Katelyn Thornley berdepan dengan penyakit misteri menyebabkan dia sering bersin sepanjang hari. AGENSI
ANGELETON 9 Okt. – Seorang gadis dari Texas terpaksa melupakan keseronokan alam remaja selepas berdepan dengan sejenis penyakit misteri menyebabkan dia bersin sehingga 12,000 kali sehari.
Menurut laman web Oddity Central, Katelyn Thornley berdepan masalah tersebut sejak tiga minggu lalu selepas menyertai kelas muzik klarinet di sekolahnya.
“Saya fikir ini bersin biasa disebabkan alahan dengan sesuatu,” ujar remaja berusia 12 tahun itu.
Namun, keadaan semakin teruk selepas dia bersin sehingga 20 kali dalam seminit, sekali gus menyebabkan dia tidak boleh melakukan sebarang aktiviti.
“Saya juga berdepan dengan kesakitan di bahagian perut, kaki dan menyebabkan saya tidak boleh menjamah makanan,” terangnya.
Lebih menyedihkan, Thornley terpaksa meninggalkan sesi persekolahan dan tidak boleh menyertai kelas muzik klarinet lagi.
Ibu bapanya cuba membawa dia berjumpa dengan enam orang pakar perubatan, namun semua pakar berkenaan tidak mampu merawat penyakit ganjil yang dialaminya.
Pasukan doktor juga mendakwa, simptom yang dialami Thornley itu bukan alahan atau disebabkan virus, tetapi adalah tindak balas yang berkait dengan tekanan, manakala sebahagian doktor lagi mendakwa penyakit yang dialami gadis itu berkaitan dengan saraf.
Thornley berkata, dia akan berhenti bersin hanya pada waktu tidur selepas mengambil sejenis ubat penenang, Benadryl.
“Sedih melihat keadaannya, kerana setiap masa dia hanya bersin tanpa henti,” ujar ibunya, Lynn Johnson yang berharap anaknya kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan normal.
No comments:
Post a Comment