Pages

Saturday, September 17, 2011

Dua wanita belasah penyamun



Rohani Sulong memegang rantai yang cuba disamun oleh lelaki bersama Nur Fatihah Mohd. Bidin selepas mendapat rawatan di di Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam. – Utusan/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Seorang penjenayah bukan sahaja gagal mendapatkan hasil ketika cuba menyamun rantai emas seorang pemilik kedai runcit, malah terpaksa bergelut dan dibelasah dua wanita dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika mangsa, Rohani Sulong, 49, didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum berhenti di depan kedainya.
Salah seorang daripada mereka kemudian masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura ingin membeli penyedut minuman.
Menurut Rohani, selepas memaklumkan bahawa kedainya tidak menjual barangan itu, lelaki berkenaan memberitahu pula mahu membeli gula-gula yang berharga 20 sen sebelum dia tiba-tiba cuba menarik rantai leher yang dipakainya.
Ketika itu, berlaku pergelutan antara Rohani dan suspek menyebabkan anak perempuannya, Fatihah Mohd. Bidin, 22, datang membantu.
“Sebaik sahaja mendengar jeritan saya, Fatihah terus datang ke arah makcik dan membawa sebatang penyapu lalu memukul lelaki berkenaan.
“Lelaki tersebut yang terkejut dengan anak makcik itu terus meluru kepadanya dan kemudian menendang perut Fatihah pula,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Menurut Fatihah, lelaki itu menendang perut dan mengacukan pisau ke lehernya, namun dia dan emaknya terus bergelut dengan penyamun itu sehingga lelaki tersebut meminta pertolongan daripada rakannya yang berada di luar kedai.
“Tolong aku... tolonglah aku... macam tu lah rayuan penyamun itu namun rakannya yang menunggu di luar kedai bertindak melarikan diri apabila melihat semakin ramai orang datang membantu kami,” ujarnya.
Berikutan kejadian itu, Nur Fatihah dan Rohani cedera di bahagian tangan dan badan manakala suspek iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun yang turut cedera dibelasah orang ramai berjaya ditahan.

No comments: