Pages

Sunday, September 18, 2011

Pejuang NTC berundur

SIRTE: Penyokong setia bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melakukan serangan balas terhadap usaha kerajaan baru negara itu untuk menghapuskan saki-baki tentera Gaddafi, memaksa pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berundur ke kawasan pergunungan.
Pertahanan kukuh di Sirte dan Bani Walid menunjukkan penyokong Gaddafi masih berkuasa di situ dan tidak mudah untuk kerajaan baru Libya mematahkan pertahanan rejim pemimpin diktator berkenaan. Ia juga menimbulkan kebimbangan negara itu bakal berdepan insiden sama seperti yang berlaku di Iraq dan Afghanistan. “Penyokong setia Gaddafi mempunyai banyak senjata,” kata pejuang NTC, Maab Fatel di kubu dekat Bani Walid, 140 kilometer dari Tripoli. “Pertempuran ini memang gila,” katanya dengan uniform berlumuran darah selepas membantu memapah pejuang lain yang cedera.

Pejuang NTC memulakan serangan dengan mara ke Bani Walid tetapi berundur selepas pertempuran hebat gagal mematahkan serangan tentera pro-Gaddafi di lokasi strategik. Kedua-dua pihak berbalas tembakan roket dan mortar di lembah padang pasir bergelar Wadi Zeitoun yang membahagikan bandar itu antara utara dan selatan.

Doktor di hospital berdekatan bandar Wishtata, Mohaned Bendalla berkata, sekurang-kurangnya enam pejuang NTC terbunuh dan lebih 50 orang lagi cedera. Radio stesen di bandar itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang daripada orang kuat Gaddafi mengecam pejuang NTC yang disifatkan sebagai pengkhianat dan tidak menghormati nilai Islam. “Pejuang NTC berjuang untuk minum arak dan mengambil dadah setiap waktu seperti orang Barat,” umum juruhebah radio itu. - AP

Buaya julang mayat


BERUSAHA... pasukan penyelamat  mencari Sulaiman di Sungai Sebelak.
BERUSAHA... pasukan penyelamat mencari Sulaiman di Sungai Sebelak.

SULAIMAN... maut dibaham buaya.
SULAIMAN... maut dibaham buaya.

SARATOK: “Saya melihat buaya itu muncul di permukaan air sambil menjulang tubuhnya sebelum menghilangkan diri secara perlahan-lahan ke dasar sungai,” kata Safri Hassan, 20, ahli keluarga Sulaiman Abdullah, 66, yang dikhuatiri maut selepas dibaham buaya di Sungai Sebelak, dekat Kampung Roban, di sini, awal pagi semalam.
Safri yang menceritakan perkara itu berkata, dia terserempak dengan buaya itu ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa penduduk di sekitar tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, buaya berkenaan muncul sambil menjulang tubuh mangsa. Saya terkejut namun tidak sempat berbuat apa-apa sebelum reptilia itu menghilangkan diri.

“Tindakan buaya berkenaan menunjukkan tubuh mangsa seolah-olah ‘meminta izin’ daripada kami untuk memakannya,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sulaiman bersama anaknya, Endoi, 40, serta cucunya, Nazri, 9, keluar menangkap udang di sungai berkenaan, jam 4.30 pagi.

Kejadian berlaku ketika mangsa memunggah jaring menangkap udang ke dalam perahu, namun tiba-tiba seekor buaya sepanjang tiga meter muncul berdekatan perahunya sebelum menyambar kaki mangsa lalu mengheret ke sungai.


Difahamkan, anak dan cucu mangsa tidak sempat membantu menarik mangsa berikutan cuaca gelap selain bimbang diserang reptilia berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk.

Ini kejadian kedua sepanjang tahun ini membabitkan buaya mengganas di sungai berkenaan di mana sebelum ini penduduk, Menkay Goheh maut selepas dibaham buaya ketika mencuci tangan, Mei lalu.

Kejadian berlaku ketika Menkay keluar bersama rakannya menangkap udang, jam 12 tengah malam menggunakan bot.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein berkata, mangsa bersama anak dan cucu dikatakan keluar menangkap udang jam 3 pagi ketika air sungai surut.

Beliau berkata, setakat ini operasi dijalankan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penduduk masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada mangsa masih hidup atau meninggal dunia.

“Operasi bermula jam 10 pagi tadi (semalam) dan tertumpu di sekitar lokasi kejadian, termasuk di beberapa lubuk sungai berkenaan.

“Ini kerana mangsa mungkin dibawa ke sana (lubuk). Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa,” katanya.

3 maut 56 cedera pesawat terhempas


PESAWAT P-51 Mustang yang terhempas di hadapan astaka penontondi Reno, Nevada, semalam.
PESAWAT P-51 Mustang yang terhempas di hadapan astaka penontondi Reno, Nevada, semalam.

LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 56 lagi cedera apabila sebuah pesawat merempuh kawasan berhampiran tempat duduk penonton dalam pameran udara di Nevada, Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa tempatan, semalam.
Sekurang-kurangnya 12 mangsa berada dalam keadaan kritikal dalam nahas yang berlaku di Reno itu apabila pesawat Perang Dunia Kedua yang dipandu seorang juruterbang veteran berusia 74 tahun merempuh astaka yang padat dengan penonton. Saksi berkata, pesawat itu merempuh kawasan berkotak yang menjadi ruang rehat untuk penonton, manakala seorang lagi saksi berkata, juruterbang itu menyimpangkan pesawat daripada menghala ke arah penumpang bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku. “Ia terhempas betul-betul di hadapan kawasan berkotak,” kata Ketua Persatuan Perlumbaan Udara Reno, Mike Houghton yang enggan mengulas mengenai jumlah sebenar mangsa yang terkorban.

“Kami semua terkejut dengan tragedi ini,” katanya. Pesawat yang digelar ‘Galloping Ghost’ itu adalah jentera Perang Dunia Kedua P-51 Mustang yang dipandu juruterbang dari Florida, Jimmy Leeward.

Rakaman video amatur mengenai nahas itu yang dirakam penonton di astaka menunjukkan orang ramai bertempiaran lari sebaik saja pesawat merempuh kawasan berkotak di hadapan astaka. Ahli Persatuan Perlumbaan Udara Reno, Mike Draper berkata, pesawat itu tersasar dari litar perlumbaan sebelum Leeward membuat panggilan kecemasan. “Kami tidak tahu bagaimana pesawat itu boleh terhempas, tetapi juruterbang ada membuat panggilan kecemasan. Saksi, Ben Cissel memuji tindakan juruterbang pesawat itu. “Saya rasa dia bertindak bijak apabila menyimpangkan pesawat dan menyelamatkan lebih 300 orang yang menyaksikan pameran udara itu,” katanya. Dua orang disahkan maut di Pusat Perubatan Renown yang turut merawat 23 lagi mangsa yang cedera dengan 12 dalam keadaan kritikal. - AFP

Bintang makin pupus di galaksi





2011/09/18

NEW SOUTH WALES: Penyelidikan mendapati semakin kurang bintang terhasil di seluruh galaksi dibandingkan lapan bilion tahun lalu. Keadaan itu membingungkan saintis sejak fenomena pembentukan bintang mula dipantau 15 tahun lalu. 

Apapun, punca semakin kurang bintang terhasil didedah sekumpulan penyelidik diketuai pakar astrofizik CSIRO, Robert Braun.
Mereka menyatakan, keadaan itu disebabkan galaksi semakin kehabisan gas iaitu kepulan awan molekul gas hidrogen yang menjadi asas pembentukan bintang.
Ada juga pihak mendakwa, hasil kumpulan penyelidikan diketuai Braun tidak lengkap kerana hanya meninjau galaksi gergasi. 

Tetapi, Braun tidak bersetuju dengan pandangan itu dan menyalahkan tenaga hitam iaitu unsur yang memacu perluasan alam semesta, sebagai satu lagi punca semakin kurang bintang terbentuk. 

Ia bukan berita baik untuk alam semesta, kata Braun yang menambah: Jika setiap galaksi pada masa ini menghasilkan bintang mengikut kepantasan semasa, proses pembentukan bintang akan tamat dalam masa satu atau dua bilion tahun. Jadi, tiada lagi bintang akan terbentuk selepas itu. 

Beliau membuat andaian itu berdasarkan pemantauan terhadap 11 galaksi yang mudah dilihat menggunakan teleskop CSIRO dekat Coonabarabran, di sini. 
Kesimpulan itu dicapai menerusi kerjasama dengan penyelidik lain di Akademi CSIRO dan Sains Angkasa, Universiti Australia Barat dan Makmal Teleskop Paris. 

Braun membandingkan data beberapa sumber itu membabitkan perkembangan galaksi terdekat. Kumpulan penyelidikannya membuat kesimpulan itu menerusi perbandingan galaksi yang ada sekarang dengan galaksi tua berusia lima bilion tahun. 

Dalam satu notis kepada Persatuan Astronomi Diraja, mereka menyatakan, tahap hidrogen menurun 10 kali ganda dalam tempoh lima bilion tahun. 

Kadar penurunan itu memang besar, kata Braun. Penemuan kumpulan diketuai Braun mengukuhkan hasil kajian awal tahun ini oleh satu lagi kumpulan diketuai Francoise Combes yang mengesan keadaan hidrogen di ruang utara dan khatulistiwa bumi, menggunakan teknik berbeza. 

Bagaimanapun, prosedur kajian analisa kami membawa kepada hasil penyelidikan yang lebih tepat. Kesimpulan kami adalah mutakhir, katanya. 

Pandangan Braun disokong ahli astronomi Australia, Andrew Hopkins. 

Mereka berjaya mengesan perubahan yang berlaku kepada gas itu mengikut tempohnya. Cara ukuran yang digunakan juga begitu teliti dan analisis dihasilkan menyeluruh. 

Jadi, ke mana perginya pula gas yang hilang itu? Hopkins berkata, gas itu masih ada. - Agensi 

Perancis larang umat Islam solat atas jalan





2011/09/18

PARIS: Perancis melarang umat Islam daripada mengerjakan solat di kawasan jalan berkuat kuasa kelmarin ketika dua tempat ibadat baru dibuka bagi menampung masalah kesesakan jemaah di Paris dan Marseille. 

Menteri Dalam Negeri, Claude Gueant berkata, pihak berkuasa tidak lagi membenarkan jemaah bersolat di tepi jalan bermula kelmarin September.
Jika masih ada lagi terus bersolat, kami akan menghentikannya, katanya.
Larangan itu berkuatkuasa serentak dengan pembukaan sebuah tempat masjid baru bagi umat Islam di utara Paris, di mana beratus-ratus orang dilaporkan terpaksa bersolat di jalan pada setiap Jumaat berikutan ruang yang terhad di dua masjid kecil berkenaan. 

Pemimpin kedua-dua masjid di daerah Goutte dOr itu bersetuju dengan pihak berkuasa Paris untuk menyewa dua berek yang terbiar selama tiga tahun. 

Masjid berkenaan akan tetap ditutup selama dua minggu bagi menggalakkan jemaah berpindah ke tempat baru, yang mampu untuk menampung lebih 2,700 orang, kata pihak berkuasa bandaraya terbabit. 

Pihak berkuasa di bandaraya kedua terbesar, Marseille di mana masjid turut mengalami masalah kebanjiran jemaah berkata bahawa mereka juga sudah menemui sebuah tempat yang lebih besar di mana jemaah boleh bersolat tanpa perlu bersesak hingga di kawasan jalan. 
Masalah bersolat di kawasan jalanan menjadi agenda tahun lalu oleh sayap kanan National Front di mana ia disifatkan sebagai fenomena sejak berdekad lamanya yang membuktikan mengenai dakwaan mereka bahawa Islam mengancam nilai-nilai sekular Perancis. 

Pemimpin National Front, Marine le Pen secara kontroversi pernah membandingkan masalah bersolat di jalanan dengan pendudukan Nazi Jerman di Paris manakala kumpulan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di jalanan membantah masalah itu di Goutte dOr. 

Kerajaan bersetuju bahawa amalan itu bertentangan dengan undang-undang yang melarang pemaparan simbol agama di kawasan awam. Agensi 

Bah di Pakistan kian meruncing





2011/09/18

KARACHI: Dunia didakwa mengabaikan krisis kemanusiaan yang semakin teruk di wilayah Sindh, Pakistan apabila banjir tahun kedua itu memaksa lebih dua juta penduduk meninggalkan rumah masing-masing, memusnahkan tanaman dan menyebabkan berjuta-juta penduduk berisiko mendapat penyakit berjangkit, kata agensi bantuan dan pemimpin politik tempatan. 

Dianggarkan 300 orang mati dalam tempoh tiga bulan berikutan musim hujan yang memusnahkan 400,000 kediaman, dan menyebabkan lebih dua juta penduduk mengalami malaria, hepatitis dan penyakit berjangkit lain.
Kira-kira 70 peratus daripada sejuta penduduk tinggal di kawasan perlindungan sementara tujuh ribu penduduk dilaporkan diancam ular air.
Sebanyak 22 daripada 24 daerah dilaporkan ditenggelami banjir dengan 10 daripadanya serius termasuk berjuta-juta penduduk mengalami nasib sama dan dipindahkan kira-kira setahun lalu. 

Lebih 21 juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dalam kejadian banjir 2010 yang menyebabkan satu perlima kawasan di Pakistan dilanda banjir dan lebih 1,000 penduduk meninggal dunia. 

Menurut agensi bantuan, kesan banjir tahun ini adalah lebih buruk berbanding tahun lalu kerana kebanyakan mangsa terpaksa meninggalkan kediaman mereka dua kali berturut-turut tetapi bantuan antarabangsa dilaporkan terlalu perlahan, mengancam penduduk. 

Pendapat kami adalah ia sudah sedia buruk berbanding tahun lalu, bukan kerana bilangannya tetapi kesan terhadap penduduk yang sudah sedia terjejas berikutan banjir besar tahun lalu, kata Pengarah Oxfam Pakistan, Neva Khan. 
Setakat ini usaha bantuan agensi antarabangsa di ketuai Pakistan belum dapat menyelaraskan sumbangan dan bantuan kerajaan. 

Namun, beliau menggesa penyumbang individu dan kumpulan bantuan segera membantu sebelum keadaan lebih teruk. - Agensi 

Niger enggan hantar pulang anak Gaddafi





2011/09/18

SEKUMPULAN penentang  Gaddafi dengan bersenjata memijak sebidang permaidani yang tertera gambar bekas pemimpin Libya itu, semalam.
SEKUMPULAN penentang Gaddafi dengan bersenjata memijak sebidang permaidani yang tertera gambar bekas pemimpin Libya itu, semalam.
Pemimpin negara jiran Libya mahukan jaminan perbicaraan adil

NIAMEY: Kerajaan Niger menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menghantar pulang anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Saadi, kembali ke negara asalnya selepas beliau melarikan diri berikutan keruntuhan rejim pemerintahan bapanya di Tripoli. 

Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Kehakiman Niger, Marou Amadou berkata: Tidak. Demi tanggungjawab antarabangsa (kami), kami tidak boleh menghantar Saadi pulang kerana yang pasti beliau tidak berpeluang menghadapi perbicaraan adil dan akan berdepan hukuman mati.
Dalam erti kata lain, jika lelaki ini atau mana-mana orang dikehendaki oleh sebuah mahkamah bebas untuk dibicarakan dengan adil, Niger akan menunaikan tanggungjawabnya.
Niger adalah sebuah kerajaan berdaulat dan kami perlu mempertimbangkan permintaan atau tuntutan apabila mereka menerimanya, katanya. 

Dalam satu lawatan ke Libya pada Khamis bersama Perdana Menteri British, David Cameron, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata beliau yakin Niger akan bekerjasama dalam perkara ini. 

Kami tidak mempunyai alasan untuk meragui komitmen pemimpin Niger dalam keadilan antarabangsa, kata Sarkozy. 

Saadi Gaddafi tersenarai sebagai orang paling rapat dengan rejim Gaddafi yang menjadi sasaran sekatan perjalanan Majlis Keselamatan PBB. 
Beliau yang berusia 38 tahun adalah anak ketiga daripada tujuh anak lelaki Gaddafi, bekas seorang pemain bola sepak yang menamatkan karier di Itali pada 2004 untuk menyertai tentera sebelum mengetuai satu unit elit. 

Beliau tiba di Niger, Ahad lalu bersama sebuah konvoi yang turut disertai anggota lain rejim yang ditumbangkan itu. 

Niger mengesahkan bahawa seramai 32 penyokong Gaddafi berada di negara itu termasuk tiga jeneral dan mereka dibenarkan masuk atas alasan kemanusiaan. 
Niamey secara rasmi mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu sebagai kepemimpinan sementara Libya. 

Niger menegaskan bahawa Gaddafi sendiri tidak berada di wilayahnya dan mengisytiharkan bahawa pihaknya akan mematuhi perjanjian antarabangsa sekiranya pemimpin Libya yang dikehendaki itu merentasi sempadan negara terbabit. 

Niger tidak akan teragak-agak untuk menghormati perjanjian ini sebagai satu demokrasi dan sebuah negara mempunyai undang-undang, kata Amadou. 

Penyokong Gaddafi adalah di bawah kawalan kami, pemantauan kami dan perhatian kami dan kerajaan akan memastikan bahawa mereka menjauhi semua aktiviti politik, katanya. 

Amadou berkata bahawa satu delegasi NTC dijangka berada di Niamey dan pada masa ini sentiasa menghubungi pihak berkuasa terbabit. AFP 

Heidi Klum paling bahaya di ruang siber



HEIDI KLUM


LOS ANGELES - Supermodel dan hos televisyen terkenal, Heidi Klum telah dinamakan sebagai selebriti paling bahaya di ruang siber kerana beliau dikatakan mengundang virus dan malware ke dalam komputer.
Firma keselamatan Internet McAfee memberitahu, orang ramai gemar mendapatkan carian untuk memuat turun kisah berkaitan bekas model Victoria's Secret dan gambar skrin juri rancangan Project Runaway itu.
Akibatnya, mereka berdepan satu daripada sepuluh risiko masuk ke dalam laman web yang penuh dengan spyware, spam, phishing dan virus-virus lain yang direka untuk mencuri maklumat peribadi pengguna komputer. - Reuters

Seludup ular dalam seluar dalam



SALAH seekor anak ular sawa yang ditemui dalam seluar dalam Borges.


MIAMI - Seorang lelaki Brazil yang ditahan di lapangan terbang Miami kerana cuba menyeludup tujuh ekor anak ular sawa dan tiga ekor anak kura-kura di dalam poket serta seluar dalamnya didenda sebanyak AS$400 (RM1,236) oleh seorang hakim.
Simon Turola Borges, 30, yang telah ditahan sejak 25 Ogos lalu mengaku bersalah atas tuduhan menyeludup. Hukuman ke atasnya dijatuhkan oleh hakim wilayah, Patricia A. Seitz. Selain denda, Borges juga akan dipantau dengan rapi selama dua tahun. Dia turut diarahkan supaya dihantar pulang ke Brazil. - Reuters

