Pages

Monday, November 2, 2015

Pemandu Muslim dapat RM1 juta



AGENSI - SYARIKAT Star Transport Inc. didapati bersalah dan diarah membayar pampasan RM1 juta kepada dua bekas pemandunya.


ILLINOIS – Sekumpulan juri telah menganugerahkan pampasan berjumlah AS$240,000 (RM1 juta) kepada dua pemandu trak beragama Islam yang dipecat sebuah syarikat pengangkutan kerana enggan menghantar bekalan arak, lapor MailOnline.
Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) mendapati tindakan syarikat Star Transport Inc. itu telah melanggar kepercayaan agama Mohad Abass Mohamed dan Abdikarim Hassan Bulshale.
Kes saman yang dibuka Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC) pada 2013 menyatakan kedua-dua lelaki itu dipecat pada 2009 atas alasan enggan menghantar minuman beralkohol kerana bertentangan de­ngan ajaran Islam.
EEOC berpendapat syarikat tersebut sepatutnya dengan mudah boleh memindahkan ke­dua-dua lelaki keturunan Somalia itu untuk tugasan lain berbanding mengambil tindakan memecat mereka.
Syarikat itu mengakui liabiliti dalam kes tersebut awal tahun ini sebelum Ketua Hakim Daerah AS, James Shadid berpihak kepada suruhanjaya tersebut pada Mac lalu.
“Ini satu keputusan yang sangat hebat. Star Transport gagal menyediakan sebarang latihan membezakan kepercayaan agama kepada kakitangan sumber manusia mereka, seterusnya membawa kepada kejadian malang dua kakitangan ini.
“Melalui keputusan ini, juri telah membalas ketidakadilan itu dengan menghantar mesej jelas kepada Star Tarnsport dan semua majikan lain bahawa mereka bertanggungjawab ke atas sebarang amalan pekerjaan yang melanggar undang-undang,” kata peguam EEOC dalam kes tersebut, June Calhoun.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu belum pasti akan menerima pampasan yang ditetapkan mahkamah memandangkan syarikat tersebut te­lah ‘gulung tikar’ pada awal tahun ini.
Kes berkaitan kepercayaan agama turut menyaksikan seorang wanita Islam me­nerima pampasan AS$20,000 (RM85,000) Jun lalu ke­rana diskriminasi ketika dia memakai tudung di pejabat Abercrombie & Fitch.
Pada September lalu, seorang kerani di Kentucky, Kim Davis dipenjarakan kerana enggan mengeluarkan sijil kahwin kepada pasangan sama jenis.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3qHTpBDz6 
Hakcipta terpelihara 

No comments: