Pages

Wednesday, September 7, 2011

Dibelasah ketika ambil anak

GOMBAK: Seorang wanita melecur kaki kanan dan cedera di muka dipukul bekas suami ketika datang mengambil anak lelakinya di rumah mentuanya Kampung Melayu Sri Kundang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun mengambil anaknya berusia dua tahun untuk tinggal sementara dengannya kerana rindu.

Pada mulanya, bekas ibu mentuanya membenarkan mangsa mengambil anaknya itu sebelum dibawa dengan motosikal.

Bagaimanapun, belum sempat mangsa meneruskan perjalanan, tiba-tiba bekas suami yang menyedari kehadirannya berlari keluar menghalang mangsa membawa anak mereka.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu naik berang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Masing-masing enggan mengalah dan pertengkaran berlaku sebelum lelaki itu menarik motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri dihempap motosikal itu sementara kaki kanan tersepit di celah ekzos yang panas menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Bekas suami mangsa kemudian menumbuk mukanya beberapa kali sebelum mengambil anaknya,” katanya.
Katanya, dalam kesakitan, mangsa bangun semula dan terus ke Balai Polis Kuang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum menerima rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Hamba seks kekasih ibu akhirnya lapor polis

HULU SELANGOR: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dirogol teman lelaki ibunya sejak dua tahun lalu nekad membuat laporan polis berhubung tindakan keji lelaki terbabit, Jumaat lalu.
Difahamkan, pelajar tingkatan satu itu sering diugut lelaki berkenaan yang berusia 40-an jika tidak mahu tindakan sama dilakukan kepada adik perempuannya jika mangsa memberitahu keluarga atau membuat laporan polis.

Namun, rahsia tindakan keji lelaki itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun melarikan diri dari rumah mereka di Rawang, di sini dengan meninggalkan mangsa seorang diri.

Menurut sumber, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, mangsa sering dirogol lelaki terbabit apabila ibunya tiada di rumah. “Lelaki itu merogol mangsa tanpa mengira waktu. Malah, turut mengugut mangsa supaya tidak mendedahkan perbuatan keji itu kepada ibunya.

“Malah, lelaki itu turut mengugut mahu merogol adik perempuan mangsa sekiranya mangsa enggan melayan nafsunya,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang ketakutan tidak mampu berbuat apa-apa hinggalah rahsia itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa turut melarikan diri sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Cakar muka suami

GOMBAK: Hanya kerana permintaannya untuk pergi ke salun tidak ditunaikan, seorang isteri sanggup mencakar muka dan memukul kepala serta badan suaminya di kediaman mereka di Selayang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suaminya yang berusia 27 tahun sebelum itu keluar bersiar-siar bersama-sama dan pulang ke rumah kerana perlu pergi ke tempat kerja.

Bagaimanapun, isterinya yang berusia 25 tahun meminta suaminya itu menghantarnya terlebih dahulu ke salun berhampiran kerana ingin membuat rawatan rambut.

Menurut sumber, mangsa memberitahu tidak dapat menghantarnya ke salun itu kerana ingin terus ke tempat kerja dan berjanji menghantarnya pada hari lain.

“Namun, isterinya tidak dapat menerima jawapan diberi mangsa malah terus mendesak supaya menghantarnya ke salun berkenaan.

“Akibatnya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum tiba-tiba wanita itu mencakar muka mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan sambil menekup muka,” katanya.


Sumber berkata, mangsa turut dipukul di kepala beberapa kali bagi melepaskan geram tambahan pula mangsa yang dalam kesakitan akibat dicakar tidak mampu melawan.

“Selepas beberapa minit mangsa yang tidak tahan dengan pelakuan isterinya itu keluar rumah untuk ke tempat kerjanya di Jinjang.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang mengenai kejadian itu. “Kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera di muka, telinga dan kepala diberi rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tiga ‘polis’ culik 9 jam

KAJANG: Seorang lelaki bukan saja diculik dan dikurung lebih sembilan jam sebaliknya turut dibelasah sekumpulan tiga lelaki yang menyamar anggota polis dalam kejadian di rumahnya di Cheras Perdana, di sini, 29 Ogos lalu.
Lebih malang, mangsa yang berusia 26 tahun itu patah rusuk kiri akibat dipukul dan lebam seluruh badan ditinggalkan separuh bogel di dalam longkang di kawasan berhampiran rumahnya selepas gagal membayar wang tebusan RM2,000. Mangsa yang ditemui orang ramai dihantar ke Hospital Kajang (HK) sebelum tidak sedarkan diri selama empat hari.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 4 petang, apabila mangsa yang berseorangan di rumah sewanya dikejutkan dengan ketukan kuat tiga lelaki yang memperkenalkan diri anggota polis berpakaian biasa dan ingin membuat pemeriksaan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki niat serong kumpulan terbabit membenarkan mereka masuk.

“Mangsa meminta kumpulan terbabit menunjukkan kad kuasa, namun tindakannya menyebabkan suspek berang sebelum mereka memukul mangsa.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan kumpulan terbabit menjerit meminta tolong apabila mereka menendang dan menumbuknya,” katanya.


Sumber berkata, kumpulan terbabit kemudian mengheret mangsa masuk ke dalam kereta mereka yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum membawanya ke sebuah rumah di kawasan Pandan Indah dan mengurungnya.

Di rumah itu, seorang daripada suspek menghubungi rakan mangsa bagi meminta wang tebusan untuk melepaskan mangsa yang kononnya ditahan di sebuah balai polis atas kesalahan tidak dinyatakan. Pada mulanya, suspek meminta rakan mangsa RM5,000 dan selepas berbincang dan proses tawar menawar, jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000.
“Bagaimanapun, rakan mangsa tidak dapat memenuhi permintaan suspek kerana berada di kampung halaman menyambut Aidilfitri.

“Kegagalan rakan mangsa memenuhi permintaan itu walaupun sudah berunding menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa hingga mangsa tidak bermaya,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa dibelasah, suspek yang masih tidak berpuas hati meninggalkan mangsa separuh bogel di dalam longkang berdekatan rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Orang ramai yang lalu berhampiran kawasan itu menemui mangsa tidak bermaya sebelum menghantarnya ke HK untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dalam keadaan lemah dihantar ke HK dan ditahan selama empat hari kerana tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussien Onn kerana bimbang kumpulan terbabit kembali mengganggunya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mangsa.

Berang duit raya RM1

ROSAK...Noleha menunjukkan pagar rumahnya yang dirosakkan abangnya kerana tidak berpuas hati cucunya kerana memperoleh duit raya RM1.
ROSAK...Noleha menunjukkan pagar rumahnya yang
dirosakkan abangnya kerana tidak berpuas
hati cucunya kerana memperoleh duit raya RM1.

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak berpuas hati enam cucunya hanya mendapat duit raya RM1 daripada ibunya, seorang warga emas berusia 60 tahun gagal mengawal diri apabila menyerang dua adik perempuannya dengan merosakkan harta benda serta menghamburkan kata-kata kesat berbaur ugutan dalam kejadian Jumaat lalu.
Difahamkan kejadian berlaku selepas lelaki terbabit yang berlainan bapa dengan mangsa naik berang apabila enam cucunya hanya memperoleh duit raya RM1 daripada ibunya berusia 84 tahun sebelum menuduh kononnya dua adiknya itu mengawal duit ibunya yang sudah uzur.
Kejadian berlaku pada jam 10.30 malam di rumah seorang adik berkenaan, Noleha Sulong, 42, di Kampung Pengadang Baru, di sini, menyebabkan dia dan dan adiknya, Rokiah, 37, trauma serta hidup dalam ketakutan.

Noleha berkata, dia tidak sangka abangnya itu tergamak menyerang dia dan adiknya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan jumlah duit raya diberikan ibu mereka.


“Hairan juga saya dengan sikap abang yang tidak pernah berpuas hati dan berprasangka buruk terhadap kami adik-beradik, padahal bukan cucunya saja mendapat RM1, tetapi anak bongsu saya dan semua cucu lain turut mendapat jumlah yang sama.

‘Usah sibuk hal orang’

SHAH ALAM: “Ingat, di negara ini bukan semua perkara kamu boleh beli,” kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Asmadi Hussin selepas menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap peniaga bunga melur kerana mengaku salah memberi rasuah RM20 kepada anggota polis, dua bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Manoragan didakwa memberi sogokan itu terhadap Koperal Firdaus Borhan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebagai dorongan supaya tiada tindakan diambil terhadap rakannya, G Maheswaran yang ditahan tidak memiliki lesen sah. Ketika kejadian, tertuduh membonceng motosikal Yamaha yang ditunggang Maheswaran.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang, Hulu Langat, dekat sini jam 12.45 tengah malam, pada 31 Julai lalu.

Lelaki itu bakal mendirikan rumah tangga pada bulan depan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Asmadi berkata, tindakan Manoragan memberi suapan hanya RM20 membawa padah untuk mengelak tindakan undang-undang terhadap rakannya hanya mengundang padah terhadap diri sendiri.

Beliau berkata, tertuduh didakwa di mahkamah dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, manakala Maheswaran hanya disaman akibat tidak memiliki lesen. Malah katanya, akibat kejadian itu, Manoragan kini sudah memiliki rekod kesalahan jenayah. “Jangan masuk campur dalam masalah orang lain. Akibatnya, kamu mendapat akibat lebih buruk,” katanya. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Ng Siew Wee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan memberi rasuah adalah kesalahan yang amat serius.

‘Kapak terbang’ melayang

AMPANG: Sekumpulan empat remaja lelaki bertindak samseng dengan menumbuk dan membaling kapak ke arah bapa seorang daripada rakan mereka selepas berang tidak dibenarkan berjumpa rakannya itu, awal pagi kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan pantas lelaki berusia 45 tahun itu mengelak berjaya menyelamatkan dirinya daripada terkena kapak ‘terbang’ berkenaan.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang sedang tidur di dalam rumahnya di Pandan Jaya, di sini, terkejut sebaik mendengar bunyi bising dari luar rumah.

“Kumpulan remaja berusia 17 tahun itu yang juga rakan sebaya anak lelakinya datang ke rumah dan memaksa anaknya keluar melepak. Namun, anak mangsa enggan keluar.

“Mangsa kemudian menasihati mereka supaya pulang dan tidak memaksa anak lelakinya itu terbabit dalam kumpulan berkenaan,” katanya.

Malangnya, seorang daripada kumpulan itu secara tiba-tiba naik angin lalu menumbuk muka mangsa.


“Bukan itu saja, seorang lagi daripada mereka pula membaling kapak ke arah mangsa. Bagaimanapun, mangsa yang menyedari tindakan itu sempat mengelak,” katanya.

Berikutan tindakan itu, mangsa yang berang dengan tindakan itu dikatakan mengejar kumpulan terbabit, namun tidak berhasil.
Menurutnya, isteri mangsa yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.

Difahamkan, kumpulan berkenaan dipercayai menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anak mangsa dengan mengugut mahu membunuhnya jika membuat laporan polis.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan keluarganya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Janda disyaki bakar rumah kekasih


PILU...Ahmad  hanya mampu melihat rumahnya yang musnah.
PILU...Ahmad hanya mampu melihat rumahnya yang musnah.

PASIR GUDANG: Akibat memandang ringan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar seorang janda dua anak, keluarga seorang pemandu lori, Ahmad Yaacob, 58, dan dua jirannya di Jalan Asli, Taman Pasir Putih di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, penghuni ketiga-tiga rumah itu sedang tidur apabila kediaman masing-masing dijilat api tetapi semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Kebakaran dikatakan dari ruang tempat letak kenderaan kediaman Ahmad.

Menurut Ahmad, mereka keliru sama ada kejadian berlaku secara kebetulan atau angkara bekas teman wanita anaknya yang dikenali menerusi laman sosial facebook.

“Ini kerana, wanita terbabit pernah menghantar SMS berbaur ugutan termasuk mahu membakar kediaman kami.

“Dia mula berdendam kerana kami memintanya keluar selepas sebulan menumpang di rumah ini. Kami tidak sangka akibat memandang ringan ugutannya sebelum ini, mengakibatkan kami sekeluarga selain jiran menjadi mangsa hingga hilang tempat tinggal,” katanya, semalam.


Mengimbau kejadian, menurut Ahmad, dia baru saja masuk tidur di tingkat bawah, manakala tiga lagi anaknya tidur di tingkat atas.

Katanya, dia sedar selepas dikejutkan dengan bunyi letupan seperti mercun sebelum terhidu bau asap menyelubungi rumah berkenaan.

“Saya keluar dari bilik dan mendapati api sudah marak hingga merebak ke dalam rumah. Saya menjerit mengejutkan anak di tingkat atas untuk menyelamatkan diri.

“Kami menyelamatkan diri menerusi pintu belakang kerana api marak menghalang laluan depan.

“Kebakaran turut memusnahkan van dan empat motosikal yang berada di halaman rumah termasuk wang tunai RM1,000 milik anak yang disimpan di dalam van berkenaan,” katanya.

Ahmad yang rugi lebih RM100,000 akibat kebakaran itu tidak menolak ia angkara khianat dan bukan disebabkan litar lintas memandangkan api bermula dari bahagian depan kediaman mereka.

Malah selepas kejadian, Ahmad memaklumkan, jiran memberitahu mereka melihat seorang lelaki berbadan sasa menunggang motosikal sambil membaling objek ke arah kediamannya.

Ahmad kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian di Balai Polis Taman Pasir Putih, petang semalam.

Anak perempuannya, Nur Nabilah, 21, turut mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan dendam seorang wanita terhadap keluarga mereka apatah lagi jiran ternampak sebuah motosikal berlegar di depan rumah mereka sebelum kejadian.

“Kami tidak menuduh tetapi mengesyaki ia adalah perbuatan seorang wanita berusia 27 tahun juga kenalan abang yang dikenalinya menerusi facebook.

“Kami meminta wanita terbabit keluar dari rumah selepas dia menumpang lebih sebulan sejak Julai lalu. Selepas itu wanita berkenaan pernah menghantar SMS berbaur ugutan kepada abang saya dan menyatakan mahu membakar rumah kami selepas dia keluar dari sini,” katanya.

Menurut Nabilah, sebelum itu, wanita terbabit memaklumkan hanya mahu menumpang buat seketika sementara menunggu mendapat kerja. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, ketika melawat ketiga-tiga keluarga turut menghulurkan bantuan peribadi berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.

Pada masa sama, setiap keluarga berkenaan turut menerima sumbangan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi meringankan beban mereka, semua 15 mangsa berkenaan ditempatkan sementara di Flat Kejiranan 8 di Taman Air Biru, Pasir Gudang, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Kami akan membantu mangsa dari semasa ke semasa bagi memastikan nasib mereka terbela,” katanya.

Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 2 Mohd Salleh KVP Mohamed berkata, punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Rundingan disambung

SHISHAN: Kerajaan baru Libya semalam menyambung semula rundingan dengan pemimpin tempatan Bani Walid, antara kubu terakhir Muammar Gaddafi, dalam usaha menamatkan ketegangan di bandar itu.
Rundingan untuk penyerahan diri secara aman Bani Walid, yang dikepung pemberontak anti-Gaddafi sejak minggu lalu, menemui jalan buntu kelmarin dan rundingan terbaru semalam bertujuan meyakinkan puak Warfalla, pemimpin dan masyarakat tempatan.

“Tidak ada siapa yang akan ditindas. Kami tidak akan menyerang harta benda atau orang ramai,” kata pemimpin nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mahmud Jibril.

“Insya-Allah, rundingan kali ini akan berjaya,” katanya menerusi telefon dari Benghazi.

Beliau menyifatkan perbincangan itu sebagai peluang bersejarah bagi Bani Walid dan puak Warfalla, suku kaum yuang menguasai wilayah itu.

Wakil Bani Walid sebelum ini mendesak kerajaan sementara Libya mengumumkan pengampunan beramai-ramai dan berkata rundingan di Shishan, pinggir bandar Bani Walid, berjaya mengikis prasangka penduduknya.


“Kami berada di sini kerana mahu mengelak pertumpahan darah,” kata seorang ketua tempatan Bani Walid, Sheikh Abdel Qadir Mayad.

Beliau bagaimanapun mengaku masih terdapat halangan dan keraguan di kalangan penduduk bandar itu ekoran propaganda selama enam bulan dan campur tangan media yang menyokong Gaddafi.

Rakyat Saudi mula beli kambing korban

JEDDAH: Sebilangan rakyat Arab Saudi mula membeli kambing untuk dijadikan korban selepas hari raya Aidilfitri sebelum harga haiwan itu melambung menjelang perayaan Aidiladha, lapor akhbar tempatan, semalam.
Sebagai langkah awal, sesetengah rakyat mula membeli kambing muda untuk dipelihara dan kemudian disembelih ketika Aidiladha.

Mereka tidak mahu menunggu kerana harga mulai meningkat dan apabila sudah mencecah paras termahal, mereka sudah tidak mampu membelinya. Mereka juga berkata, peningkatan kos sara hidup dan harga komoditi menyebabkan golongan berpendapatan sederhana tidak mampu membeli kambing untuk dijadikan korban pada hari raya Aidiladha kelak. -AN

PM India langgar ikrar

DHAKA: Perdana Menteri India, Manmohan Singh berkata, beliau bersedia mengingkari ikrarnya sebagai seorang yang tidak memakan daging ketika lawatan dua hari ke Bangladesh.
Ia bertujuan untuk membolehkan beliau menjamah hidangan ikan paling popular di negara itu, hilsa. Pemimpin India itu tiba di Dhaka, semalam dalam lawatan rasmi ke negara itu bagi memperbaiki hubungan India dengan Bangaldesh. Hilsa menjadi sajian di majlis rasmi Perdana Menteri India itu, kata pegawai Bangladesh walaupun Singh dan isterinya pengamal makanan sayur-sayuran. - AFP

Mati dibaham anjing sendiri

BATAM: Mayat seorang lelaki separuh umur ditemui dalam keadaan ngeri dengan anggota tubuhnya berkecai, dibaham empat ekor anjing peliharaan sendiri.
Tragedi berlaku di sebuah rumah di Batam Center yang dihuni mangsa, Andre Lumboga, 50.
Menurut polis, Andre baru saja pulang ke Batam setelah bercuti di kampungnya di Manado.

Petang kelmarin, jirannya menjumpai beg pakaian Andre di depan rumahnya. Jirannya itu tercium bau bangkai yang kuat dan terus melaporkannya kepada polis.


“Sewaktu tiba petang itu, kami hanya menjumpai tangan dan kaki mangsa,” jurucakap Polis Seksyen Batam Kota, Kompol Eriyana, semalam.

“Pakaian mangsa koyak rabak,” katanya

Anggota polis juga mendengar salakan anjing dari rumah Andre tetapi mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana hari sudah malam.

Semalam, anggota polis kembali ke rumah Andre dan menemui kepala, tangan dan beberapa organ tubuh lain.

Polis juga menemui empat ekor anjing besar yang kelihatan buas. Malah, haiwan itu juga cuba menyerang polis.

Polis masih belum dapat memastikan jenis anjing itu tetapi ia mungkin jenis German Shepherd.

Siasatan awal polis mendapati Andre tinggal seorang diri tetapi tidak dapat mengesahkan bila Andre mati.

Mereka berpendapat anjing peliharaan Andrea bertindak ganas kerana mereka mungkin kelaparan. - Agensi

Sembunyi mayat tunang dalam beg pakaian

LONDON: Seorang lelaki membunuh tunangnya, guru muzik dan menyembunyikan mayatnya dalam beg pakaian dalam usaha untuk meyakinkan kekasih keduanya bahawa dia adalah bapa tunggal yang hidup bersendirian.
Sebuah mahkamah di sini diberitahu semalam, Andrew Lindo, 29, mencekik Marie Stewart di atas katil sebelum menghentak kepala tunangnya itu dengan kerusi dan akhir sekali menikamnya ketika dua anak mereka tidur pada 18 Disember lalu.

Lindo kemudian menyembunyikan mayat Marie, 30, dalam beg pakaian di garaj dan kemudian dengan tenang menjemput Angela Rylance, wanita ketiga yang dipanggilnya bakal isteri. Mereka bermalam di rumah itu.

Seminggu kemudian pada Khamis, bapa Marie dan anggota keluarganya datang berkunjung tetapi Lindo menipu mereka dengan berkata, mangsa berpindah untuk tinggal bersama dengan lelaki lain.

Keluarga itu bagaimanapun tidak mempercayainya lalu melaporkan kepada polis yang menyerbu rumah itu dan menemui mayat mangsa. Perbicaraan bersambung hari ini. - DM

Kerah jet ambil sandal

NEW DELHI: Seorang ahli politik berpengaruh yang digelar ‘Ratu Kasta Terendah’ didakwa pernah mengerahkan jet untuk mengambil sandal berjenama yang diminatinya.
Mesej sulit kedutaan diplomatik Amerika Syarikat yang didedahkan oleh WikiLeaks dalam laman webnya semalam, menyifatkan Mayawati sebagai ‘wanita ego kelas pertama’ yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.

Mayawati, 55 (gambar), membina kariernya dengan memperjuangkan golongan kasta terendah, Dalits, antara puak yang paling miskin dan tersisih di India.

Namun, dia dikritik kerana rasuah dan mengadakan perayaan secara besar-besaran serta membina taman lengkap dengan tugu pemimpin kaum Dalit, termasuk dirinya.

“Apabila dia memerlukan sandal, sebuah jet kosong dihantar ke Mumbai untuk mengambil sandal berjenama pilihannya,” menurut kabel bertarikh 23 Oktober 2008 itu.

“Dia membina jalan raya khas dari kediamannya ke pejabatnya yang dibersihkan serta-merta selepas konvoi- nya yang terdiri daripada pelbagai kenderaan tiba di destinasi mereka.” Mayawati juga didakwa mempunyai pekerja perasa makanan bagi melindungi dirinya daripada diracun.


Menurut mesej yang sama, seorang menteri pernah diarah melakukan tekan tubi sebagai denda kerana kesalahan kecil sementara mereka yang mahu bertanding mewakili partinya perlu membayar beribu-ribu dolar.

Mayawati, dalam kenyataan balasnya, mengecam kabel berkenaan dan menyifatkan orang disebalik pendedahan itu sebagai gila.
Mayawati yang jarang bercakap kepada wartawan, mengadakan sidang akhbar di Luck- now sebaik pendedahan mesej itu tersebar dan mengecam pengasas WikiLeaks, Julian Assange kerana mendedahkan mesej sulit itu. - Agensi

Penyokong Gaddafi lari ke Niger bawa emas, duit

BENGHAZI: Penyokong setia bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi memasuki Niger awal pagi semalam dengan konvoi terdiri daripada beberapa kenderaan, membawa bersama wang tunai dan emas.
Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang memerintah negara itu berkata, konvoi berkenaan memasuki Niger dari Jufra dengan bantuan puak Tuareg, suku kaum yang tinggal di sempadan kedua-dua negara. Pegawai berkenaan berkata, konvoi itu membawa emas dan wang yang diambil di cawangan Bank Pusat Libya di Sirte. - AP

Gaddafi mahu pertahan Libya hingga mati

SHISHAN: Muammar Gaddafi berada dalam keadaan sihat dan merancang untuk mempertahankan negaranya, kata jurucakapnya, Moussa Ibrahim kepada saluran televisyen Arrai milik Syria, semalam.
“Kami masih berkuasa,” katanya sambil menambah anak lelaki diktator Libya itu sudah menjelaskan peranan mereka dalam rancangan untuk mempertahankan negara. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama anak lelaki bekas pemimpin itu. Moussa yang dipercayai berada di Bani Walid berkata: “Kami akan berjuang dan menentang demi untuk Libya dan semua rakyat Arab.” Dengan menggelar kerajaan baru negara itu sebagai ejen Nato, beliau menuduh mereka melakukan jenayah terutama pemerkosaan, pembunuhan dan menyamun.

“Libya tidak akan jatuh dan suku Bani Walid akan mempertahan dan membebaskan semula bandar yang ditawan,” katanya.

Di sebalik kenyataan itu, sumber kerajaan Niger berkata, pegawai kanan regim Gaddafi sudah melarikan diri ke sempadan negara itu. Mereka termasuk Ketua Keselamatan, Mansour Daw, yang sebelum ini dikatakan berada di Bani Walid. - AFP

2 korban gempa di Sumatera

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda Pulau Sumatera awal semalam, merosakkan bangunan dan menyebabkan dua orang terbunuh.
Gempa bumi itu yang melanda kawasan kira-kira 400 kilometer ke tenggara Banda Aceh pada jam 12.55 pagi (waktu tempatan) turut menyebabkan beberapa kedai terbakar, kata pegawai Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho. Tiada amaran tsunami dikeluargan memandangkan ia berlaku terlalu dalam. - AFP

Pelajar kita terselamat gempa di Aceh

LOKASI kejadian gempa bumi yang melanda Aceh, Indonesia
 awal pagi semalam.

JAKARTA – Semua pelajar Malaysia di Aceh dan Medan selamat daripada bencana gempa bumi 6.7 pada skala Richter yang melanda wilayah Pantai Barat, selatan wilayah itu awal pagi semalam.
Sehingga pukul 1.30 petang semalam, pihak berkuasa melaporkan bahawa 10 orang meninggal dunia dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pukul 12.55 pagi waktu tempatan itu.
Atase Pendidikan, Education Malaysia (dulu Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia, Ludinata Misnun berkata, gempa itu tidak dirasakan oleh pelajar Malaysia di Aceh kerana kawasan penempatan mereka berada jauh di bahagian utara Aceh.
Bagaimanapun katanya, pelajar Malaysia di Medan, Sumatera Utara dapat merasakan gegaran kuat kerana kedudukan pusat gempa yang lebih hampir dengan kawasan Kota Medan.
“Semua pelajar Malaysia seramai 176 orang di Aceh dan 612 orang pelajar Malaysia di Medan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini.-kosmo

Geng Pak Arab muncul semula

KUANTAN – Selepas menyepi hampir setahun, kumpulan penipu dipercayai membabitkan warga asing dari Asia Barat yang memakai jubah dengan si wanita berpurdah muncul semula dengan taktik dan penampilan sama untuk mendapat rezeki mudah.
Dua kes terbaharu kelmarin membabitkan dua suspek wanita, seorang suspek lelaki dan membawa seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan melarikan barang kemas di dua buah kedai emas di Pahang.
Kedua-dua kes yang berlaku selang setengah jam tersebut dipercayai membabitkan suspek sama yang masing-masing berusia lingkungan 30-an.
KES PERTAMA
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, seorang pengurus kedai emas wanita berumur 20-an di Jalan Dato Abdullah, Raub kerugian hampir RM4,000 apabila seutas gelang emas dilarikan kumpulan suspek ala pelancong Arab.
Suspek-suspek yang berbahasa Inggeris itu masuk ke kedai emas pengadu dan meminta melihat beberapa utas gelang emas.
“Pengadu mengeluarkan beberapa utas gelang emas sebelum suspek-suspek membelek setiap satu gelang tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Shamsudin Wan Osman ketika dihubungi semalam.

Atkinson akui terlalu tua untuk berlakon Mr. Bean


ROWAN ATKINSON berlakon dalam salah satu adegan filem Mr. Bean’s Holiday.

LONDON – Pelakon Rowan Atkinson yang melakonkan watak Mr. Bean kemungkinan tidak akan muncul lagi dalam filem, lapor sebuah akhbar semalam.
Atkinson yang kini berusia 56 tahun menyatakan dia percaya, dirinya sudah terlalu tua untuk melakonkan watak Mr. Bean.
Siri televisyen pertama Mr. Bean muncul selama lima tahun sejak 1990.
Lebih 18 juta orang menonton siri televisyen tersebut di Britain walaupun ia mendapat kritikan.
Dia berlakon dalam filem Bean: The Ultimate Disaster Movie pada 1997 dan Mr. Bean’s Holiday empat tahun lalu selain Johnny English.
Dia kini sibuk mempromosikan filem Johnny English Reborn yang turut dibintanginya bersama Gillian Anderson dan Rosamund Pike.
Namun, dia berkata: “Saya berasakan semakin tua untuk melakonkannya (Mr. Bean). Saya suka Mr. Bean sebagai watak kartun yang umurnya tidak pernah meningkat.”
Atkinson berkata, umurnya semakin meningkat.
“Semakin saya berumur, saya berasakan tidak layak untuk melakonkan watak Mr. Bean,” katanya. – Agensi, kosmo

Tak habis-habis cedera angkara mercun


MOHD. Shafiq yang melecur di muka dan tangan dirawat di Hospital Raja Zainab II, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak hiperaktif melecur di muka dan dua jari tangan kanannya angkara bermain mercun roket yang ditemui di jalanan di sebuah rumah di Kampung Banggol Ara, Chicha, Pasir Mas kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang, mangsa, Mohd. Shafiq Mohd. Laili, 9, melecur teruk di muka, ibu jari dan jari telunjuk pada tangan kanannya.
Mangsa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Anak kedua daripada enam beradik itu dikatakan terjumpa mercun roket itu ketika dalam perjalanan membeli gula-gula di kedai berhampiran rumahnya.
Mohd. Shafiq membawa pulang mercun tersebut dan bermain bahan letupan itu di halaman rumah.-kosmo

Lelaki disiasat kes jual gelaran ‘Datuk Naning’

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki di sini kelmarin bagi membantu siasatan kes seorang ahli perniagaan diperdaya sebanyak RM150,000 untuk mendapat gelaran Datuk Naning pada tahun lepas.
Penahanan suspek berusia 47 tahun yang mendakwa dirinya seorang ahli perniagaan itu dibuat pada pukul 4 petang di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Suspek tersebut ditahan hasil risikan polis selepas mangsa yang berusia 50 tahun itu membuat laporan polis pada 11 Ogos lalu.
Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa suspek menawarkan gelaran Datuk Naning kepada beliau dengan bayaran sebanyak RM150,000.

Racun semut disangka sirap pandan


Norhafizah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu semalam selepas terminum racun semut.

KOTA BHARU – Menyangka minuman dalam gelas plastik merupakan sirap pandan, seorang wanita pengsan selepas terminum minuman itu yang rupa-rupanya racun semut yang dibancuh suami mangsa di Kampung Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Norhafizah Badli Afendi, 27, menggelepar, berasa loya sebelum rebah lalu pengsan selepas terminum racun semut tersebut.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan stabil.
Suami Norhafizah, Mat Din Yusof, 27, berkata, kewujudan semut yang banyak di rumahnya sehingga anak kecilnya, Shafira Aishah yang berusia 11 bulan digigit semut pagi semalam menyebabkan dia membancuh racun tersebut.
“Sebelum membancuh racun itu, isteri saya masih tidur. Saya kemudian mengambil cawan gelas plastik dan membancuh racun tersebut dengan air sebelum meninggalkan gelas itu atas meja dapur bagi menunggu ia sebati,” katanya yang kemudian keluar ke halaman rumah.

Natasha gagal bawa lari kekasih



NATASHA melipat pakaian yang mahu dibawanya sebagai persediaan hidup bersama Mohd. Hafizuddin di rumahnya di Kangar semalam.


KANGAR – Hajat seorang pondan, Natasha yang mahu membawa diri bersama temannya, Mohd. Hafizuddin Johari, 20, yang menerima aib setelah disimbah asid ekoran cemburu dengan perhubungan mereka, nampaknya terpaksa ditangguhkan sementara.
Ini kerana, menurut jurujual tersebut yang berusia 28 tahun, rancangan mereka untuk menjalani kehidupan baharu di negeri lain tidak menjadi apabila Mohd. Hafizuddin ‘dirampas’ daripadanya oleh ahli keluarga pemuda itu kelmarin.
Katanya, Mohd. Hafizuddin telah dibawa pulang oleh bapa saudaranya ketika mereka berdua sedang menikmati minum petang di sebuah gerai makan di Padang Besar dekat sini.
“Kejadian tersebut berlaku dengan pantas, bapa saudara Hafizuddin bersama seorang lagi rakannya yang menaiki kereta telah menghampiri kami di gerai tersebut.
“Tanpa bercakap sepatah, tiba-tiba tangan Hafizuddin ditarik oleh bapa saudara mereka ke dalam kereta dan mereka meninggalkan saya,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Taman Seri Bakau, di sini semalam.
Mengimbas kejadian tersebut, Natasha memberitahu, dia amat terkejut dan takut dengan insiden tersebut ekoran Mohd. Hafizuddin dibawa dengan paksaan oleh ahli keluarga tersebut.
“Kami telah merancang untuk teruskan hidup bersama dan Hafizuddin dengan rela hati ikut saya tetapi lain pula jadi hubungan kami mendapat tentangan keluarganya,” ujarnya.
Sehingga kini jelasnya, dia masih gagal menghubungi temannya itu dan situasi tersebut menyebabkan hatinya tidak tenteram.
Tambahnya, dia akui hubungannya itu mendapat tentangan keluarga Hafizuddin dan ramai pihak namun jurujual tersebut meneruskannya ekoran pemuda itu banyak keistimewaannya.

Berat 44kg tapi makan 183 kepak ayam




SONYA THOMAS makan kepak ayam.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) – Seorang wanita seberat 44 kilogram (kg) yang digelar Black Widow mengekalkan rekod dunia miliknya apabila dia memakan sebanyak 183 keping kepak ayam dalam masa cuma 12 minit.
Wanita berkenaan, Sonya Thomas yang telah menjuarai beberapa pertandingan memakan hot dog, memakan kepak ayam itu pada Festival Kepak Ayam Kebangsaan Buffalo di bandar raya New York, Ahad lalu.
Dia telah memakan 181 keping kepak ayam dalam masa yang sama semasa pertandingan berkenaan pada tahun lalu.
Walaupun memiliki ketinggian cuma 1.65 sentimeter dan berat 44kg, dia mencatat 38 rekod dalam pertandingan makan di dunia.
Thomas mendapat hadiah wang tunai AS$1,500 (RM4,477) kerana menjuarai pertandingan tahunan tersebut manakala naib johan menerima wang tunai AS$750 (RM2,238) dan tempat ketiga mendapat AS$300 (RM895).
Thomas, 43, yang merupakan seorang pengurus restoran makanan segera Burger King menerima gelaran Black Widow kerana kebolehannya menewaskan peserta lelaki dalam pertandingan makan. – Agensi

Serang bas dekat plaza tol



SEBAHAGIAN daripada 25 penumpang bertindak keluar dari bas ekspres selepas berlaku kekecohan.


IPOH – Seramai 25 penumpang sebuah bas ekspres melalui pengalaman mencemaskan apabila mereka ‘ditawan’ selama 10 minit oleh sekumpulan empat individu termasuk dua wanita bersenjatakan kayu dan payung dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Jelapang di sini kelmarin.
Kejadian mencemaskan pukul 7.30 malam itu berlaku apabila penyerang terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan pemandu bas tersebut kerana didakwa enggan berhenti selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Perodua Alza kira-kira dua kilometer sebelum plaza tol tersebut.
Kejadian itu didakwa berlaku apabila bas tersebut merempuh belakang Perodua Alza terbabit hingga menyebabkannya terbabas ke dalam longkang. Ekoran itu, salah seorang daripada tiga penumpangnya cedera manakala kesemua penumpang bas terselamat.
Pemandu bas tersebut merupakan warga Thailand dan mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Hatyai, Thailand. Rata-rata penumpang dari Singapura dan Hatyai.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, pemandu bas berusia lingkungan 50-an tersebut kemudian meneruskan perjalanan sejauh 1.2 kilometer sebelum berhenti di lorong kecemasan yang lebih selamat dan tidak membahayakan pengguna lebuh raya.
Katanya, sebaik berhenti, sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki empat individu terbabit berhenti berhampiran bas lalu bertindak memecahkan cermin bas dengan membaling batu.

Perjalanan tertangguh sebab enggan ambil penumpang




SEBAHAGIAN daripada penumpang yang terkandas di perhentian bas Jertih, Besut semalam.


BESUT – Orang lain punya pasal, orang lain yang terima padah. Demikian yang menimpa 44 individu apabila bas yang mereka naiki gagal tiba di di Kangar, Perlis mengikut jadual mengakibatkan semua rancangan mereka tergendala kelmarin.
Ia berikutan bas yang berlepas dari Dungun, Terengganu pada pukul 8.30 malam itu gagal meneruskan perjalanan kerana pemandu bas syarikat berkenaan enggan mengambil lima penumpang yang menunggu di perhentian bas Jerteh. Bas itu sepatutnya tiba di Kangar pada pukul 5 pagi semalam.
Difahamkan, sebaik bas itu tiba di Jertih tiga jam kemudian, lima penumpang terbabit dihalang menaiki bas dari syarikat yang sama dengan alasan ia tidak menuju ke Kangar dan menyuruh mereka menunggu bas lain.
Namun, sebaik bas kedua sampai, pemandu bas memaklumkan penumpang telah cukup iaitu seramai 44 orang dan dia enggan mengambil penumpang lain kerana melebihi muatan.
Alasan itu kemudian telah menimbulkan kemarahan buat lima penumpang berkenaan hingga menimbulkan kekecohan di situ sebelum pemandu bas bertindak menghubungi pemandu bas terdahulu dan pihak pengurusan tetapi gagal.
Geram dengan keadaan itu, lima penumpang yang gagal menaiki bas itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih.

Bayar AS$1 untuk cerita jenaka




JASON SCHNEIDER (kanan) memegang papan tanda yang menyatakan orang ramai akan dijamin ketawa dengan cerita kelakarnya yang berharga cuma AS$1 (RM2.97) di taman awam Central Park, New York baru-baru ini.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Seorang mahasiswa yang menganggur, Jason Schneider memperoleh pendapatan dengan mengenakan bayaran cuma AS$1 (RM2.97) untuk setiap jenaka yang diceritakannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Schneider yang mengadakan persembahan lawak di taman awam Central Park di sini memperoleh bayaran sekitar AS$140 (RM418) selepas beraksi buat kali pertama selama enam jam pada April lalu.
Pemuda berusia 26 tahun itu mendapat idea unik tersebut setelah dia gagal untuk memperoleh pekerjaan di beberapa studio perfileman dan saluran televisyen utama AS termasuk Time Warner serta HBO.
Dia yang berdiri di Central Park sambil memegang papan tanda yang mengandungi mesej yang menawarkan jaminan ketawa kepada orang ramai yang mendengar ceritanya.
“Mengapa ikan jerung adalah haiwan rasis,” dia bertanya kepada beberapa orang yang menyaksikan persembahannya baru-baru ini.
“Kerana cuma spesies jerung putih diberi gelaran Great (besar),” katanya.
Schneider akan memulangkan semula wang pelanggan sekiranya mereka mendapati lawaknya kurang memuaskan. – Agensi

Pekebun sayur tuai tanaman gergasi




RUMAH kaca milik Joe Atherton di Mansfield Woodhouse, Nottinghamshire.


LONDON – Seorang pekebun, Joe Atherton menanam sayuran-sayuran gergasi di rumah kaca miliknya di Mansfield Woodhouse, Nottinghamshire dengan harapan dia dapat memecahkan rekod dunia tanaman yang bersaiz luar biasa, lapor sebuah akhbar semalam.
“Anda tidak tahu apa yang akan anda temui setiap kali anda menggali hasil tanaman anda,” katanya.
Atherton, 56, merupakan pemegang rekod dunia lobak merah terpanjang berukuran 5.84 meter yang ditanamnya pada tahun 2007.
Pada tahun 2001 pula, bapa kepada dua anak itu memegang buat seketika rekod dunia daun bawang kucai paling berat dengan tanaman gergasi seberat 6.6 kilogram.
“Pada tahun berikutnya, pekebun lain memperoleh hasil yang lebih besar dan sejak itu, saya gagal mengatasi rekodnya,” ujar Atherton.
Kebanyakan sayuran gergasi yang ditanam olehnya dipamerkan kepada orang ramai dalam Pertunjukan Perkebunan Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun di Bath, barat daya negeri England. – Agensi

Buaya paling besar pernah ditangkap penduduk




BUAYA paling besar pernah ditangkap terperangkap di sebuah teluk di bandar Bunawan, Filipina pada Sabtu lalu.


MANILA – Sejumlah penduduk kampung yang menangkap seekor buaya gergasi di bandar Bunawan pada Sabtu lalu dipercayai yang paling besar pernah ditangkap hidup-hidup, kata beberapa pegawai semalam.
Buaya jantan seberat 1,075 kilogram (kg) dan sepanjang 6.4 meter itu disyaki membaham seorang petani yang hilang pada Julai lalu di bandar Bunawan dan membunuh seorang budak perempuan berusia 12 tahun dengan kepalanya putus dua tahun lalu.
Namun seorang pemburu, Rollie Sumiller yang memeriksa perut buaya tersebut dengan memaksa haiwan berkenaan muntah tidak menemui sebarang petunjuk ia telah memakan manusia itu dan beberapa ekor buaya yang dilaporkan hilang.
“Masyarakat lega,” kata Sumiller selepas buaya tersebut ditangkap.
Namun, katanya: “Kami tidak pasti jika haiwan ini pemakan manusia kerana terdapat kelibat beberapa buaya lain di kawasan ini.”
Kerajaan tempatan di bandar yang didiami 30,000 orang itu memutuskan untuk tidak membunuh buaya itu.
Penduduk di bandar Bunawan sebaliknya mahu membina sebuah taman semula jadi untuk mempamerkan buaya itu.
Seorang ketua bahagian hidupan liar di Kementerian Alam Sekitar Filipina, Josefina de Leon berkata, buaya tersebut mungkin yang terbesar pernah ditangkap di dunia.
“Berdasarkan rekod kami yang sedia ada, buaya paling besar yang pernah ditangkap adalah 5.48 meter panjang,” katanya.
Dalam laman rekod Guinness World Records, ia menyenaraikan seekor buaya yang paling besar pernah ditangkap ialah Cassius sepanjang 5.48 meter.
Buaya jantan itu kini hidup di sebuah taman hidupan semula jadi di Australia.
Media juga pernah melaporkan bahawa seekor buaya jantan sepanjang 6.2 meter pernah dibunuh di Papua New Guines pada 1982.
Pasukan memburu haiwan itu di Bunawan itu datangnya dari sebuah ladang buaya yang dikendalikan kerajaan.
Pada mulanya, umpan daging ayam, babi dan daging digunakan pada 15 Ogos lalu sebagai usaha untuk menangkap buaya itu.
Namun, buaya itu mudah membaham makanan itu dan tali yang mengikat daging tersebut putus.
Satu kabel logam kemudian digunakan dan ia menyebabkan rahang buaya tersebut tersangkut menyebabkan haiwan itu ditangkap dengan bantuan kira-kira 30 lelaki tempatan di sebuah teluk di sini. – AFP

10 maut gempa di Aceh



BEBERAPA penduduk memeriksa rumah yang rosak akibat gempa bumi di Singkil, Aceh semalam.


JAKARTA – Seramai 10 orang terbunuh dalam gempa bumi sekuat 6.7 pada skala Richter yang melanda wilayah pantai barat, di Selatan Aceh awal semalam.
Pengesahan angka kematian itu dibuat oleh Menteri Sosial, Salim Segaf Al-Jufrie.
Gempa bumi itu menyebabkan penduduk berasa panik sehingga mereka melarikan diri dari rumah, hotel dan hospital.
Ia berlaku pada pukul 1 pagi waktu tempatan sekali gus menyebabkan penduduk di beberapa bandar dan kampung di Pulau Sumatera terjaga kerana merasai gegaran.
Gempa bumi itu berpusat 100 kilometer (km) ke barat daya bandar Medan dan kedalaman 78km di dalam tanah.
Datuk Bandar di Subulussalam, Maura Sakti memberitahu stesen televisyen TVOne, seorang budak lelaki berusia 12 tahun turut terbunuh dalam gempa bumi itu. – Agensi

Tuesday, September 6, 2011

Pemberontak Libya cuba elak tempur panjang


GELEDAH RUMAH KAWAN KARIB PEMIMPIN DIGULING: Gambar video menunjukkan pemimpin Gerakan Kebangsaan bagi Pembebasan, Encik Wesam Saleh Abu Gharara (kanan), mencari sesuatu di rumah seorang rakan karib Encik Gaddafi, Encik Ahmed Abdallah Oun, yang juga pegawai kanan tentera Libya yang ditangkap pemberontak, di Tripoli kelmarin. -- Foto REUTERS

Kerah lebih ramai pejuang di salah sebuah kubu terakhir Gaddafi tapi beri peluang bandar menyerah


TARHOUNA (Libya): Tenaga bantuan tambahan pihak pemberontak tiba di salah sebuah kubu terakhir Encik Muammar Gaddafi di Libya semalam.
Ini walaupun tentera pemberontak yang disiapkan bagi menentang diktator yang digulingkan itu telah memberi peluang untuk bandar itu menyerah kalah dan mengelakkan pertempuran.Ribuan pemberontak berkumpul di bandar padang pasir itu, Bani Walid, yang terletak sekitar 140 kilometer dari Tripoli.Encik Gadhafi sedang dalam pelarian sejak gagal mempertahankan ibu kota Tripoli.Tentera pemberontak menguasai kebanyakan kawasan di Libya dan bersedia membentuk sebuah pemerintah baru.Namun, mereka tidak dapat mengisytiharkan kemenangan sehingga Encik Gaddafi ditangkap dan kawasan- kawasan seperti Bani Walid dikuasai.Oleh itu, mereka menunjukkan bahawa mereka sedia bersabar dan berharap dapat mengelak daripada mengadakan pertempuran antara puak bertentangan, yang mungkin menyebabkan perpecahan berpanjangan di negara itu.Pihak pemberontak telah melanjutkan tarikh penamat bagi penyerahan bandar Sirte - kampung halaman Encik Gaddafi - dan beberapa kawasan penyokongnya, tetapi sesetengah mereka mengancam akan menyerang Bani Walid lebih awal kerana ramai bekas pegawai terkenal di bawah pentadbiran Encik Gaddafi dipercayai masih berada di sana.Bagaimanapun, suasana awal semalam aman, dengan para pemberontak kelihatan berehat sambil merokok di sebuah pusat pemeriksaan sekitar 70 kilometer dari kawasan pusat Bani Walid.Satu konvoi terdiri daripada sembilan trak kemudian tiba di kawasan itu sambil mengibarkan bendera era kemerdekaan yang direka mereka.Sedang anak buahnya menembak ke udara sambil melaungkan 'Allahu Akbar', seorang komander, Ismail al- Gitani, berkata mereka sebahagian daripada pasukan lebih besar yang diperintahkan membantu menawam Bani Walid.Beliau, bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah pejuang yang dipimpinnya itu.'Kami tidak akan masuk ke Bani Walid kecuali puak Warfala mengundang kami,' kata beliau, merujuk kepada puak utama di bandar itu.'Diharapkan tiada siapa akan ditembak. Kami tidak mahu menggunakan senjata kami. Tetapi jika penyokong Gaddafi menembak kami, sudah tentu kami akan membalas,' tambahnya.Awal dari itu, seorang lagi komander pihak pemberontak di pusat pemeriksaan itu, Mohammed al-Fassi, berkata pintu rundingan masih terbuka. -- AP.-CYBERITA

Pesawat terhempas cetus kebakaran hutan

Foto AP

TEHACHAPI (California): Kebakaran besar di kawasan hutan di selatan Tehachapi di California, Amerika Syarikat, ini berlaku apabila sebuah pesawat kecil jenis Cessna terhempas semalam.
Pihak berkuasa belum tahu jumlah penumpang dalam pesawat itu, tetapi satu kematian telah disahkan.Lebih 400 anggota bomba dikerah bagi mengawal api, menurut jurucakap jabatan bomba.
-CYBERITA

Gaddafi dalam keadaan sihat, rancang pertahanan Libya

NICOSIA: “Muammar Gagdafi berada dalam kesihatan yang baik dan merancang serta menguatkan pertahanan Libya,” kata jurucakap presiden, Moussa Ibrahim kepada saluran televisyen Arrai Syria hari ini.

“Kami masih berkuasa,” katanya sambil menambah anak pemimpin diktator yang digulingkan itu akan mengambil alih peranan mereka dalam pertahanan dan sedia berkorban untuk negara.
"Kami berikrar untuk berjuang sehingga ajal atau sehingga berjaya,” kata Ibrahim yang dipercayai berada di bandar Bani Walid yang diserang pejuang anti Gaddafi
“Kami akan berjuang dan menentang untuk Libya dan semua negara Arab,” katanya. - AFP 

'Saya tak pernah kata begitu'

Bekas Perdana Menteri Singapura nafi sifatkan Islam agama berbisa

SINGAPURA: Bekas pemimpin Singapura yang lantang bersuara, Lee Kuan Yew, semalam menafikan yang beliau menggelar Islam sebagai ‘agama berbisa’ mengikut apa yang terkandung dalam kabel diplomatik Amerika yang dibocorkan oleh WikiLeaks.
Satu daripada ratusan kabel dari Kedutaan Amerika di Singapura didedahkan memetik Lee sebagai menyifatkan Islam sebagai agama berbisa dalam pertemuannya dengan Senator Hillary Clinton pada 2005.
“Ini adalah pembohongan,” kata Perdana Menteri pertama Singapura yang berusia 87 tahun itu yang juga ahli politik veteran dalam satu kenyataan.

Lee berkata, beliau turut melihat kembali nota Kementerian Luar ketika pertemuan dengan diplomat Amerika dan tiada rekod yang menunjukkan beliau menggelar Islam sebagai berbisa atau berkata sesuatu yang menjurus kepada maksud itu.

“Saya bercakap mengenai pelampau (Asia Tenggara) seperti kumpulan Jemaah Islamiah dan pendakwah jihad yang menghasut mereka.

“Mereka keras kepala dan mahu kita bersetuju dengan mereka. Jadi, Islam mereka adalah versi sesat dan majoriti Islam di Singapura tidak mengikutinya,” katanya.
Semasa pertemuan itu, seorang lagi penggubal undang-undang Amerika dalam parti Bill Clinton bertanya mengenai kumpulan pengganas antarabangsa, menurut kabel yang ditandatangani oleh Duta Amerika ke Singapura, Frank Lavin.

Ia berkata, Lee menjawab bahawa Islam ortodok kuat dan mampu merekrut sukarelawan untuk kumpulan pelampau.

Beliau memberitahu pengalaman Singapura pada 2001 dan 2002 menangani komplot pengganas Jemaah Islamiah di Singapura dan menyifatkan Islam sebagai agama berbisa.

Majoriti penduduk Singapura berbangsa Cina dengan kaum minoriti termasuk Melayu yang kebanyakannya Muslim membentuk 13.4 peratus daripada lima juta penduduk keseluruhan.

Komen Lee mencetuskan kemarahan di kalangan komuniti online Singapura yang kini memainkan peranan besar dalam perdebatan awam negara.

“LKY (Lee Kuan Yew) tidak patut mengeluarkan kenyataan seperti itu,” kata Lee Rou Xuan di laman Facebook dalam bahagian The Online Citizen. – AFP