Saturday, September 17, 2011

Dua wanita belasah penyamun



Rohani Sulong memegang rantai yang cuba disamun oleh lelaki bersama Nur Fatihah Mohd. Bidin selepas mendapat rawatan di di Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam. – Utusan/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Seorang penjenayah bukan sahaja gagal mendapatkan hasil ketika cuba menyamun rantai emas seorang pemilik kedai runcit, malah terpaksa bergelut dan dibelasah dua wanita dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika mangsa, Rohani Sulong, 49, didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum berhenti di depan kedainya.
Salah seorang daripada mereka kemudian masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura ingin membeli penyedut minuman.
Menurut Rohani, selepas memaklumkan bahawa kedainya tidak menjual barangan itu, lelaki berkenaan memberitahu pula mahu membeli gula-gula yang berharga 20 sen sebelum dia tiba-tiba cuba menarik rantai leher yang dipakainya.
Ketika itu, berlaku pergelutan antara Rohani dan suspek menyebabkan anak perempuannya, Fatihah Mohd. Bidin, 22, datang membantu.
“Sebaik sahaja mendengar jeritan saya, Fatihah terus datang ke arah makcik dan membawa sebatang penyapu lalu memukul lelaki berkenaan.
“Lelaki tersebut yang terkejut dengan anak makcik itu terus meluru kepadanya dan kemudian menendang perut Fatihah pula,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Menurut Fatihah, lelaki itu menendang perut dan mengacukan pisau ke lehernya, namun dia dan emaknya terus bergelut dengan penyamun itu sehingga lelaki tersebut meminta pertolongan daripada rakannya yang berada di luar kedai.
“Tolong aku... tolonglah aku... macam tu lah rayuan penyamun itu namun rakannya yang menunggu di luar kedai bertindak melarikan diri apabila melihat semakin ramai orang datang membantu kami,” ujarnya.
Berikutan kejadian itu, Nur Fatihah dan Rohani cedera di bahagian tangan dan badan manakala suspek iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun yang turut cedera dibelasah orang ramai berjaya ditahan.

Buku teks Eropah burukkan Islam

BERLIN 16 Sept. - Hasil kajian di lima negara terhadap buku-buku sekolah di Eropah menunjukkan ia mengandungi gambaran yang mencemarkan nama baik Islam dengan menggunakan stereotaip yang mencetuskan kesangsian terhadap Islam dan penganutnya.
Seorang daripada penyelidik institut buku teks Jerman, Georg Eckert yang menganalisis 27 buku yang digunakan di sekolah-sekolah di Britain, Perancis, Austria, Sepanyol dan Jerman, menyifatkan pandangan negatif tersebut sebagai 'perkauman budaya'.
Laporan yang dibentangkan di pejabat Kementerian Luar di Berlin itu merupakan antara yang pertama diterbitkan di Eropah.
"Islam sering digambarkan sebagai agama yang ketinggalan dan tidak berubah sejak ia disebarkan," kata pengarah projek institut berkenaan, Susan Krohnert-Othman.
Dalam pada itu, kumpulan pengkaji turut menyimpulkan Islam kerap digambarkan sebagai sebuah entiti bangsa yang seragam tanpa mencerminkan sebarang kepelbagaian di dalam semua aspek di dunia.
Laporan itu bagaimanapun tidak menemui perbezaan utama antara lima negara yang dikaji.
Buku-buku teks yang digunakan di peringkat sekolah menengah pula memaparkan Islam merupakan agama yang kuno dan menentang pemodenan Eropah serta bersifat bercanggah antara satu sama lain.
Melalui pendedahan sedemikian, sikap fobia terhadap Islam di kalangan pelajar sukar ditangkis.
Para pengkaji menyeru pihak sekolah untuk membentangkan maklumat mengenai reformasi yang diperjuangkan oleh ulama dan intelektual Islam serta proses pemodenan dalam agama.
"Penganut Islam tidak lagi boleh disifatkan sebagai kumpulan asing yang terdiri daripada pendatang bukan Eropah yang secara tradisinya menghalang integrasi," ujar kumpulan tersebut. - AFP

Anakonda 5.5m ditangkap




PASUKAN ahli biologi dari United Kingdom mempamerkan ular anakonda sepanjang 5.5 meter seberat 100 kg yang ditangkap di hutan Guyana, kelmarin. - AGENSI


GEORGETOWN, Guyana 16 Sept. - Sepasukan ahli biologi menangkap seekor ular anakonda sepanjang 5.5 meter dengan berat sebanyak 100 kilogram dalam satu ekspedisi hutan hujan tropika di sini, semalam.
Ular gergasi itu mempunyai ukur lilit sepanjang satu meter.
Ahli biologi dari Cardiff, Niall McCann, 29, berkata, kumpulannya berjaya menangkap reptilia gergasi itu ketika ia menyeberangi Sungai Rewa.
"Saya selalu berharap untuk menemui anakonda dan bekerja di Gcondauyana akan memberi peluang kepada kami untuk menemui spesies tersebut.
"Saya hampir digigit reptilia itu ketika menangkapnya dan ia mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga mampu 'menggetarkan' pasukan kami," katanya.
Anakonda merupakan spesies ular terbesar di dunia dan mampu mencapai berat sehingga 250 kilogram.
Reptilia itu akan membelit mangsanya sehingga mati sebelum menelan dan memuntahkan balik mangsanya, manusia dan harimau kumbang antara yang sering menjadi mangsa haiwan ganas itu. - AGENSI

Perjanjian Kem David boleh diubah: PM Mesir

KAHERAH: Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf, semalam berkata perjanjian negara itu dengan Israel yang ditandatangani pada 1979 “bukan suci.”
Memetik kenyataan Essam dalam temu bual dengan stesen televisyen Turki, agensi berita Mena melaporkan, Perjanjian Kem David sentiasa terbuka untuk dibincangkan atau diubah suai jika ia memberi manfaat kepada rantau berkenaan serta keadilan.

“Perjanjian itu bukan sesuatu yang suci dan perubahan boleh dilakukan,” katanya.

Hubungan Kaherah - Tel Aviv tegang minggu lalu selepas penunjuk perasaan menyerbu Kedutaan Israel di Mesir, memaksa duta dan kakitangannya dipindahkan.

Serangan itu menyaksikan penunjuk perasaan mengoyakkan bendera Israel.

Ia adalah kejadian terburuk sejak Israel membuka kedutaannya di Mesir - negara Arab pertama menandatangani perjanjian damai dengan rejim Zionis berkenaan.


Kenyataan Essam itu dibuat selepas wartawan bertanya kepadanya mengenai lawatan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, ke Mesir minggu ini.

Hubungan Ankara - Tel Aviv memang semakin buruk sejak akhir-akhir ini.

Kata Essan, lawatan Recep memang tepat pada masanya kerana ia dibuat ketika rantau Timur Tengah mengalami perubahan. - AFP

15 peratus tentera rejim lama masih berfungsi

PARIS: Kira-kira 15 peratus tentera Muammar Gaddafi didapati masih berfungsi sehingga kini.
Jeneral Nato, Vincent Tesniere, berkata penyokong setia bekas pemimpin Libya itu bertumpu di jajaran Tripoli hingga bandar padang pasir Sebha di selatan, serta bandar pesisir pantai Sirte.

Ditanya mengenai langkah Nato menjejak lokasi Gaddafi, Tesniere berkata, pertubuhan itu tidak bertindak untuk “mencari sesiapa.” Ketika ini, pejuang kerajaan baru Libya memerangi saki-baki tentera yang setia kepada Gaddafi. Semalam, mereka berada di Sirte. - AFP

Perlu 80 universiti

RIYADH: Arab Saudi memerlukan kira-kira 80 universiti untuk menjadi negara maju.
Pada sesi dialog terbuka, Presiden Universiti Raja Saud, Dr Abdullah Al-Othman mengkritik penulis dan ahli intelek yang mengatakan 24 universiti, sudah terlalu banyak untuk negara itu.
“Jumlah itu tidak cukup dan tidak efektif untuk memberi pengaruh kepada masyarakat. Kita memerlukan kira-kira 80 universiti untuk mengubah negara dunia ketiga menjadi negara maju,” katanya.

Adalah penting untuk menyediakan universiti berprestij dengan bajet yang mencukupi untuk mencapai cita-cita kerajaan, tambah Dr Abdullah lagi.


Dia berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada Universiti Raja Saud dan berharap universiti itu dapat berdikari sebelum 2020.

Katanya lagi, semua permohonan untuk jurusan kejuruteraan, perubatan dan kolej sains dipilih dengan adil dan hanya mereka yang mendapat keputusan yang baik akan diterima masuk ke kolej yang mereka pilih.

“Proses pemilihan masuk ke universiti berdasarkan kelayakan,” katanya.

Dia turut menekankan profesor yang tidak cekap melakukan tugas mereka harus dipertanggungjawabkan.

“Universiti antarabangsa boleh menamatkan kontrak profesor,” kata Dr Abdullah. Dia turut meminta hubungan antara universiti dan profesor haruslah hanya melalui kontrak kerja, berdasarkan kecemerlangan mereka setelah dinilai dalam jangka masa tertentu. 

Maut kereta bertembung kenderaan seludup diesel





2011/09/17

LOKASI nahas yang meragut satu nyawa di Padang Besar dilimpahi diesel. Gambar kecil, Manis Ismail.
LOKASI nahas yang meragut satu nyawa di Padang Besar dilimpahi diesel. Gambar kecil, Manis Ismail.
PADANG BESAR: Seorang warga tua berusia 60 tahun maut manakala dua mangsa termasuk adik perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan dipercayai milik penyeludup diesel di Beseri, dekat sini, petang kelmarin. 

Manis Ismail dari Temerloh, Pahang meninggal di tempat kejadian. Dua lagi mangsa ialah adik Manis, Hasnah yang memandu kereta dan penumpang, Mek Saad, 65, masing-masing dari Kuala Perlis, di sini mengalami kecederaan.
Dalam kejadian itu, dua remaja berusia 16 dan 19 tahun dipercayai dalam kereta Proton Iswara yang bertembung dengan kereta mangsa melarikan diri tanpa mempedulikan mereka.
Kemalangan jam 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta Perodua Kelisa dalam perjalanan pulang selepas menziarahi kenalan yang meninggal dunia di Jalan Kaki Bukit, di sini. 

Nahas itu boleh menjadi lebih buruk kerana tempat kejadian dilimpahi diesel. 
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, mengesahkan kejadian terbabit termasuk penahanan dua remaja tidak bersekolah yang terbabit dalam nahas itu. 

Ahli perniagaan sogok pelacur untuk Berlusconi

Foto
Silvio Berlusconi (kiri) dan Sara Tommasi

Foto
Sabina Began (kiri) dan Patrizia D'Addario.



30 wanita diupah bermesra dengan PM Itali

ROME: Seorang ahli perniagaan Itali memilih 30 wanita cantik dan muda termasuk pelacur untuk menghadiri parti di kediaman Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dan mengupah sebahagian daripada mereka untuk melakukan hubungan seks dengan pemimpin itu, menurut dakwaan terbaru pendakwa raya.
Selepas memilih mereka, Gianpaolo Tarantini memberitahu apa yang perlu dipakai dan bagaimana cara bergaul di parti itu antara September 2008 dan Mei 2009, menurut dokumen yang baru difailkan di mahkamah.
Pendakwa raya sudah menamatkan siasatan mereka terhadap kegiatan Tarantini. Berlusconi tidak disiasat dalam kes itu tetapi ia sekali lagi memalukannya.

Dakwaan itu diketahui ketika sokongan awam kepada Berlusconi berada di tahap paling rendah. Hanya 24 peratus rakyat Itali mengatakan ‘amat’ atau ‘terlalu’ mempercayai ahli perniagaan berusia 74 tahun itu.

Pendakwa raya membentangkan keputusan siasatan dua tahun mengenai tuduhan bahawa Berlusconi menjadikan kediamannya di sini sebagai tempat pelacuran model muda, aktres dan bintang baru.

Di kalangan wanita itu termasuk dari Amerika Selatan dan Eropah Timur, dijemput untuk menghadiri parti itu termasuk ramai pelacur untuk berdamping bersama perdana menteri sebagai balasan mendapat wang tunai atau hadiah lain.
Seorang aktres terkenal Itali, Manuela Arcuri, didakwa dijanjikan peluang menjadi hos festival muzik tahunan San Remo jika setuju tidur dengan Berlusconi, namun enggan menerima tawaran itu.

Identiti sesetengah wanita itu dibocorkan oleh media Itali sebelum ini namun ini adalah kali pertama penyiasat membentangkan satu senarai berdasarkan perbualan 100,000 panggilan telefon yang dipintas pihak berkuasa.

Lapan orang disiasat kerana didakwa membantu dan bersubahat menjalankan kegiatan pelacuran Tarantini, ahli perniagaan dari pelabuhan Adriatic di Bari.

Dia membekalkan wanita kepada Berlusconi dengan harapan memajukan kepentingan perniagaan, kata pendakwa raya Bari.

Orang lain termasuk Sabina Began, model kelahiran Jerman yang sering digambarkan sebagai ‘ratu lebah’ di kalangan peminat wanita Berlusconi.
Lapan suspek terbabit ‘terbabit tanpa sedar dengan rancangan penjenayah’ sindiket pelacuran, kata pendakwa.

Tarantini, 36, dan isterinya ditahan awal bulan ini kerana disyaki memeras lebih £500,000 (RM2.44 juta) daripada perdana menteri sebagai balasan berdiam diri mengenai bekalan gadis pengiring.

Berlusconi mengakui mengadakan parti persendirian di kediamannya di Rome, Milan dan Sardinia namun menegaskan beliau tidak tahu jika ada tetamunya adalah pelacur.

Senarai wanita termasuk Patrizia D'Addario, pelacur yang membuat pendedahan suasana parti di kediaman Berlusconi dan menulis buku mengenai dakwaan hubungan seksnya dengan perdana menteri itu; Ioanna Visan, gadis pentas Romania; Francesca Lana, model pakaian dalam; Camille Cordeiro Charao, model majalah lelaki serta Barbara Montereale, Sara Tommasi dan Barbara Guerra.

Kejatuhan teruk populariti Berlusconi ditunjukkan dalam satu tinjauan yang dijalankan sebelum dakwaan itu muncul dan kemungkinan hasil pakej penjimatan bernilai 54 bilion euro (RM230.32 bilion) yang amat tidak popular yang diluluskan kerajaan Rabu lalu, mencetuskan pertempuran antara polis anti rusuhan dan penunjuk perasaan.

Rakyat Itali yang mempunyai ‘sedikit’ atau ‘tiada kepercayaan’ terhadap Berlusconi meningkat daripada 60 peratus kepada 64 peratus, menurut tinjauan IPR dijalankan oleh akhbar tengah-kiri Repubblica, satu daripada pengkritik tetap perdana menteri.

Kedudukan sokongannya merudum kepada 24 peratus berbanding 62 peratus sejurus selepas dipilih semula pada 2008. - Agensi

Karavan boleh bertukar menjadi bot




KARAVAN ciptaan Daniel Starub boleh menjadi sebuah bot.


BERLIN, Jerman - Orang ramai tidak lagi perlu memilih sama ada mahu berkhemah atau belayar ketika pergi bercuti selepas seorang pereka Jerman, Daniel Straub mencipta karavan yang boleh bertukar menjadi sebuah bot, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Karavan yang diberi nama Sealander itu ditarik kenderaan lain di atas jalan raya tetapi ia dipandu secara berasingan dengan menggunakan sebuah motor elektrik apabila berada di dalam air.
Selain dua tempat tidur, karavan, Sealander turut dilengkapi sebuah dapur, tandas dan meja makan.
Straub yang mengambil masa dua tahun untuk menguji karavan ciptaannya sebelum ia memasuki fasa pengeluaran memberitahu: "Mereka yang pergi bercuti boleh berkhemah pada malam hari dan pada waktu siang, mereka boleh belayar di tasik untuk aktiviti memancing".
Karavan unik itu dijadualkan memasuki pasaran tahun depan pada harga £13,000 (RM63,495). - Agensi

Wanita paling kaya miliki bot mewah terbesar



KIRSTY BERTARELLI dan suaminya, Ernesto Bertarelli.


