May Appleton diperintah keluar dari rumahnya di Cheshire, barat laut England, gara-gara koleksi barangan yang terlalu banyak sehingga dikhuatiri boleh mengakibatkan kebakaran. AGENSI
Menurut laporan akhbar Daily Mirror, wanita terbabit, May Appleton terpaksa menerima hakikat dia perlu meninggalkan rumahnya selepas kalah dalam perbicaraan di mahkamah untuk terus menyimpan koleksi patung, autograf, permainan, gambar, dan barangan sentimental di kediamannya itu.
Pihak pengurusan kawasan pe­nempatan Weaver Vale mengesahkan bahawa Appleton diarahkan keluar dari rumahnya di Northwich, Cheshire, tetapi tarikh untuk wanita berusia 87 itu berbuat demikian belum lagi ditetapkan.
Malah pegawai yang ditugaskan untuk menyampaikan perintah mahkamah itu telah bertemu dengan Appleton dan anak lelakinya, Brian, 61, Mark, 51, dan Paul, 49, bagi memaklumkan bahawa semua harta dan barangan di dalam rumah tersebut akan diletakkan di tempat simpanan.
Antara koleksi menarik yang dikumpulkan oleh Appleton ialah patung-patung berharga mahal, permainan Star Wars dan Action Man, selain tandatangan selebriti Hollywood pada 1930-an.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Weaver Vale, Steve Jennings berkata, pihaknya telah berunding dengan Appleton dan anak-anak­nya sejak lebih tiga tahun lalu bagi mengurangkan jumlah koleksi itu di dalam rumah mereka.
Jelasnya, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama daripada Perkhidmatan Bomba Cheshire, Pusat Kebajikan Orang Tua Cheshire West, dan pihak gereja tempatan.
“Namun, rundingan gagal mencapai kata sepakat kerana keluarga itu enggan mengurangkan jumlah simpanan berisiko tinggi yang mudah mencetuskan kebakaran, selain menyukarkan pihak bomba memasuki rumah jika berlaku kecemasan,” jelasnya.