Pages

Monday, November 2, 2015

Berjalan kaki kembara 10 negara


WARTAWAN SINAR HARIAN
Berjalan kaki kembara 10 negara

1 NOVEMBER 2015
Berjalan kaki kembara 10 negara Tatyana dan Dimitry menyertai aktiviti lasak ketika mengunjungi negeri Kedah, Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan.

KUANTAN – “Sepanjang pengembaraan, kami hanya peruntukkan RM7 sehari setiap seorang, bagi perbelanjaan harian termasuk makan dan minum dan setakat ini kami sudah mengembara berjalan kaki selama 353 hari."

Demikian ujar Tatyana Meshkova, 27, warga Rusia yang mengembara ke 10 negara bersama pasangannya, Dmitry Garkavenko, 36.

Pasangan tersebut sudah mengunjungi Malaysia buat kali ketiga sepanjang tempoh pengembaraannya yang bermula 11 November tahun lalu dan bercadang untuk ke Terengganu dan seterusnya Kota Kinabalu, November depan.

Menurut Tatyana, kehidupan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di negaranya membuatkan mereka mengambil keputusan untuk mengembara berbekalkan wang perbelanjaan dua bulan gaji iaitukira-kira RM5,000 seorang.

“Di negara kami, pendapatan bulanan terlalu minima yang mana wang gaji bulanan hanya habis untuk tempat tinggal, makan dan pakaian tanpa dapat melakukan sebarang aktiviti jadi kami ambil keputusan untuk berhenti dan mengembara menikmati keindahan alam dengan kos yang paling minimum.

“Selama kami mengembara ke beberapa negara yang sudah kami lawati iaitu bermula dari Rusia, kami ke Belarus, Ukraine, Vietnam, Loas, Kemboja, Thailand, Malaysia, China, Indonesia dan kembali ke Malaysia. Kami hanya memperuntukkan lebih kurang RM7 sehari (USD2),” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu menurutnya, mereka boleh bertahan hampir setahun mengembara kira-kira 423 hentian kerana sikap sabar dan menghargai setiap perkara termasuk orang, budaya dan bermacam lagi perkara ditemui sepanjang tempoh ini.

“Kami merancang untuk mengembara mengelilingi dunia selama tiga tahun sebelum pulang semula ke Rusia dan dalam tempoh ini kami sudah tiga kali ke Malaysia dan kali kedua ke negeri Pahang termasuk Kuantan,” katanya.

Sementara itu katanya, setiap destinasi yang dikunjungi akan dikongsi bersama rakan-rakan warga Rusia menerusi laman web dan sosialnya.

“Setiap pengembaraan saya abadikan sama ada gambar atau sedikit perkongsian informasi. Maklum  balas daripada rakyat Rusia juga begitu baik dan ada yang sudah mula untuk turut serta mengembara.

“Untuk keluar mengembara kita mesti tekad dan berfikiran terbuka, apa sahaja yang  ingin dilakukan pasti berjaya dan ketika di usia muda ini kita harus keluar untuk melihat dunia, menimba pengalaman dan bukan hidup terperuk di negara sendiri,” katanya yang bercadang untuk ke Filipina, Bali dan Australia selepas ini.

No comments: