Will Hatton mengembara ke hampir 50 buah negara di seluruh dunia seorang diri sejak tujuh tahun lalu. AGENSI
LONDON 10 Ogos – Seorang lelaki Britain berjaya melakukan satu perkara yang disifatkan sebagai berbahaya dalam kalangan pengembara apabila menjelajah hampir 50 buah negara di seluruh dunia seorang diri.
Mail Online melaporkan, sejak tujuh tahun lalu, Will Hatton sudah mengunjungi hampir 50 buah negara secara solo tanpa ditemani oleh sesiapa.
Hatton berkata, banyak pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang pengembaraan berkenaan antaranya berjaya menjelajah ke seluruh pelosok Venezuela, negara yang terkenal dengan aktiviti penculikan dengan selamat.
“Sukar untuk melihat pengembara seperti saya di negara berkenaan, walaupun di sana semua barangan murah-murah. Ramai yang kata saya gila apabila berhasrat untuk mengembara ke Venezuela.
“Tidak dapat disangkal negara itu sukar untuk dilawati terutamanya dalam proses pertukaran wang yang melibatkan individu dalam pasaran gelap, namun bagi saya itu semua perkara kecil,” jelasnya.
Kata Hatton lagi, dia pernah dirompak ketika berada di Nepal, India, dan Nicaragua serta mengalami sakit teruk semasa di Banjaran Himalaya.
Ujarnya, pengembara-pengembara yang tidak pernah meninggalkan zon selesa disaran supaya memulakan pengembaraan di negara-negara Asia Tenggara kerana lebih selamat selain mempunyai penduduk yang ramah.
“Persediaan mental dan fizikal amat perlu sebelum memulakan pengembaraan kerana apa sahaja boleh berlaku dan kita perlu pandai menyelesaikan masalah,” katanya.
No comments:
Post a Comment