SYDNEY – Beberapa buah negara mula melancarkan garis panduan khusus untuk mengekang peningkatan kes kematian akibat merakam gambar selfie terutama di tempat berbahaya.
Tindakan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon bimbit itu dilihat semakin popular sejak kebelakangan ini sehingga pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pun pernah berselfie.
Malah, kerana ingin merakam gambar selfie yang hebat, orang ramai sanggup menanggung risiko keselamatan seperti bergayut di bangunan pencakar langit atau bergambar bersama bahan letupan.
Perkembangan itu mendorong beberapa negara dan pihak berkuasa untuk melabel selfie sebagai ancaman serius kepada keselamatan orang ramai dengan kempen mendidik orang awam tentang bahayanya dilancarkan sama seperti kempen menolak tabiat merokok dan pesta minum keras.
Berpuluh-puluh kes kematian dan kecederaan akibat perbuatan merakamkan gambar selfie pada awal tahun ini memaksa Kementerian Dalam Negeri Rusia melancarkan satu kempen mengenai bahaya selfie.
Sebelum ini, terdapat rakyat negara itu yang berselfie bersama singa.
Pada Jun lalu, dua lelaki dari Pergunungan Ural, Rusia terbunuh selepas menarik pin bom tangan semasa berselfie, manakala pada Mei tahun ini, seorang wanita terselamat selepas menembak kepalanya sendiri merakam selfie di pejabatnya di Moscow.
“Satu keping gambar selfie yang hebat boleh meragut nyawa anda,” kata slogan kempen pendidikan selfie yang dianjurkan oleh kerajaan Rusia.
Di AS pula, seorang bapa turut terbunuh selepas secara tidak sengaja tertembak lehernya semasa merakamkan gambar selfie di Texas kelmarin. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3kiU47pwt
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment