SEKUMPULAN pakar bedah menggunakan Archelis ketika berdiri semasa melakukan pembedahan untuk tempoh yang lama. - AGENSI
TOKYO 4 Feb. – Pekerjaan yang memerlukan seseorang itu berdiri terlalu lama sememangnya amat memenatkan.
Bagaimanapun, dengan terciptanya sebuah kerusi inovatif yang dikenali sebagai Archelis, seseorang pekerja terbabit masih boleh ‘duduk’, walaupun pada hakikatnya dia sedang berdiri.
Archelis secara umumnya direka untuk kegunaan pakar bedah yang terpaksa berdiri untuk tempoh yang lama serta beberapa kerjaya lain yang berdepan risiko sama termasuk guru, pekerja kilang, dan pegawai keselamatan.
Secara teknikalnya, Archelis sebenarnya bukanlah sebuah kerusi kerana rekaan itu lebih kepada pendakap yang membaluti bahagian punggung dan kaki agar pengguna dapat berdiri dengan lebih selesa.
Diperbuat daripada bahan karbon agar lebih fleksibel dan selesa untuk kegunaan dalam masa yang lama, Archelis dibangunkan oleh sebuah syarikat acuan dari Jepun iaitu Nitto dengan kerjasama Pusat Kejuruteraan Perubatan Hadapan, Universiti Chiba serta syarikat Hiraoki Nishimura Design dan Teknologi Polimer Jepun.
Walaupun Archiles bukanlah ciptaan terbaharu kerana Switzerland terlebih dahulu telah memperkenalkan kerusi Noonee yang menggunakan kuasa hidraulik untuk menyokong tubuh, namun, ciptaan itu dilihat lebih bergaya.
Ketika ini, produk buatan Jepun itu masih dimajukan dan dijangka memasuki pasaran selewat-lewatnya hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment