Syarikat inovatif Thoth Technology mendedahkan lakaran lif berteknologi moden setinggi 20 kilometer, yang boleh digunakan untuk menghantar kapal angkasa ke angkasa lepas. AGENSI
LONDON 17 Ogos - Sebuah syarikat inovatif dari Kanada mendedahkan sebuah lakaran lif berteknologi moden setinggi 20 kilometer, yang boleh digunakan untuk menghantar kapal angkasa ke angkasa lepas.
Laman web The Telegraph melaporkan, Thoth Technology memberitahu, lif berkenaan mampu mengurangkan kos penerbangan ke angkasa lepas sebanyak 35 peratus berbanding sebelum ini.
Lif yang dikenali sebagai Menara ThothX itu mempunyai landasan pendaratan pesawat yang juga boleh digunakan untuk aktiviti pelancaran satelit ke angkasa lepas.
“Lif elektrik setinggi 20 kilometer dari paras laut itu boleh mengangkut kapal angkasa sehingga mencecah ruang stratosfera, sekali gus menjadikan penerbangan untuk ke orbit menjadi lebih mudah.
“Ketika ini kapal angkasa memerlukan bahan api yang banyak untuk bergerak ke atmosfera sebelum tiba ke angkasa lepas,” jelas Thoth Technology.
Tambah Thoth Technology, lif tersebut boleh digunakan untuk kegunaan lain antaranya bagi tujuan kajian saintifik, dijadikan sebagai menara komunikasi dan pusat penjanaan tenaga elektrik melalui proses turbin udara.
“Pembinaannya mampu menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu kepada penduduk, selain dapat mengurangkan kos penerbangan dan menjadikan aktiviti riadah menjadi lebih mudah,” kata Ketua Pengarah Eksekutif Thoth Technology, Caroline Roberts.
Sumber melaporkan, Menara ThothX yang tidak didedahkan bila proses pembinaannya akan dijalankan mempunyai ketinggian 20 kali ganda lebih daripada Burj Khalifa di Dubai iaitu setinggi 828 meter.
No comments:
Post a Comment