PLYMOUTH - Seorang wanita terkaya di Britain dan suaminya yang merupakan seorang bilionair memiliki sebuah bot mewah yang terbesar di United Kingdom (UK), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Wanita itu yang juga bekas Ratu Cantik UK, Kirsty Bertarelli dan suaminya, Ernesto menempah bot mewah Vava II berukuran 96 meter (m) dengan kos luar biasa iaitu £100 juta (RM488 juta).
Kapal layar tersebut mempunyai sentuhan rekaan dalaman yang mewah dan dibina di sini dan memerlukan lebih dua tahun untuk dibina selain melibatkan 200 pekerja.
Ia dilengkapi pad pendaratan helikopter, ruang tetamu yang mewah dan empat buah bot untuk membawa penumpang ke pantai.
Suami wanita itu memiliki anggaran kekayaan sebanyak £6.8 bilion (RM33.14 bilion) menjadikan dia lelaki yang ke-81 terkaya di dunia dan kelima di Britain. - Agensi

Dapur tahun 1830-an ditemui di bawah rumah




PERIUK, botol dan peralatan dapur lama era 1830-an turut ditemui.


TAMAN CEFN LEA, Britain - Sepasang suami isteri, Archie Graham-Palmer, 41, dan Philippa, 37, menemui sesuatu yang sukar dipercayai apabila mereka menyelongkar ruang bawah rumah keluarganya di sini yang berusia 200 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Ruang yang diselubungi dengan debu dan timbunan barang lama, rupa-rupanya telah dilengkapi dengan dapur yang berusia lebih daripada satu generasi.
Peralatan memasak telah dijumpai seperti cerek, periuk, kuali, pemotong pastri, alat pemadam api antik dan acuan jeli.
Dapur tersebut didakwa wujud pada tahun 1830an.
Tidak pernah digunakan lebih seratus tahun, dapur itu pernah digunakan ketika Perang Dunia Kedua semasa Jerman menyerang Britain kerana ia terletak di bawah tanah. - Agensi

Gorila mandi dalam tab mandi




SEEKOR anak gorila mandi dalam tab mandi dirakamkan di Zoo Twycross, Midlands pada 1967.


MIDLANDS, Britain - Seekor anak gorila, Joe gemar mandi di dalam tab mandi seperti kanak-kanak, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Joe dimandikan dalam sebuah bilik mandi di Zoo Twycross, Leicestershire.
Seterusnya, gorila itu bermain-main di sekitar tab mandi sebelum menuju ke arah tab lain dan cuba meminum air menerusi paip.
Rakaman tersebut dibuat pada tahun 1967 dan disimpan dalam arkib video British Pathe tetapi ia ditayangkan kepada umum baru-baru ini. - Agensi

Kaki kuda seperti kasut Aladin




KEEMPAT-EMPAT kaki kuda yang bernama Jerry mempunyai kuku seperti kasut Aladdin.


TAUNTON, Britain - Seekor kuda bernama Jerry diabaikan menjadi obes sehingga berat haiwan itu bertambah 127 kilogram (kg) dan mempunyai kuku kaki berbentuk kasut Aladdin, lapor sebuah akhbar semalam.
Aladdin ialah seorang pemuda Muslim yang mencari teko ajaib seperti diceritakan dalam kisah Seribu Satu Malam.
Namun nasib haiwan berkuku seperti kasut Aladdin itu bertukar apabila ia diselamatkan dari sebuah ladang di Somerset semasa ia hidup bersama sejumlah lembu.
Setelah dua tahun kuku kakinya tidak dipotong sehingga membuatkan haiwan itu kesakitan setiap kali berjalan, ia kini dirawat di sebuah pusat penjagaan haiwan.
"Kukunya sepanjang 30.5 sentimeter (sm) menyebabkan ia menjadi seperti kasut Aladdin," kata seorang penjaga di pusat pemulihan kuda HorseWorld, Joanne Vaughn.
Kuku itu sepatutnya dipotong setiap enam hingga lapan minggu bagi mengelak ia menjadi panjang.
Haiwan tersebut ditemui bersama seekor lagi kuda, Jojo, dalam keadaan menyedihkan oleh beberapa pegawai kebajikan haiwan.
Selama enam bulan menjalani pemulihan, Jerry kehilangan berat badan sehingga 114kg dalam tempoh enam bulan menyebabkan beratnya kini menurun kepada 438.17kg.
Selama tempoh itu juga, Jerry dan Jojo terpaksa mengambil ubat penahan sakit dan memakai alas kaki khas bagi membantu proses pemulihan mereka. - Agensi.