rupa kulit anggota badannya semakin berubah dan berasa sakit apabila berpeluh serta memakai baju.

Sementara itu, syarikat pengeluar produk kesihatan De Bella juga berminat membantu pelajar berkenaan bagi merawat penyakit yang dihidapinya sekarang.

Pengarah Urusan Bella-Z Mutiara Marketing (M) Sdn. Bhd., Puziah Saad berkata, pihaknya bakal melawat Mohd. Taufiq secepat mungkin bagi melihat keadaannya dan menyerahkan produk syarikatnya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'